Assalamualaikum,


Seminggu selepas berjumpa dengan Abang Agus dan Kak Fazila yang meminta saya membina reban ayam mereka.

Allah 'menunjukkan' lagi kepada saya 'kuasa doa' yang dilakukan disepertiga malam yang tersisa. Allah menunjukkan kepada saya betapa besarnya fadhilat menunaikan Solat Sunat Dhuha.

Allah menghantar dua orang lagi yang ingin menceburi bidang ternakan ayam.

Seperti biasa, saya menceritakan kepada mereka mengenai apa yang telah saya lakukan sepanjang 6 tahun ini. Menceritakan pengalaman susah senang dalam industri ayam ini.

Ia hanya satu konsep perkongsian pengalaman antara saya dan mereka. Saya menceritakan tanpa sebarang niat yang lain. Ia semata mata kerana Allah.

 Mereka teruja mendengarnya.

Mereka juga ingin meminta saya membina reban ayam mereka. Seorang di Rembau Negeri Sembilan, dan seorang lagi di Besut, Terengganu.

Namun, mereka meminta sedikit masa kepada saya kerana mereka perlu 'melevelkan' tanah mereka dahulu. Insya Allah. Jika tiada aral melintang. Projek ini akan bermula dalam masa terdekat.

Saya termenung. Saya rasa seperti tidak percaya apa yang saya alami sekarang ini.

Ada orang yang berkata Allah akan murahkan rezeki orang yang balik haji.

Benarkah ia begitu?

Saya mula terfikir. Mengapa perkara perkara ini hanya datang kepada saya selepas saya balik dari menunaikan haji. Adakah ia kerana doa doa saya di Multazam. Di hadapan Kaabah. Di Arafah dan di pelbagai tempat lain lagi di sana.

Atau, Allah mendatangkan mereka kepada saya kerana saya berdoa setiap malam di sepertiga malam yang tersisa. Atau kerana saya mula mengamalkan Solat Sunat Dhuha. Atau kerana saya mengikuti nasihat nasihat Datuk Zainal yang menyuruh saya memuliakan ibu bapa dan banyakkan menderma.

Tak sampai dua bulan saya pulang menunaikan haji. Allah dah mula 'mengatur' perjalanan hidup saya yang baru.

Bila Allah menghantar orang yang mahu saya membina reban mereka, Allah juga menghantar kepada saya dua orang kontraktor yang sudi bersama saya untuk membina reban reban ayam ini.

Ia juga 'kebetulan' yang tidak dirancang.

Ini pasti memudahkan kerja kerja saya. Saya hanya perlu menjadi koordinator untuk memastikan reban ini siap dalam keadaan yang terbaik.

Saya bersyukur kepada Nya. Dan saya memperbanyakkan lagi Solat Sunat Hajat meminta pertolongan kepada Allah agar dipermudahkan segalanya.

Saya teringat kepada janji Allah dalam Surah At Talaq, Ayat 2 & 3 yang bermaksud:


"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya, Serta Allah akan memberi rezeki kepadanya  dari pintu yang tidak disangka sangka. Dan ingatlah sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan cukupkan segala keperluan baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." ( Maksud Ayat At Talaq 2 & 3)

Subhanallah.

Ia amatlah benar.

Saya mula merasai apa yang Prof Kamil dan Datuk Zainal katakan kepada saya.


Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim) 

Bila saya berdoa pada waktu ini, Allah segera memperkenankan doa doa saya.

Dan bila saya faham konsep ini, ia amat memudahkan saya untuk bangun menunaikan Solat Sunat Tahjud setiap malam secara istiqamah.

Saya tidak lagi 'berkira' waktu tidur saya dengan Allah.

Untuk mendapat sesuatu, kita perlu mengorbankan sesuatu.

Kalau sebelum ini ( Sebelum Menunaikan Haji ) saya selalu menonton bola sepak atau movie pada waktu malam dan hanya tidur pada lewat malam. Sekarang ini, semuanya saya korbankan.

Saya dah tak menonton bola sepak walaupun team favourite saya, Manchester United yang main kalau perlawanan bermula jam 10.00 malam. Saya dah tak rajin nak bangun tengok bola Champion League jam 3 pagi. Walaupun yang lawan tu Barcelona vs Real Madrid.

Apalah yang saya dapat kalau saya bangun tengok bola jam 3.00 pagi?

Ia satu kerugian yang amat besar selepas saya memahami Konsep Beribadah Di Sepertiga Malam Yang Tersisa.

Jauh lebih baik kalau saya bangun seawal jam 5 pagi untuk beribadah dan berdoa kepada Allah.

Hidup saya lebih mudah. Terasa dirinya menjadi hamba kepada Nya. Terasa Allah bersama saya dalam segala kerja kerja saya. Terasa segalanya dipermudahkan dan kalau ada masalah pun. Ia hanya kerana Allah nak uji saya untuk menjadi hamba Nya yang lebih soleh dan ia sebahagian dari proses untuk mematangkan saya.

Bila kita meminta kepada Allah disepertiga malam yang tersisa, Allah segera memperkenankannya.

Namun, kita sahaja yang masih belum mempercayai konsep ini.

Sekali kita faham konsep ini, kita akan rasa rugi untuk tidak menunaikan solat Tahjud.

Percayalah.

Saya sudah merasainya. Saya berkongsi dengan anda hari ini supaya saya mahu anda juga merasainya.

Allah itu Maha Berkuasa dan Mahu Memberi kepada saya. Cumanya, kita kena RAJIN MEMINTA.

Semoga kita semakin hampir kepada Nya.

Semoga Allah memilih kita menjadi insan yang terpilih.

Wassalam

4 comments:

  1. Assalam,

    semuga dalam keredhaan Allah di samping keluarga tersayang.

    Sesuatu yang di buat semata mata kerana Allah, mendapat yang setimpal bahkah lebih dari itu apa bila concept qiamulail di fahami dengan betul. Terima kasih kongsi dengan kita warga MFUAD.

    semuga kita semua istiqamah melakukan amal ibadat kita kepada Allah.

    jazakaullah

    ReplyDelete
  2. subhanallah ..benar2 menambah motivasi ku untuk istiqamah bangun malam...

    ReplyDelete
  3. Subhanallah. Semoga Firdaus & Maria terus dilimpahi rahmat & berkah Ilahi. Terima kasih atas tulisan yg benar2 memberi kesan di hati utk dekatkan diri pada Allah.

    Kak HH

    ReplyDelete
  4. reban kat besut trg tu dia org nak bela sendiri ke secara kontrak farming?

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top