Assalamualaikum,

Saya tinggal di kawasan kampung. Di sini, ramai kanak kanak yang berusia di antara 7-15 tahun.

Anak anak jiran saya pun ramai. Dan rumah saya berhadapan dengan Surau Simpang 4. Dan surau ini selalunya menjadi tumpuan kanak kanak ini.

Yang menjadi masalah, surau ini menjadi tumpuan untuk mereka berkumpul dan bermain. Tak ramai yang akan menunaikan solat. Even bila dan masuk waktu solat.

Bila ada sedikit yang naik solat, mereka main dan bersembang pula ketika solat. Masya Allah.

Dan tren ini tidak berlaku di surau saya sahaja, ia berlaku di masjid masjid di sekitar rumah saya.

Ia Mengerikan

Bila mengenang apa yang saya lihat. Saya berasa takut. Sebab anak saya juga akan dibesarkan dalam keadaan ini.

Fenomena ini sebenarnya tak jauh bezanya dengan suasana semasa saya kecil dulu.

Bila dah besar sekarang, baru sekarang saya faham kenapa ibu bapa saya dahulu tak bagi saya 'lepak-lepak' dengan kawan kawan di surau.

Bila kanak kanak ini lepak di luar surau, ibu bapa menyangka yang anak anak mereka bersolat. Hakikatnya tidak.

Tegur

Kalau anda tanya saya, pernahkah saya menegur mereka? Jawapannya, dah banyak kali. Dan budak budak di sini ramai yang 'takut' dengan saya.

Bayangkan, dikala para jemaah sedang bersolat di atas surau. Mereka 'rancak' bersembang di bawah. Bila imam bagi salam, saya cepat cepat turun ke bawah. Dan mereka semua sudah 'hilang'.

Ada sekali sekala mereka 'terperangkap' dengan saya. Bila saya terlewat ke surau. Dan mereka masih ada di bawah ketika para jemaah sudah bersolat. Saya 'paksa' mereka untuk naik atas. Dan mereka semua pun 'terpaksa'lah naik ke atas.

Saya dah selalu tegur. Saya terangkan kepada mereka yang mereka dan besar. Ada yang dah pun baligh. Saya cerita bab dosa pahala. Saya cerita bab syurga neraka. Masa saya cerita, ada sedikit keinsafan di wajah mereka. Tapi, selang beberapa hari. Mereka masih belum berubah.

Ada sekali, saya bengang sangat sebab budak budak ni bersembang ketika solat. Selepas solat saya terus ke belakang. Saya cadang nak jentik saja telinga budak budak tu. Tapi disebabkan masa saya nak jentik telinga budak budak tu tutup telinga dengan tangan. Terus saya tampar budak tu.

Terus saya kena 'serang' dengan ibu bapa budak tu. Ibu bapa dia cakap, dia pun tak pernah tampar anak dia. Kenapa saya tampar anak dia. Aduh.. Free free saya kena.

Sebenarnya, ramai di kalangan jemaah di sini yang 'tak berani' nak tegur budak budak ni. Ramai yang bersikap 'malas nak tegur'. Ada jemaah yang tegur, budak budak ni pancitkan tayar motorsikal mereka. Dan macam macam lagi.

Ada pula yang kata, "Malas nak tegur, nanti ibu bapa budak budak ni marah balik"

Dan saya pula, tak boleh tengok budak budak lepak di bawah surau tak solat semasa para jemaah lain bersolat. Hangin aja rasa.

So, saya memang 'aktif' tegur budak budak ni.

Berkawan

Saya cuba pelbagai helah untuk buat baik dengan mereka. Saya cuba untuk 'berkawan' dengan mereka.

Saya cuba bersembang hal-hal kanak kanak hari ini. Bab facebook. Bab game. Bab jalan jalan. Sekadar nak menyelami hati dan perasaan mereka.

Dan saya nak tunjukkan mereka yang saya 'concern' kepada mereka.

Ada kala, saya ajak mereka sekitar 7-8 orang pergi makan di kedai dan saya belanja mereka makan. Di kedai, saya bagi 'tazkirah' kepada mereka. Saya nasihatkan yang simple simple bab solat saja. Nak bagi mereka rasa 'bertanggung-jawab' untuk bersolat.

