Assalamualaikum,

"Ya Allah, sekiranya ada mereka yang memerlukan bantuan ketika di Tanah Suci nanti. Hantarkan mereka kepada ku agar aku boleh menolong sekadar yang termampu".
Inilah salah satu doa yang saya baca sebelum menunaikan haji.
Saya teringat ketika membuat pemeriksaan kesihatan, doktor ada menasihatkan saya sebagai jemaah haji muda, ambillah kesempatan untuk menolong jemaah haji yang lebih berusia. Mereka uzur dan sentiasa memerlukan bantuan daripada mereka yang muda.

Prof Kamil pula menasihatkan jemaah haji yang muda sentiasa mencari ruang untuk membantu. Tak kiralah, sama ada menolong mengangkat beg, memapah jemaah yang uzur, menunjukkan jalan mereka yang sesat, memberi ruang kepada mereka yang memerlukan.

Pendek kata, cari lah ruang untuk membuat kebaikan.

Sebelum saya pergi menunaikan haji lagi, saya sudah terbayang yang saya akan menolong jemaah jemaah yang uzur untuk mengangkat beg beg mereka. Memberi ruang atau kerusi kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ya, saya mesti mencari ruang membantu mereka yang memerlukan sekadar termampu. Itulah hajat di hati saya.

Allah Maha Mendengar. Allah Maha Berkuasa. Dia mendengar doa saya. Dia memberi lebih dari yang saya minta. Sesuatu yang saya terpaksa berfikir banyak kali adakah saya mampu melakukannya.

Saya dan keluarga tiba di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sekitar jam 9.00 malam. Memandangkan kami tiba awal, kami berehat di sekitar tempat berkumpul. Saya rasa kami antara jemaah Zahafiz yang paling awal tiba.

Di sinilah saat pertemuan saya sekeluarga dengan Pak Cik Tajudin dan Mak Cik Hamimah

Tiba tiba, ada satu keluarga besar yang menghantar ibu bapa mereka untuk pergi menunaikan haji datang ke arah kami.

"Assalamualaikum. Pergi dengan Zahafiz ka?", mereka bertanya kepada saya.

"Waalaikumsalam. Ya, pergi dengan Zahafiz. Pak cik pergi dengan Zahafiz juga ka?" saya menjawab dan bertanya kembali.

"Ya. Alhamdulillah. Jumpa juga dengan jemaah Zahafiz." Pak cik itu menjawab dalam keadaan mengah. Mungkin dia sudah jauh berjalan.

Melihat kepada nama dan alamat pada beg, saya tahu mereka dari Kuala Kangsar. Perak. Tak jauh dari rumah saya. Sekitar satu jam setengah perjalanan.

Kami bersembang sambil menunggu dipanggil oleh pihak Zahafiz.

Kami semua bersembang dalam keadaan berdiri kerana semua kerusi sudah penuh di situ. Tiba tiba pak cik itu mengatakan dia lenguh berdiri dan perlu duduk.

Tidak jauh dari tempat kami, saya nampak ada sebuah kerusi kosong berhampiran dengan sekumpulan orang muda. Saya menuju ke arah mereka. Agaknya, mereka menghantar keluarga mereka menunaikan haji di situ.

"Bang, boleh tak bagi kerusi ni kepada saya. Ada pak cik di sana uzur. Dia perlu duduk." Saya meminta dengan baik.

"Kerusi ni ada orang." Mereka tidak mahu memberi kepada saya.

Saya pun mengatakan yang pak cik itu uzur dan perlukan kerusi. Mereka berkeras tidak mahu memberi kerusi yang kosong itu.

Saya terfikir. Mengapakah mereka ini tidak mempunyai sensitiviti terhadap mereka yang lebih memerlukan. Yang lebih menyedihkan saya, kerusi itu terbiar kosong dalam masa yang agak lama.

Akhirnya, anak pak cik itu berjaya mendapatkan kerusi dari tempat lain. Dan pak cik itu pun duduk. Kami terus bersembang.

Pak cik Tajudin dan Mak Cik Hamimah berumur sekitar 70 tahun. Mereka baru mendapat kemalangan 4 bulan sebelum itu. Ketika mereka berdua menaiki motor. Dan kesannya, ia menjejaskan lutut pak cik dan dia tidak boleh berjalan jauh tanpa dipimpin.

