Assalamualaikum,

Selepas selesai menyempurnakan segala Rukun dan Wajib Haji, tinggal sekitar 10 hari buat saya di bumi Mekah.

Pada waktu ini, orang terlalu ramai di Masjidil Haram. Kebanyakan jemaah haji yang pulang lewat ke Mekah sedang menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji yang menjadi Rukun Haji.

Di kesempatan masa yang ada, saya mengambil peluang untuk membaca Tafsir Al Quran.

Tawaf sunat terpaksa saya hadkan. Ini kerana bagi memberi ruang buat mereka yang belum menyempurnakan Tawaf Haji melakukannya. Saya tidak mahu menambah kesesakan di dataran Kaabah.

Sekitar 5 hari sebelum kami berangkat. Saya dan keluarga bercadang untuk melakukan Umrah Sunat dan Umrah Badal untuk disedekahkan kepada ahli keluarga kami yang sudah meninggal dunia.

Dikesempatan ruang waktu yang ada, kami melakukan Umrah Sunat. Pada waktu pagi selepas Solat Subuh.

Dan Haji Amir serta beberapa rakan saya yang lain turut 'berlumba-lumba' untuk 'all-out' bagi menggunakan baki masa yang ada bagi melakukan ibadah yang terbaik di sana.

Memandangkan kami kesuntukan masa, saya, Haji Amir dan beberapa jemaah lelaki yang lain mula bergerak secara berkumpulan. Kami melakukan Umrah 2 kali dalam sehari.

Umrah pertama dilakukan selepas Solat Subuh dan habis sekitar jam 11 pagi.

Umrah kedua pula dilakukan selepas Solat Asar dan habis sekitar jam 9 malam.

Pada waktu ini, jika anda bertanya kepada saya adakah kami penat. Jawapannya. Ya, memang penat. Tapi, jika kami tak lakukan sekarang. Bila lagi. Hari kepulangan kami ke Malaysia sudah hampir tiba. Maka, ruang masa yang ada tidak boleh disia-siakan.

Saya mengerjakan Umrah Badal buat arwah nenek saya dan atuk saya di sebelah mak dan abah. Serta di sebelah Maria. Hanya ini yang dapat kami lakukan untuk disedekahkan kepada mereka yang sudah tiada. Semoga, apa yang disedekahkan ini 'membantu' mereka di sana.

Jika anda ke sana, lakukanlah Umrah Badal untuk ahli keluarga anda yang telah meninggal dunia. Apabila kita melakukannya, kita mendapat pahala. Dan mereka yang meninggal itu pun mendapat pahala yang sama seperti kita. Tak rugi apa apa pun.

AWAS!!!!
Dalam buku Travelog Haji tulisan Prof Kamil, beliau menceritakan pengalaman beliau yang menyaksikan hanya 3 daripada 9 orang jemaah haji yang menunaikan solat di Masjid selepas selesai mengerjakan haji.

Saya sangkakan ia tidak akan berlaku. Rupa rupanya, benar bagai apa yang Prof Kamil ceritakan.

Di kalangan rakan sejemaah saya sendiri pun, ramai yang sudah memilih untuk menunaikan solat fardhu di hotel sahaja.

Alasannya mudah, 'tidak sihat' dan 'penat' setelah 'berkerja keras' dalam menyempurnakan ibadah haji.

Kalau yang sudah tua dan uzur, bolehlah difahami. Namun apa yang saya perhatikan ramai dikalangan jemaah yang berumur sekitar 40an-50an yang masih sihat juga mula menunaikan solat fardhu di hotel. Di bilik masing masing.

Selain itu, apa yang saya perhatikan para jemaah mula 'meninggikan suara' pada waktu ini. Apabila bersembang ketika makan, ramai jemaah yang sudah mula gelak berdekah dekah. Mereka mula buat 'port', berbual sambil bergelak ketawa. Menambah buruk keadaan, bila mereka ini 'merokok' dalam hotel. Merokok di lorong lorong antara bilik. Merokok di tempat makan.

