Assalamualaikum,

Dalam hidup saya, sebagai seorang usahawan. Saya diuji Allah dengan pelbagai cabaran. Ada kalanya saya diuji dengan begitu hebat. Adakalanya saya diuji dalam kadar sederhana hebatnya.

Bukan mudah untuk menjadi usahawan.

Ramai orang melihat saya sebagai seorang usahawan yang berjaya. Tak kurang, ramai yang menghantar emel kerana ingin menjadi seperti saya.

Bagi saya, orang melihat saya sebagai seorang yang berjaya dan mahu menjadi seperti saya kerana mereka melihat saya seperti mana mereka melihat seekor itik yang sedang berenang di atas tasik.

Pada pandangan mereka, mereka mahu menjadi seperti saya. Saya kelihatan tenang dan berjaya kerana mereka melihat saya dari luaran sahaja. Jika dibandingkan dengan itik tadi, dari pandangan atas, mereka hanya akan melihat seekor itik yang sedang berseronok berenang di atas permukaan tasik.

Namun, dibawah permukaan tasik itu.Tiada siapa pun yang melihat kepayahan dan kepenatan kaki itik itu yang perlu berkayuh dengan begitu gigih sekali untuk berenang di permukaan air.

Kalaulah mereka melihat dan mengetahui kepayahan yang terpaksa diharungi oleh itik itu. Saya rasa, sebahagian besar yang tadi ingin menjadi seperti saya akan membatalkan hasrat mereka. Mereka mula akan rasa bersyukur kerana mereka tidak perlu 'berkayuh' seperti saya.

Bukan mudah untuk menjadi kaya. Kekayaan bukan datang dalam sehari. Saya berkerja keras selama ini untuk sampai ke tahap ini pada hari ini.Perit jerih yang telah saya harungi selama 7 tahun bergelar usahawan, namun masih jauh untuk saya bergelar jutawan.

Perniagaan bukan sesuatu yang mudah. Namun, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar.

Ujian Untuk Mengajar Dan Mendidik Saya

Lama saya memikirkan. Adakah saya perlu menulis tajuk ini.

Sudah hampir seminggu saya berfikir.

Kalau saya menulis, ia akan membuatkan orang takut untuk menternak ayam.

Namun, saya rasa ada satu pengajaran yang Allah mahu berikan kepada saya dalam ujian kali ini. Dan saya rasa lebih baik saya kongsikan dengan para pembaca agar apa yang saya lalui ini dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

Sekarang, Allah sedang menguji saya dengan hebat sekali. Untuk tempoh dua bulan akan datang, saya tiada pendapatan.

Ternakan ayam saya untuk pusingan yang lepas tidak menjadi.

Bukan saya tidak untung dalam pusingan yang lepas. Namun keuntungan yang saya peroleh hanya cukup untuk saya membayar loan bank dan saya cover duit operasi untuk pusingan akan datang.
 
Untuk diri saya sendiri. TIADA PERUNTUKAN KALI INI.

Maka, dalam tempoh dua bulan ini, saya terpaksa berjimat cermat dan berbelanja seminimum mungkin. Saya perlu menggunakan duit simpanan saya untuk perbelanjaan diri sendiri kali ini.



KISAHNYA BEGINI

Semasa ayam saya berumur 32 hari, ayam saya di salah sebuah reban mula menunjukkan tanda tanda sakit. Kadar kematian meningkat dengan begitu mendadak. Pada hari 32, kematian sebanyak 25 ekor.

Saya menghubungi Doktor dari CP untuk memeriksa ayam saya. Malangnya, beliau ada kursus pula untuk dua hari itu. Saya menghantar gambar ayam saya yang mati ke handphone nya.  Beliau menasihatkan saya untuk memberi ubat XXX kepada ayam.

Hari ke 33, kadar kematian meningkat kepada 75 ekor. Hari 34 kematian mencecah 170 ekor ayam.

Doktor CP memandang serius masalah yang saya alami. Beliau memendekkan tempoh kursus beliau dan terus bergegas ke reban ayam saya untuk membuat pemeriksaan.

