Assalamualaikum,

Sepanjang minggu pertama dan kedua kerja kerja pembinaan reban ayam di Kuala Kangsar agak mencabar.

Ia bukan sesuatu yang mudah.

Saya berhadapan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu.Adakalanya kilat sabung menyabung. Ada masanya ribut yang agak kuat sehingga menakutkan kami yang berada di situ. Ada satu kali, kami semua berada di kawasan lapang.

Tiba tiba.

Tummm!!!! Kilat menyambar kawasan sekitar. Satu pokok durian tumbang terkena panahan kilat itu. Subhanallah. Kami ketakutan dan terus memberhentikan kerja bagi mencari perlindungan.

Apa pun yang berlaku, kerja perlu perlu diteruskan.

Dan kini saya menghadapi cabaran terbesar. Saya perlu memasukkan simen konkrit ke lantai reban ayam ini. Namun, bukan mudah untuk ia dilakukan dalam keadaan hujan kerana pada waktu ini, kawasan reban masih belum berbumbung.

Setiap hari saya menunaikan Solat Hajat. Memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan saya untuk menuang konkrit ke lantai reban ini.

Bukan mudah untuk buat ramalan cuaca. Ini kerana saya perlu menempah Kren dan Simen 3 hari lebih awal. Dan bila dah tempah kren, ia tak boleh dibatalkan.

Saya menunaikan solat hajat memohon Allah permudahkan.

Dan apabila tiba hari yang dijanjikan. Ia tidak selancar yang disangkakan.
Inilah keadaan tapak projek pada hari untuk dituang simen. Ia basah dan dipenuhi dengan air. Hari sebelumnya hujan. Subhanallah. Allah benar benar mahu menguji saya. Saya redha dengan cabaran ini.
Memandangkan Kren dan Simen sudah ditempah. Ia perlu diteruskan. Maka lori pertama mula tiba dan kerja kerja menuang konkrit ke lantai bermula. Pada waktu ini, cuaca agak suram. Langit mendung. Masya Allah. Tahap kebergantungan kepada Allah teruji hari ini.







Simen mula dituang ke kawasan tapak reban ayam. Setakat ini, ia berjalan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang agak suram.

Para pekerja mula menjalankan tugas. Lubang pertama dituang dengan simen. Masih ada lagi 37 lubang lagi yang perlu dituang dengan konkrit

Simen terus dituang. Bagi anda yang belum pernah menyaksikan kerja kerja konkrit. Beginilah kerja dilakukan. Ia diangkut dari lori simen terus ke tapak projek menggunakan kren. Hari ini, saya melakukan satu lagi kesilapan. Saya tersilap menempah bekas simen yang kecil. Maka proses mengangkut simen dari lori ke tempat projek mengambil masa yang lebih lama. Satu lori simen terpaksa diangkut sehingga 16 kali. Masya Allah. Ia proses yang teramat perlahan.

Masuk lori yang kedua. Allah terus menguji saya. Kali ini tayar lori pula tersangkut di hadapan tapak projek. Ini kerana kawasan di situ lembut akibat hujan pada hari sebelumnya di situ. Lori kedua tersangkut di situ hampir 45 minit. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengeluarkan lori itu dari situ. Namun gagal.

Masalah dapat diselesaikan apabila lori ketiga sampai ke tapak. Lori ketiga mula menarik lori yang kedua menggunakan dawai yang tebal. Buat masa ni, masalah dapat diselesaikan. Namun ia bukan penyelesaian yang lama pada pandangan saya. Ini kerana kawasan itu lembut. Ada harapan lori seterusnya akan sangkut di situ. Bagi mengelak kejadian sama berulang, saya meletakkan tong di tempat itu.

Sahabat saya yang datang membantu saya pada hari itu meminjamkan kereta beliau kepada saya untuk saya mengangkut batu bata untuk diletakkan di tempat yang berlubang tadi. Ini bagi mengelak tanah di situ terus lembut.