Adalah sehari dua terkesan di hati mereka. Selepas itu, mereka kembali seperti sedia kala. Kadang kadang, dari jauh mereka nampak saya datang. Mereka sama ada cepat cepat naik ke surau atau pun cepat cepat 'cabut lari'.

Seolah olah saya ni dah jadi 'malaikat maut' pula.

Berani

Ada budak yang berani. Berani mencabar saya. Umur 13 tahun. Orang sudah azan Maghrib. Saya suruh mereka semua naik atas.

Dan budak ni jawab, "Bang, hari ini saya tak mau solat. Abang nak buat apa dekat saya?"

Dan saya jawab, "Adik, hang dah besar. Kalau hang tak solat. Bukan abang yang nak masuk neraka. Hang yang nak masuk neraka. Kalau hang pi solat. Hang yang akan masuk syurga. Bukan abang. So, ikut hang la. Kalau hang rasa nak solat. Hang pi solat. Kalau hang tak mau solat. Hang pi lah mana hang nak pi"

Bayangkan. Betapa stressnya saya berhadapan dengan mereka ini. Cumanya, selepas saya dengar banyak ceramah Prof Muhaya. Saya lebih tersedar. Cara yang saya buat dengan mereka selama ini kurang berkesan.

Saya banyak menegur mereka bila mereka buat salah. Tapi saya tak pernah memuji mereka bila mereka naik solat.

Disebabkan saya lebih banyak menegur dan kurang memuji. Hubungan di antara saya dan mereka tidak rapat. Sebab itulah saya rasa apa yang saya cakap kepada mereka selama ini tidak terkesan.

Berdoa

Adakalanya, ketika saya menjadi imam di surau. Saya membaca doa Bahasa Melayu untuk kanak kanak ini.

"Ya Allah, kami mohon kepada Mu. Jadikanlah anak anak kami anak yang soleh dan solehah. Jadikanlah mereka ahli syurga Ya Allah.

Ya Allah, kami mohon kepada Mu, bukakanlah pintu hati anak anak kami untuk menunaikan solat secara berjemaah. Jauhilah mereka daripada bermain main ketika bersolat.

Ya Allah, sesungguhnya anak anak kami ini adalah pewaris kami nanti. Dorongkanlah hati mereka untuk datang menunaikan solat berjemaah di surau ini. Jika mereka tidak datang bersolat di sini hari ini, kami takut mereka tidak akan bersolat di sini ketika mereka dewasa nanti.

Ya Allah. Bantulah anak anak kami dalam pelajaran mereka ya Allah. Berikanlah kejayaan yang cemerlang kepada mereka dalam peperiksaan yang mereka hadapi ya Allah. Bantulah kami. Bantulah kami. Bantulah kami. Berilah taufik dan hidayah kepada anak anak kami"

Ini antara doa yang saya bacakan khas untuk mereka.

Saya mahu mereka dengar. Saya mahu mereka tahu yang kita para ibu bapa di sini amat menyayangi mereka.

Baru Baru Ini

Saya tak boleh tahan. Ada anak jiran saya yang teramat degil. Dia tak mahu bersolat. Dia dah ke surau. Tapi masih tak mahu bersolat.

Saya tiada pilihan. Saya ke rumahnya. Dia terkejut.

Saya bersembang dengan ibunya dihadapannya. Saya ceritakan dihadapan ibu nya apa yang sering berlaku ketika di surau.

Ternyata, ibunya terkejut kerana selama ini dia menyangkan yang anaknya ke surau untuk bersolat.

Saya cuba menasihat dengan penuh kasih sayang kepada anaknya.

Saya cerita apa yang akan berlaku 5 tahun lagi kepadanya jika dia tidak bersolat hari ini. Saya cerita apa yang akan berlaku kepadanya selepas dewasa nanti. Selepas kerja nanti. Selepas berkahwin nanti. Selepas mati nanti. Saya cuba bagi bayangan kepada dia antara syurga dan neraka.

Dan akhir sekali, saya katakan kepadanya.

