Assalamualaikum,

Suatu hari, saya sedang membuat ulangan ayat ayat yang sedang saya hafal di dalam Masjidil Haram. Satu demi satu surah saya ulang bagi memastikan apa yang sudah dihafal tidak hilang dari ingatan.

Tiba tiba, seorang jemaah disebelah menegur saya.

Haji Ismail dari Mesir. Pertemuan ringkas dengannya banyak memberi kesan kepada saya.

"Min aina anta?" (Kamu berasal dari mana)

"Malayzia. Wa anta?" (Malaysia. Kamu dari mana?)

"Ana min Mesir. Anta arifu takallamu fillughatul Arabiah?" (Saya dari Mesir. Kamu boleh bercakap dalam Bahasa Arab?)

"La a'rifu. Takallamu lughatul Arabiah walakin qalilan faqad" (Saya tak pandai. Tapi boleh la cakap Arab sikit sikit)

Dia mendengar saya membaca Al Quran sebentar tadi. Dia mengatakan bacaan saya baik. Cuma ada satu dua tempat yang bacaan saya tersalah baris. Ada satu tempat yang bacaannya di bawah saya baca dihujung, ada satu lagi tempat bacaannya atas dan saya baca di bawah.

Wah.... Hebat dia ni. Rupa rupanya, semasa saya menghafal tadi, dia sedang mengikut apa yang saya bacakan. Siap boleh tahu lagi kesalahan kesalahan yang saya lakukan.

Satu kelebihan berada di Masjidil Haram adalah saya dapat merasai hubungan keakraban sesama Muslim. Di sana, kita tidak malu untuk bertegur sapa dengan orang sebelah. Padahal kita tak boleh bercakap pun.

Mengapa?

Allah campakkan perasaan kita sesama Muslim sama sahaja. Yang membezakan kita antara satu sama lain hanyalah Takwa. Sebab itulah kita tidak malu untuk menegur orang di sebelah kita dan kita juga tidak malu untuk menegur mereka.

Selepas menunjukkan kesalahan bacaan saya, kami bersembang.

Dia menceritakan yang dia berasal dari Mesir. Dia dan rakan rakannya datang menunaikan haji dalam tempoh seminggu sahaja. Iaitu datang 2-3 hari sebelum hari Wukuf dan pulang sejurus habis selesai menunaikan haji.

Wah. Cepatnya.

Kemudian saya bertanya lebih banyak mengenai perjalanan haji beliau dan rakan rakannya.

"Aina funduq tuka?" (Di mana hotel kamu?)

"Huna. Hunaka. Kullu funduqi" (Di sini, di sana. Semua tempat hotel saya) Sambil beliau menunjukkan keseluruhan Masjidil Haram sebagai 'hotel' beliau.

Masya Allah. Rupa rupanya, dia pergi menunaikan haji ala ala 'koboi'. Tidur di mana boleh tidur dan makan apa yang boleh di makan.

Saya bersimpati.

Lantas saya mengajak beliau untuk makan tengah hari di restauran di luar masjid. Saya mahu belanja dia makan. Saya merancang untuk belanja dia makan nasi beriyani ataupun ayam goreng dan kentang. Dia bersetuju dan kami mula bergerak.

Namun. Baru selangkah saya bergerak, saya baru sedar. Saya tidak membawa sebarang duit hari itu.

"Masya Allah ya Ismail. Saya terlupa bawa duit".

Saya malu. Dan memohon maaf daripada beliau. Saya mengatakan yang saya tertinggal duit di hotel.

"Kalau macam tu, mari saya yang belanja makan," Ismail mengajak saya. Saya cuba menolak kerana sewajarnya saya yang belanja dia makan. Bukan sebaliknya.

"Ayuh, kamu makan apa yang saya makan. Cuba rasa apa yang kami selalu makan".

Bagi meraikan ajakan dia yang serius. Saya bersetuju.

Keluar dari pintu masjid. Beliau mempertemukan saya dengan 3 orang lagi sahabatnya juga dari Mesir.

Dia terus memperkenalkan saya kepada kawan kawannya dan saya ditemuramah macam seorang VIP. Kami bersembang dalam Bahasa Arab dan dicampur sedikit dalam Bahasa Inggeris.

Ismail menceritakan kepada mereka saya sedang menghafal Juzuk Amma. Semua mereka teruja dengan cita cita saya. Mereka menyokong penuh hasrat saya ini.

Ismail berlari untuk pergi membeli makanan kepada kami semua. Saya terbayang yang dia akan membeli Nasi Beriyani atau sekurang kurangnya ayam goreng dan kentang kepada tetamu 'VIP' nya ini.

Sementara menunggu Ismail datang, Abdullah salah seorang sahabat Ismail meminta saya membaca surah surah yang sudah saya hafal. Beliau juga sudah pun menghafal Al Quran. Sama seperti Ismail.

