Assalamualaikum,

Seperti yang saya ceritakan dalam entri sebelum ini, jalan masuk ke tapak projek rosak teruk. Orang kampung sudah mula bising kepada saya. Ada ura ura, kes ini sudahpun dilaporkan kepada Pejabat Daerah Kuala Kangsar.

Saya menghubungi tuan reban. Memaklumkan situasi di sini.Saya menceritakan keadaan jalan yang rosak teruk. Untuk makluman, mengikut perjanjian jalan masuk adalah tanggungjawab tuan reban. Saya sebagai kontraktor hanya bertanggung jawab atas pembinaan reban ayam sahaja.

 Namun, saya tak mahu 'membebankan' minda tuan reban. Ini kerana beliau akan pergi menunaikan umrah dalam masa yang terdekat. Beliau meminta saya melakukan apa yang perlu untuk memperbaiki keadaan di sini.

Dalam hati saya terdetik, "Tak palah, biarlah aku yang uruskan masalah di sini.Aku dibayar untuk 'sakit kepala' ini. Lagipun, tuan reban nak menunaikan Umrah. Aku tak mahu susahkan hati mereka"

Dengan persetujuan tuan reban, saya mula menempah beberapa lori batu kasaran untuk memperbaiki jalan yang rosak.

Tujuannya, yang pertama tuan reban perlu memperbaiki jalan kembali bagi mengelak orang kampung bising lagi kuat. Yang kedua, jalan tu perlu diperbaiki sebab lori simen saya perlu masuk sekali lagi untuk menyiapkan lantai yang belum siap. Yang ketiga, tuan reban akan menggunakan jalan yang sama untuk lori ayam keluar masuk nanti.

Maka, jalan ini perlu diperbaiki.

Saya cuba memperbaiki jalan ini dengan seminimum kos yang mungkin untuk tidak membebankan tuan reban.
Lori batu kasaran mula menghantar batu untuk memperbaiki jalan
Para pekerja terpaksa meratakan batu yang dibuang. Jumlah keseluruhan, ada sekitar 10 lori batu kasaran yang saya gunakan untuk memperbaiki jalan yang rosak. Dari jalan masuk sehinggalah jalan ke dalam reban.

Sementara menunggu hari untuk lori simen datang kembali ke tapak reban, saya menyuruh para pekerja saya untuk mempersiapkan kuda kuda di reban ini.
Kuda kuda dibuat mengikut acuan yang telah disediakan.
Para pekerja bertungkus lumus untuk menyiapkan kuda kuda ini
Dalam masa yang sama, saya turut menempah lori simen gred 35 untuk memperbaiki jalan yang rosak.
Kalau diperhatikan, keadaan cuaca pada masa ini amat tidak menentu. Kebiasaannya cuaca panas dari pagi sehingga jam 3 petang. Dan pada waktu petang pula selalu hujan.

Saya tiada pilihan. Saya terpaksa juga menempah kren dan simen untuk meneruskan kerja kerja di sini.Dan semuanya dilakukan seminggu lebih awal.

Sepanjang tempoh seminggu ini, saya berdoa kepada Allah agar Allah mempermudahkan urusan saya pada hari itu.

Untuk segalanya berjalan lancar, saya perlu 'luck' untuk banyak perkara. Pertama, cuaca perlu baik sepanjang hari. Kedua, lori simen perlu datang secara berperingkat dan konsisten. Ketiga, kren perlu berfungsi dengan baik.Keempat lori tak boleh terbenam di jalan masuk ke reban.

Maka, doa saya tak henti henti kepada Allah memohon dipermudahkan segala urusan pada hari itu.Perasaan saya bercampur hari ini. Ada rasa teruja kerana kerja boleh disambung. Ada rasa cuak, takut pelbagai masalah yang tak tahu yang mana yang akan kunjung tiba.

Sehari sebelum hari yang dijanjikan, hujan disebelah malam di tapak projek. Hujan hanya berhenti sekitar jam 2 pagi. Saya bertawakkal kepada Allah. Apa pun yang berlaku, kerja perlu diteruskan hari ini.

Pada hari yang dijanjikan, kren mula tiba di tapak. Saya rasa cuak kerana bila kren lalu di tapak projek, jalan di tapak nampak lembut. Aduh. Ini baru satu lori yang lalu. Banyak lagi yang akan lalu. Tak tahu lah apa yang akan jadi di tapak tu hari tu.

Semoga Allah membantu.

Kren yang mula masuk ke tapak. Bila kren lalu, jalan di tapak projek sudah mula rosak. Aduh.
Lori simen mula tiba. Kerja kerja meratakan simen diteruskan.
Lori ketiga masuk, tayar terbenam ke dalam tanah. Tapi kali ini saya lebih bersedia. Saya dah tempah back hoe untuk parking di tapak reban untuk memperbaiki jalan dan menolak lori yang tersangkut macam kes ini.Alhamdulillah. Ada back hoe ni banyak membantu.
Pada sebelah pagi, cuaca agak sedikit mendung. Kadang kadang ada sedikit hujan renyai. Namun, kerja dapat diteruskan.
Jam 3 petang,hujan turun dengan begitu lebat di tapak projek. Sedangkan masih banyak lagi simen yang belum disiapkan. Saya tiada pilihan.

Dalam hati saya terdetik, "Ya Allah, aku mohon kepada Mu cuaca yang baik hari ini.Tapi, hujan pulak petang ni.Tapi aku tak kisah ya Allah. Aku ada doa kepada Mu, apa pun yang berlaku hari ni. Bagilah kerja aku siap hari ini"

Jam 6.30 petang. Semua kerja siap. Syukur Alhamdulillah.
Selesai semua kerja.Saya sujud syukur kepada Allah kerana Allah siapkan juga tugasan saya hari ni.

Alhamdulillah. Selepas ini, kerja kerja lain boleh bersambung.

Wassalam

4 comments:

  1. Assalamu'alaikum Wrmbth,

    Semoga terus berusaha tuan. Jangan putus asa. Jalan masuk ke reban tu kegunaan bersama. Nak tak nak wajib dipulihkan keasal

    UMM BARAQAH RESOURCES
    http://kambinghalal.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Ya Allah engkau mudahkanlah kerja Firdaus.

    Teruskanlan bekerja. Kami setiap hari mendoakan dan solat hajat untuk anda, walaupun anda tidak kenal kami. Doa kami semoga anda menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf.

    Harapan dari kami, jgn lupakan kami di dalam doa anda.

    ReplyDelete
  3. Semoga tuan Haji lagi tabah dan bersedia menghadapi ujian yang Allah turunkan.

    Lagipun susah nak dapatkan pengalaman macam tuan haji ni.

    Insya Allah, dipermudahkan segala urusan untuk kita mendapat yang Terbaik dari Nya.

    ReplyDelete
  4. As salam

    semoga dipermudahkan

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top