Assalamualaikum,

Ingat tak, sebelum hari raya hari tu. Saya ada buat kutipan dana untuk membantu mereka yang memerlukan di kampung saya.

Salah seorang yang saya ceritakan adalah bekas ustazah yang mengajar saya mengaji Al Quran dahulu. Beliau terpaksa menjalani dialisis sejak beberapa tahun lepas. Dan juga turut lumpuh sejak sekian lama.

Makan, minum, kencing, berak semuanya terpaksa diuruskan oleh anak-anak dan suaminya.

Sebelum hari raya hari itu, saya menyampaikan sumbangan kita semua sebanyak RM250 kepada bekas ustazah saya ini.

Dan tengah hari semalam, Allah telah menjemput beliau untuk bertemu dengan Nya buat selama lamanya.

Arwah meninggal dunia pada usia 72 tahun. Di akhir hayat arwah, beliau teramat uzur. Beliau selalu mengalami sakit. Bayangkan 'penyeksaan' yang terpaksa ditanggung oleh arwah dimana terpaksa berulang alik ke klinik dialisis dalam keadaan lumpuh. Arwah terpaksa diusung naik dan turun kereta ke klinik dan ke rumah 3 kali seminggu.
..
Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan oleh anak anak dan suami arwah. Semoga, Allah merahmati mereka sekeluarga.

Pagi Tadi

Pagi tadi, semasa saya tiba di rumah arwah, suaminya meminta saya untuk memberi ucapan dan bacaan doa bagi mewakili pihak tuan rumah kepada para tetamu semasa jenazah hendak diusung keluar dari rumah.

"Pak Dak, kenapa Pak Dak nak suruh saya yang wakilkan keluarga Pak Dak masa jenazah nak keluar nanti? Ramai lagi tok imam ada di sini. Bagi depa la, lebih afdhal dan lebih berpengalaman." saya bertanya kepada suami arwah.

"Tak palah, Pak Dak nak minta tolong. Pak Dak nak Firdaus juga," Pak Dak meminta saya juga mewakilkan keluarga mereka.

"Insya Allah. Boleh. Nanti masa mayat keluar rumah, saya akan 'lead'" saya menghormati permintaan keluarga mereka.

Selepas itu, saya terfikir.

Kenapalah mereka nak saya yang wakilkan keluarga mereka untuk beri ucapan. Saya bukannya banyak sangat pengalaman buat kerja kerja macam ni.

Lama berfikir, saya teringat. Saya pernah buat macam ni semasa seorang jiran saya meninggal dan juga semasa kakak saya meninggal. Pada waktu itu, saya ada membaca doa untuk si mati. Dan doa yang saya baca dalam bahasa Melayu itu memberi kesan kepada ramai orang.

Mungkin sebab itu mereka mahu saya yang mewakilkan mereka.

Jenazah Di Usung Keluar Rumah

Semasa jenazah diusung keluar, saya mewakili pihak tuan rumah memberi sedikit ucapan kepada para hadirin.

"Assalamualaikum, 

Saya bagi pihak keluarga si mati ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan tuan kerana sudi datang menziarahi jenazah buat kali yang terakhir. 

Pihak keluarga juga memohon agar kita memaafkan jika arwah Mak Dak ada melakukan kesilapan dan kesalahan kepada kita, sama ada kita sedari atau tidak. 

Dan jika arwah ada berhutang dengan kita, pihak keluarga memohon jasa baik kita untuk menghalalkan hutang itu atau jika tidak. Tuan tuan boleh berjumpa dengan ahli keluarga atau waris si mati bagi menuntut hutang itu. 

Saya bagi pihak warga Simpang Empat, Kg Kedah mengucapkan takziah kepada Pak Dak Man sekeluarga atas kematian insan yang tersayang. 

Semoga, pemergian Mak Dah Midah memberi peringatan kepada kita semua bahawa kita juga akan mati suatu hari nanti."

Kemudian, saya terus membaca doa dalam bahasa Melayu untuk arwah Mak Dak Midah. Hati saya terasa sebak dan sayu semasa membaca doa itu. Dan ada hadirin yang mengalirkan air mata semasa saya membaca doa.

Moga, Allah memperkenankan doa kami semua tadi untuk memasukkan arwah Mak Dak Midah ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.

Al Fatihah. Al Fatihah. Al Fatihah.

Jenazah di usung keluar dari rumah ke van yang disediakan.

Semoga Allah mengampunkan dosa arwah. Semoga arwah dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Semoga, sekarang ini arwah sedang berehat di dalam kubur dan semoga kuburnya menjadi salah satu daripada taman taman syurga sementara menanti hari untuk dihisab.



1 ulasan:

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top