Pada peringkat mulanya, Abdullah mendengar dengan khusyuk apa yang saya bacakan. Tetapi selepas itu. Beliau tidak lagi mendengar dan mula bersembang dengan kawan kawannya yang lain. Saya meneruskan bacaan apa yang saya hafal.

Sedang saya baca dan sedang Abdullah rancak bersembang.

Tiba tiba!!

Dia memperbetulkan bacaan saya. Bacaan saya tersalah rupanya.

Subhanallah. Saya tak boleh bayangkan betapa kuat hafalannya. Dia mampu menegur bacaan saya dalam keadaan dia tidak memberi perhatian kepada bacaan saya. Dia masih mampu menegur walaupun dia sedang bersembang dengan kawan kawannya.

Hebat sungguh Abdullah. Sekarang saya baru tahu. Rupa rupanya orang Mesir memang ramai yang menghafal Al Quran. Dan mereka menghafal sejak dari kecil lagi.

Subhanallah.

Tidak lama selepas itu. Ismail kembali bersama makanan yang dibelinya.

Saya sangkakan yang dia akan membeli Nasi Beriyani. Rupa rupanya yang dibeli hanya roti berserta kacang merah dan sedikit tuna untuk dibuat cicah. Dan tiada air yang dibeli.

Kacang dal merah, antara menu utama kami hari itu.

Ini sahaja yang kami makan tengah hari itu. Roti, kacang merah dan sedikit tuna.

Saya jangkakan kosnya kurang dari SR10 untuk dimakan oleh kami berlima. Nampaknya, mereka ini memang betul betul berjimat dalam perbelanjaan mereka.

Kami hanya makan di atas mini tar. Di luar masjid. Berhampiran Babul Fatah. Beralaskan selipar masing masing.

Kami makan di atas lantai. Luar masjid berhampiran pintu Babul Fatah.

Dan makanan kami dihidangkan di atas plastik bungkusan makanan tadi. Ia amat ringkas. Tiada pinggan. Tiada tempat alas.

Dan tiada tempat lebihan untuk meletak roti. Teka di mana mereka letakkan roti itu?

Ada roti lebih. Mereka hanya letak roti itu diatas kaki mereka. Lepas tu, mereka mempelawa saya untuk makan roti itu. Masya Allah. Saya terpaksa menolak dengan baik. Saya kata saya sudah kenyang.

Sedang kami makan, kami melihat ada seorang warga Pakistan yang duduk berdekatan memerhatikan kami makan. Lantas mereka mengajak jemaah haji Pakistan itu untuk turut serta bersama kami. Tanpa berkata apa, jemaah haji itu bersetuju.

Dari kiri, Ismail, Abdullah dan sahabat mereka. Di sebelah kanan itu adalah jemaah dari Pakistan.

Bayangkan, kami semua dari seluruh pelusuk dunia ditemukan di Masjidil Haram pada waktu itu. Boleh duduk makan bersama walaupun berlainan bangsa dan bahasa. Hanya agama Islam yang menyatukan kami semua pada waktu itu.

Kami dapat makan dengan gembira dan bagi saya, ia ringkas. Tetapi mengenyangkan. Itulah barakah apabila kita makan secara berjemaah. Alhamdulillah.

Melihat mereka begitu gembira dengan rezeki yang mereka makan pada tengah hari itu. Saya terasa insaf.

Sebagai jemaah haji Malaysia, kita semua selalu 'dimanjakan' dengan pelbagai 'kemewahan'. Jika ada sesuatu kekurangan, habis pihak Tabung Haji dan pihak Pakej yang membawa kita 'dihentam' itu dan ini.

Pertemuan saya dengan Ismail sekitar satu jam banyak memberi pengajaran dalam hidup saya. Belajar erti bersyukur kepada Allah. Sebenarnya, nikmat yang Allah campakkan kepada saya terlalu banyak. Namun, 'sedikit' sangat saya mensyukurinya.

Saya selalu memikir apa yang saya tidak dapat. Tetapi saya kurang berfikir mengenai apa yang Allah sudah bagi kepada saya. Saya perlu lebih bersyukur.

Bagaimana?

Dengan sentiasa mendekatkan diri saya kepadaNya. Insya Allah. Allah akan sentiasa tambahkan rezeki buat saya.

Alhamdulillah. Allah temukan saya dengan Haji Ismail untuk terus 'mendidik' dan 'mengajar' saya. Terima kasih buat Haji Ismail yang belanja saya makan tengah hari itu. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup dia.

Wassalam.

3 ulasan:

  1. Assalam,

    Masya Allah. Banayk nya nikmat Allah kepada kita semua. Semuga kita sentiasa bersyukur kepada NYA.

    Catatan kali ini mengajar saya juga untuk bersyukur dengan apa yang ada.

    Semuga Allah merahmati dan meredhai kita semua.

    Jazakaullah

    AJ

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah....

    BalasPadam
  3. kelebihan pada org arab mereka mempunyai ingatan yg kuat. mungkin faktor pemakanan mereka makan roti.

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top