Bata dibuang ke lubang lubang yang terbekas akibat tayar lori. Pada masa ini, saya rasa ia amat perit. Bukan sikit duit yang dibuang ke sini.  Tiada lain dihati saya melainkan "Ya Allah, bantulah aku"

Bata bata yang ditimbun hilang tenggalam ke dalam tanah. Selepas ini, kerja kerja dapat diteruskan. Syukur Alhamdulillah. Namun, ia tidak lama. Para pemandu lori simen memaklumkan kepada saya, jalan masuk ke tapak projek rosak teruk. Ini kerana lori yang masuk ke kawasan reban amat berat. Sekitar 25 tan setiap satu lori. Maka, jalan masuk sudah rosak dan berlubang.

Saya memeriksa apa yang mereka maklumkan kepada saya. Memang benar.Jalan masuk rosak teruk. Subhanallah. "Ya Allah, besarnya ujian Mu untukku hari ini"

Saya tiada pilihan melainkan segera membaiki jalan yang rosak. Memandangkan saya hanya ada bata di situ. Saya terpaksa menutup lubang lubang ini dengan bata yang diangkut berulang ulang kali menggunakan kereta sahabat saya tadi.
Selepas itu, jalan masuk ke tapak pula mula rosak. Padahal pada waktu itu, baru beberapa lori saja yang lalu jalan ini. Masya Allah. Saya buntu. Terlalu banyak masalah dihadapi pada waktu ini. Jalan masuk sudah rosak. Jalan di tapak juga sudah mula rosak. Saya tunduk ke bumi. Saya tak mampu melawan 'kuasa alam' hari ini. Allah hanya turunkan hujan sehari sebelumnya. Namun, kesannya amat teruk terhadap saya.
Walaubagaimanapun, saya membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan saya. Saya terus berusaha untuk menyiapkan simen ini sebanyak mampu.
Tiba tiba, salah satu driver lori masuk ke tapak reban ayam ini dan bising kepada saya. Dia mengatakan jalan masuk sudah rosak teruk. Dan semasa lori dia masuk. Ekzos lori tersangkut di jalan dan menyebabkan ekzos lori itu patah. Beliau bising kat saya untuk terus membaiki jalan.
Saya tiada pilihan. Saya terus mengangkut batu bata yang ada ditapak projek untuk terus ditambak dijalan jalan yang rosak. Ini bagi membolehkan lori seterusnya masuk ke tempat projek.


Masalah yang saya hadapi tidak terhenti di situ.Sampai satu ketika, saya lihat jalan masuk ke tapak projek dah rosak teruk. Saya dah tak mampu nak baiki lagi.

Hampir 4000 bata sudah tertanam di jalan jalan masuk ke tapak projek. Namun, ia masih belum baik.

Tidak cukup dengan masalah ini, orang kampung mula datang dan 'memarahi' saya kerana merosakkan jalan mereka. Ini bukan masalah kecil. Ia masalah serius.

'Saya nak tanya, masuk lori guna jalan ni ada minta kebenaran tak?' mereka memarahi saya.

'Saya dah maklumkan kepada ketua kampung yang saya nak lalu jalan ni' saya menjawab.

'Ada surat?' mereka bertanya dalam keadaan tak berpuas hati kepada saya.

'Tak ada sebab saya maklum kepada ketua kampung pun secara lisan sahaja' saya menerangkan kepada mereka.

'Kami akan laporkan masalah ini kepada Pejabat Daerah', kata salah seorang daripada mereka dalam keadaan marah.

'Abang, macam ni lah. Abang nak marah saya pun tak guna. Sekarang ni jalan dah rosak. Saya janji lepas ni saya repair balik jalan ni macam biasa' saya cuba untuk berbincang dengan mereka.

Mereka pulang dalam keadaan tidak berpuas hati.

