Assalamualaikum,

Ramai dikalangan pembaca blog ini mempunyai anak perempuan. Dan ada juga pembaca yang 'memaksa' anak mereka baca blog ini.

Ini berdasarkan 'feedback' yang saya dapat daripada para pembaca sendiri. Mereka selalu memesan anak mereka untuk membaca blog ini. Terharu rasanya. Semoga, ia menjadi ilmu yang bermanfaat untuk kita semua.

Kali ini, saya nak berkongsi dengan anda mengenai pemilihan pasangan dalam kehidupan.

Ceramah Ustaz Shamsuri

Saya pernah mendengar ceramah Ustaz Shamsuri, Al Fadhil ustaz ada mengatakan "Perempuan adalah atas agama suaminya". Maksudnya, perempuan akan mudah terpengaruh dengan 'kefahaman' agama suaminya.

Jika si suami berpegang teguh dengan ajaran Islam. Si isteri akan turut berpegang teguh dengan ajaran Islam. Tetapi kalau si suami tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam, si isteri mungkin 'terpengaruh' dan akhirnya semakin terikut ikut cara kehidupan suaminya.

Saya beri contoh, ada saudara saya. Seorang perempuan. Dahulu saudara saya ini memang tidak pernah meninggalkan solat. Memang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Tetapi, selepas berkahwin dengan suaminya. Disebabkan si suami pun tidak mengambil berat hal solat. Lama kelamaan, saya perhatikan mereka dua dua orang tidak menunaikan solat.

Saya tidak berani menegur mereka secara direct. Lemahnya saya. Saya menulis di blog ini supaya tidak berlaku senario sebegini terhadap diri kita, anak anak kita dan ahli keluarga kita.

Sebab itulah pentingnya kita memesan kepada anak kita untuk mencari pasangan yang terbaik untuk menjadi teman hidup mereka.

Boleh dikatakan, seseorang perempuan itu masuk syurga atau neraka banyak dipengaruhi oleh suaminya. Sekiranya suami seorang yang soleh, banyak urusan agama dapat diselesaikan. Dan mudah untuk masuk ke syurga.

Namun, jika suami tidak soleh, misalnya tidak menunaikan solat, tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak penting halal haram, makan rasuah, merokok dan pelbagai perkara negatif lagi, ia akan mempengaruhi kehidupan anak anak kelak. Dan si isteri mungkin terpengaruh dengan kehidupan suami yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ya akhirnya... 'menyusah'kan hidup mereka di akhirat kelak.

Sebab itulah, pentingnya mencari suami yang soleh.

Memilih lelaki untuk dijadikan suami bukan semudah memilih baju untuk hadir majlis hari jadi. Jika baju, tak suka yang itu, pilih saja yang ini. Kalau warnanya tak match, pilih saja warna yang lain.

Tapi, kalau suami, sekali dah tersalah pilih. Bukan mudah untuk nak patah balik ke belakang.

Bagaimana Mengenal Lelaki Yang Baik?

Bagaimana hendak mengenal lelaki yang sesuai, baik, serasi dan yang penting soleh? Persoalan ini memang patut menghantui setiap orang sebab jika tersalah pilih, hidup akan menjadi amat tidak selesa.

Macam-macam perkara boleh ditimbulkan oleh lelaki, tatkala dia sudah pun bergelar suami. Tidak semudah menukar baju jika ingin lari darinya.  Suami dah jadi macam bagaikan baju plastik yang melekat di badan kita.

Jika anda mendapat lelaki yang okey dari segala sudut, anda sangat beruntung. Perbanyakkan sujud syukur. Hidup anda akan dipenuhi dengan keindahan dan kenikmatan.

Tetapi jika anda mendapat lelaki yang tidak okey segala sudut,  "Selamat Datang Ke Neraka Dunia?"

Apa kriteria yang boleh anda pegang apabila memilih lelaki:

1. Lihat Agamanya

Pertama sekali, lihat bagaimana agamanya. Jika dia nyata mengabaikan kewajibannya sebagai manusia yang beragama, (terutama sembahyang fardu), usahlah harapkan sesuatu yang menarik daripadanya. Mungkin dia kaya dan penyayang serta boleh memberikan semuanya, tetapi tanpa haluan menuju ketuhanan, dia bukanlah pilihan terbaik. TINGGALKAN DIA.

Betul, bukan semua lelaki yang sembahyang itu baik, tetapi sekurang-kurangnya haluan pimpinannya jelas. Agama diturunkan untuk memantau kehidupan manusia, maka manusia perlu menerima pantauan itu untuk selamat. Dalam soal ini tiada siapa terkecuali.

2. Lihat Akhlak Dengan Ibubapanya

Kedua, annda perlu lihat bagaimana dia melayani ibu bapanya. Seorang lelaki yang bertanggungjawab adalah seorang yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapanya.

Anda boleh lihat dengan jelas akan hal ini. Jika dia menangguhkan pulang ke kampung semata-mata untuk anda, dia bukanlah seorang family man, lantas bukanlah calon terbaik untuk menepati ciri-ciri lelaki pilihan.

Seorang lelaki yang mengambil berat ibu dan ayahnya adalah seorang yang boleh diharap. Percayalah.