"Abang minta maaf. Sebab datang rumah malam ni. Abang datang sebab abang saya kat adik. Abang nak adik masuk syurga. Abang tak mau mak ngan abah adik masuk neraka sebab adik tak solat. Abang nak adik berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sekarang umur adik 13 tahun. Adik masih boleh dengar apa yang abang cakap. Kalau lagi 3 tahun abang datang. Takut adik dah tak mau dengar dah"

Adik itu terdiam dan akhirnya dia menangis.

Sebelum pulang, saya peluk adik itu dan saya katakan kepadanya, "Saya sayang kepadanya. Saya tak mahu masa depan dia hancur. Saya tak mahu dia masuk neraka akibat tidak bersolat"

Ibunya amat berterima kasih atas segala nasihat kepada anaknya.

Saya Takut

Ikhlas saya katakan. Saya takut. Saya tak tahu bagaimana Farees dan Fateh akan membesar nanti. Bagaimana keadaan mereka nanti. Kepada Allah jualah saya berdoa. Semoga mereka menjadi ahli syurga dan menjadi orang yang beriman suatu hari nanti. Amin.

Marilah Muhasabah

Kepada para pembaca, ayuh. Ayuh kita muhasabah beberapa perkara:

1) Bagaimana anak anak kita? Adakah mereka bersolat? Siapa kawan anak anak kita? Apa yang mereka main? Adakah jika kita mati suatu hari nanti, anak anak kita akan menjadi 'beban' atau 'pembantu' kita di akhirat kelak?

2) Apakah peranan kita dalam usaha 'menjaga tepi kain' anak anak jiran kita di surau dan masjid yang kita pergi? Apa yang dah kita buat selama ini?

Ayuh. Marilah kita semua berusaha untuk menjadikan masyarakat hari esok masyarakat yang mencintai solat. Dan segalanya harus bermula dengan usaha kita hari ini.

Semoga Allah membantu dan memelihara anak anak saya. Dan anak anak anda.

Wassalam

4 comments:

  1. Tahniah haji..satu dakwah yang cemerlang..semoga istiqomah haji...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Itu lah juga cabaran di sekolah.
    Itulah yang guru-guru hadapi di sesetengah sekolah tidak terpilih yang rata-rata pelajarnya tidak berminat untuk belajar.

    Dalam kes ini mereka ke surau untuk bermain dan bersosial, bukan untuk solat.

    Disekolah, mereka pergi untuk dapat belanja harian dari ibubapa. Kesian parent mereka. Langkah pertama mereka di awal pagi ke dalam pagar sekolah ialah dengan niat untuk balik.

    Lalu mereka usahakan pelbagai ragam yang membuang masa guru-guru. Daripada sepatutnya mengajar, cikgu perlu jaga pagar agar tak dibolosi. Cikgu banyak habiskan masa untuk kes disiplin.

    Namun kami masih di salahkan... Allah.....

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Misa, kena dengar ceramah Prof Muhaya banyak banyak. Nanti akan rasa 'sejuk' hati.

    Dan kita akan buat sesuatu kerana Allah. Tanpa mengharapkan penghargaan manusia. Kita buat kerana Allah dan harapkan penghargaan Allah semata mata.

    Tak dapat sy bayangkan, kalau sy jadi guru. Allah Allah. Tahap kesabaran saya tak cukup tinggi.

    Dah la nak kena main aci ligan ngan budak budak tu.

    Semoga Allah beri kekuatan kepada para guru untuk terus mendidik dan berbakti. Membangunkan ummah.

    Semoga Allah memberi balasan syurga buat mereka.

    Wassalam

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Misa, kena dengar ceramah Prof Muhaya banyak banyak. Nanti akan rasa 'sejuk' hati.

    Dan kita akan buat sesuatu kerana Allah. Tanpa mengharapkan penghargaan manusia. Kita buat kerana Allah dan harapkan penghargaan Allah semata mata.

    Tak dapat sy bayangkan, kalau sy jadi guru. Allah Allah. Tahap kesabaran saya tak cukup tinggi.

    Dah la nak kena main aci ligan ngan budak budak tu.

    Semoga Allah beri kekuatan kepada para guru untuk terus mendidik dan berbakti. Membangunkan ummah.

    Semoga Allah memberi balasan syurga buat mereka.

    Wassalam

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top