Apakan daya. Memang saya salah pun. Tapi, saya dan owner dah berbincang. Kami tiada pilihan. Kalau nak minta kelulusan memang takkan lulus. Maka, ini teknik yang terbaik. Jalan saja. Nanti kalau rosak, repair la balik.

Namun, 'perit'nya saya yang tanggung seorang kerana owner tiada di tapak projek hari itu.

Menjelang jam 3 petang. Langit mulai mendung. Tanda tanda hujan nak turun mula kelihatan. Sedangkan kerja masih belum siap.

Saya redha dan pasrah. Saya bersabar.

Akhirnya pada hari itu, hanya 16 lubang daripada 38 lubang keseluruhan yang berjaya disimenkan. Bakinya masih belum siap.





Saya pasrah. Saya sudah berdoa. Bukan sedikit doa yang saya mohon. Solat hajat. Solat Tahjud. Dan pelbagai doa yang saya baca. Namun, ini kesudahannya. Saya redha. Saya tahu. Saya sudahpun buat yang terbaik. Saya bersabar.

Sepatutnya, saya boleh siapkan keseluruhan lantai ini dalam masa satu hari. Namun, pelbagai faktor yang tidak memungkinkan saya menyiapkannya dalam masa satu hari. Saya redha. Saya perlu menyewa kren sekali lagi dan perlu membayar gaji pekerja sehari lagi untuk kerja ini.

Mungkin ini ujian buat saya. Allah mahu saya terus berdoa kepada Nya. Saya tidak berputus asa. Saya terus dan terus berdoa kepada Allah. Memohon Allah tentukan yang terbaik untuk saya. Memohon Allah permudahkan urusan saya yang seterusnya.


"Ya Allah, kepada Mu jua aku berserah. Aku redha dengan segala ketentuan yang telah Engkau tetapkan untuk Ku"

Kesabaran saya benar benar teruji. Namun, saya yakin ada hikmat disebalik apa yang berlaku.

Kerja perlu diteruskan. Perancangan perlu disusun bagi menghadapi kemungkinan yang seterusnya.Bukan mudah untuk saya menempah simen yang seterusnya. Ini kerana jadual mereka sudah penuh. Dan saya hanya boleh menempah kembali simen dalam masa satu minggu.

Dan saya masih belum tahu bagaimana cuaca pada hari saya menempah simen itu nanti.

Mereka meminta saya membaiki jalan terlebih dahulu sebelum lori simen lain mula masuk ke tapak saya.

Saya memaklumkan kepada tuan reban dan beliau meminta saya untuk membaiki dahulu jalan yang rosak ini.

Bukan mudah.Banyak kerja yang perlu dilakukan dan banyak wang yang perlu dikeluarkan.

Semoga Allah permudahkan.Sekarang anda saksikan, bukan mudah untuk saya mencari  wang. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi.

Buat isteri tersayang... Ketahuilah.. Bukan senang abang mencari wang untuk sayang dan Farees...... Sayangilah Suami Anda Setiap Hari :)

Wassalam

5 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum Wrmbth, Teruskan berusaha tuan. Memang besar dugaan ni.

    UMM BARAQAH RESOURCES
    http://kambinghalal.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Tn Haji,

    Sebak saya lihat cabaran yang tn hj hadapi. Semoga Tn Haji bersabar dengan dugaan dan ujian yang melanda.

    Allah memberikan kita hujan kerana selepasnya ada sinar pelangi..

    Allah memberikan kita ulat bulu kerana selepasnya timbul rama-rama yang cantik..

    BalasPadam
  3. Teruskan usaha dan doa. Tuan dijalan yang betul.

    BalasPadam
  4. Teruskn usaha gigih tuan Firdaus..sy doakn smuge projek sdr brjya dsiapkn dgn sbaiknya..InsyaAllah..

    BalasPadam
  5. Dont Worry Bro!!... Will Pray For you. regards, mohan

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top