Assalamualaikum,

Saya rasa, ramai yang tahu saya sering berdoa doa ini.

"Ya Allah, temukan aku dengan orang yang boleh meningkatkan iman aku. Yang boleh memberi inspirasi kepadaku untuk aku menjadi lebih baik"

Bagi yang baca blog saya sejak dahulu, Alhamdulillah. Allah selalu menghantar orang orang yang mampu untuk beri kesedaran kepada saya.

Allah temukan saya dengan guru guru yang hebat di sekolah, di MRSM, di Kolej. Mereka banyak membimbing saya dan mengajar saya untuk menjadi seorang 'insan'. Alhamdulillah.

Allah juga memperkenalkan saya dengan Kulih Ustaz Shamsuri Ahmad. Allah Allah. Saya ada koleksi hampir 200 ceramah beliau dalam bentuk MP3. Subhanallah. Ceramah beliau banyak mendidik saya untuk memahami agama.

Saya dipertemukan dengan Prof Kamil di Madinah. Allah Allah. Prof banyak mengajar saya untuk berubah menjadi yang lebih baik. Prof memberi kesedaran kepada saya untuk menunaikan Qiamullail. Berpuasa sunat Isnin & Khamis. Bersedekah. Melakukan Solat Sunat Dhuha. Dan memelihara Solat Fardhu secara berjemaah. Perkara yang saya rasa sukar untuk saya istiqamah sebelum ini.

Saya bertemu dengan Datuk Zainal, seorang jutawan yang menasihatkan saya 3 perkara mudah untuk menjadi jutawan. Hormati ibu bapa, dan suruh mereka doakan saya. Banyakkan bersedekah. Dan jangan tinggal Solat Sunat Dhuha.

Bertemu dengan Dr Azizan, seorang pakar motivasi yang banyak memberikan nasihat bagaimana memajukan perniagaan. Allah Allah. Semoga Allah merahmati doktor.

Sebelum raya, Allah temukan saya dengan fakir miskin di kampung saya. Saya melawat hampir 40 rumah. Selepas lawatan itu, saya terasa Allah mahu 'mendidik' saya dengan menemukan saya dengan mereka yang susah ini.

Allah Allah. Selepas bertemu mereka, baru saya sedar nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada saya. Dan saya terasa yang saya ini terlalu sedikit bersyukur. Alhamdulillah, Allah memberi kesedaran kepada saya untuk lebih banyak mendampingi orang orang yang susah. Semoga, saya boleh membantu mereka.

Doa saya, "Ya Allah, berilah kekayaan kepadaku. Mudah mudahan, dengan kekayaan yang Kau berikan kepadaku, aku dapat mengeluarkan zakat yang banyak dan dapat membantu orang lain yang kesusahan"

Syukur rasanya. Allah selalu menemukan saya dengan insan insan yang dapat memberikan keinsafan kepada saya. Mereka yang boleh memberi inspirasi kepada saya. Allah mengajar saya dengan pelbagai cara. Alhamdulillah.

Bertemu Sheikh Yaseer Al Dosry

Dan semalam, Allah temukan saya dengan Sheikh Yaseer Al Dosry.

Beliau merupakan seorang Imam Besar di Masjid di Riyahd, Saudi Arabia. Dan beliau juga sering dijemput untuk menjadi Imam Di Masjidil Haram, Mekah.

Semasa kami bersembang, beliau menceritakan yang nama beliau sudah kali 'dipilih' untuk menjadi imam di Masjidil Haram. Namun, atas sebab sebab tertentu. Beliau terpaksa menolak dahulu buat masa ini.

Ini kerana, beliau sekarang sedang mengusahakan satu saluran TV di seluruh Arab Saudi yang hanya menayangkan dokumentari, semuanya berkaitan Al Quran. Ya, hanya berkaitan Al Quran. Jika kita buka saluran itu, ia hanya menceritakan mengenai Hukum dalam Al Quran, Sirah Dalam Al Quran, Tajwid, Tafsir dan segala galanya yang berkaitan dengan Al Quran. Jika tidak pun, ia akan menayangkan siaran langsung dari Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi di saluran itu.

Allah Allah.... Besar sungguh pahalanya.

Beliau seorang yang kaya dan berjaya. Juga seorang Hafiz Al Quran dan mempunyai suara yang amat merdu dan sedap.

Sekarang, beliau bercuti untuk melawat Malaysia. Dan ditakdirkan Allah, sahabat saya merupakan penyambut tetamu beliau di Pulau Pinang.

