Assalamualaikum,

Semalam, saya dah pun berkongsi sedikit mengenai persediaan mencari ilmu untuk menunaikan haji. Sebagai tambahan, saya rasa adalah amat penting untuk kita berbincang dengan sahabat sahabat kita yang telah pun pergi menunaikan umrah atau haji untuk mendapat sedikit pengalaman semasa mereka berada di sana. Ini penting. Kenapa? Kerana bacaan buku dan kursus banyak menceritakan mengenai teori semata mata, tetapi cerita daripada kawan adalah realiti. Tetapi, berhati hatilah, berjumpalah dengan kawan kawan yang mampu memberi motivasi kepada untuk meningkatkan amal ibadah semasa kita berada di sana. Jangan pulak kita pergi berjumpa dengan sahabat yang menakut-nakutkan kita untuk 'kuat' beribadah di sana.

Insya Allah, hari ini saya nak berkongsi dengan para pembaca mengenai Daftar Haji. Dalam melakukan ibadah haji, ini persediaan yang paling penting. Walaupun semangat anda membara untuk menunaikan haji, tetapi anda tidak membuat PENDAFTARAN HAJI di Tabung Haji. Usah bermimpi kita akan dijemput untuk menunaikan haji.

Ramai dikalangan mereka yang berumur yang masih belum menunaikan haji, apabila ditanya "Kenapa masih belum menunaikan haji?" Dan mereka menjawab "Belum sampai seru". Nauzubillah. Bagi saya, kerja haji adalah sesuatu yang kita perlu usahakan. Usaha dari pelbagai sudut. Dan langkah pertama kepada usaha itu adalah dengan membuat Pendaftaran Haji.

Terus terang saya katakan, sebelum saya pergi menunaikan Umrah pada tahun 2010, tak pernah terlintas dihati saya dan isteri untuk mendaftar haji. Kerana, memang tak pernah terlintas di hati kami pun untuk pergi menunaikan haji di usia muda ini. Dan saya agak terkejut, apabila saya mendaftar haji pada tahun 2010, saya hanya akan dipangil untuk menunaikan haji pada tahun 2032. Lagi 22 tahun baru saya boleh menunaikan haji. Masya Allah. Terkedu saya seketika. Masa tu baru saya sedar, rupa rupanya, dah ramai rakyat Malaysia yang sudahpun mendaftar haji tapi masih belum dapat pergi ke sana dan masih menunggu giliran.

Saya mendaftar haji pun, tanpa niat pergi menunaikan haji dalam masa terdekat. Saya mendaftar pun disebabkan nasihat seorang sahabat saya, Dr Nazri ketika kami menunaikan Umrah pada tahun 2010. Beliau menasihatkan saya untuk mendaftar haji walaupun belum bercita cita untuk menunaikan haji. Dan terbukti, nasihat dia memang bermanfaat. Mana mungkin saya boleh menunaikan haji kalau saya tak mendaftar haji di Tabung Haji.

Sekarang ni, saya merayu kepada para pembaca. Tolonglah... Tolonglah diri anda sendiri. Pergilah mendaftar untuk menunaikan haji di Tabung Haji. Meskipun anda langsung tak berniat nak menunaikan haji dalam masa terdekat ni. Kerana, sekiranya anda mendaftar pada tahun 2011, sekarang ni. Anda hanya akan dijadualkan untuk pergi menunaikan haji pada tahun 2042. Dan angka ini akan semakin meningkat sekiranya anda lewat mendaftar haji. Tolonglah.. Hal ini TERAMAT PENTING. Dan apabila anda mendaftar, tolonglah beri kesedaran kepada ahli keluarga anda sekali. Ajak lah mereka sekali untuk mendaftar. Daftarkan nama anak anak anda sekali. Untuk setiap nama yang didaftarkan, anda hanya perlu untuk membuat simpanan RM1300. Duit itu akan ada dalam akaun Tabung Haji anda. Bukan akaun orang lain.

Saya katakan ini kerana, ada jemaah haji yang pergi bersama saya pada usia 60-an berkata yang dia tak tahu pasal pendaftaran haji. Dalam akaun tabung haji dia ada puluhan ribu, tetapi dia tak buat pendaftaran haji. Disebabkan itu, dia pun tak boleh pergi menunaikan haji dengan muassasah. Beberapa tahun lalu, baru dia daftar haji dan tahun ini dia terpaksa pergi dengan Pakej Swasta kerana dah tak sanggup tunggu giliran yang diberikan oleh pihak Tabung Haji.

Semasa saya berada disana, ramai pakcik pakcik yang pergi haji pada lanjut usia menyuruh saya menasihatkan kawan kawan saya untuk membuat pendaftaran haji dan pergi pada usia muda. Dan semua ini hanya boleh berlaku sekiranya anda membuat pendaftaran haji. Daftarlah nama anda, isteri, anak yang berumur > 15 tahun. Maklumkan kepada adik adik kita, saudara mara kita agar kita tidak melakukan kesilapan yang sudah dilakukan oleh orang lain.

