Assalamualaikum,

Malam semalam, jam 11.30 malam saya siap menulis entri yang bertajuk SUMBANGAN RAMADHAN.

Saya memohon sumbangan derma untuk Program Berbuka Puasa di Surau Simpang 4, Kg Kedah Parit Buntar. Jumlah yang dicari RM6,000.

Semasa menaip entri itu, saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, permudahkan urusanku untuk mengutip derma ini"

Selepas menunaikan Solat Subuh, saya pulang ke rumah dan membuka blog saya untuk menaip satu lagi entri baru.

Saya tergamam melihat komen di entri itu yang bertulis:


"Salam Tuan Haji, Saya ada transfer 5k utk sumbangan ramadhan, insya allah saya transfer lg 1k esok"

Perkara pertama yang saya lakukan selepas membaca mesej ini, saya sujud syukur kepada Allah.

"Ya Allah, aku baru saja memohon kepada Mu untuk menggerakkan hati  pembaca blog aku untuk menderma. Kau sudah  membuka hati seorang untuk menderma sebanyak RM6,000. Aku bersyukur kepada Mu ya Allah"


Saya tertanya tanya. Siapa yang menderma sebanyak ini? Saya buka akaun Maybank saya untuk membuat pengesahan.

Ternyata, sudah ada penambahan RM5000 di akaun saya.

Persoalannya, siapa yang menderma sebanyak ini. Saya mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat ini. Saya turun ke bawah dan maklumkan ayah saya.

Alhamdulillah. Ternyata dia gembira.

Siapa Yang Derma?

Saya kemudiannya membuka emel saya. Di emel saya, saya dapat lihat nama penderma yang dermawan itu.


Subhanallah.

Beliau adalah sahabat saya ketika sama sama belajar di Sheffield, United Kingdom dahulu.

Saya tahu beliau selalu membaca blog saya. Saya tahu dia selalu menderma dalam kuantiti yang besar apabila saya membuat permohonan derma di blog ini.

Misalnya, beliau menderma RM1000 untuk majlis berbuka puasa di surau saya pada tahun 2010. Menderma sebanyak RM2000 untuk tahun 2011. Menderma sebanyak RM800 untuk Ustazah Arbakyah menunaikan Umrah. Dan RM6000 untuk majlis berbuka puasa tahun 2012.

Alhamdulillah.

Saya bersyukur kerana mempunyai sahabat sebegini.

Saya tahu, dia sekarang sudah kaya. Pendapatannya pasti puluhan ribu sebulan. Beliau bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa yang amat terkenal.

Kagum

Saya sebenarnya rasa kagum dengan kesungguhan beliau untuk menderma. Beliau tak pernah rasa 'rugi' untuk menderma. Bahkan, beliau sedar keuntungan yang bakal diperoleh diakhirat kelak.

Setiap satu yang didermakan ke jalan Allah akan digandakan sebanyak 700 kali ganda di akhirat kelak. Allah Allah. Saya 'cemburu' melihat kemampuan beliau untuk menderma sebanyak ini. Kalau boleh, saya pun mahu menyumbang sebanyak itu.

Dan lebih besar pahalanya apabila beliau berbelanja untuk memberi orang ramai makan berbuka puasa. Beliau akan mendapat pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa. Tidak kurang walau sedikit pun.

Bayangkan, di surau saya. Ada 60 orang yang datang untuk berbuka puasa untuk 25 hari yang beliau sumbangkan. Ini bermakna, beliau akan mendapat pahala sebanyak 1500 orang berpuasa. Subhanallah.

Allah memberi nikmat dan rezeki yang banyak untuk beliau. Namun, beliau tidak lupa untuk membelanjakan hartanya ke jalan Allah.

Saya gembira kerana ada sahabat saya yang bersifat begini. Kalau boleh, saya pun mahu menjadi seperti beliau satu hari nanti.


Ayuh Kita Doa

Marilah kita sama sama berdoa untuk sahabat saya ini.


"Ya Allah, kami bermohon kepada Mu. Kau permudahkanlah urusan sahabat Firdaus ini. Bantulah beliau dalam segala urusannya di dunia dan di akhirat. Ya Allah, murahkanlah rezeki beliau sekeluarga. Semoga dengan kekayaan yang Kau berikan kepadanya, akan mendekatkan dirinya kepada Mu. Ya Allah, masukkanlah beliau ke dalam syurga Mu tanpa di hisab. Amin. Ya Rabbal Alamin"


Ucapan Saya

Kepada XXXXX,  saya ucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Semoga Allah memberkati. Kalau ada rezeki, kita berjumpa nanti. Jika tidak di dunia. Semoga kita berjumpa di syurga. Amin.

Wassalam

1 ulasan:

  1. Assalam,

    Semuga dalam limpah rahmat Allah.

    Amin amin amin

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top