Assalamualaikum,

Jutaan maaf kepada para pembaca blog Maria Firdaus ini.

Dah beberapa hari saya tak sempat nak update blog. Terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan.

Pada bulan bulan biasa, saya akan update blog selepas solat Isyak sebelum tidur atau selepas solat Subuh. Namun, jadual saya berubah dalam bulan Ramadhan ini.

Selepas solat Isyak, saya menunaikan solat Terawikh di surau di hadapan rumah saya. Dan ia berakhir sekitar jam 10.30 malam.

Pulang ke rumah, saya perlu bersiap untuk tidur. Saya tak mampu nak 'berjaga' lagi. Saya perlu tidur sebelum jam 1100 malam.

Jam 4.30 pagi, saya akan bangun untuk menunaikan Qiamullail sehingga jam 5.20 pagi dan bersahur. Kemudian, saya ke surau untuk bersolat Subuh berjemaah.

Pulang dari surau, saya dah mengantuk. Saya tidur. Inilah puncanya saya gagal update blog sekian lama.

Sekarang ini, di siang hari, saya sibuk dengan pembinaan reban baru dan uruskan ayam saya yang sekarang ini dalam peringkat jualan.

Tak terkejar kaki dan tangan saya untuk buat semua perkara.


Karpet Surau

Seperti yang dijanjikan, kontraktor telah memasang karpet surau pada hari Khamis. Syukur Alhamdulillah. Surau kami berwajah baru dalam menyambut Ramadhan tahun ini.

Pekerja sedang memasang karpet. Alat ini digunakan untuk menarik karpet menjadi cekang. Sekarang baru saya tahu macam mana orang memasang karpet. Bukan mudah kerjanya. Dan yang mengagumkan, mereka berjaya 'cover' tempat sambung karpet sehingga sukar dikesan.

Selesai karpet dipasang, pekerjsa saya menolong untuk mem'vakum' sampah sampah yang tersisa di karpet surau.


                                        
Pandangan dari arah belakah ke hadapan reban.

Pandangan dari hadapan ke belakang. Semua karpet kini berwarna biru. Dan Alhamdulillah. Memang kelihatan bersih dan cantik surau kami dibahagian dalam. Semua jemaah di Surau ini berpuas hati dengan pilihan warna dan corak yang dipilih. Penggunaan karpet baru ini berjaya 'menarik' ramai kanak kanak untuk menunaikan solat di surau ini. Syukur.

Ikhlas saya katakan, setiap kali saya masuk ke surau ini. Saya melahirkan rasa syukur kepada Allah.

Allah memperkenankan hajat penduduk di Simpang 4 ini untuk mendapat karpet baru di surau. Terus terang saya katakan, jika saya memungut derma daripada penduduk di sini. Saya tak akan mampu memperoleh RM8850 dalam masa yang begitu singkat.

Bahkan, kalau diberi masa saya selama sebulan pun. Belum tentu saya dapat mengumpul duit sebanyak ini.

Kebiasaannya, jika diwakilkan kepada 8 orang AJK surau untuk mengutip derma untuk sesuatu program Surau ini, jumlah yang akan dikumpul adalah sekitar RM2-3 ribu sahaja untuk tempoh kutipan selama dua minggu.

Melihat kepada peningkatan jumlah jemaah di surau ini sepanjang Ramadhan ini, saya lihat ramai yang dapat manfaat daripada kerjasama kita semua. Semua ahli jemaah berasa lebih selesa dengan karpet baru. Bilangan kanak kanak yang datang ke surau juga bertambah.

Tak dapat saya bayangkan, betapa besarnya pahala mereka yang telah menyumbang untuk projek karpet di surau ini.

Saya doakan, semoga Allah membalas segala 'sumbangan' yang telah para pembaca keluarkan untuk projek ini. Semoga digantikan oleh Allah dengan rezeki yang melimpah ruah daripada sumber yang halal untuk kita semua. Dan dijauhkan kita dari rezeki yang haram dan syubhah. Insya Allah. Amin.