Setelah diperiksa daripada ayam yang mati, beliau juga turut 'confuse' tentang punca sebenar kematian itu. Berpuluh puluh ekor ayam mati dibedah olehnya, untuk mencari punca kematian. Tetapi, beliau sendiri tak tahu apa puncanya.

Hari ke 35, kematian mencecah 200 ekor. Pihak CP mengambil keputusan untuk mula menjual ayam ayam saya ini bagi mengelak kadar kematian yang semakin meningkat.

Hari ke 36 kematian mencecah 300 ekor. Kematian tidak dapat dikawal lagi.Saya tiada pilihan melainkan terpaksa menjual ayam ayam ini semua bagi mengelak kematian yang lebih tinggi. Walaupun pada waktu itu, ayam masih mencapai berat yang sepatutnya.

Jika pada peringkat awal, saya menjangkakan saya akan untung besar kali ini. Namun, ternyata. Saya bermimpi di siang hari.

Keseluruhannya. Kematian di reban itu mencecah 2000 ekor. Sekitar 8% daripada jumlah keseluruhan ternakan ayam saya. Lebih menyedihkan, sehingga kini punca kematian tidak diketahui.

Saya hampa. Kecewa. Tiada kalimah yang dapat saya ucapkan. Saya pasrah. Berdasarkan apa yang berlaku, saya menjangkakan keuntungan yang rendah untuk pusingan kali ini.


Mula Berfikir

Selepas itu, saya mula berfikir. Dimana kesalahan yang saya lakukan dari segi teknikal ternakan ayam. Puas saya fikir. Tapi saya tak menemui puncanya. Saya rasa, saya sudah melakukan yang terbaik untuk ayam saya kali ini.Saya tak nampak kesalahan yang saya lakukan dari segi teknik ternakan ayam.

Saya mencari kesalahan saya menggunakan pandangan mata dan pandangan akal saya. Namun, saya tidak temui.

Lalu, saya duduk seorang diri. Dan saya berfikir menggunakan pandangan hati saya.Akhirnya, saya rasa saya temui puncanya.

Saya ada melakukan kesalahan.

Kesalahan yang tidak berkaitan dengan teknikal ternakan ayam. Tetapi, saya melakukan kesalahan dari sudut rohani diri saya sendiri. Saya rasa inilah puncanya.


Kisah Pertama


Semasa ayam saya berumur sekitar dua minggu dalam pusingan yang lepas, saya diziarahi oleh sahabat saya yang ingin menternak ayam dan mahu menjadikan saya sebagai mentornya.

Dalam perbualan saya dengannya. Saya seolah olah mahu menunjukkan kepadanya yang saya ini 'hebat' dalam menternak ayam. Sehingga terkeluar ayat ini dari mulut saya.


"Abang, ayam ni kalau pekerja saya yang jaga ayam. Bolehlah dapat sekitar RM1.00 seekor. Tapi kalau saya yang jaga sendiri. Saya datang tengok sendiri ayam ni. Boleh dapat RM1.40 seekor. Macam pusingan kali ni, saya rasa saya boleh dapat RM1.40. Kalau tak percaya, nanti dah habis kita tengok."

Saya bercakap ayat ini seolah olah saya bagus.Seolah olah kalau saya jaga ayam sendiri, saya akan memperoleh untung lebih. Kalau pekerja yang jaga. Akan untung kurang.

Dan saya yakin, pada ketika itu dalam hati saya wujud perasaan 'ujub'. Aku hebat. Aku bagus.Mungkin hampir sampai ke tahap 'takkabbur'. Rasa diri ini hebat. Orang lain tak hebat. Astagfirullahalazim.

Saya terlupa, sebenarnya saya sudah melakukan kesalahan yang amat besar bila berperasaan sedemikian.


Saya tak sedar saya terucap ayat ini sehinggalah habis ayam saya kali ini.

Bila ayam saya dah jadi huru hara. Bila ayam saya dah untung kurang. Baru saya teringat kesalahan yang telah saya lakukan. Baru saya teringat saya melakukan kesalahan ini kepada Allah.

Kes Kedua

Saya ada seorang 'bekas' sahabat yang kini dia pun menternak ayam. Berlaku perselisihan faham antara saya dan dia.

