Assalamualaikum,

Hari ini, saya ke CIMB Bank Parit Buntar.

Tujuannya, saya nak buat pengiriman wang untuk  pembantu rumah saya ke Indonesia menggunakan Western Union.

Saya jarang ke CIMB Bank, ini kerana saya hanya menggunakan Maybank sebagai bank saya.

Keadaan terlalu sesak. Orang ramai sekarang ini mula membanjiri bank untuk membuat penukaran wang dan juga semua urusan urusan yang perlu.

Pendek kata, setiap 20 saat, akan ada seorang pelanggan baru yang masuk ke dalam bank.

Giliran Saya

Saya mengambil nombor giliran. Tertera nombor 2019. Nombor sekarang adalah 2012. Rasanya, tak lah terlalu lama saya perlu tunggu.

Namun, kaunter saya adalah untuk lain lain urusan. Selain daripada urusan melibatkan buku bank.

Maka, setiap satu nombor mengambil masa sekitar 10 minit untuk selesai.

Masya Allah. Lama sungguh untuk satu satu urusan pelanggan diselesaikan.

Menunggu

Saya menunggu di Kaunter Khidmat Pelanggan berhampiran pintu. Di kaunter ini jugalah para pelanggan akan mengambil nombor giliran.

Di situ, ada seorang petugas yang kerjanya 'membantu' pelanggan. Setiap pelanggan yang masuk ke dalam bank akan ke situ untuk mengambil nombor giliran.

Saya memerhatikan petugas bank ini.

Saya kagum. Subhanallah. Saya kagum dengan layanan yang dia berikan kepada pelanggan.

Saya boleh berikan First Class Service. Kalau  boleh diberi bintang, saya mahu berikan 5 bintang untuk beliau.

Beliau melayan pelanggan dengan penuh senyuman. Dengan tutur kata yang begitu lembut. Dan beliau bercakap dengan menggunakan bahasa yang penuh sopan.

Bukan seorang dua yang beliau layan begitu, tetapi semua pelanggan yang datang ke kaunter itu dilayan dengan penuh kasih sayang. Saya mengatakan begitu kerana hati saya tersentuh dengan keramahan beliau melayan setiap pelanggan.

Saya biasa masuk ke Maybank Parit Buntar. Tetapi, saya tak pernah lihat seorang pun petugas bank yang layan pelanggan seperti mana dilakukan oleh petugas di CIMB itu.

Kata Kata Berhemah

"Ya Encik, ada apa yang saya boleh bantu?"

"Duit baru dah habis la encik, kalau encik nak. Esok pagi pukul 9.15 pagi encik datang. Minta maaf ya encik"

"Ya dik, apa ang saya boleh bantu?

Setiap pelanggan di layan dengan penuh sopan. Beliau akan cuba untuk membantu sebaik mungkin.

Misalnya, ada seorang pelanggan yang mahu membayar duit yuran Universiti Malaysia Sabah. Tetapi pelanggan itu tidak mempunyai nombor akaun.

"Adik, saya minta maaf. Saya sendiri tak ada nombor akaun UMS. Tapi, saya rasa adik boleh ke internet. Adik buka website universiti. Kemudian adik klik bahagian 'Pembayaran'. Di situ mungkin ada nombor akaun UMS. Ini sahaja yang saya boleh bantu adik"

Ada pelanggan yang lain pula ada masalah untuk menambah had pengeluaran duit melalui kad.

"Encik pergi ke cash machine, encik masukkan nombor pin. Kemudian, encik pilih lain lain perkhidmatan, kemudian disebelah kanan encik pilih tambah had pengeluaran, pilih RM5000. Kemudian encik masukkan nombor kad pengenalan, siap"

Saya kagum melihat beliau bekerja. Beliau tanpa rasa jemu terus melayan seorang demi seorang pelanggan dan menerangkan kepada pelanggan apa yang perlu dibuat oleh mereka.

