Assalamualaikum,

Bukan mudah mendidik anak hari ini. Saya mungkin masih belum merasai cabaran ini kerana anak anak saya masih kecil.

Yang saya maksudkan sekarang adalah mendidik anak anak yang berumur sekitar 10-20 tahun. Ramai yang pening kepala dengan 'akhlak' anak anak hari ini.

Tapi, saya nak kongsi dengan anda pengalaman menziarahi rumah dua pembaca blog ini baru baru ini. Mereka menjemput saya dan Maria ke rumah mereka sempena ziarah kami ke Kuala Lumpur.

Rumah Pertama

Terletak di Selangor. Shah Alam. Saya dan Maria tiba di rumah mereka sekitar jam 10.30 pagi. Saya bersembang dengan mereka. Dan berkongsi sedikit sebanyak mengenai pengalaman saya menjalankan perniagaan.

Bukan ini yang ingin saya kongsikan dengan anda.

Yang ingin saya kongsikan dengan anda adalah bagaimana cara mereka mendidik anak anak mereka.

Mereka ada 3 orang anak perempuan. Seorang di United Kingdom dan dua orang masih belajar dan tinggal bersama mereka.

Saya sebenarnya agak terkejut dengan akak ini. Beliau dah lama membaca blog saya. Dan beliau merasakan blog ini banyak berkongsi perkara perkara yang baik. Dan beliau selalu meminta anak anaknya membaca blog saya.

Dan kadang kadang, mereka selalu berbincang tentang topik topik yang saya utarakan di blog.

Hmmm... Saya tak sangka ada pembaca yang meminta anak-anak mereka membaca blog saya.

"Hmmm.. Betul bang. Mama selalu suruh kita orang baca blog abang,"  kata anak bongsu akak ini.

Dari segi akhlak. Saya kagum melihat dua puteri mereka ini. Dari segi pakaian. Mereka menutup aurat dengan sempurna. Sebenarnya, benarlah kata orang tua tua. "Ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak anak mereka".

Akak yang menjemput saya sendiri pun memakai jubah serta bertudung sempurna. Bila ibu dah macam tu, macam tulah juga anak anaknya.

Bila anak anaknya turun ke bawah, mereka sudah maklum saya ada di bawah. So, mereka memakai 'baju sejuk' untuk berpakaian dengan lebih sempurna.

Inilah yang dikatakan 'sejuk mata ibu bapa' dapat anak anak macam ni.

Dan saya amat yakin, anak anak mereka adalah anak yang solehah. Cara mereka bercakap, cara mereka berinteraksi sudah menggambarkan akhlak mereka yang amat baik.

Dan salah seorang anaknya akan mula menghadapi peperiksaan SPM esok hari. Sama sama kita doakan kejayaan anaknya dalam peperiksaan esok hari.

Dan sekitar jam 12.45 tengah hari, saya meminta diri untuk pulang. Dan pada waktu ini, suami akak ini sudah siap berjubah untuk ke Masjid. Sejuk mata melihat mereka yang suka menunaikan solat berjemaah ini.

Selepas itu, kami memohon diri untuk berangkat pulang.

Rumah Kedua

Saya juga dijemput untuk datang ke rumah oleh salah seorang pembaca blog ini di satu tempat yang tak perlu dinyatakan.

Saya pernah berhubung dengan pembaca blog ini melalui emel, FB dan telefon. Cuma tak pernah bersua muka saja lagi.

Sekali lagi, saya kagum dengan cara mereka mendidik anak anak mereka.

Entah mengapa, akak ini juga menceritakan anak anaknya semua mengenali saya. Mereka juga 'dipaksa' untuk baca blog saya.

Sehingga ada anak mereka yang kecil berkata, "Ma, kenapa kita perlu baca blog usahawan ayam daging ni?"

Saya pun tergelak.

Bila saya tanya, entri mana yang akak suruh anak baca. Beliau cakap. Banyak jugalah. Bila berkaitan dengan sesuatu yang perlu diketengahkan kepada anak anak mereka. Misalnya, bila saya cerita mengenai kanak kanak yang suka bising ketika khatib membaca khutbah.

Dan satu yang saya kagum. Akak ini MEWAJIBKAN ANAK LELAKINYA UNTUK bersolat fardhu di Surau berhampiran dengan rumah mereka.

Dan saya beritahu akak ini, "Akak, saya suka apa yang akak buat. Dulu masa saya kecik pun. Saya selalu dipaksa oleh arwah nenek saya untuk bersolat di surau. Dan Alhamdulillah, kesannya sekarang saya dah 'terbiasa' bersolat fardhu di Surau".

Selain itu, saya berasa bangga akak ini 'mengajar anak perempuannya' yang masih kecil untuk bertudung ketika di rumah semasa ada tetamu. Kalau tak silap saya, anak perempuannya sekitar umur 8 tahun.

Perkara macam ni jarang saya lihat ketika berziarah di rumah orang lain. Anak perempuan pada usia 8 tahun 'jarang' yang nak pakai tudung di rumah ketika orang lain datang ziarah.

Cuma, saya berasa bangga dan kagum dengan cara mereka mendidik anak anak mereka.

Saya tak lama di rumah akak ni kerana saya perlu berangkat pulang ke Parit Buntar. Sebelum pulang, saya berjumpa dengan anak sulung akak ini yang baru habis PMR dan saya berkata kepadanya.

"Adik sekarang dah habis exam. Nak enjoy, boleh enjoy. Cuma, kalau boleh gunakan peluang yang ada sekarang ini untuk buat sesuatu yang menambah nilai hidup adik. Misalnya, cuba hafal Juzuk ke 30 Al Quran sepanjang cuti ni. Percayalah. Adik akan mampu lakukannya dalam masa sebulan kalau adik betul betul fokus melakukannnya"

Kemudian dia membalas, "Juzuk juzuk lain bila nak hafal abang?"

"Hafal juzuk 30 dulu. Jangan fikir nak hafal juzuk juzuk lain lagi. Dah hafal juzuk 30. Baru fikir yang seterusnya" saya menasihatinya.

Terus akak ni kata, "Bagus Firdaus. Bagi nasihat lagi kat anak akak ni."

Alang alang akak ni dah suruh bagi nasihat, saya menambah.

"Adik, adik ni lelaki. Adik perlu cuba untuk jadi BE A GOOD BASIC MUSLIM. Maksud abang, sebagai lelaki, adik perlu belajar untuk buat perkara perkara asas sebagai seorang Muslim. Adik perlu belajar cara untuk jadi imam. Mesti tahu mengetuai bacaan tahlil dan bacaan doa. Mesti tahu mengimamkan solat jenazah. Kalau dah tahu bagus. Kalau tak tahu, belajarlah. Ini saja nasihat saya".

Alhamdulillah.

Saya rasa gembira kerana dapat menambah nilai hidup orang lain pada hari itu. Sekurang kurangnya, saya dapat berkongsi sedikit ilmu yang Allah berikan kepada saya dengan orang lain. Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Dan semoga ia menjadi pencen kubur saya satu hari nanti.

Semoga Allah memberkati hidup kita semua.

Moga kisah ini memberi pengajaran kepada kita semua untuk terus mendidik anak anak kita mengikut lunas lunas yang diajarkan oleh Islam. Semoga kita semua berbahagia. Di dunia dan di akhirat.

Wassalam




* Jika anda suka dengan entri ini, sila tekan button LIKE di bawah.

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top