Lebih 'mengerikan' saya mendengar. Hanya mereka berdua yang akan pergi menunaikan haji. Anak anak mereka tidak turut serta.

Terus saya terfikir. Subhanallah. Macam mana pak cik dan mak cik ni nak melakukan amal ibadah sepanjang 46 hari di sana. Siapa yang nak membantu dia.

Tidak lama kemudian, pihak Zahafiz memanggil kami untuk taklimat. Pak cik tadi turut bersama kami. Memandangkan di situ tiada kerusi, kami semua berdiri. 5 minit berlalu, saya tengok pak cik sudah tidak tahan. Dia kena balik ke kerusi tadi.

Semasa taklimat Zahafiz, saya mula sedar yang Pak Cik betul betul uzur dan tidak boleh berdiri lama.

"Tak palah, pak cik pergi duduk rehat di sana. Nanti saya bagi tahu apa yang Zahafiz sampaikan". Saya memberitahu pak cik itu.

Pada saat ini, saya mula terasa. Adakah Allah 'menghantar' Pak Cik Tajudin ni kepada saya supaya saya membantu dia di sana.

Saya memanglah ingin membantu mereka yang memerlukan, tapi bukanlah 'full package' yang macam ni. Terlalu besar tanggung jawab yang nak di galas kalau nak dijaga pak cik ni di sana sepanjang perjalanan haji nanti.

Masa untuk kami berangkat telah tiba.

"Firdaus, boleh tak tolong tengok tengokkan ayah saya sepanjang berada di sana nanti." Rayu anaknya kepada saya.

"Insya Allah, saya tak berani janji. Tapi saya akan cuba sedaya yang saya mampu". Saya tidak berani berjanji.

Memandangkan Pak Cik dan Mak Cik sudah berumur, mereka tidak mahir menggunakan Hand Phone, jadi sebelum berangkat, saya mengambil no telefon anak anak mereka untuk dihubungi dari sana nanti.

Saya mengambil no telefon anak nak pak cik untuk memudahkan saya menghubungi mereka setibanya kami di sana nanti

Kami mula bergerak ke dalam kompleks Tabung Haji. Di sinilah saat saat perpisahan dengan keluarga bagi mereka yang menghantar sampai di sana.

Salah seorang anak pak cik berdiri di luar pagar. Disinilah tanggungjawab saya bermula.

Kami yang mula bergerak untuk pendaftaran masuk bagasi

Melihat keuzuran Pak Cik Tajudin, pihak Tabung Haji menyediakan perkhidmatan khas untuk beliau. Dia dibawa menggunakan kerusi roda. Ditolak oleh petugas Tabung Haji. Semua urusannya dipermudahkan sehingga ke lapangan terbang.

Dia tidak perlu bersusah susah seperti kami. Dia dibawa dengan menaiki ambulan khas dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sehingga ke dalam kawasan menunggu di KLIA. Saya melihat keadaan ini. Syukur ada yang membantu.

Satu pujian buat Tabung Haji yang bersedia untuk berhadapan dengan kes kes sebegini.

Di ruang menunggu, Pak Cik dan Mak Cik dibenarkan memasuki dahulu dalam kapal terbang. Ini bagi kemudahan mereka supaya tidak bersesak sesak dengan jemaah yang lain.

Setiba di Lapangan Terbang Madinah, saya mula merasai keperluan untuk membantu Pak Cik dan Mak Cik. Saya perlu mencari beg dan mengangkat beg mereka. Ada 100 beg Zahafiz yang hampir sama warna. Saya terpaksa mencari untuk mereka. Syukur kerana mereka membungkus beg mereka dengan kain putih khas. Memudahkan saya mengecam beg mereka.

Setiba di Madinah, Mak Cik Hamimah ( Bertudung Coklat kiri ) dah pening mencari beg dia. Kalau dah jumpa sekali pun, pasti dia tak mampu menarik keluar beg dia dicelah kesesakan orang ramai. Disinilah saya mula rasa keperluan untuk membantu pak cik dan mak cik.

Kalau tadi saya tengok pak cik nak berjalan pun susah. Saya terbayang macam mana dia nak jalan sambil menarik beg besar sambil mengusung beg 'hand luggage'.