Mengetahui beliau ada disini, sahabat saya mengatur untuk membawa beliau menjadi Imam solat Maghrib dan Isyak di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Setiba di sana, kami diberi layanan VIP oleh pihak Masjid.

Di bilik VIP. Masjid Negeri Pulau Pinang. Sahabat saya, Haji Saufi yang fasih berbahasa Arab banyak mengambil peluang untuk berbincang dengan Sheikh Yaseer. Masa ini, saya terasa diri ini terlalu jahil kerana tak boleh faham apa yang mereka cakapkan.
 
Kami dijamu dengan Nasi Beriyani Kapitan. Alhamdulillah. Memang sedap. Selepas itu, Sheikh Yaseer di bawa untuk menjadi imam bagi Solat Maghrib dan Isayak di Masjid.
 
Saya bergambar dengan Sheikh Yaseer. Sebelah kiri adalah Sofwan. Pengiring Sheikh Yaseer di Pulau Pinang.
Saya tidak melepaskan peluang untuk memeluk Sheikh Yaseer. Seorang yang warak. Bakal ahli syurga. Insya Allah. Bakal Imam Masjidil Haram. Kalaulah selepas ini beliau sudah menjadi Imam Masjidil Haram secara tetap, tak mungkin saya dapat memeluk beliau lagi selepas ini macam ini.

Semasa pertemuan dengan Sheikh Yaseer, saya dengan rasa rendah diri meminta nasihat daripada Sheikh. Satu nasihat yang boleh saya jadikan panduan dalam hidup saya.

"Sheikh, boleh sheikh bagi satu nasihat kepada saya," saya meminta nasihat kepadanya melalui Haji Saufi.

Sheikh Yaseer merenung saya.

"Ada 3 perkara yang saya ingin nasihatkan. Yang pertama. Takutlah Allah walau dimana kamu berada. Yang kedua, jika kamu ada melakukan satu dosa, cepat cepat lakukan satu kebaikan. Moga moga terhapus 'dosa kesalahan' itu dengan kebaikan yang kamu lakukan. Yang ketiga, bila bermuammalat dengan manusia, bermuammalatlah dengan cara yang baik," nasihat Sheikh kepada saya.

Ia nasihat yang mudah diingat. Dan mudah untuk diamalkan.

Kemudian, beliau menambah lagi satu nasihat kepada saya.

"Jika kamu mahu menjadi hamba yang bertakwa. Kamu mestilah selalu berada di tempat yang Allah suka kamu berada di situ. Dan kamu rasa takut untuk berada di tempat yang Allah tak suka kamu berada di situ"

Allah Allah.... Inilah nasihat dari orang yang ada 'barakah'. Kata katanya mudah. Namun, ia menusuk ke dalam hati saya. Dan saya mudah untuk ingat apa yang beliau katakan.

Syukur Alhamdulillah. Bertambah lagi ilmu saya semalam.

Saya makin terinsipirasi untuk menjadi hamba Nya yang lebih baik.

Balik ke rumah, saya search di Youtube. Video video Sheikh Yaseer menjadi imam di Riyadh.

Semoga, kita semua mendapat manfaat dari kisah pertemuan saya yang singkat ini. Semoga hidayah Allah bersama kita. Amin.




Bacaan Surah Ar Rahman Oleh Sheikh Yaseer Al Dosry

Bacaan Surah Al Mulk ketika menjadi imam di Masjid di Riyadh, Saudi

Impian Saya

 
Ini adalah meja untuk penceramah memberi ceramah di Masjid Negeri Pulau Pinang.
 
Saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, aku mohon kepada Mu agar suatu hari nanti. Aku dapat duduk di kerusi ini untuk memberi ceramah kepada orang ramai bagaimana menjadi seorang jutawan yang bertakwa. Jadikan lah aku seorang jutawan yang bertakwa dalam tempoh 2 tahun lagi. Amin" Biarlah saya ceritakan impian saya ini kepada anda. Supaya saya lebih kuat bekerja untuk mencapai impian saya. Semoga impian saya menjadi kenyataan suatu hari nanti.
 

3 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum,

    Dido'akan tuan terus berjaya, dengan cita cita dan do'a tuan yg sangat murni. Tuan bercerita, saya dapat banyak panduan dan pengajaran darinya. Cerita tuan bukan cerita 'kosong'.

    BalasPadam
  2. terima kasih di atas perkongsian cerita tuan, saya byk dpt pengajaran..

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top