Assalamualaikum,

Sekitar jam 12.45 tengah hari, kami tiba di Hotel Mubarak Madinah. Alhamdulillah, Masjid Nabawi berada dalam pandangan saya. Yang mendukacitakan saya, kami terlepas solat Zuhur berjemaah. Semasa kami sampai, jemaah di masjid sedang bersolat. Dan kalau saya berlari sekali pun ke masjid, saya tidak akan sempat untuk berjemaah dengan imam. Saya kecewa tapi redha.

Sedikit kekecewaan terubat. Jarak masjid dan hotel dekat, dan pastinya mudah bagi saya untuk berulang alik ke masjid nanti. Insya Allah.

Selepas menghantar beg ke dalam bilik, kami sekeluarga bergegas ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur di sana. Saya dan bapa mertua berjemaah bersama dan kemudian kami terus beriktikaf di dalam masjid sementara waktu Asar.

Teringat pesan Prof Kamil, apabila hendak melakukan ibadah, lakukan yang terbaik. Berada di saf hadapan adalah lebih baik. Secara matematiknya, solat di saf pertama lebih baik dari solat di saf ke lima, solat di saf ke lima lebih baik dari solat di saf ke 20. Begitulah seterusnya. Pokoknya, berusaha untuk berada di saf hadapan. Dan cuba untuk buat yang 'terbaik'. Kata kuncinya, 'TERBAIK'.

Saya mengajak bapa mertua saya menuju saf terkehadapan yang kami mampu. Walaupun masih ada lagi satu jam untuk solat Asar, saf 20-30 pun sudah hampir penuh dan padat. Subhanallah. Ramainya orang. Saya memberi cadangan kepada bapa mertua saya untuk bersolat Asar disitu sahaja.

Tetapi, Allah memahami hati saya yang mahu melakukan yang terbaik. Sekitar jam 3.00 petang, kawasan Raudhah mula dibuka untuk lelaki. Kawasan Raudhah ditutup selepas Solat Zuhur sehingga pukul 2.30 petang untuk wanita. 2.30 petang -3.00 petang masa untuk membersihkan kawasan Raudhah.

5 minit sebelum di buka, saya lihat orang lelaki sudah ramai menyerbu ke kawasan pintu pemisah untuk masuk ke Raudhah. Saya mengajak bapa saya untuk pergi ke pintu itu sekali. Saya memberitahu kali ini, kita terpaksa berlari ke arah Raudhah. Orang ramai penuh, tidak sabar lagi untuk berlari ke Raudah.

Bapa mertua saya baru pertama kali ke sana. Jadi, dia kurang arif akan kedudukan Raudhah. Saya hanya boleh memberi panduan kepada dia.

1. Apabila pintu dibuka, terus berlari. Dan jangan duduk selagi tak nampak orang ramai duduk.
2. Raudhah terletak bersebelahan Makam Rasulullah sehingga ke Mimbar. Saya menujuk ke arah itu.
3. Karpet Raudah berwarna hijau muda keputihan. Dan bukan Raudhah, karpetnya berwarna merah.
4. Di Raudhah, pasti berhimpit, itu adalah fitrah dikawasan itu.
5. Dan apabila berada di kawasan itu, perbanyakkan doa kerana doa di situ mustajab.

Semua orang menanti pintu dibuka.

"Ya Allah, berikan aku ruang untuk bersolat Asar di Raudhah". Saya berdoa di dalam hati. Dan ditakdirkan, Allah nak bagi rezeki kepada saya. Dalam banyak banyak pintu yang boleh dibuka, pintu dihadapan saya yang mula mula dibuka.

Saya terus berlari. Selaju yang mungkin dalam jarak sekitar 50 meter untuk sampai ke Raudhah. Alhamdulillah. Allah memilih saya untuk bersolat di Raudhah. Terus saya sujud syukur. Dan kemudiannya melakukan solat solat sunat sementara menunggu waktu Asar.

Saya tercari cari bapa mertua saya. Tidak kelihatan dikawasan sekitar saya. Semoga Allah memberi tempat yang terbaik untuk dia bersolat. Saya tidak gusar, kerana kami sudah berjanji untuk berjumpa kembali di suatu tempat selepas solat Asar.

Selepas solat sunat, saya terus berdoa. Berdoa dan terus berdoa. Saya tidak menghiraukan keadaan persekitaran. Kerana, kawasan ini terlalu padat dan penuh. Dalam kekhusyukan berdoa, air mata mengalir kerana terharu. Seawal 'minit pertama' lagi, Allah dah izinkan saya bersolat dan berdoa di Raudhah. Subhanallah.

Orang masih cuba mencari ruang di kawasan Raudah walaupun kawasan ini sudah penuh. Semua ingin masuk ke dalam 'syurga' dunia yang telah dijanjikan Allah.

Ketika saya datang semasa umrah dahulu pun, tidak mudah untuk masuk ke Raudhah. Walaupun orang tidak seramai seperti musim haji ini.

Azan Asar berkumandang. Saya terus bersolat sunat dan kemudiannya kami bersolat Asar berjemaah. Waktu solat Asar, memang padat. Padat sepadat-padatnya. Orang memang ramai. Tapi, biarlah saya salah seorang daripada mereka yang ramai itu.

Selepas solat Asar, saya berjumpa kembali dengan bapa mertua saya ditempat yang dijanjikan.

Dia menceritakan dia tak sempat masuk ke kawasan Raudhah. Semasa dia sampai, kawasan itu sudah penuh. Dan dia tersilap duduk. Dia duduk di karpet merah, satu saf di belakang kawasan Raudhah. Tapi, sekarang dia sudah tahu di mana Raudhah. Mudah untuk dia masuk lagi di lain kali.

Alhamdulillah. Bagi saya, dapat bersolat fardhu di kawasan Raudhah pada hari pertama dan solat fardhu yang pertama, satu pencapaian yang baik. Perlu diteruskan lagi.

Pengalaman di hari pertama ini, banyak membantu saya untuk dapat masuk ke kawasan Raudhah pada hari hari berikutnya. Kerana saya dapat beberapa tips penting hasil pemerhatian saya yang tiada di mana mana buku:

1) Masa musim haji, orang ramai dan semua orang berebut untuk masuk ke kawasan Raudhah.
2) Saya tahu waktu bila pintu ini akan dibuka. Dan yang lebih penting, saya tahu pintu mana yang lebih awal dibuka.

Alhamdulillah. Setakat ini, Allah mempermudahkan saya. Segala hajat saya sejak di Malaysia dipermudahkan Allah. Syukur kepada Allah. Sujud syukur buatnya. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Berkuasa...

2 comments:

  1. assalam,

    Maha suci Allah! Syukur atas nikmat Allah berikan.
    Pertolongan Allah dimana mana selagi kita tak putus berdoa. Raudhah, tempat yang dirindui. Hanya Allah yang mengetahui.

    Jazakaullah

    ReplyDelete
  2. Salam Aleykum?

    Ramai manusia apabila berada di masjid Nabawi mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berebut solah di Raudhan kerna ganjanran seolah2x berada di taman syurga diberi....tetapi harus diingat kg sendiri pun ada ganjaran yg sama Allah berikan kepada hambanya iaitu majlis2x ILMU yg ini jarang sekali manusia merebutkannya.

    “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu. (Hadis riwayat at-Tirmizi).

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top