Assalamualaikum,

Dalam banyak banyak entri yang telah saya muatkan dalam blog ini, entri kali ini saya mengambil masa yang lama untuk dimulakan. Saya dah mula sebelum ini, saya terpaksa hentikan. Sebabnya, saya tidak dapat menyampaikan sepenuh hati saya.

Tapi, entri kali ini penting. Teramat penting. Mana mungkin saya boleh menaip tanpa 'feel' yang mendalam. Saya takut para pembaca tidak dapat merasai apa yang telah saya rasai semasa di Tanah Suci. Satu kerugian buat saya.

Sebelum Solat Subuh pagi tadi, semasa Qiamullail saya bersolat hajat. Memohon bantuan daripada Allah untuk mengilhamkan saya untuk menaip entri ini. Dan doa saya:

"Ya Allah, aku mohon kepada Mu, aku nak menulis apa yang aku rasa mengenai perasaan kecintaanku kepada Rasulullah. Satu perasaan yang Kau campakkan di hatiku semasa aku berada di Madinah. Aku dah cuba menulis beberapa kali, tetapi aku tiada ilham. Aku mohon kepada Mu, bantulah aku untuk menceritakan peristiwa yang aku lalui itu, mudah mudahan Engkau mencampakkan perasaan yang sama ke dalam hati mereka yang membaca."

Alhamdulillah, selepas Solat Subuh. Saya membuka komputer. Dan mula menaip. Allah memberi sedikit ilham kepada saya bagaimana untuk merencanakan pengalaman yang saya lalui itu.

Ianya berkaitan perasaan rindu kepada Rasulullah yang tiba tiba muncul dihati saya ketika saya di Masjid Nabawi. Semasa melakukan Qiamullail sekitar jam 3.00 pagi di 3 Saf Hadapan.

Saya mulakan penceritaan kali ini dengan menunjukkan perasaan kasih dan sayang Rasulullah kepada kita yang menjadi ummatnya. Rasulullah amat menyayangi ummatnya sehinggalah detik detik terakhir dalam hidup baginda.


Detik Detik Terakhir Pemergian Rasulullah. Luangkan masa 7 minit anda untuk menonton video klip ini. Supaya anda mendapat penghayatan kasihnya Rasulullah kepada kita. Hayatilah setiap perkataan yang dipamerkan. Semoga menimbulkan keinsafan buat kita.

Saya harap anda dapat tonton video klip di atas ini dahulu sebelum membaca bahagian seterusnya. Ini boleh membuatkan anda memahami kasihnya Rasulullah kepada ummatnya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah:

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar adanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik daripada berlalu.

Matahari kian tinggi, pintu rumah Rasulullah masih tertutup.

Di dalam rumah, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.

Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin , kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku", "Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangisan mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir
Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, Ummatii, Ummatiii"

Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Seorang Kekasih Allah yang membawa Islam sehingga kepada kita hari ini. Seorang insan yang sentiasa mencintai dan mengasihi Ummatnya sehinggalah baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Persoalannya kini, mampukah kita mencintai Rasulullah sepertimana cinta dan kasihnya Rasulullah kepada kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Setiap malam, selepas bersolat dan berdoa di Raudhah biasanya saya keluar dengan menziarahi Makam Rasulullah sebelum masuk semula ke dalam masjid untuk menuju ke Saf Hadapan ataupun ke 'wing' kanan masjid.

Pagi itu. Saya memilih untuk berada di bahagian hadapan masjid. Berdekatan dengan Makam Rasulullah. Secara tiba tiba perasaan rindu dan kasih kepada Rasulullah muncul dilubuk hati saya. Tidak pernah saya mengalami perasaan sebegitu.
Ia lain daripada yang lain.

Saya teringat kembali detik detik terakhir hidup Rasulullah yang begitu rindu dan kasih kepada Ummatnya.
Kita sebagai ummatnya disuruh selalui merindui Baginda dengan selalu berselawat kepadanya.

Saya teringat satu hadis yang bermaksud,
"Tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi Allah dan Rasul melebihi daripada yang lain"

Perasaan rindu ini bertambah bila terkenang Makam Rasulullah yang betul betul berada hampir di belakang saya. Hati sebak, rindu, sayu mengenangkan perjuangan yang telah Rasulullah lakukan semata mata hendak menyebar Islam ke seluruh dunia.


Hebat Rasulullah.

Lantas, saya mengambil handphone saya dari poket. Dan mula mendengar lagu nasyid daripada kumpulan Raihan,
"Alangkah Indahnya Hidup Ini".

Alangkah Indahnya Hidup Ini. Raihan.

Saya mendengar nasyid ini sebanyak empat kali. Saya menutup mata. Cuba untuk menghayati setiap bait perkataan dalam lirik lagu itu. Air mata saya mula mengalir. Mengalir yang tidak dapat ditahan tahan.

Suatu perasaan kecintaan yang begitu mendalam. Tidak pernah perasaan sebegini hadir dalam diri saya.
Terasa rindu yang amat mendalam kepada Rasulullah.

Suara Nazri dalam nasyid ini meruntun jiwa saya. Begitu lunak. Dan setiap lirik yang dinyanyikan 'menikam' jiwa saya. Saya sebak. Air mata tidak tertahan lagi menghayati lirik lirik lagu ini.