3. Lihak Akhlaknya Dengan Anda

Bagaimana dia berkelakuan sewaktu bersama anda? Jika dia demand beberapa hal yang tidak munasabah dan “tidak boleh” sebelum masanya, dia bukanlah lelaki yang terbaik.

Cinta tidak perlu dibuktikan dengan perlakuan-perlakuan sumbang yang membawa kemurkaan TUHAN. Ramai wanita silap dalam menafsirkan pengorbanan cinta. Berkorbanlah untuk mendapatkan cinta yang sejati, tetapi tidak usah hingga terkorban diri.

Ingat, wanita ibarat rama-rama, selagi warna sayapnya tidak terurai, selagi itulah dia diminati dan disayangi.

4.  Lihat Bagaiman Keluarganya Melayaninya

Bagaimana keluarga melayaninya?  Jika boleh dapatkanlah latar belakang keluarganya. Keluarga yang rosak dan porak peranda biasanya terdiri daripada ahli yang rosak dan juga porak peranda.

Perhati juga bagaimana keluarga melayaninya. Jika keluarga baik terhadapnya, itu menandakan dia baik terhadap keluarga.

5. Perhatikan Siapakah Sahabatnya ?

Siapa sahabatnya yang rapat dengannya? Untuk mengenali dia lihatlah siapa sahabatnya. Sahabatnya adalah cermin untuk dirinya. Jika sahabat-sahabatnya adalah mereka yang baik budi pekerti serta boleh diharap, dia juga sama. Sebaliknya jika dia hanya bergaul dengan orang yang rosak akhlak, dia juga mungkin tidak terkecuali.

Kalau anda perhatikan, selepas perkahwinan agak sukar untuk dia mengubah kawan kawannya. Kalaulah kawan kawannya tidak baik dan tidak menunaikan solat. Mungkin beliau juga begitu.

6. Apakah minatnya?

Apakah kegiatan hidupnya lantaran jika dialah pilihan anda dan anda mahu mengakhiri hubungan itu dengan perkahwinan, usah ambil mudah tentang aktiviti hidupnya, maksud saya pekerjaan serta kegemaran serta wawasannya. Ini penting sekali sebab corak kehidupan akan ditentukan oleh apa kegiatan hidupnya serta apa kegemarannya juga apa wawasannya.

Pastikan dia mempunyai pekerjaan, tidak semestinya makan gaji, perniagaan juga baik. Pertanian, perladangan, penternakan dan juga perikanan juga baik. Semua itu bidang pekerjaan yang mulia.

Ramai orang tidak kisah dengan bidang pekerjaan teman lelakinya sewaktu di alam percintaan, kemudian menanggung derita setelah berkahwin apabila mengetahui sebenarnya dia tiada pekerjaan, pemalas bahkan penagih dadah. Sukailah dia dan sukailah pekerjaannya, selagi halal, adalah mulia di sisi ALLAH.


7. Lihat Diri Anda Sendiri.

Lihatlah diri anda sendiri. Lihatlah diri anda sendiri. Lihatlah diri anda sendiri.

Saya mengulanginya sebanyak tiga kali kerana sebelum anda melihat orang lain. Anda perlu melihat diri anda sendiri.

Jika anda baik, insya Allah. Allah akan hantar orang yang baik untuk anda.

"Usah bermimpi mendapat suami sehebat Saidina Ali jika dirimu tidak sehebat Fatimah"

Untuk dapat yang baik, kita dahulu perlu menjadi baik.

Bagaimana lelaki yang anda inginkan begitulah diri anda sebenarnya. Jika anda memiliki akhlak yang baik, dia semestinya juga begitu. Jarang orang yang tidak sama peribadi boleh menjalin hubungan intim dan penuh persefahaman.

Mengenali lelaki adalah cabaran utama wanita dalam langkah pertama membina cinta. Mengenali peribadi dan psikologi lelaki pula adalah langkah tuntas menuju kebahagiaan dan kecemerlangan keluarga setelah berkahwin. Lelaki bagaimanakah yang anda inginkan? Pilih, kemudian tafsir, renung dan fikir, usah suka, terus ambil kemudian kahwin lalu menderita.

Anda Mahu Masuk Syurga Dengan Mudah?

Jawapannya mudah. Pilihlah suami yang soleh. Selalulah berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, kurniakanlah aku suami yang soleh, kaya, handsome, beragama, memenuhi citarasaku dan sudi membimbing aku ke syurga Mu"

Berdoalah lima kali sehari, setiap kali selepas menunaikan solat. Yakinlah. Allah akan memberi seorang suami yang soleh dan baik hati. Berdoalah doa ini walaupun anda baru di peringkat sekolah. Lagi awal anda berdoa, lagi mudah Allah nak makbulkan doa anda.

Jika tidak didunia.. Allah akan beri di syurga sana...

Semoga artikel ini memberi manfaat untuk kita semua.

Wassalam

Jika and rasa artikel ini baik untuk dikongsi dengan anak anak anda, dengan rakan anda. Sila tekan Like Button di bawah ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

3 ulasan:

  1. mohon untuk share di blog saya yer..

    BalasPadam
  2. Assalamulaikum tuan,
    mohon share artikel yang sangat bagus ini ya.

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top