Masya Allah. Teramat tidak selesa.


Mak cik mak cik pula mula melakukan 'tawaf kedai'. "Rukun" haji yang belum disempurnakan.

Maka pusinglah dari satu kedai, ke satu kedai, ke satu kedai. Mencari pelbagai barang untuk dibawa balik ke Malaysia. Seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak salah 'bershopping' asalkan ia tidak mengganggu masa beribadah kita di sana.

Suatu hari, Maria ke klinik di hotel yang didiami oleh jemaah Tabung Haji. Maria tidak sihat. Maria keluar dari hotel itu dan pada waktu itu telah berkumandang Azan Zuhur di Masjidil Haram.

Menyedihkan, pada waktu inilah Mariayang baru keluar dari klinik itu berselisih dengan mak cik mak cik yang baru pulang dari 'bershopping' dengan penuh barang di tangan. Pasti mereka tidak akan dapat berpatah balik ke Masjidil Haram kerana ia jauh dan kepenatan selepas melakukan "Tawaf Kedai".

Mereka ini berkemungkinan besar bersolat di Hotel.

Hendak ke Masjidil Haram dikatakan jauh dan penat. Mendaki bukit dan sebagainya. Seribu satu alasan diberikan. Namun, bila hendak 'bershopping', lautan dalam boleh diredah.

Satu yang ingin saya nasihatkan, janganlah sesekali kita bershopping sehingga ia mengganggu masa kita beribadah di Masjid. Jangan ia begitu. Rugi besar kalau ia berlaku kepada kita.

Sayanglah jika ini yang diperoleh setelah selesai mengerjakan haji. Jika ini yang berlaku di Tanah Suci, bagaimana keadaan bila pulang nanti ke Malaysia.

Apa yang saya tulis ini adalah secara umum. Tidak saya tujukan kepada mana mana pihak. Sekiranya ada yang terasa, saya memohon jutaan kemaafan.

Rugilah jika ini yang kita pelajari dari penghayatan haji itu sendiri.

Semoga, entri kali ini memberi sedikit pengajaran buat kita semua.

Wassalam.

* Saya mohon kepada anda untuk kongsikan dengan sahabat atau saudara mara anda mengenai perjalanan haji yang telah saya lalui ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dan semoga ia menjadi 'pencen kubur' saya suatu hari nanti. 

* Anda juga bebas untuk copy & paste segala artikel berkaitan haji dalam blog ini di blog anda asalkan anda letakkan linknya di situ selagi ia tidak bertujuan komersial. Anda juga boleh print segala doa doa yang telah saya tulis di dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.

4 ulasan:

  1. Dari Ibnu Abbas ra berkata, “Sesiapa yang mengerjakan Haji bagi pihak orang yang telah meningal dunia, ditulis bagi orang yang telah meninggal dunia itu satu Haji dan orang yang mengerjakan Haji tersebut mendapat tujuh Haji”. Dalam satu riwayat lain, “Dan bagi orang yang mengerjakan Haji tersebut akan terselamat dari api neraka”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Zar).

    sumber : http://www.zahafiz.com/index.php?option=com_content&view=article&id=143&Itemid=168

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah kepada Anonymous yang memberi makluman tambahan ini.

    Semoga ia terus menjadi pendorong untuk kita melakukan amal ibadah di sana.

    Wassalam.

    * Mungkinkah anonymous ini staff zahafiz...?

    BalasPadam
  3. Assalam,

    semuga dalam redha Allah hendaknya.

    Ada kah orang yang sudah bergelar haji saja yang boleh melakukan badal haji buat mereka yang sudah meninggal dunia?

    Walaupun ini catatan "Minggu Terakhir Di Mekah", harap tuan haji continue dengan pengalaman selepas haji di tanah air pula.

    Semuga Allah beri ilham, taufiq dan hidayah kepada tuan haji dan keluarga.

    Jazakaullah

    BalasPadam
  4. Assalam,

    Dah saya dapat info bab badal haji di webpage zahafiz.

    jazakaullah

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top