* Ada sedikit lebihan daripada duit kutipan karpet ini. Sekitar RM700. Duit ini akan digunakan untuk membeli Vacuum Cleaner yang baru dan juga kerusi untuk jemaah uzur bersolat. Jika masih ada baki, saya akan gunakan duit ini untuk perbelanjaan surau yang lain.

Majlis Berbuka Puasa

Sekarang ini, majlis berbuka puasa di surau saya telah bermula sejak dari hari pertama puasa lagi. Setakat ini, segalanya berjalan lancar. Cuma ada sedikit masalah.

Mengikut kebiasaan tahun tahun terdahulu, kehadiran adalah sekitar 60 orang ke surau kami untuk berbuka puasa. Namun, kali ini kehadiran adalah sekitar 70 orang.

Alhamdulillah. Peningkatan 10 orang ini bermaksud lebih ramai yang datang untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di surau ini.

Jumlah Sumbangan

Sumbangan yang diterima untuk Program Berbuka Puasa ni adalah sebanyak RM6000 daripada seorang penderma.

Setelah bermesyurat dengan AJK Surau, pihak AJK menghadkan untuk saya mengisi 16 hari bagi majlis berbuka puasa.

Kos yang saya gunakan adalah seperti berikut.

70 orang X RM5 seorang X 16 hari = RM5600
Upah membasuh RM30 X 16 hari = RM480

Jumlah RM6080.

* Kekurangan RM80 akan saya ambil daripada lebihan duit karpet. 

Majlis berbuka puasa di surau saya berjalan lancar saya sekarang ini. Kelihatan para imam dan ahli qariah sedang menikmat juadah yang disediakan.
Antara jemaah yang hadir untuk majlis berbuka puasa. Jemaah lelaki sekitar 50 orang. Jemaah wanita sekitar 20 orang.
Maria dan Farees turut berbuka puasa di surau. Farees suka datang berbuka puasa di surau. Walaupun dia tak puasa sebenarnya. Namun, saya bawa juga dia ke surau sebagai pendedahan awal untuk mencintai surau dan masjid. Moga jadi anak soleh. Amin..
Antara lauk hidangan kami berbuka puasa setiap hari. Nasi, ayam, daging, bubur kanji, buah, kuih dan kurma.

Mungkin anda melihat lauk sebegini hanyalah lauk biasa biasa. Tapi, bagi kami penduduk yang tinggal di kampung. Makanan sebegini adalah satu rahmat buat kami semua.

Saya dapat melihat sendiri ahli qariah menikmati juadah berbuka yang tidak seberapa ini dengan begitu berselera.

Terutama sekali kanak kanak. Ada diantara kanak kanak ini dari keluarga yang kurang berkemampuan. Amat amat jarang untuk mereka makan ayam dan daging.

Tahukah anda, ada di antara kanak kanak yang datang ke surau untuk berbuka puasa semata mata untuk menikmati makan daging dan ayam.

Di rumah mereka, amat jarang mereka makan ayam dan daging.

Saya menyaksikan sendiri, ada di antara mereka pada hari hari tertentu di rumah, kanak kanak ini hanya makan nasi kosong, berserta seketul daging goreng kecil berkuahkan air kosong yang dicampur garam.

Bayangkan, mereka yang kurang kemampuan ini dapat menikmati makan ayam dan daging. Ia seribu nikmat buat mereka. Lauk yang saya tunjukkan pada gambar di atas adalah 'hidangan dari syurga' buat mereka.

Bersyukurlah tuan tuan. Kerana anak anak kita tak perlu makan nasi kosong berkuahkan air kosong yang dicampur garam.

Semoga kisah ini, dapat memberi keinsafan kepada kita semua untuk menghargai nikmat yang Allah berikan kepada kita. Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur. Insya Allah.

Wassalam

2 ulasan:

  1. Assalam,

    Semuga dalam kasih sayang Allah dan di limpahi rahmatNYa.

    Alhamdulillah! Semuga kita semua menjadi hambaNYa yang bersyukur.

    BalasPadam
  2. Daus.. anda tersalah taip mungkin.. "Pandangan dari arah belakah ke hadapan reban." ...

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top