Assalamualaikum,

Hari ini, genap 7 hari abah meninggalkan kami semua. Alhamdulillah, syukur kepada Allah segala urusan menguruskan jenazah Allah dipermudahkan Allah.

Hari ini, saya nak berkongsi dengan anda, peranan kita sebagai anak dalam menguruskan jenazah ibu bapa kita.

Saya yakin, mungkin ada seorang dua daripada kita yang sudah kehilangan ibu atau bapa kita. Mungkin yang sudah kehilangan kedua duanya sekali. 

Namun, saya yakin pasti ada di antara kita yang masih memiliki kedua dua ibu bapa kita pada hari ini. Bersyukurlah, Allah masih mengurniakan kita ibu bapa yang telah banyak berjaya pada kita agar kita dapat berbakti kepada mereka.

Kursus Pengurusan Jenazah Di Kolej MARA Banting

Saya bersyukur, 14 tahun lepas ketika berada di Kolej Mara Banting, ada satu program kursus menguruskan jenazah yang dianjurkan oleh pihak kolej.

Bermula dari sessi ceramah, mengapa kita sebagai anak perlu memainkan peranan untuk menguruskan jenazah ibu bapa kita.

Ceramah yang disampaikan itu benar benar memberi kesan kepada saya. Sehinggalah saya berazam dalam diri saya,

"Kalau lah ada ahli keluarga aku yang meninggal, aku mesti menguruskan jenazah tu sendiri. Dengan adik beradik aku yang lain."

Kursus di kolej merangkumi memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, solat jenazah dan mentalqinkan jenazah.

Di ketika ramai orang mengambil mudah kursus ini, saya belajar dengan serius semua step step untuk menguruskan jenazah.

Memandangkan semasa di kolej, kami hanya banyak belajar secara teori. Semasa saya pulang ke kampung, saya memaklumkan kepada abah saya.

"Abah, Daus nak belajar mandi dan mengkafankan mayat. Nak belajar dekat mana?"

"Tak pa, nanti abah bagi tau orang yang mandikan mayat. Bagitau dia hang nak belajar mandi mayat," balas abah saya.

Selang beberapa hari, saya mendapat peluang untuk memandikan mayat yang 'real'. Ini betul betul, bukan mayat hidup.

Sepanjang cuti berkenaan, saya berpeluang untuk memandi dan mengkafankan 4 mayat. Alhamdulillah, saya rasa gembira kerana dapat belajar untuk memandi dan mengkafankan mayat yang sebenar. 

Sedikit sebanyak, ia membantu saya untuk memahami perkara perkara asas untuk memandikan mayat. Saya juga dah faham cara untuk mengkafankan mayat.

Orang Yang Berilmu Pasti Ada Manfaatnya

Orang yang berilmu pasti ada ujian untuknya.

Ujian saya yang pertama bermula beberapa tahun lepas. Seorang sepupu saya meninggal dunia. Pada waktu itu, orang yang sepatutnya datang untuk memandikan mayat tidak datang.

Alhamdulillah, saya kemudiannya, menjadi orang yang ditugaskan untuk memandi dan mengkafankan jenazah. 

Syukur, tak sia sia saya belajar dahulu. Ada gunanya ilmu yang saya pelajari.

Kes kedua berlaku pada 3 tahun lepas. Sepupu Maria meninggal di Pahang.

Saya dan mertua menziarahi keluarga mereka di rumah mereka.

Selepas mayat siap dimandi dan dikafankan, mereka masih tidak dapat menghubungi imam untuk mengimamkan solat jenazah berkenaan.

Akhirnya, saya menawarkan diri untuk mengimamkan solat jenazah berkenaan. Seterusnya, saya ke kubur untuk mengetuai proses mengkebumi dan mentalqinkan jenazah.

Alhamdulillah, saya bersyukur. Ternyata ilmu yang dipelajari ada gunanya.

Menguruskan Jenazah Abah Sendiri

Sejak dari dulu lagi, saya selalu membayangkan. Jika berlaku kematian dalam keluarga saya, kami adik beradik mesti menguruskan jenazah itu sendiri.

Berdasarkan apa yang saya pelajari, itu yang terbaik. 

Sangat rugi ibu atau bapa yang meninggaal dunia yang mayat mereka diuruskan oleh orang lain, bukan oleh anak anak mereka.

Saya tidak mahu begitu. Saya mahu berikan yang terbaik kepada ahli keluarga saya.

Untuk jenazah abah, kami adik beradik berkerja sama melakukan yang terbaik untuk abah.


Setiba di rumah, jenazah abah dibersikan sendiri oleh adik saya. Adik saya ambil kain tuala dan dilapkan seluruh badan abah. Kemudian, mayat ditutup dengan kain.


Pada malam berkenaan, ramai rakan rakan abah yang datang ke rumah dan mereka membuat majlis tahlil untuk arwah abah. Saya meminta izin daripada mereka untuk membacakan doa. 

Cuba anda lihat wajah saya. Betapa pada waktu itu, saya benar benar berharap agar Allah mengkabulkan semua doa yang saya mohon.