Seperkara lagi, ada yang berkata apa susah susah nak daftar dengan Tabung Haji. Esok kalau kita nak pergi, kita daftar saja dengan Pakej Swasta. Terus dapat pergi. Saya nak kita semua faham, walaupun kita nak pergi dengan Pakej Swasta, kita masih kena daftar haji dengan Tabung Haji. Tiada cara pergi haji kalau tidak membuat pendaftaran haji.

Dan kalau anda rasa bila daftar dengan Pakej Swasta terus dapat pergi, anda silap. Berdasarkan pengalaman pada tahun ini, kuota untuk pakej swasta telah dikurangkan oleh pihak Tabung Haji. kesannya, ramai yang berdaftar dengan Pakej Swasta sekalipun masih tidak dapat pergi menunaikan haji pada tahun ni. Sebagai contoh, orang yang berdaftar dengan syarikat swasta yang saya ikut serta pada tahun ini adalah seramai 1200 orang. Tetapi, kuota yang diberikan kepada syarikat ini adalah 800 orang sahaja. Ini bermakna 400 orang yang berdaftar dengan Pakej Swasta masih tidak dapat pergi. Dan hal ini berlaku kepada semua syarikat-syarikat swasta yang lain. Jadi, janganlah sesekali kita mendabik dada dan berkata, "Alah, aku esok kalau nak pergi haji, mesti pergi dengan pakej, daftar saja terus dapat pergi". Saya takut nanti kita termasuk didalam golongan orang yang rugi. Hal ini berlaku kepada sahabat baik saya, beliau ingin pergi menunaikan haji bersama keluarganya, tetapi tidak mendapat jemputan kerana kuota telah penuh walaupun sudah mendaftar dengan pakej swasta.

Sekiranya kita telah mendaftar awal, dan pihak Tabung Haji menghantar surat ke rumah kita untuk membuat surat tawaran menunaikan haji. Janganlah sesekali kita mengabaikan surat itu. Kita WAJIB menjawab sama ada kita menerima tawaran itu atau menangguhkan tawaran itu ke tahun berikutnya. Sekiranya anda tidak menjawab, nama anda akan terus dikeluarkan dari senarai menunggu dan anda perlu mendaftar semula dan menunggu sekali lagi giliran. Jadi, janganlah kita sesekali mengambil mudah dengan urusan Tabung Haji.

Ada jemaah yang bersama saya menceritakan, mereka telah berpindah rumah dan dia serta isteri telah menukar alamat mereka dia Tabung Haji. Dan anak anak mereka tidak membuat penukaran alamat di Tabung Haji. Kesannya, apabila Tabung Haji menghantar surat tawaran dan tidak mendapat jawapan anak anak mereka, nama mereka terus dikeluarkan dari senarai menunggu. Masya Allah. Terpaksalah anak anak mereka mendaftar semula dan tidak dapat pergi bersama mereka. Jadi, sekiranya anda berpindah rumah. Pastikan alamat di Tabung Haji ditukar kepada alamat terkini.

Percayalah, lakukan sesuatu hari ini. Pergilah membuat pendaftaran haji segera. Kalau anda tak daftar hari ini, suatu hari nanti pasti anda akan kena daftar juga. Dan anda pasti akan menyesal sekiranya anda lewat mendaftar. Walau apa pun, kita harus sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakkal kerana yang memilih kita untuk pergi menunaikan haji ke Tanah Suci adalah Allah juga.

Saya berharap, nasihat saya yang sedikit pada hari ini dapat memberi kesedaran kepada kita betapa pentingnya untuk kita mengorak langkah hari ini membuat pendaftaran haji. Maklumkan kepada ahli keluarga kita, maklumkan kepada sahabat sahabat kita. Semoga, usaha kita yang kecil ini mempunyai nilai yang besar disisi Allah.

Insya Allah, pada esok hari saya akan menceritakan mengenai pengalaman saya dan isteri mengumpul wang untuk pergi menunaikan haji, dan halangan halangan yang terpaksa kami hadapi untuk menunaikan haji. Dan Alhamdulillah, sebesar mana pun halangan yang kami telah hadapi, Allah telah memudahkan segala urusan kami. Alhamdulillah.

Wassalam.

2 comments:

  1. ASSalam,

    Betul apa yang tuan sarankan mengenai pendaftaran.

    Semuga semua pembaca warga blog ini mendapat menafaat dari pengongsian ini.

    Jazzakaullahufikum

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt,

    Semoga kalian dirahmati Allah.
    Sangat betul apa yang disarankan tentang pendaftaran haji. Ramai yang tak tahu. Ada yang kata, tunggu duit pencenlah baru daftar, kerana mereka ingat nak daftar perlu duit cukup banyak.

    Alhamdulillah, kami suami isteri mendaftar seawal perkahwinan malah saya menggunakan duit mas kahwin untuk tujuan itu kerana hanya itu yang saya ada ketika itu.

    Kami juga baru selesai haji musim 1432H pada usia saya hampir 34 tahun dan suami 38 tahun. Kembali ke tanah air seminggu awal dari kalian berdua.

    Jejak 45 hari yang paling indah sepanjang hayat ni juga sangat teringin nak dokumenkan seperti ini supaya anak2 boleh baca, tapi asyik teragak2 ....

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top