Assalamualaikum,
Hari Jumaat lepas, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah di MAHA kepada para peserta KOR TANI.
Pada peringkat awal, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah. Kemudian, sessi ini ditukar kepada Sessi Dialog bersama 3 Orang Usahawan.
Saya dimaklumkan, saya tidak perlu membuat sebarang persediaan dari segi slide dan presentation. Ini kerana, sessi ini adalah sessi dialog yang diadakan secara santai bersama seorang moderator dan 2 usahawan yang lain.
Namun, seperti biasa. "Always expect the worst". Saya bawa juga slide saya ke sana in case mereka 'paksa' saya memberi ceramah.
Mengapa Saya Bersetuju?
Jika anda bertanya kepada saya, mengapa saya bersetuju untuk menerima jemputan untuk ke sana.
Jawapannya, saya rasa inilah peluang terbaik kepada saya untuk berkongsi dengan usahawan usahawan lain pengalaman yang telah saya lalui sepanjang menjalankan perniagaan ini.
Dan ramai yang bertanya kepada saya, berapa MAHA bayar kepada saya untuk jemputan ini?
Ikhlas, saya katakan. Saya tak tahu berapa yang mereka akan berikan. Sebab bagi saya, ini bukan isu. Saya hanya menerima jemputan ini tanpa sebarang syarat.
Kalau mereka beri, saya terima. Dan kalau mereka tak beri sekali pun, saya berlapang dada.
Ia tidak menjadi isu kepada saya. Tetapi, rupanya ia menjadi isu kepada orang lain.
Ada orang kata, saya patut letak harga untuk jemputan sebegini.
Bagi saya, satu konsep kehidupan yang saya nak kongsi dengan anda adalah. Kita tak perlu terlalu memikirkan apa yang kita boleh dapat. Tetapi kita perlu fikir apa yang kita boleh beri.
Lagi banyak yang kita beri. Lagi banyak yang kita dapat. Percayalah.
Malangnya, orang kita ramai yang suka fikir. Apa yang mereka boleh dapat..... Dan jarang berfikir, apa yang mereka boleh beri.
Hmmm.. Saya berpendapat saya wajar berkongsi dengan orang lain sedikit pengalaman yang Allah berikan kepada saya.
Ia menjadi tanggung jawab saya untuk menambah nilai hidup orang lain. Dan mudah mudahan ia menjadi pencen kubur saya satu hari nanti jika apa yang saya sampaikan diamalkan oleh mereka.
Perjalanan Ke SERDANG
Untuk ke sana, sudah pasti saya tidak larat untuk memandu seorang diri. Ini kerana dari hari Isnin - Khamis, saya sedang menjual ayam. Dan kebiasaannya, saya tidur lewat malam kerana ayam hanya habis dijual sekitar jam 10-12 malam.
Disebabkan keletihan, saya mengajak kawan saya untuk menemani saya ke sana. Tidak lain tidak bukan, Tuan Haji Saufi Bin Mohd Noor.
Selepas saya mengajak beliau ke sana, beliau terus bersetuju. Beliau berkelapangan pada hari Jumaat itu dan merasakan inilah peluang untuk beliau mencari pencen kubur.
Kalau tak dapat berceramah sekalipun, dapat membawa saya ke sana pun sudah mencukupi buat beliau. Bagi beliau, inilah sumbangan kecil yang dapat beliau bantu dalam hal ini.
Terima kasih kerana sudi membawa kereta saya ke sana.
Tiba Di Maha
Tiba di bilik Seminar, Hall 4, Dewan D, UPM. Tempat berlangsungnya program yang dijadualkan untuk saya.
Para peserta mula mengambil tempat. Pada waktu ini, saya sudah berada di pentas untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta yang lain.
Saya sebenarnya tergamam ketika dijemput untuk memulakan perkongsian. Ini kerana pada peringkat awal, mereka mengatakan akan ada sessi dialog bersama seorang moderator.
In fact, 5 minit sebelum program pun mereka masih mengatakan yang ia akan diadakan dalam bentuk Dialog. Mereka dah beritahu saya soalan yang akan ditanya semasa di pentas nanti.
Tiba tiba.... Semasa saya dijemput ke atas pentas, saya diminta beri ceramah. Masya Allah. Saya hanya sedar mereka tukar plan bila saya di atas pentas. Subhanallah.
That's not the plan. Mereka menukar rancangan secara tiba tiba. Ini kerana dua orang usahawan lain belum tiba di dewan pada waktu itu.
Allahuakbar. Dan saya memang tak membuat persediaan untuk berceramah. Slide yang saya bawa pun masih ada dalam laptop saya.
Akhirnya.... saya berkongsi dengan mereka apa yang terlintas difikiran saya secara spontan.
Dan di atas pentas, saya sangka sessi saya hanya 30 minit. Tetapi, apabila berada di atas pentas, selepas 30 minit saya cuba untuk menamatkan perkongsian saya. Pihak penganjur meminta saya menambah lagi perkongsian saya sekitar 20-40 minit lagi.
Waktu ini, baru saya sedar. Ada seorang penceramah lain 'tidak hadir'.
Walau apa pun, saya bersyukur kerana ramai peserta 'tersentuh' dengan apa yang saya kongsikan. Ada di antara mereka yang mengalirkan air mata ketika saya menceritakan kesusahan yang pernah saya alami.
Antara perkongsian yang saya tekankan kepada para peserta adalah, jika mereka mahu berjaya dalam perniagaan. Saya meminta mereka melakukan 4 perkara:
1) Jangan lupa keluarkan zakat selepas memperoleh keuntungan.
2) Minta ibu kita mendoakan kejayaan kita dalam perniagaan.
3) Perlu rajin bersedekah. Jadikan ia amalan setiap hari walaupun dalam kuantiti yang sedikit.
4) Amalkan solat Sunat Dhuha. Ia 'manget' kepada pintu rezeki.
Selepas selesai sessi perkongsian saya, ada dua peserta bangun dan bercakap di mikrofon. Mereka amat bersetuju dengan apa yang saya cadangkan untuk para peserta lain amalkan.
Ini kerana mereka mengatakan semasa mereka 'jatuh' dalam perniagaan dulu, mereka membuat perkara yang sama. Dan Alhamdulillah. Perniagaan mereka berkembang maju selepas itu.
Saya mendengar penerangan dan perkongsian oleh usahawan yang lain.
Menerima saguhati daripada pihak penganjur.
Selepas habis program ini, saya terus berangkat pulang ke Parit Buntar. Saya tak sempat nak 'menziarahi' walau satu kedai sekali pun.
Saya tahu, perjalanan masih jauh. Ini kerana perjalanan dari Serdang ke Parit Buntar mengambil masa sekitar 4-5 jam.
Kami tiba di Parit Buntar sekitar jam 10.30 malam. Saya amat berterima kasih kepada sahabat saya Tuan Haji Saufi, kerana sudi membawa kereta saya pergi dan balik tanpa mahu sebarang bayaran.
Semoga Allah membalas segala pengorbanan yang telah beliau lakukan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan beliau.
Wassalam
* Saya terpaksa menolak jemputan ceramah di Tanjung Piandang yang akan diadakan pada hari Ahad ini, bertajuk "Peranan Ibu Bapa Dalam Menentukan Kerjaya Anak Anak".
* Ini kerana saya perlu membuat persiapan bagi menerima kunjungan pelajar MRSM PDRM, KULIM untuk sessi bersama saya selama satu hari pada hari Isnin ini. Kepada para pelajar MRSM PDRM, Selamat Datang Ke Parit Buntar....
COMMENTS