Saya kagum kerana beliau melayan dengan sepenuh hati. Dengan penuh kasih sayang. Dan saya yakin, beliau ikhlas bekerja semata mata kerana Allah.

Ladang Pahala

Bagi saya, orang sebeginilah yang menjadikan tempat kerjanya sebagai ladang pahala buatnya. Orang sebegini akan bekerja dengan ikhlas. Semata mata kerana Allah. Mereka mahu berikan yang terbaik untuk pelanggan mereka.

Saya gembira bagi pihaknya. Tak dapat saya bayangkan betapa besarnya pahala yang beliau kutip setiap hari di bank ini.

Ia sudah menjadi tempat beliau 'mengutip' pahala secara harian.

Syukur masih ada orang begini.

Saya Bersembang Dengannya

Ada satu wakttu, saya lihat beliau free. Tiada pelanggan bersamanya. Saya menuju ke tempatnya dan terus saya berkata.

"Bang, saya seronok tengok cara abang bekerja. Saya dapat rasakan keikhlasan abang melayan pelanggan bank ini. Banyak pahala abang buat kat sini"

"Dah kerja saya dik. Kenalah buat betul betul" beliau menjawab.

"Memang betul ni kerja abang. Tapi saya dapat rasakan abang memberi sepenuhnya kepada pelanggan. Cara abang cakap penuh dengan kelembutan. Dan saya rasa kagum cara abang melayan pelanggan. Saya selalu pi bank bank lain, tapi tak pernah saya jumpa orang layan pelanggan macam abang buat" saya membalas.

"Bukan apa, saya selalu terbayang ayah saya pergi ke satu satu tempat untuk urusan dia.Ayah saya tak berapa pandai untuk urusan urusan pejabat dan bank ni. Saya harap, bila saya buat baik dengan orang kat sini. Allah akan hantar orang lain untuk buat baik dengan ayah saya di tempat lain" beliau menjawab.

Pengajaran

Bila melihat apa yang beliau lakukan. Saya rasa ia sama seperti yang Prof Muhaya nasihatkan dalam Radio IKIM.

Kita perlu sentiasa berbuat baik dengan orang lain dalam apa jua keadaan. Lakukan dengan sepenuh hati apabila membantu. Buat yang terbaik. Jadikan tempat kerja kita sebagai 'tikar sejadah' kita. Jadikan ia ladang pahala kita.

Dan nasihat saya untuk diri saya dan kita semua. Setiap hari, kita akan berurusan dengan orang lain. Bantulah, cubalah yang terbaik untuk memberi yang terbaik. Insya Allah, hari ini kita bantu orang lain. Esok lusa, Allah bantu kita. Allah bantu ibu bapa kita. Allah bantu anak anak kita.

Ia merupakan sebuat putaran. Hari ini kita buat baik dengan orang, esok lusa Allah akan hantar orang lain untuk buat baik dengan kita. Hari ini kita buat jahat dengan orang, esok lusa Allah akan hantar orang lain untuk buat jahat dengan kita.

Semoga kita semua sama sama dapat hayati kisah saya hari ini. Lakukanlah apa jua yang kita lakukan semata mata kerana Allah. Insya Allah, besar ganjarannya di akhirat kelak.

Wassalam

3 comments:

  1. Assalam,

    Semuga dalam limpah rahmat Allah.

    Satu perkongsian yang menyentuh hati.

    Semuga di redhai Allah.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum... kesukaran yg kita lalui hari ni kadang2 mungkin balasan dr ALLAH sbb kita pernah melakukannya pd org lain.. dunia bagaikan roda.. apa yg kita bg itu lah yg kita akan dapat kata DR MUHAYA.. berbuat baiklah dengan semua makhluk alam.. satu cerita yg baik.. tqvm.. yusfarazi

    ReplyDelete
  3. Ikhlas dlm setiap pekerjaan.thanks for sharing:-)

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top