Saya menolong menarik beg besar beliau. Kalau dilihat saya pada waktu ini, saya terpaksa menarik 2 buah beg besar dan 1 'hand lugage' serentak. Tapi, saya tahu pak cik ini benar benar memerlukan bantuan saya pada waktu ini.

Kalau di KLIA ada petugas Tabung Haji yang menolak Pak Cik ini, di Madinah dia terpaksa berjalan sendiri. Saya tak terdaya membantu lagi kerana sudah menarik beg pak cik ini. Saya berjalan perlahan lahan bagi mengiringi mereka keluar dari lapangan terbang menuju ke bas.

Saya mengambil peluang untuk bersembang dengan pak cik bagi mengetahui keadaan sebenar dia. Nampak gaya, pak cik ini memerlukan bantuan yang lebih besar. Berdasarkan apa yang saya sembangkan, nampak gaya pak cik ni tak mungkin dapat berjalan untuk ke Masjid Nabawi nanti.

Setiba di hotel, selepas makan tengah hari saya terus membeli sim kad dari pekerja hotel. Saya membeli satu untuk Pak Cik Tajudin. Ternyata dia tidak tahu menggunakan telefon tu. Saya memasukkan sim kad ke dalam telefon dia dan menelefon anaknya di Malaysia. Syukur saya ada ambil nombor telefon anak pak cik semasa di Kelana Jaya. Kerana pak cik memang tak hafal nombor telefon anaknya.

Sim kad untuk Pak Cik. Bagi memudahkan dia menghubungi anaknya di Malaysia. Tapi, ternyata dia tak mahir menggunakan telefonnya.

Saya tiba di Madinah pada hari Khamis. Esok hari Jumaat, saya teringat kami mesti bersolat Jumaat di sana. Macam mana dengan Pak Cik?

Saya dilema, saya ada temu janji dengan Prof Kamil pagi itu dan saya akan terus berada di Masjid untuk Solat Jumaat. Macam mana pak cik ni nak bersolat Jumaat.

Saya berfikir dan tiba tiba Allah ilhamkan untuk saya menghubungi petugas Zahafiz bagi membantu Pak Cik menunaikan solat Jumaat.

"Salam Hj Zaid, saya minta tolong haji tengok Pak Cik Tajudin dibilik 327. Dia uzur dan perlukan bantuan ke masjid untuk solat Jumaat. Tolong uruskan". Saya menghantar mesej ke Haji Zaid, ketua petugas Zahafiz kumpulan kami.

Jawapan di terima, "Ok, akan diuruskan". Hilang satu beban di bahu saya. Baru saya teringat kisah dalam buku "Rindu Menggamit Pintu Syurga". Kalau tak boleh bantu pun, serahkan tanggung jawab itu kepada Tabung Haji atau pihak syarikat yang menguruskan.

Selepas solat Jumaat, saya pergi ke bilik pak cik di nombor 327. Meminta maaf kerana terlupa untuk membawa dia ke Masjid bagi bersolat Jumaat.

"Macam mana tadi pak cik, best tak dapat masuk Masjid Nabawi?", saya bertanya.

"Syukur sangat dapat masuk ke dalam Masjid Nabawi." Reaksi pak cik menunjukkan yang dia betul betul gembira dapat ke sana.

"Siapa yang bawa pak cik ke Masjid?"

"Ada tadi petugas Zahafiz bawa dengan kerusi roda".

Saya mengakhiri perbualan dengan pak cik dan turun ke bawah bagi berjumpa dengan petugas Zahafiz bagi membincangkan hal pak cik ini. Bagi menguruskan pak cik bersolat waktu di Masjid.

Pihak Zahafiz sebenarnya terkejut dengan keadaan pak cik yang sedikit 'uzur'. Kebiasaannya pihak Zahafiz tidak akan membawa jemaah yang 'uzur' begini tanpa dibantu oleh waris yang sihat.

Di Malaysia, mereka tidak dimaklumkan keadaan ini. Dan mereka tidak bersedia dengan situasi begini.

Mereka menjelaskan kepada saya, mereka tidak dapat menolong menguruskan pak cik menunaikan Solat Fardhu di Masjid Nabawi. Ini diluar bidang kuasa mereka. Mereka mempunyai petugas, tetapi petugas tidak dapat menolak jemaah setiap hari ke Masjid. Para petugas ada tugas tugas lain.