Dipendekkan cerita, saya bergaduh dengan dia. Dan sekarang, saya tidak menghubungi dia lagi dan dia juga tidak menghubungi saya lagi.

Namun, beberapa bulan sebelum ini. Saya ada menelefon dia untuk meminta maaf atas apa yang berlaku antara saya dan dia. Kami bermaafan secara baik. Namun, masing masing tidak menghubungi antara satu sama lain selepas itu.

Saya sebenarnya tak suka dengan cara dia. Dia selalu berlagak dan bercakap besar. Dia selalu mengatakan dia yang terhebat dan pandai dalam ternakan ayam. Dia selalu bercakap besar dan mencanang kepada semua orang. Dia yang terhebat.

'AYAM KING'. Dia menggelarkan dirinya sendiri.

Dan sekarang, dia menternak ayam dalam kapasiti yang amat besar. Ratusan ribu ekor.

Untuk pusingan yang lepas, dia tidak memperoleh keuntungan yang besar. Secara purata, dia memperoleh sekitar RM0.80 sahaja untuk seekor ayam. Ayam dia tidak menjadi.

Di lubuk hati saya. Saya ketawa kepada dia. Dan terlahir di hati saya,

"Hmm.. sekarang hang baru tau. Hang kata hang terror sangat bela ayam. Ni bela ayam dapat RM0.80 saja. Ayam tak berat pulak tu. Cakap besar sangat. La hang baru tau langit tinggi rendah"
 
Di sebabkan saya tidak lagi 'sebulu' dengan dia. Saya 'ketawakan'  kegagalan dia di dalam hati. Di hati saya, saya berkata kepadanya "Lain kali jangan cakap besar." Ia hanyalah lintasan di hati saya. Dan saya yakin, syaitan telah berjaya untuk saya berprasangka sedemikian rupa.

Pada ketika itu, ayam saya berumur sekitar 20 hari. Dan ayam saya amat cantik pada waktu itu. Pada umur 28 hari. Ayam saya masih lagi menunjukkan tanda tanda yang saya akan meraih keuntungan yang besar untuk pusingan kali ini.

 Namun, seperti yang saya ceritakan. segalanya berubah selepas ayam berumur 32 hari.

Dan sekali lagi, saya hanya tersedar kesalahan saya ini selepas saya duduk seorang diri. Bermuhasabah mencari kesalahan diri sendiri.Selepas Allah 'menghuru-hara' kan ayam saya pusingan lepas.

Setelah difikir fikirkan. Saya tersedar. Saya tak suka seseorang disebabkan dia selalu bercakap besar. Tapi, dalam tak sedar. Saya sendiri mempunyai sifat demikian.Saya lebih teruk. Saya bercakap dengan perasaan 'ujub'.

Astagfirullah. Macam manalah saya boleh bersikap begini?


Bertaubat

Setelah menyedari kesalahan yang saya lakukan ini. Saya bertaubat kepada Allah.

Selepas Solat Maghrib di surau pada minggu lepas, saya 'beriktikaf' seorang diri di dalam surau sementara menunggu waktu Isyak.

Saya menunaikan Solat Sunat Taubat. Selepas menunaikan Solat Sunat Taubat, saya menangis teresak esak seorang diri di atas surau. Saya memohon ampun kepada Allah.Saya mengalunkan lirik nasyid daripada kumpulan Raihan bertajuk I'tiraf.




Air mata saya berguguran mengenang dosa yang telah saya lakukan.

Saya benar benar menyesal dengan apa yang telah saya lakukan.

Dosa berperasaan 'ujub' bukan dosa yang kecil. Perasaan itu tidak seharusnya ada pada diri kita. Saya menyesal kerana 'mentertawakan' kegagalan orang lain. Walaupun ia hanya lintasan di hati saya.

Saya menyesal. Saya menyesal. Saya menyesal.

Ya Allah. Ampunkanlah dosaku.

Saya menadah dua tapak tangan dan terus berdoa.

