Assalamualaikum,

Pertama sekali, saya mohon maaf kepada para pembaca di blog Mariafirdaus.com.my kerana terlewat membuat laporan sumbangan yang telah anda berikan kepada saya tempoh hari.

Untuk makluman anda, jumlah kutipan dana untuk Majlis Berbuka Puasa 2013 di Surau An Najah Simpang 4, Kg Kedah yang disumbangkan oleh anda semua adalah berjumlah RM14,008.

Ia melebihi sasaran awal pihak surau yang memerlukan RM12,000 sahaja.

Syukur Alhamdulillah, sumbangan yang telah anda berikan telah saya salurkan seperti mana yang telah dirancangkan. Iaitu menaja Majlis Berbuka Puasa kepada penduduk di kampung saya yang berbuka puasa di surau.

Setiap hari, sekitar 60-80 orang yang akan datang berbuka puasa di surau. Maka, pihak surau telah memutuskan untuk menyediakan makanan untuk 80 orang setiap hari. Sekiranya ada terlebih, makanan ini akan dibungkus dan diberikan kepada mereka yang memerlukan untuk mereka makan ketika bersahur nanti.

Berikut merupakan jadual majlis berbuka puasa yang diadakan di surau saya.


Jadual 15 hari pertama di Surau An Najah

                             

Jadual 15 hari yang terakhir.


Berikut merupakan jumlah pembayaran kepada pihak katering telah menyediakan makanan kepada ahli jemaah di surau. Secara keseluruhan, terdapat 3 katering yang telah terpilih. Dan jumlah bayaran untuk mereka bertiga adalah sebanyak RM13,280. Di tambah dengan bayaran membasuh pinggan mangkuk di surau RM400 dan juga sumbangan RM1,000 kepada pihak Masjid Hijau Kampung Kedah untuk tajaan majlis berbuka puasa di masjid selama 2 hari. Jumlah keseluruhan RM14, 680.


Farees turut menyertai majlis berbuka puasa di surau. Walaupun dia tak puasa. Hehe..


Antara juadah berbuka puasa yang disediakan


Setiap hari, sekitar 60-80 jemaah yang akan hadir ke surau untuk berbuka puasa

Saya bagi pihak surau ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dalam memberikan sumbangan kepada pihak surau saya.

Sumbangan Kepada Fakir Miskin

Untuk makluman anda, pada tahun ini. Saya tidak membuat kutipan secara rasmi di blog ini untuk sumbangan fakir miskin di penduduk sekitar kampung saya.

Sebabnya, saya tak berkesempatan untuk nak menguruskan pembahagian kepada mereka yang memerlukan. Saya agak sibuk.

Tetapi, ada seorang pembaca blog ini yang telah menghubungi saya dan berhasrat untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan yang tinggal berhampiran dengan kawasan perumahan saya.

Jumlah yang diberikan kepada saya sekitar RM4,716. 

Saya kemudian mencukupkan jumlah ini kepada RM5,500 untuk diagihkan kepada sekitar 40-50 orang penduduk di kawasan ini.

Bukan mudah untuk saya menguruskan jumlah ini. Nak dicari seorang demi seorang bukan mudah. 

Bagi memudahkan pihak saya, saya menyerahkan RM2,000 kepada pihak Surau Al Mujahedeen, Kg Kedah untuk mengagihkan kepada mereka yang memerlukan di kawasan situ.

Selebihnya RM3,500 saya agihkan sendiri. Ada yang menerima RM100, ada juga yang menerima RM150. Saya memberikan mengikut keperluan dan keadaan penerima sumbangan ini.

Antara Laporan Penerima Sumbangan:


Rumah pak cik ni sekitar Simpang 5. Seorang tua, uzur. Umur rasanya dalam 60 tahun. Tapi, anak anak pak cik ni ramai yang masih bersekolah. Semasa ke rumahnya, beliau sedang berehat. Kepenatan. Sudah tak mampu bekerja. Bergantung kepada pencen semata mata. Pendapatan tak sampai RM1000 pun sebulan.

