Assalamualaikum,

Pernah tak anda mendengar ayat ini :

"Barang siapa yang meringankan beban saudaranya di dunia ini, Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat"

Seingat saya, ayat ini saya belajar dalam Buku Teks Bahasa Arab semasa saya di Tingkatan 3 dahulu. Ayatnya mudah. Tapi, amat terkesan di hati saya.

Saya Ada Masalah

Salah satu masalah utama saya dalam ternakan ayam daging ini adalah Baja Tahi Ayam. Sebelum ini, jumlah beg baja yang saya ada sekitar 3000 beg setiap kali ayam habis di jual. Syukur Alhamdulillah. Selama 7 tahun ini, saya tidak pernah menghadapi masalah untuk menjual baja ini.

Setiap kali tiba masanya, ada sahaja orang yang Allah hantar untuk 'beli' baja tahi ayam saya ini. Setiap kali habis. Syukur.

Ada sahabat penternak yang lain yang terpaksa melonggokkan baja mereka di luar reban ayam kerana kekurangan pembeli. Dari segi biosekuriti, teramat tak elok untuk ayam.

Tapi, kali ini masalah saya berganda. Dengan pembukaan reban ayam baru, jumlah baja saya bertambah menjadi 5000 beg. Dan dua bulan lagi, jumlah beg akan meningkat kepada 6500 dengan pembukaan sebuah lagi unit reban baru.

Masalah Serius

Untuk kali ini, saya baru ada 1000 beg baja yang ditempah. Masih ada 4000 beg yang belum ada pembeli.

Seperti biasa, saya 'serahkan' masalah saya ini kepada Allah. Saya buat yang terbaik dari segi promosi. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah.

Ayam sudah mula dijual. Tetapi, masih belum ada orang yang menelefon saya untuk menempah baki 4000 baja itu.

Allah Allah. Mana saya nak 'campak' baja baja ni. Bukan mudah.

Hampir setiap hari, saya menunaikan Solat Hajat, Solat Tahjud dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan jualan baja tahi ayam ini. Saya doa agar Allah membuka hati pelanggan untuk membeli baja daripada saya.

Berdoa dengan penuh harapan agar urusan ini dibantu Allah.

"Ya Allah, aku dalam kesusahan ya Allah. Bantu aku ya Allah. Permudahkan urusanku ya Allah. Bukakan pintu hati pembeli untuk membeli baja tahi ayam daripada ku ya Allah. Robbi Yassir Wala Tuassir"

Saudara Minta Tolong

3 hari lepas, ada sepupu saya menghubungi saya. Beliau kesesakan wang. Beliau mahu meminjam kepada saya sejumlah RM XXXX.

Mengikut sejarah, sepupu saya dan adik beradiknya memang selalu meminjam wang daripada saudara mara yang lain.

Kebiasaannya, mereka tidak membayar balik wang yang dipinjam ini. Akhirnya, hubungan saudara mara menjadi renggang akibat hutang yang tak dibayar ini.

Saya menghubungi bapa saudara saya yang lebih rapat dengan beliau. Bapa saudara saya mengatakan yang beliau memang selalu berhutang dan memang tak pernah bayar. Jadi, terpulang kepada saya sama ada nak bantu atau tidak.

Memikirkan 'kesesakan' dan 'masalah' yang sedang beliau hadapi. Di samping rezeki yang Allah berikan kepada saya yang terlalu banyak sehingga tak mampu saya nak hitung. Saya buat keputusan.

Saya mesej beliau dan meminta nombor akaun dan terus transfer ke akaun beliau.

Saya katakan, " Bang, abang tak perlu bayar balik duit ini. Saya sedekahkan saja. Semoga Allah permudahkan urusan. Saya tak dapat memberi penuh macam yang abang minta. Diharap sumbangan kecil ini dapat membantu."

Saya mendoakan agar Allah meringankan beban beliau. Kemudian, saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, Kau telah berjanji untuk meringankan beban hamba Mu jika ia meringankan beban hamba Mu yang lain. Permudahkan urusanku ya Allah. Ringankan bebanku di dunia dan diakhirat"


Dua Hari Kemudian

Semalam, saya menerima dua panggilan telefon. Mereka menempah baja tahi ayam saya. Kesemuanya. Semua 4000 beg baja ini habis ditempah. Sehingga saya terpaksa membeli baja daripada kawan saya pula. Alhamdulillah.

Bantuan Allah ini juga datang selari dengan pelancaran Projek Sumbangan Beras Untuk Mereka Yang Memerlukan.

Benarlah janji janji Allah.

"Barang siapa yang meringankan beban saudaranya di dunia ini, Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat"

Syukur Alhamdulillah. Saya sujud syukur di atas pertolongan yang Allah berikan.

"Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu atas pertolongan yang Kau berikan. Jadikanlah aku hamba Mu yang bersyukur."
Projek Beras

Setakat hari ini, sumbangan yang diterima sudah mencecah RM3,275. Bersamaan 131 kampit beras. Alhamdulillah. Saya sekarang mula menghubungi pihak kilang beras untuk membuat belian ini. Akan diuruskan dalam masa terdekat.

Semoga Allah terus memudahkan urusan saya. Di dunia dan di akhirat. Semoga rezeki yang diberi Allah akan terus dapat dikongsi dengan orang lain.

Wassalam

1 comments:

  1. Salam, kalau tak keberatan, sila lah like page kami di facebook. Terima kasih. http://www.facebook.com/ScarfHaus

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top