Assalamualaikum,


Seperti yang dijanjikan. Entri kali ini adalah lanjutan daripada entri saya sebelum ini yang bertajuk:
Jika anda belum baca dua entri ini, baik anda baca entri ini dahulu. Klik di link di atas sebelum anda membaca cerita di bawah ini. Baru anda dapat feel masa membaca.

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Hj Amir merupakan sahabat baik saya. Beliau tinggal di Taman Keramat. Amat dekat dengan rumah mertua saya. Boleh jalan kaki kalau nak ke rumahnya.

Bila saya pulang ke KL, saya selalu berjumpa dengan beliau. Saya menziarahi beliau di rumahnya. Adakalanya, kami berjumpa di masjid sahaja. Bersembang kisah kisah semasa menunaikan haji dan juga kisah keluarga dan kerjaya.

Saya amat baik dengan beliau.

Bahkan.... Saya selalu juga chatting dengan beliau di facebook dan whatsapp.

Terima Panggilan Telefon

Tiga minggu lepas, saya menerima satu panggilan telefon daripada nombor Hj Amir Mekah. 

Pada waktu itu, saya sedang memandu kereta dan berada sekitar Baling, Kedah.

Dia kawan baik saya. Jadi saya menjawab panggilan telefon tersebut seperti biasa.

Peliknya.... Isterinya yang bercakap. 

"Ini Haji Firdaus ker? Yang pergi haji tahun 2011 dengan Amir?" isterinya bertanya.

"Ya saya. Ini Ayu ke (Isteri Hj Amir)? saya bertanya.

"Ya. Hj Firdaus.. Tahu tak berita mengenai Amir?" Ayu bertanya kepada saya.

"Tak tahu, kenape? Apa jadi dengan Amir?" saya bertanya kembali.

"Amir dah tak ada... Dia dah meninggal," Ayu menceritakan kepada saya dalam keadaan sebak.

Terus saya memberhentikan kereta ke tepi jalan. Saya tidak dapat mengawal perasaan pada waktu itu. Saya terkejut. 

Isterinya Ayu menceritakan kepada saya bahawa Hj Amir meninggal dunia ketika menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Tahan. Saya kenal Hj Amir, beliau memang gemar outdoor aktiviti. Bahkan, dia dah terlalu biasa dengan aktiviti mendaki gunung, berkayak, berkhemah dan macam macam aktiviti lagiu.

Isterinya menceritakan Arwah meninggal disebabkan sesak nafas ketika berada di puncak Gunung Tahan. Dan berita ini tersebar ke seluruh negara melalui berita dan surat khabar. Cumanya, saya yang tak tahu sebab saya memang tak tonton berita dan tak baca surat khabar.

Walau bagai mana pun, isterinya bersyukur kerana Arwah meninggal dalam keadaan bersedia untuk pergi menghadap Illahi.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Arwah menyatakan kepada rakan rakan bahawa beliau sakit dada. Rasa sesak. Dan beliau menyatakan kepada rakannya.. Mungkin masanya untuk 'pergi' sudah tiba.

Dalam keadaan sesak itu, beliau menukarkan pakaian beliau kepada pakaian yang suci dan bersih. Arwah kemudian mengambil wudhuk dan duduk berehat di tepi sahabatnya. Beliau mengucapkan kalimah syahadah, dan terus meninggal dunia.

Allah Allah.... Mudahnya Allah menjemput beliau.

Isterinya bercerita kepada saya bahawa arwah dalam setahun dua ini selalu bercakap kepada beliau yang arwah merasakan yang beliau akan 'mati' tidak lama lagi.

Maka, arwah banyak mewasiatkan itu dan ini kepada isterinya. Arwah berpesan kepada isterinya untuk memastikan anak anak mereka rajin membaca Al Quran dan tidak meninggalkan solat.

Arwah berpesan kepada Ayu, sekiranya arwah tiada.. Arwah menyuruh Ayu untuk pulang ke Kelantan di rumah ibu bapa Ayu.