* Mohon maaf. Bagi menjaga 'privacy' penerima, saya tidak mahu memasukkan gambar mereka ke dalam blog ini. Tapi, saya akan kongsi kisah mereka bersama anda di bawah ini.
Penerima Lain : 

1) OKU - Hanya mampu duduk di atas kerusi roda. Sudah tidak mampu bekerja. Isteri tidak bekerja kerana menjaga suami. Berusia 50 tahun lebih. Semasa saya memberikan sumbangan kepadanya, beliau mengatakan mahu menggunakan duit ini untuk rawatan penyakitnya. Beliau masih berharap agar dapat disembuhkan. Agar boleh kembali bekerja. Sama sama kita doakan beliau.

2) OKU - Seorang nenek berusia 82 tahun. Tinggal seorang diri. Sudah tidak bekerja. Hanya berharap sumbangan anak RM150 setiap bulan. Tidak mendapat sebarang sumbangan sempena hari raya ini. Semasa ke rumah nenek ini, nenek ni menceritakan dia langsung tak beli baju raya. Langsung tak beli kuih raya. So, saya pun berikan sedikit sumbangan wang kepada beliau. Dan kemudian, pergi beli kuih raya untuk beliau.

3) OKU - Seorang nenek berusia sekitar 75 tahun. Sudah tidak mampu nak berjalan. Kalau berjalan pun, teramat perlahan kerana sakit lutut. Tinggal seorang diri dalam rumah. Rumah anaknya di sebelah rumahnya. Semasa saya pergi ke rumahnya, nenek ni terlantar di atas katil. Allahuakbar, sedih melihat keadaan nenek ni.

4) Orang Miskin - Orang ini jiran saya. Selalu datang jumpa saya. Nak pinjam duit atau pun nak minta duit zakat daripada saya. Semasa beliau pinjam satu tahun lepas RM300 kepada saya. Saya dah agak dah. Dia memang tak boleh nak bayar. So, dalam hati saya halalkan sajalah kepada saya. Dia kata nak guna duit tu untuk beli baju dan buku anak nak ke sekolah. Allah Allah... Kesian saya. Semasa saya berikan, terpancar kegembiraan dihatinya. Mungkin mahu guna duit ini beli baju raya anak anaknya.

5) Muallaf - Saya berikan RM100 kepada seorang muallaf yang baru memeluk Islam dan beliau ini tidaklah kaya sangat. Semoga beliau bergembira dengan sumbangan kita yang tidak seberapa ini.

6) Saya berikan kepada seorang penggali kubur. Pendapatannya bergantung kepada kematian orang. Jika ada orang mati, baru ada pendapatan. Upah gali kubur. Selain itu, beliau turut ambil upah mesin rumput di rumah orang. Katanya, duit itu akan digunakan untuk belanja anaknya sekolah nanti. ( Huhu.. Sedih rasanya. Sedangkan duit tu diterima masa raya. Bukan nak guna belanja buat beli baju anak, tapi nak belanja untuk anak sekolah nanti. )

Ramai lagi penerima yang menerima sumbangan daripada anda sebenarnya. Ada juga sekitar 15 orang yang saya minta mak saya sampaikan. Saya tak sempat nak ikut semuanya. Saya bahagi bahagikan dengan mak saya.

Bila dah habis semua sumbangan ini. Satu perkara yang menyedihkan saya berlaku.

Saya didatangi oleh seorang AJK Masjid Sg Setar, berhampiran rumah saya. Bertanya saya, kalau kalau saya ada nak beri sumbangan kepada ahli qariah masjid itu. Subhanallah. Wang sumbangan telah pun habis diberikan.

Saya mohon maaf kepada mereka. Insya Allah, dilain kali saya akan cuba untuk agihkan kepada mereka pula. Mungkin dalam projek beras lain kali.

Akhir kata, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan dan sumbangan buat mereka yang memerlukan. Semoga Allah memberkati usaha anda ini dan semoga anda semua diberi ganjaran syuga tanpa dihisab di akhirat nanti.

Wassalam

1 ulasan:

  1. Assalam,
    Semuga dalam limpah rahmat Allah.
    Semuga usaha tuan haji diberkati Allah.
    Wassalam,
    AJ

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top