Assalamualaikum,

Malam tadi, saya ke luar untuk membeli nasi arab di sebuah restoran nasi arab di Parit Buntar.

Semasa saya sedang menunggu sementara nasi saya disiapkan untuk dibungkus, saya ternampak ada seorang warga emas yang berjalan perlahan lahan menggunakan tongkat sambil dipimpin cucunya, seorang perempuan berusia sekitar 15 tahun.

Saya memberi laluan kepada mak cik ini agar beliau dapat bergerak dengan lebih selesa.

Tidak berapa lama selepas itu, nasi saya siap dibungkus. Saya membuat pembayaran dan terus keluar dari kedai.

Setiba di luar kedai, saya nampak ada sebuah kereta yang sedang menunggu di luar. Dan mak cik yang bertongkat tadi saya nampak 'tersangkut' di luar kedai bersama cucunya.

Saya tengok mak cik ini ada masalah untuk turun ke jalan. Ini kerana, tinggi lantai kedai ke jalan adalah sekitar 1 kaki. Dan mak cik ini dah tersangkut di situ sebab tak boleh turun.

Mak cik ini melambai ke dalam kereta untuk memanggil anak lelakinya turun bagi membantunya.

Malangnya, anaknya tidak turun dan tunggu dalam kereta.

Tersentap !!!!!! Sungguh tersentap !!!!!!!

Tanpa membuang masa, saya bertanya kepada mak cik yang bertongkat itu.

"Mak cik, boleh turun tak? Nak saya tolong?"

"Mak cik sakit kaki nak, tak boleh turun. Boleh tolong pimpin tangan mak cik?"

"Boleh mak cik. Mak cik pegang saya kuat kuat ye."

Pada waktu ini, saya lihat anaknya masih lagi tunggu di dalam kereta. Tanpa ada usaha sama ada nak turun bagi membantu emaknya.

Saya memimpin tangan mak cik ini bagi memudahkan beliau untuk turun dari lantai kedai ke jalan raya.

Selepas itu, mak cik mengucapkan terima kasih kepada saya atas sedikit pertolongan yang diberikan.

Sesudah itu, saya terus bergerak ke dalam kereta.

Dalam kereta, air mata saya hampir mengalir.

Saya tersentap. Mengapa seorang anak yang sudah tahu emaknya mempunyai masalah sakit kaki, tak boleh turun lantai kedai yang tinggi, dipanggil oleh emaknya tidak mampu turun dari kereta untuk membantu emaknya.

Kesian. Pasti hati ibu itu terguris.

Para pembaca yang dikasihi Allah sekelian..... Sayangilah ibu bapa kita. Saya pasti, ibu bapa kita semuanya sudah pun berusia. Lakukan yang terbaik buat mereka.


Entah berapa tahun lagi kita sempat untuk berbakti kepada mereka. Saya khuatir jika satu hari nanti kita semua akan menyesal kerana 'gagal' memberikan yang terbaik kepada ibu bapa kita kerana mereka sudah dijemput menghadap Ilahi.

Tanyalah siapa yang sudah kehilangan ibu bapa mereka. Tanya mereka sejujurnya, sejauh mana mereka rindu untuk memeluk ibu bapa mereka yang sudah tiada. Jika Allah izinkan, mereka mahu sangat memeluk ibu bapa mereka sepuas-puasnya. Namun apakan daya. Ibu bapa mereka sudah tiada.

Para pembaca yang dikasihi sekalian...... Saya tak bijak untuk berbicara..... Namun, ayuhlah. Kita ramai ramai mengasihi dan menyayangi ibu bapa kita.

Jika mereka sudah tiada. Jangan lupa, sedekahkan Al Fatihah buat mereka setiap hari.

Semoga entri ringkas ini mampu memberi sedikit motivasi kepada kita untuk lebih menyangi ibu bapa kita.

Wassalam

* Di Sebelah Atas Bahagian Kanan, Ada ABOUT MARIA FIRDAUS. Di situ ada gambar saya dan nama MARIA FIRDAUS. Jika tidak keberatan, saya mohon anda untuk klik button FOLLOWING yang berwarna biru itu.

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top