"Ya Allah, ampunkan dosa yang telah aku lakukan ya Allah. Aku mengaku, aku bersalah kepada Mu ya Allah. Ampunkanlah dosa ku.Hari ini, aku menyerah diri ku kepada Mu. Terimalah taubatku. Aku mohon kepada Mu, janganlah Kau menguji aku sebegini lagi selepas ini. Buanglah sifat mazmumah dalam diri aku. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri aku ya Allah."

Dan hari ini. Saya redha dengan ketentuan Allah.Saya redha yang pusingan lepas saya memperoleh untung yang kurang.Jauh lebih rendah daripada apa yang saya selalu dapat.

Saya yakin. Apa yang berlaku. Pasti ada hikmahnya.

Jika kegagalan pusingan yang lepas adalah 'harga' yang perlu saya bayar untuk Allah nak didik dan mengajar saya agar lebih rasa rendah diri, jangan berasa diri ini hebat dan bagus, jangan 'mentertawakan' kegagalan orang lain. Saya redha.

Sekarang. Baru saya faham apa yang Prof Kamil katakan dalam buku tulisan beliau. "BERSYUKUR SAAT DIUJI".

Saya perlu bersyukur kepada Allah dengan ujian yang Allah berikan kepada saya dalam pusingan yang lepas.

Ini kerana, saya dapat belajar untuk menjadi hamba Nya yang lebih soleh. Dan dapat merasakan yang saya sebenarnya hanyalah seorang hamba. Saya langsung tidak berkuasa. Allah jua yang berkuasa.

Kalaulah Allah tidak menguji saya pusingan yang lepas, saya yakin saya masih tidak sedar kesalahan yang telah saya lakukan. Kini, saya bersyukur.

Saya berdoa. Agar apa yang saya lalui ini dapat menjadi pengajaran kepada kita semua. Biarlah ia berlaku kepada diri saya seorang. Janganlah ia berlaku kepada orang lain. Biarlah orang lain belajar daripada kesalahan yang saya lakukan.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada 'dosa' yang telah saya lakukan. 

Wassalam

8 comments:

  1. takziah firdaus....Allah menguji hanya pada hambanya yg terpilih....insyaallah pusinagan akan dtg lebih baik...

    majupuyuh

    ReplyDelete
  2. Salam, inna lillahi wa innna ilaihi rajioun.
    Sabar dlm musibah besar pahala.
    Easier said than done.

    ReplyDelete
  3. Saya juga pernah mengalami nemda yang sama, mengetawakan rumah tangga orang yang kucar kacir. Akhirnya saya bertekak suami isteri dan tidak tahu apa puncanya. Dan ianya memberi pengajaran pada saya. Selagi sempat bertaubat, bertaubatlah... Allah masih buka hati kita.. Jika hati sudah buta... kita pasti akan melupakan taubat... nauzubillah..

    ReplyDelete
  4. InsyaAllah, mudah-mudahan digantikan apa yang telah hilang itu dengan rezeki yang lebih baik.

    Aturan Dia sangat hebat.

    ReplyDelete
  5. Amat payah untuk kita bersyukur bila kita diuji. Orang awam seperti saya akan mula menyalahkan takdir. Namun berbeza orang yang lebih baik imannya. Ungkapan bersyukur saat diuji mudah disebut lidah tapi amat berat amalanya. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua.

    ReplyDelete
  6. Setiap manusia berbeza ujiannya. Ujian kesenangan lebih menjadikan kita alpa berbanding ujian kesusahan. Moga Allah swt lapangkan dan tenangkan hati saya disaat menerima ujian seperti tuan.

    ReplyDelete
  7. Assalam,

    semuga dalam kasih sayang Allah.

    Terkesan dihati ujian ujian yang tuan haji catatkan. Semuga menjadi iktibar kepada kita semua.

    Semuga Allah manjadikan kita hamba hamba NYA yang melihat dengan mata hati.

    Kami mohon keredhaanMU, ya Allah.

    Jazakaullah

    AJ

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Kepada para pembaca yang banyak memberi sokongan kepada saya. Jutaan terima kasih saya ucapkan.

    Kepada pembaca lain, terima kasih kerana mendoakan saya. Semoga pusingan ayam kali ni akan menjadi dan Allah lipat gandakan keuntungan yang bakal diperoleh.

    Wassalam

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top