"Sewajarnya, ada waris pak cik yang ikut untuk membawa pak cik beribadah di Masjid." Mereka menjelaskan kepada saya.

Saya faham situasi mereka.

"Mereka mengatakan kalau mereka tahu situasi pak cik dari Malaysia, mereka pasti mewajibkan anak anak pak cik untuk turut serta menunaikan haji bagi membantu menguruskan pak cik di sana".

Saya berdiam diri. Memikirkan apa yang perlu dilakukan. Saya tidak mahu menceritakan masalah ini kepada pak cik.

Saya ke bilik pak cik dan memaklumkan kepada dia. Saya akan bawa pak cik ke Masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak menggunakan kerusi roda yang disediakan oleh pihak hotel.

Di waktu petang, selepas solat Asar saya terpaksa balik ke hotel untuk mengambil pak cik. Untuk dibawa ke Masjid bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Sehari berlalu. Dua hari berlalu. Saya menolak pakcik ke masjid.

Bunyinya mudah. Mula mula, saya terpaksa menunggu pak cik bersiap. Kemudian membawa dia menggunakan kerusi roda. Menunggu lif untuk turun bukan mudah. Lif selalu penuh. Saya agak 'stress'. Ini pasti mengganggu masa saya untuk beribadah di masjid.

Saya cuba ikhlaskan diri. Cuba untuk tidak 'merungut' di dalam hati. Bukan mudah. Saya hanya manusia biasa.

Satu perkara yang menyejukkan hati saya. Saya teringat semua yang berlaku ini semuanya atas doa saya dahulu. Saya yang minta Allah hantarkan mereka yang memerlukan bantuan kepada saya untuk di bantu. Jadi kenapa perlu 'bersungut'.

Hati saya kembali tenang. Saya ikhlaskan hati. Lakukannya semata mata kerana Allah. Dan saya fikir, apa yang saya lakukan sekarang ini pun ibadah.

Tiada apa yang nak dirugikan. Bahkan pahala yang berlipat ganda bagi saya menolong pak cik ini untuk ke masjid menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Lebih pahala daripada saya duduk di Masjid membaca Al Quran.

Mengenangkan ini, saya gembira. Saya dapat pahala 'menggembirakan' hati pak cik dan pahala 1000 kali ganda solat di Masjid bagi pihak pak cik.

Semakin lama, saya terbiasa dengan keadaan ini dan tidak lagi merungut. Mungkin pada peringkat awal saya tidak dapat membiasakan diri lagi.

Hari ketiga di Madinah. Kami dibawa oleh pihak Zahafiz untuk Ziarah Luar Madinah. Pada mulanya, saya tak terfikir nak bawa pak cik sekali. Sebab ziarah ni kena berjalan banyak. Pasti pak cik sukar berjalan. Lebih baik dia berehat di bilik. Mengumpul tenaga untuk ke Masjid. Itu lebih baik.

Kita merancang. Allah juga merancang. Nampak gayanya, pak cik nak ikut serta program ziarah ni. Dia kata dia pun tak pernah melihat kawasan sekitar Madinah. Dia nak ikut serta.

Saya berjumpa pak cik dan mak cik di dewan makan. Masa ni mak cik pula yang pening kepala. Sampai terjatuh tangga. Saya mengambil panadol di bilik untuk diberikan kepada makcik.

Di sinilah Mak Cik Hamimah terjatuh tangga akibat pening. Saya memberi mak cik panadol dan memimpin pak cik untuk ziarah luar Madinah.

Mak cik memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih. Maria, mak dan abah saya sudah pun berada di bawah. Saya minta mereka naik bas dulu. Saya akan menyusul kemudian.

Ketika di dewan makan, pak cik memaklumkan yang dia belum berwudhuk. Aduh.... Saya cakapkan yang kita perlu berwudhuk di hotel sebelum pergi ziarah kerana kita akan pergi ke Masjid Quba dan bersolat sunat di sana. Ganjarannya besar. Pahala seperti mengerjakan umrah.

Menyuruh orang sihat mengambil wudhuk tidak sama dengan menyuruh orang uzur mengambil wudhuk.

Saya memimpin pak cik pergi ke bilik air. Yang menyukarkan keadaan, pak cik memakai kasut dan berstokin. Tidak pula berselipar.