"Alangkah indahnya hidup ini, andai dapat ku tatap wajah mu, kan pasti mengalir air mataku, kerna pancaran ketenanganmu."

"Alangkah indahnya hidup ini, andai dapat kukucup tanganmu, moga mengalir keberkatan dalam diriku, untuk mengikut jejak langkahmu"

Lirik ini cukup untuk membuatkan saya betul betul teringin untuk melihat wajah Rasulullah. Betul betul teringin untuk mengucup tangan Rasulullah. Mudah-mudahan akan mengalirlah keberkatan yang ada pada diri Rasulullah dalam diri saya. Hati saya berazam untuk mengikut sunnah-sunnah Rasulullah yang baginda tinggalkan.


"Ya Rasululah Ya Habiballah, tak pernah ku tatap wajahmu, Ya Rasululah Ya Habiballah, kami rindu padamu"


Apalagi yang nak saya katakan. Hati saya meruntun, teringinnya dihati nak menatap wajah Rasulullah. Rindunya kepada Rasulullah.


"Kutahu cintamu kepada umat, Ummati Umamti, ku tahu bimbangnya kau tentang kami, syafaatkan kami"


Jika kita lihat semasa akhir hayat baginda, siapa yang baginda tanya. Siapa yang baginda risaukan. Siapa yang baginda bimbangkan. Tak lain tak bukan. Kitalah, umat Nabi Muhammad.


Dalam lubuk hati saya berdoa
, "Ya Allah, berilah aku peluang untuk memperoleh syafaat nabi ku, Nabi Muhammad S.A.W ".

Berdoa dengan penuh pengharapan kerana siapa yang mendapat syafaat dari Nabi Muhammad, pasti akan dimasukkan ke dalam syurga. Semoga saya salah seorang daripada mereka yang terpilih.


Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya merasai rindu kepada Rasulullah melebihi daripada pagi itu. Ia perasaan yang istimewa buat saya.


Saya menoleh ke belakang, melihat Makam Rasulullah yang begitu hampir dengan saya. Terasa seolah olah Rasulullah ada bersama saya. Walaupun hakikatnya hanya jasad baginda yang ada disitu. Syukur perasaan itu Allah berikan kepada saya.

Air mata keinsafan mengalir di waktu ini. Saya ketika ini berada di saf hadapan masjid.

20 minit berlalu. Saya berasa puas dapat menangis di situ. Baru saya tersedar ramai orang berada disekeliling saya.

Sebentar tadi, saya rasa saya bagai keseorangan. Seolah olah, tiada orang lain bersama saya. Mereka disekeliling hanyalah bayang bayang. Terasa di situ hanya saya dengan Allah. Merintih kepada Allah. Menyatakan kerinduan saya kepada Rasulullah.


Saya berharap, di akhirat kelak kita semua memperoleh syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W. Mudah mudahan, dengan syafaat itu kita akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab.

Marilah kita semua perbanyakkan selawat kepada baginda. Marilah kita semua mengikut segala sunnah dan akhlak baginda.

Sesungguhnya, orang yang paling sama akhlaknya dengan akhlak Rasulullah adalah orang yang paling hampir dengan baginda pada hari akhirat kelak. Semoga kitalah 'orang' itu.


Ayuh, marilah kita berakhlak sebagaimana akhlak Rasulullah agar luahan hati kerinduan kita kepada baginda tidak hanya dimulut sahaja.


Ya Allah... Layakkah kami untuk bertemu kekasih Mu.....


"Cintailah Rasulullah kerana Rasulullah amat mencintai kita"


Sebarkanlah kepada sahabat-sahabat muslim yang lain agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin....

3 ulasan:

  1. Assalam,

    Begitu menyetuh hati dengan berlatarkan music sentimental tentang kisah akhir hayat Nabi s.a.w. Air mata mengalir.

    Disambung lagi dengan video lagu Raihan, semakin deras air mata mengalir kerana "ya Rasullullah, kami ingin menatap wajah mu."

    YA Allah, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syufaat Nabi kami Nabi Muhammad s.a.w dan dapat minum air kolam Nabi kami al Kauthar.

    Semuga tuan haji dan keluarga menjalani hidup yang diberkati Allah.

    Jazakaullahukhairan kathira'

    AJ

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam.

    AJ, kalaulah AJ dapat menghayati apa yang saya ceritakan dengan hanya membaca.

    Bayangkan perasaan saya semasa menghadapi saat indah itu. Allah betul betul beri perasaan kecintaan itu pada waktu itu. Dan ia masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini.

    Cuma, saya tak dapat nak gambarkan perasaan itu dalam bentuk penulisan.

    Tapi, di hati ini. Hanya Allah yang tahu.

    Terima kasihlah AJ kerana sentiasa mendoakan saya sekeluarga dalam setiap entri saya.Tetapi hakikatnya, doa itu untuk AJ jua.

    Wassalam

    BalasPadam
  3. Assalam,

    Apa yang dikongsikan di blog ini sudah mencukupi untuk disyukuri.

    Saya pernah menunaikan haji dan kerinduan itu tak pernah hilang malah keinginan untuk kesana tak pernah pudar.

    Semuga rasa kecintaan itu akan kekal hingga akhir hayat buat tuan haji dan keluarga dan kita semua.

    Jazakaullah

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top