Sebenarnya, pada tahun 2011 Arwah pergi menunaikan haji seorang diri kerana beliau memberitahu isterinya yang beliau tak mahu berlengah lagi untuk menunaikan haji. Beliau takut tak sempat menunaikan haji. In fact, beliau memesan kepada isterinya, andainya beliau tiada nanti, beliau meminta isterinya untuk menunaikan haji dengan ibu bapanya.

Kalau nak diikutkan. Banyak lagi wasiat yang ditinggalkan oleh Arwah kepada isterinya. Arwah seolah olah mengetahui yang beliau akan 'pergi' dalam masa terdekat.

Semasa Arwah meninggal, cuaca di Gunung Tahan tidak berapa baik. Maka, pihak penyelamat tidak dapat menurunkan mayatnya dari atas gunung itu. Mayatnya hanya boleh diturunkan selepas 3 hari setengah di atas sana.

Allah Allah.... Namun, keajaiban berlaku. Mayat arwah langsung tidak berbau. Bahkan, semasa bedah siasat. Doktor pun macam tidak percaya yang mayat sudah meninggal 3 hari. Mayat masih dalam keadaan yang amat bersih dan sempurna.

Anda boleh baca laporan doktor yang menjalankan bedah siasai ke atas Arwah di sini. 

Allah Allah. Allah mahu menjaga jasad hambanya yang menjaga hubungan dengannya. Saya kenal Arwah. Arwah merupakan seorang yang kuat beribadah. Rajin membaca Al Quran, Al Mathurat. Qiamullail dan sebagainya.

Berita kematian Arwah juga terpampang di dada dada akhbar utama di Malaysia. Antara sedutannya adalah:

Harian Metro
Jenazah Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab Wahab, 35, yang berada di Kem Belumut akhirnya dikeluarkan pada 11 pagi tadi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daearah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata helikopter yang membawa jenazah itu selamat mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis.

"Mayat arwah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Arwah Amir Kamaruzaman bersama-sama 23 orang rakan pendaki yang lain dari Lembah Klang memulakan pendakian Gunung Tahan bermula di Taman Negara Relau, Merapoh dekat sini pada 11 Feb lepas. 

Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas serta sakit dada sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke puncak antara Kem Kor dengan Kem Belemut pada aras ketinggian 1,406 meter pada 9.30 malam Rabu lepas.

Katanya operasi membawa keluar mangsa menggunakan helikopter berkenaan bermula pada Khamis, tetapi gagal kerana keadaan cuaca buruk.

"Operasi diteruskan lagi semalam namun gagal berikutan hujan lebat dan cuaca berkabus setelah tiga kali cubaan dilakukan.

"Syukurlah, pada pagi tadi cuaca kembali cerah di puncak berkenaan sehingga membolehkan operasi mengangkat mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 20 meter berjalan lancar tanpa apa-apa halangan," katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya berterima kasih kepada semua anggota unit pasukan beruniform dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut terbabit dalam operasi berkenaan.  

Sementara itu, beliau meminta semua pendaki dan pengusaha pelancongan yang ingin membuat ekspedisi mendaki puncak Tahan supaya benar-benar membuat persiapan rapi khususnya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan doktor sebelum melaksanakan kegiatan berkenaan.

"Saya juga ingin menasihatkan semua pendaki melaksanakan kegiatan berkenaan pada musim panas dan cuaca yang baik di samping menyediakan keperluan makanan yang secukupnya," katanya.

Katanya mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Lipis hari ini dan akan dibawa pulang anggota keluarga dan rakan rombongan pendaki untuk dikebumikan di kampungnya di Lembah Klang. - 

Pendaki Gunung Tahan maut akibat sesak nafas


KUANTAN - Seorang pendaki dilaporkan mati malam tadi selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan dekat Kuala Lipis.
  
Mangsa menyertai pendakian bersama 23 pendaki lain sejak Isnin lalu.
  
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan, mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal kira-kira 9.30 malam.
  
"Pihak bomba dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 8.45 pagi tadi. Usaha untuk membawa turun mayat mangsa sedang diusahakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk berhubung dengan pasukan pendaki itu berikutan cuaca buruk.