Dan saya baru tahu pak cik tidak boleh membengkokkan lutut dia. Macam mana dia nak buka stokin dan kasut dalam keadaan berdiri. Saya terpaksa membantu untuk membuka kasut dan stokin pak cik dan kemudian memakaikannya semula.

Sekarang baru saya tahu kenapa Zahafiz tekankan mesti ada waris yang turut serta kalau jemaah yang pergi itu uzur.

Disebabkan saya terlewat membantu pak cik dan mak cik. Bas yang membawa Maria sudah berlepas. Dan saya tidak menaiki bas yang sama dengan mereka untuk ziarah ini. Sebaliknya, saya menaiki bas bersama pak cik dan mak cik.

Nampak gaya, saya perlu bertanggung jawab penuh ke atas pak cik untuk program ziarah hari itu. Semoga Allah permudahkan.

Tempat ziarah yang pertama adalah Masjid Quba. Yang menjadi masalahnya, orang terlalu ramai di Masjid Quba. Kawasan parking bas penuh. Bas yang kami naiki terpaksa parking jauh.

Saya bertanya sama ada pak cik mampu berjalan ke Masjid Quba yang jauh. Dia kata boleh tapi perlahan lahan.

Saya memimpin pak cik perlahan lahan ke Masjid Quba. Kami yang terakhir tiba. Saya bersegera menunaikan solat sunat di dalam Masjid Quba dan kemudian terus beredar keluar menuju ke bas.

Perjalanan sekitar 200 meter -300 meter menuju ke bas memerlukan beberapa 'pit stop'. Bagi memberi ruang kepada pak cik melepaskan penat.

Perjalanan seterusnya adalah ke Ladang Kurma. Di sana saya membantu pak cik bagi membeli sedikit coklat kurma untuk dia bawa pulang ke Malaysia. Pak cik membeli sekitar 1 kilo sahaja. Dia kata dia tidak membawa banyak wang ke Tanah Suci.

Suasana di Kedai Ladang Kurma. Pak cik meminta saya membeli sedikit coklat kurma untuk dia.

Setiap kali bas berhenti untuk ziarah. Saya memimpin pak cik untuk berjalan perlahan lahan.

Syukur Alhamdulillah, semasa di Perkuburan Shuhada Uhud, pihak Zahafiz ada membawa kerusi tolak lebih. Boleh la saya gunakan untuk menolak pak cik ke sana. Lebih mudah dan pantas berbanding berjalan kaki. Terima kasih Zahafiz.

Abg Mat Nor, room mate pak cik yang selalu membantu menolak pak cik semasa program ziarah.

Pak Cik Tajudin di tengah. Juga ditolak oleh Abg Mat Noor. Terima kasih Abang Mat Noor. Tolong tolak pak cik.

Rutin saya bersama pak cik yang seterusnya adalah membawa pak cik ke Masjid bagi menunaikan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Saya gembira melihat pak cik gembira bila dapat ke masjid. Hilang rasa letih menolak pak cik pergi dan balik.


Berkerusi roda melalui kesesakan orang ramai sebegini bukan kerja yang mudah. Kadang kadang terlanggar kaki jemaah hadapan. Dah kena marah.

Pak cik Tajudin di belakang Masjid Nabawi. Golongan 'heavy weight' juga pak cik ni. Bukan mudah menolak dengan keadaan kerusi roda yang uzur dan selalu 'jamm'.

Selang beberapa hari, saya terjumpa dengan seorang jemaah Zahafiz yang datang bujang. Haji Amir berumur 33 tahun dari Keramat, KL. Dia sudi membantu saya untuk menolak pak cik ke Masjid bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara bergilir gilir dengan saya.

Alhamdulillah. Allah memudahkan saya. Sekurang kurangnya, tugas saya berkurangan separuh. Ada satu hari yang saya boleh beribadah terus di Masjid selepas solat Asar sehingga waktu Maghrib dan Isyak. Dan ada hari yang saya pulang balik ke hotel bagi membawa pak cik ke masjid. Saya gembira walaupun terasa sedikit susah.

Saya tahu apa yang saya lakukan ini memudahkan saya memperoleh haji yang mabrur. Insya Allah.

