Assalamualaikum,

Saya doakan anda yang membaca blog ini sentiasa dilimpahkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah.

Saya doakan, "Anda Kaya Dan Berjaya".

Kisah 8 Tahun Lepas

Kisah ini dah lama. Sangat lama.

Ada seorang sahabat datang berjumpa saya dan minta bantuan saya untuk memulakan perniagaan beliau.

Beliau datang berjumpa saya dalam keadaan zero knowledge.

Saya kongsikan ilmu yang saya ada dengan beliau. Semuanya secara PERCUMA. Saya tolong beliau sebab saya nak tengok sahabat saya ini berjaya.

Ditakdirkan Allah, beliau berjaya dalam perniagaan. Jauh lebih berjaya daripada saya.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat bantu beliau menjalankan perniagaan beliau.

Ilmu beliau lebih banyak berbanding saya kerana beliau berkembang dengan lebih cepat. Modal beliau lagi besar. Lagi pun beliau dapat sokongan keluarga yang penuh.

Satu hari, saya berjumpa beliau. Saya ingin minta tolong beliau. Saya nak tanya sesuatu mengenai perniagaan yang beliau tahu dan saya tak tahu.

Jawapan dari beliau sangat menghiris hati saya.

"Ohh... Yang ni mana aku boleh bagi tahu hang.... Ini rahsia....."

Hancur luluh hati saya. Bila orang yang saya bantu tanpa rasa berkira jawab macam tu kat saya. Sebelum ini, saya langsung tidak berahsia dengan beliau. 

Apa yang beliau tanya, semua saya jawab.

Tapi bila beliau jawab macam tu dekat saya, saya kecil hati dan sentap.

Saya terasa dalam hati. 

"Sampai hati hang, aku dah tolong hang banyak. Aku tanya hang sikit saja. Hang cakap rahsia. Hang tak mau bagi tahu aku. Fuh.... Macam ni rupanya..."

Berkongsi Kisah Ini Dengan Seorang Ustaz

Saya ada seorang sahabat, beliau seorang ustaz. 

Satu hari, saya kongsikan dengan beliau kisah ini.

Selepas mendengar penjelasan saya yang 'marah' kepada sahabat saya itu. Ustaz ini menjawab dengan sangat mudah.

"Firdaus, masa hang tolong kawan hang tu, hang ikhlas tak?"

Saya jawab, "Ikhlas la...."

Ustaz menjawab, "Firdaus, orang yang ikhlas bila dia buat sesuatu perkara dia tolong orang lain, dia tak pernah harap orang tu akan tolong dia balik. Dia tolong semata mata kerana Allah."

Kemudian, ustaz ini menambah lagi.

"Ramai orang silap. Bila kita 'beri' bantuan kat orang lain, kita 'harap' balasan. Sebenarnya, kita hanya perlu harap dan minta bantuan daripada Allah. Sedar tak, sebenarya Allah dah tolong banyak kita. Allah dah beri banyak kepada kita. Kenapa kita tak nak kongsikan apa yang Allah beri ini dengan orang lain. Kita kata kita berilmu? Jangan bongkak. Ilmu itu pun Allah yang beri kepada kita. Kita kata kita kaya? Harta yang sedikit itu pun Allah yang bagi. Jadi, mengapa kita perlu rasa kita perlu mengharap kepada orang lain. Kita sebenarnya hanya perlu berharap kepada Allah."

"Kalau kawan hang tu tak mau tolong.... So what.... Hang mati ka? Ingat, kalau dia tak mau tolong pun tak pa. Biarkan. Yakin Allah ada dan Allah akan tolong. Itu jauh lebih penting."

"Ingat, rezeki kita Allah yang aturkan. Mungkin kawan hang sorang tu yang tak mau tolong hang. Tapi kalau Allah nak hantar, dia boleh hantar 1000 orang untuk tolong hang. Dia boleh tolong hang dengan macam macam cara."

"So, jangan kecil hati bila kita tolong orang dan orang tu tak nak tolong kita balik. Ingat, Allah ada. Allah mampu bagi jauh lebih baik daripada kawan kita tu."


Kisah itu banyak memberi pengajaran dalam hidup saya.

Saya mula belajar, "Memberi tanpa perlu mengharapkan balasan. Bantu orang lain semampu mungkin." 

Saya semakin yakin, 'Rezeki saya di tangan Allah. Bukan pada sahabat sahabat saya."

Selepas melalui fasa kehidupan ini beberapa tahun yang lalu. Sekarang saya sedar. Yang tak nak tolong saya dia sorang saja. Tapi Allah hantar ramai lagi orang lain untuk kongsi dan bantu saya.

Alhamdulillah.

Pengajaran

Jadilah seperti gajah dalam gambar di atas. Membantu memayungkan anjing itu. Walaupun gajah itu tahu, anjing itu mungkin tak dapat bantu dia kembali.

Semoga kisah ini sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran kepada kita semua.

Saya doakan, "Allah mudahkan segala urusan kita. Dunia dan akhirat."

Wassalam

Empayar Maria Firdaus,
Motivating And Inspiring Others

Sila Share Jika Anda Rasa Kisah Ini Bermanfaat Untuk Dikongsikan. Jika Anda Rasa Ia Tak Bagus. Tak Perlu Share

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top