By : Mohd Firdaus Mat Saad


Assalamualaikum,

Saya bagi pihak Mariafirdaus.com.my ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua para pembaca blog ini.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang anda berikan kepada saya selama ini.

Dikesempatan ini, saya dan Maria dengan rasa rendah diri ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf buat anda semua sekiranya selama ini kami ada terkasar bahasa dalam penulisan kami.

Atau mungkin kami juga ada tertulis sesuatu yang salah dari segi fakta atau cerita dalam blog ini. Jutaan kemaafan kami mohon.

Dan kami juga bersedia untuk memaafkan anda semua sekiranya kita ada tersalah dimana mana.

Anyway, hari ini saya nak berkongsi dengan para pembaca mengenai kesilapan yang ramai orang buat di hari raya.

Semoga, apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita semua untuk menghindari dosa dosa yang tidak perlu kita lakukan.

4 Kesilapan Besar Yang Ramai Orang Buat Di Hari Raya




1. Bersalaman Lelaki  Dan Perempuan Yang Bukan Mahram

Apa yang saya perhatikan, lain tempat. Lain caranya. Misalnya, saya di kampung, bersalaman antara lelaki dan wanita agak kurang.

Tetapi, ketika saya berhari raya di Kuala Lumpur. Lain suasananya.

Di KL, lelaki bersalam salaman dengan mak cik macik dan perempuan bersalam salaman dengan pakcik pakcik menjadi satu ADAT yang sangat salah.

Apa yang saya tengok, ia menjadi satu adat kerana ia macam nak 'menghormati' orang yang lebih tua.

Persoalannya, adakah itu yang Islam ajar?

Tidak, Islam tidak mengajar kita buat begitu. Kita hanya boleh bersalam dengan orang yang muhrim kita sahaja. Selebihnya tidak boleh.

Saya bagi contoh lain yang lebih mudah untuk anda faham.

Saya dan Maria suami isteri. Di Kuala Lumpur Maria mempunyai anak saudara yang sudah baligh. Saya tidak boleh bersalam dengan anak saudara Maria yang perempuan itu.

Perkara yang sama untuk Maria. Maria TIDAK boleh bersalaman dengan anak saudara saya yang LELAKI yang dah baligh.

Faham ke faham?

Biarlah di mata manusia kita nampak macam 'kurang ajar' sebab tak bersalam dengan orang yang tidak boleh kita salam. Asalkan di mata Allah kita buat benda yang betul.

TETAPI......

Saya boleh bersalaman dengan anak saudara dari adik beradik saya sendiri yang perempuan. Dan Maria boleh bersalaman dengan anak saudara dari adik beradinya sendiri yang lelaki.

Contohnya, abang saya ada anak perempuan. Saya boleh bersalaman dengan anak perempuan abang saya itu.

Maria ada abang dan abangnya mempunyai anak lelaki yang dah baligh. Maria boleh bersalaman dengan anak lelaki abangnya itu.

Macam mana pulak dengan Ipar Duai?

Ok... Tak boleh bersalaman dengan IPAR DUAI ok. Contoh, saya tak boleh bersalaman dengan kakak ipar saya dan Maria tak boleh bersalaman dengan abang ipar dia.

Saya harap apa yang saya tulis ini clear.

Sebab, saya perhatikan ramai sangat yang tidak arif mengenai hal ini. Dan kalau kita tak mulakan sekarang, 'tradisi' ini akan turun kepada anak anak kita pula.

Memang susah untuk mulakan, tetapi ia sangat perlu dilakukan.

Kalau ada yang hulur tangan dahulu kepada kita, cukuplah kita katakan kita ada wudhuk. Pastikan kita ada wudhuk waktu tu.

Dan kalau nak salam juga, pastikan berlapit yer. Pakai sarung tangan atau pun guna tudung untuk alas.





2. Tidak Menutup Aurat Ketika Berada Di Rumah Bersama Saudara Mara Yang Lain

Ini kesilapan yang SANGAT SANGAT SANGAT biasa di Malaysia ini. Saya pun tidak pasti, di mana silapnya.

Misalnya, dahulu abang ipar Maria tinggal sekali dalam rumah mereka. Sejak sekian lama Maria tidak bertudung dalam rumah, tetiba selepas belajar ilmu ini Maria faham dan Maria mula bertudung ketika abang ipar berada di dalam rumah.

Dan masa Maria mula pakai tudung dalam rumah, ia menjadi satu kepelikan. Dan ada orang yang tak faham bertanya, "Ni pakai tudung nak keluar pi mana?"

Dia jadi macam pelik kalau kita pakai tudung dengan ipar duai kita di rumah.

Saya terpaksa tulis bab ini sebab saya perhatikan ramai sangat yang buat silap.

Kalau kita tak faham dan tak amalkan, kesilapan ini akan diperturunkan kepada anak anak kita pula.

Semasa hari raya, ramai adik beradik kita yang akan pulang berhari raya bersama keluarga.