Selepas saya membaca doa ini sendiri, baru saya faham. Mengapa Islam mengatakan doa dari anak yang soleh lebih afdhal. Berdasarkan pengalaman saya, sewaktu berdoa. Saya berdoa dengan sepenuh hati. Di baca dengan penuh perasaan. Agar apa yang saya doakan itu benar benar dimakbulkan Allah.


Di sisi mayat, kami semua anak cucu dan saudara membaca Al Quran, Yasin dan Tahlil untuk arwah abah. Dalam gambar di atas adalah sepupu saya (Berbaju Biru) dan anak saudara saya. 

Keesokan paginya, kami 4 adik beradik menguruskan proses memandi dan mengkafankan jenazah sambil dibantu oleh 2 petugas yang selalunya memandikan jenazah.

Kami mandikan jenazah abah dengan penuh kasih sayang dan penuh kelembutan. Kami mahu berikan yang terbaik kepada abah kami.


Selepas jenazah dikafankan, kami mengangkat jenazah abah ke dalam van. Di dalam van, dipenuhi dengan cucu cucu abah dan juga adik abah.



Setiba di masjid, saya memberikan sedikit ucapan ringkas sebelum saya sendiri yang mengimamkan solat dan membaca doa.



Antara hadirin dan saudara mara yang hadir untuk mensolatkan jenazah.


Abang saya, berbaju coklat membantu untuk menurunkan keranda ke dalam kubur. Sambil dibantu oleh saudara mara kami yang terdekat.


Proses mengkebumikan jenzah dengan mengambil tanah untuk di timbus.


Saya kemudiannya bertugas untuk membaca doa dan tahlil. Adik saya pula membaca Talqin.

              

* Mohon Maaf. Video Ini Dirakam Oleh Anak Saudara Saya. Kualiti Video Sederhana.


Disinilah Arwah Abah disemadikan. 

"Oh Abah, Damailah Engkau Di Sana. Kutaburi Doa Mewangi, Hadiah Dari Anakmu"

Ramai Yang Ucapkan Tahniah Kepada Kami Adik Beradik

Syukur Alhamdulillah, ramai dikalangan saudara mara kami, jiran jiran kami yang memuji kami kerana menguruskan jenazah abah sendiri.

Tak kurang, ramai yang datang memeluk saya mengucapkan tahniah. Ramai yang mengatakan, "Untung Haji Saad ada anak anak macam ni."

Saya terharu sebenarnya. Bagi saya, saya hanya menjalankan tanggung jawab saya sebagai seorang anak.

Ada juga orang yang datang menziarahi keluarga kami selepas itu, datang ke rumah dan menangis. Mereka mengatakan, "Saya tak tahu kalau saya mati nanti anak saya boleh tak buat macam tu."

Allahuakbar.

Kami bukanlah ustaz. Kami bukanlah hebat. 

Cuma, saya bersyukur Allah memilih kami untuk memberikan yang terbaik untuk ibu bapa kami.

Nasihat Saya Untuk Anda

Nasihat saya untuk anda, para pembaca blog ini. Anda perlu belajar pengurusan jenazah.

Ini nasihat saya ikhlas untuk anda semua. Dalam keluarga, pastikan ada seorang dua yang tahu pengurusan jenazah.

Ini bagi memastikan kita boleh menguruskan jenazah ahli keluarga kita sendiri jika berlaku kematian.

Percayalah, kita sebagai anak perlu memberikan yang terbaik untuk ibu bapa kita atau ahli keluarga kita yang lain.

Bila kita menguruskan jenazah ahli keluarga kita sendiri, itulah hadiah terbaik yang mampu kita berikan kepada mereka.

Selepas sudah menguruskan jenazah arwah abah, saya dapat merasakan. 

"Abah pasti melihat kami dengan gembira menguruskan mayat beliau sendiri. Bukan diuruskan oleh orang lain."

Sama sama kita renungkan, apakah kita sanggup membiarkan jenazah ibu bapa kita diuruskan oleh orang lain.

Tidakkah kita sanggup memberikan 'hadiah' terakhir buat mereka.

Sukarkah sangat untuk kita menguruskan jenazah mereka? Insan yang terlalu banyak berjasa dalam hidup kita.

Ingatlah, tanpa mereka. Kita tidak akan ada di dunia ini.

Jadi, mengapa kita tidak sanggup berkorban untuk mereka.

Kepada anda semua, ingatlah pesan saya ini. 

"Belajarlah untuk menguruskan jenazah. Ia ilmu asas yang kita semua 'WAJIB' tahu. Percayalah, menguruskan jenazah ibu bapa kita sendiri adalah tanggung jawab kita. Bukan orang lain. Itulah hadiah terbaik yang dapat kita berikan untuk mereka."

Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Wassalam.

Jemput Baca : Part 2 : Abah !!! Damailah Engkau Di Sana

* Jika anda suka dengan entri ini dan anda rasa, ia akan memberi manfaat kepada orang lain. Mohon anda tekan LIKE Buttoon di bawah ini.

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top