Apabila pulang dari masjid selepas solat Isyak. Walaupun kadang kadang saya pulang lewat sedikit, tetapi apabila saya tiba di hotel bersama pak cik. Lif masih penuh. Terlalu ramai jemaah yang menunggu. Kalau saya seorang saya boleh naik tangga. Tapi bersama pak cik yang berkerusi roda, saya terpaksa menunggu lif.

Subhanallah. Menunggu lif datang menyebabkan stress kepada saya. Kalau ikutkan jadual saya, saya perlu bersegera makan dan terus tidur. Kerana saya perlu bangun seawal 1.30 pagi keesokannya.

Bagi memudahkan kerja saya, saya membawa pak cik terus ke bilik dia. Kemudian berpatah balik ke dewan makan untuk mengambil makanan dan menghantar kembali makanan kepada pak cik di bilik.

Kesesakan di dewan makan menyukarkan pak cik mendapat tempat. Di tambah dengan kesesakan menunggu lif selepas makan membuatkan saya rasa lebih mudah jika pak cik makan di bilik.

Ini jauh lebih mudah daripada saya membawa pak cik ke dewan makan. Kemudian menghantar pak cik balik ke bilik. Nak tunggu lif di dewan makan pun cukup 'mengerikan'.

Bila giliran Amir, dia pun berbuat begitu. Bagi kami, ini lebih mudah walaupun ianya 'susah'. Keuzuran pak cik menyebabkan kami bersimpati.

Apabila saya kerap menolak pak cik ke masjid, ramai jemaah Zahafiz yang bertanya saya, "Ayah ka?" Saya pun berkata, "Bukan. Bukan ayah saya."

"Pak cik ka?"

"Bukan, bukan pak cik saya. Pak cik ni pun jemaah Zahafiz. Saya bantu sahaja."

"Duduk sebilik ka?"

"Tak, pak cik ni bukan sebilik dengan saya. Saya sekadar membantu sahaja".

Ramai jemaah yang memuji tindakan saya dan Amir yang menolong pak cik ini. Bukan pujian ini yang saya minta. Hanya sedikit rahmat dari Allah yang saya pohon.

Mudah mudahan, apabila saya tolong pak cik ini, Allah pula akan menolong saya dalam urusan saya.

Dan tidak kurang dari sepuluh kali saya di tanya, "Ayah ka?". Dan jawapan saya masih sama. "Dia bukan ayah".

Buat masa ini, cukuplah dulu saya ceritakan pengalaman saya bersama pak cik di Madinah. Insya Allah. Akan saya ceritakan pengalaman saya dan Amir yang lebih mencabar ketika berada di Mekah.

Satu yang pasti. Syukur saya kepada Allah kerana menghantar Amir bagi membantu saya. Kalau tak, saya tak yakin saya mampu melakukannya seorang diri. Alhamdulillah. Semoga Allah turut merahmati Amir.

Wassalam

4 ulasan:

  1. Assalam,

    Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!

    Allah bantu dan beri ketabahan dan kesabaran kepada tuan haji dalam menolong Pak Cik. DIA permudahkankan dengan menghantar Amir.

    Semuga Allah beri taufiq dan hidayah kepada tuan haji dan keluarga.

    Terima kasih berkongsi pengalaman.

    Jazakaullah

    AJ

    BalasPadam
  2. Assalam,
    Alhamdulilah. Moga ALLAH merahmati tuan dan isteri dgn perkongsian begini.

    BalasPadam
  3. emSalam Tn.Hj dan isteri,

    Tidak rugi kalau kita membantu,
    lebih2 lagi kat tanah suci,walaupun tak nampak ganjarannya,pahalanya akan muncul di akhirat nanti.
    Itulah perkara yg nak sangat saya lalui...
    dapat membantu pada golongan yg tidak mampu...pernah terjadi sewaktu pergi umrah 2006.

    seorg makcik pergi bersama sepupunya tapi di biarkan oleh sepupunya,sayalah tempatnya utk bercerita.Menemaninya ke masjid,makan.

    BalasPadam
  4. Assalam Tuan,

    Moga Allah merahmati Tuan sekelurga..Ameen.

    Alhamdulillah saya bersyukur pada Allah kerana menjadikan Tuan insan yang mulia dapat membantu orang orang yang memerlukan. Moga Allah akan membuka pintu hati kita untuk saling membantu.

    Salam horamat
    kamarjhan

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top