Pastinya mereka juga membawa anak anak mereka bersama. Ada lelaki dan ada perempuan.

Kita kena didik anak anak kita. Kita kena bagi mereka faham yang aurat mesti dijaga sesama sepupu. Dan kita perlu ajar mereka yang mereka tidak boleh bersalam dengan sepupu mereka jika mereka sudah baligh.

Mereka perlu jaga aurat mereka.

Dan ada sesetengah rumah yang tidak cukup besar. Maka mereka tidur berjemaah di ruang tamu. Jika tiada pilihan nak buat macam mana. Terpaksalahkan... Tapi, untuk wanita, mereka perlu tidur dengan bertudung jika dah semua orang tidur di ruang tamu.

Seeloknya, biarlah lelaki tidur di ruang tamu dan wanita tidur di dalam bilik.

Saya harap, kita semua clear bab menutup aurat ini.




3. Memakai Pakaian Yang Tidak Syariah Compliance

Ramai orang menyangka bertudung itu menutup aurat.

Ramai orang sangka pakai baju itu menutup aurat.

Sebenarnya kita kena faham konsep menutup aurat yang lebih luas.

Bila bertudung, anda perlu memakai tudung yang menutupi bahagian dada. Kerana ia jelas dinyatakan di dalam Al Quran.

Bila berpakaian, anda tidak boleh memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Dan tidak boleh memakai pakaian yang jarang.

Trend yang saya banyak tengok, ramai wanita yang pakai baju yang dibahagian lengan tu guna kain yang sangat sangat sangat nipis.

Kesian rasanya. Tak terbayang panasnya api neraka nanti. Bukan untuk wanita itu sahaja. Beliau akan turut menarik suami atau ayahnya sekali bersamanya. Nauzubillah.

Lelaki pula ada yang tidak memakai baju di rumah sehingga ternampak pusat. Ada yang memakai seluar pendek di rumah.

Ingat yer para lelaki aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut. Part yang terdedah itu, bahagiannya DI NERAKA. Nauzubillah.

Kalau kita ada anak anak lelaki yang kecil pun, ajarkan mereka untuk tidak memakai seluar pendek. Untuk pengetahuan anda, Farees langsung tak ada seluar pendek. Memang dari kecik kami dah ajar kena pakai seluar panjang.

Alhamdulillah.

Melentur buluh, biar dari rebungnya.



4. Melakukan Perkara Terlarang Ketika Menziarahi Kubur Di Hari Raya

Saya nak kongsikan. Sebenarnya kita disuruh bergembira di hari raya. Kita tidak digalakkan bersedih di hari raya.

Masalahnya, sudah menjadi kelaziman buat rakyat Malaysia ni dengan acara menziarahi kubur di pagi raya.

Salah ker? Jawapannya tak salah. Tapi kalau dah macam menjadi satu 'kewajipan' untuk menziarahi kubur di pagi raya. Ia salah.

Di pagi raya kita dituntut untuk bergembira bagi meraikan kejayaan melalui bulan Ramadhan. Bukan bersedih.

Ok... kalau nak pi juga menziarahi kubur. Jangan pula buat beberapa perkara terlarang ini.

Misalnya :

i) Menyiram air ke kubur dengan niat nak menyejukkan mayat. Sebenarnya, yang disunatkan adalah menanam pokok kecil di atas kubur kerana pokok itu akan bertasbih. Jadi kita siram air untuk menyuburkan pokok itu.

ii) Tabur bunga di atas kubur. Yang best, pada waktu ini jugalah ada orang yang tunggu di kawasan tanah perkuburan yang jual bunga untuk ditabur atas kubur. Untuk pengetahuan anda, ia adalah amalan kaum Nasrani dan ia dilarang oleh Islam. Lebih baik tanam pokok hidup macam yang saya katakan di atas.

Jom kita dengarkan penjelasan daripada Ustaz Azhar Idrus ini:-




Lagi satu, jangan juga sampai menangis teresak esak di atas kubur ye, sebabnya kita dituntut untuk bergembira di hari raya.

Sebenarnya, ada banyak lagi kesilapan yang dibuat dihari raya. Tapi saya rasa cukuplah saya kongsikan 4 kesilapan yang sangat ramai rakyat Malaysia buat.

Jika kita boleh perbaiki 4 ini dahulu untuk raya kali ni, Alhamdulillah. Kita dah maju setapak.

Saya rasa cukuplah dulu perkongsian saya untuk kali ini.

Semoga apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi dan motivasi kepda kita untuk mendekatkan diri kita dengan Allah.

Semoga ia menjadi asbab untuk kita semua masuk ke dalam syurga tanpa dihisab.

Wassalam



Jika anda rasa posting ini bermanfaat, mohon anda tekan LIKE Button di bawah. Semoga lebih ramai yang akan mendapat manfaat. Semoga ia menjadi pencen kubur buat kita semua. 




0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top