Assalamualaikum,

Ini adalah sambungan daripada entry sebelum ini iaitu Kisah Susu Ibu Di Dalam Al-Quran (sila Click).

Maria yakin, kita semua pernah membaca kisah Nabi Musa A.S. yang diceritakan di dalam Al-Quran. Nabi Musa A.S. telah dihanyutkan oleh ibunya di Sungai Nil untuk menyelamatkannya daripada di bunuh oleh tentera Firaun.

Tapi, sedar tak kita, sebenarnya terselit kisah pengajaran tentang KEPENTINGAN SUSU IBU di dalam kisah ini? Mari kita baca kisah Yukabid, ibu kandung kepada Nabi Musa A.S.

-------------------------------------------------------------------------------------

Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil kekuasaannya.

Suatu ketika, Yukabid mendengar perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar kandungannya tidak diketahui orang.

Sehinggalah tiba masanya, Yukabid pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang dilahirkannya itu adalah anak lelaki.

Walaupun berasa takut dengan perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh Firaun yang zalim dan kejam.

Yukabid berjaya merahsiakan kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.

Walau bagaimanapun, hatinya tidak pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan keselamatan Musa.

Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Nabi Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

"Dan Kami ilhamkan kepada ibunya Musa, “SUSUILAH DIA (Musa) dan apabila engkau khuatir terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah engkau takut dan jangan (pula) bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikan padamu, dan menjadikannya salah seorang rasul” – Surah Al-Qashash, Ayat 7

Dalam ayat ini, Allah memerintahkan Yukabid untuk MENYUSUKAN bayinya sehingga kenyang terlebih dahulu, sebelum dihanyutkan.

Cuba bayangkan, sanggup tak seorang ibu nak menghanyutkan anak dalam keadaan menangis ketakutan dan kelaparan?

Secara saintifiknya, hormon 'Oxytocin' atau hormon 'penenang dan kasih sayang' dirembeskan ketika menyusu. Jadi kedua-dua ibu dan anak akan merasa tenang dan gembira ketika penyusuan.

Maka, dengan hati yang tenang dan sabar tanpa tangisan si kecil, Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai sehingga sampai ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari itu, Asiyah permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil.

Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.

Maka Asiyah terus membuka peti itu dan dilihatnya da seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.

Tiba sahaja di istana, Asiyah meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun bersetuju.

Setelah mendengar tangisan kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. (Yelah, pada masa itu mana ada susu formula kan..)

Akan tetapi seorang demi seorang wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.

” Dan Kami cegah dia (Musa) menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya)  sebelum itu.” – Surah Al-Qashash, Ayat 12

Bayi itu tidak mahu disusukan oleh mereka kerana dia sudah pun merasai "the first taste of mother's milk", iaitu susu ibunya sendiri.

Sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan dan mengasuh bayi itu.

Mendengar sahaja berita daripada dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.
” Maka Kami kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati; dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya” – Surah Al-Qashash, Ayat 13

Yukabid menyambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang. Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintah-Nya.

Pengajaran daripada kisah Nabi Musa ini, marilah kita semua kembali kepada FITRAH. 
Seorang bayi pasti memerlukan SUSU IBU sebagai pelengkap kehidupannya. 

Para ibu, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menyusukan bayi kita selama 2 tahun. Yakinlah Allah akan mengurniakan ganjaran yang besar atas usaha kita ini.  

Mari kita dengar Nasyid tentang kisah Ibu Nabi Musa bernama Yukabid.



Credit to:
SaraKids
LanunSepet

Thanks for reading!

Jika anda rasa kisah ini bermanfaat untuk orang lain terutamanya ibu-ibu, sila click LIKE Button di bawah. Semoga ianya akan menjadi ilmu yang bermanfaat dan pencen kubur kita semua. Amin. 


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top