"Helikopter bomba gagal memasuki kawasan hutan berkenaan berikutan hujan lebat. Semua pendaki telah diarahkan turun mengikut jalan darat.
  
"Hanya dua pendaki ketika ini berada di Kem Belumut bersama jenazah. Operasi menggunakan helikopter bagi membawa mayat mangsa keluar dari kawasan hutan mungkin hanya dapat disambung esok pagi," katanya.
  
Sementara itu jurucakap polis Daerah Lipis berkata pihak polis juga sedang mendapatkan butiran lanjut berkenaan kumpulan pendaki itu serta identiti mangsa.
  
"Pihak polis menerima maklumat tentang kejadian kira-kira 11 malam tadi. Bagaimanapun operasi untuk membawa keluar semua pendaki itu mengalami kesukaran berikutan hujan lebat serta kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan," katanya. - Bernama

Lelaki meninggal di Gunung Tahan

Kuala Lipis: “Saya penat. Boleh kita berehat sekejap?,” kata kakitangan sebuah syarikat insurans di Klang, Selangor, sebelum dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, ketika mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Tahan di sini.

Amir Kamaruzaman Abdul Wahab, 35, berkata demikian kepada jurupandu ekspedisi, Sabri Zoo, 25, dipercayai kerana terlalu penat ketika mendaki pada ketinggian 1,493 meter selepas empat hari berada di Taman Negara.

Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang semalam, usaha mengeluarkan jenazah mangsa gagal berikutan cuaca di sekitar Jerantut dan Lipis masih buruk dengan hujan serta angin kencang yang menyukarkan operasi menyelamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya sudah menghubungi Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat di Subang, Selangor, untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa pada jam 1.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, usaha membawa keluar mayat mangsa bagaimanapun sukar kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dengan kabus tebal menyebabkan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa pulang ke pangkalan.

Katanya, polis juga gagal menghubungi jurupandu kumpulan ekspedisi itu untuk mengetahui kedudukan sebenar mereka namun usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan selepas cuaca mengizinkan.

Nasihat Buat Isteri Arwah
Saya mengucapkan takziah kepada Ayu atas pemergian Arwah Amir. Saya memberi kata kata semangat kepada beliau untuk terus tabah meneruskan kehidupan membesarkan anak anaknya selepas ini
Sekarang ini, Ayu sedang mengandung 7 bulan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada Ayu untuk menghadapi saat saat yang mencabar ini.
Berita Kedua

Sedang saya berkira kira untuk menulis entri mengenai Arwah Haji Amir di blog ini. Saya menerima panggilan telefon daripada anak kepada Pak Cik Tajudin yang saya dan Arwah Haji Amir bantu beliau ketika di Tanah Suci dahulu.

Anaknya memaklumkan kepada saya bahawa Pak Cik Tajudin sudah meninggal dunia akibat sakit tua. Mereka memohon maaf kerana tidak memaklumkan kepada saya kematian arwah lebih awal.

Saya terkejut. Allahuakbar. Dua insan yang begitu rapat dengan saya semasa saya di Tanah Suci dahulu sudah pun dijemput menghadap Illahi.




Dalam kenangan. Arwah Haji Amir dan Arwah Hj Tajudin. Bila melihat gambar ini, terfikir... Bilakah giliran saya untuk dijemput menghadap Nya.
Ayuhlah... Para pembaca yang saya kasihi sekelian.. Marilah kita semua mensedekahkan bacaan Al Fatihah untuk kedua dua mereka.
Semoga Allah melimpahkan kasih sayang Nya kepada mereka berdua. Dimasukkan mereka ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin..
Buat kedua dua sahabatku..... "Damailah Kalian Di Sana... Semoga Allah Menyediakan Jannah Seluas Luasnya Buat Kalian Berdua"
Wassalam

1 ulasan:

  1. Assalam,
    Semuga dalam limpah rahmat Allah.

    Takziah buat keluarga Hj Amir dan Hj Tajudin. Semuga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang orang yang soleh dan beriman. Amin.

    Semuga keluarga mereka diberi ketabahan dan kesabaran dalam menempuh kehidupan seterusnya.
    Wassalam,
    AJ

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top