Assalamualaikum,

Saya bersyukur, di Mekah Allah temukan saya dengan Prof Kamil dan Datuk Zainal. Kedua dua insan ini banyak memberi 'perubahan' dalam hidup saya.

Sejak di Mekah dan Madinah, saya melakukan Solat Tahjud. Setiap malam. Ia merupakan amalan yang tidak ditinggalkan sepanjang berada di Tanah Suci. Sesuatu yang tak pernah saya lakukan semasa di Malaysia dahulu.

Sejak di Mekah dan Madinah, saya berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Ia tak pernah saya lakukan semasa di Malaysia dahulu.

Bagi saya, pemergian saya menunaikan haji merupakan TITIK PERUBAHAN dalam hidup saya. Banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan haji saya tempoh hari.

Nasihat Prof Kamil sentiasa segar di ingatan saya.

Tak lupa nasihat daripada Datuk Zainal.

Ia satu konsep ibadah yang mudah. Yang sepatutnya kita semua lakukan. Namun, ia agak sukar kerana di Malaysia tiada siapa yang mendorong kita untuk melakukannya.

Benar. Ia amalan yang ditekankan oleh Rasulullah. Namun, amalan amalan ini nampak seperti janggal apabila berada di Malaysia.

Antara nasihat Prof Kamil yang dapat saya kekalkan walaupun tidak sepenuhnya sejak balik ke Malaysia adalah:

- Sentiasa menunaikan Solat Secara Berjemaah
- Berpuasa Sunat Isnin dan Khamis
- Melakukan Qiamullail setiap malam

Nasihat Datuk Zainal yang dapat saya kekalkan adalah:

- Melakukan Solat Sunat Dhuha setiap hari
- Bersedekah setiap hari secara istiqamah walaupun dalam jumlah yang kecil
- Sentiasa mendahului dan memuliakan ibu bapa

Alhamdulillah.

Berkat amalan yang sedikit ini, Allah memurahkan rezeki kepada saya.

Pulang saja dari Tanah Suci, ayam ayam di reban saya sudah sedia untuk dijual. Buat pertama kalinya, ayam saya dijaga sepenuhnya oleh para pekerja saya.

Di Tanah Suci, saya hanya mendoakan agar Allah mempermudahkan perniagaan saya di Malaysia.

Syukur, keuntungan yang diperoleh daripada jualan ayam amat memberangsangkan. Walaupun tidak terlalu banyak, namun pendapatan bulanan masih mencecah lima angka. Alhamdulillah.

Saya memperbanyakkan Sujud Syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepada saya. Allah memberi rezeki kepada saya sejurus saya pulang dari Tanah Suci.

Mungkin.. Mungkin.. Allah merasakan apa yang diberikan kepada saya masih belum mencukupi.

Bayangkan setiap hari saya berdoa,

"Ya Allah, sekiranya rezekiku masih dilangit. Kau turunkanlah. Sekiranya rezekiku masih dibumi, Kau keluarkanlah. Jika rezekiku sukar, Kau permudahkanlah. Jika rezekiku masih jauh, Kau dekatkanlah. Jika rezekiku masih haram, Kau sucikanlah. Ya Allah, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba hamba Mu yang Soleh"

Setiap hari. Tanpa 'miss'. Setiap pagi ketika waktu Dhuha dan setiap malam ketika bersolat Tahjud.

Dan Allah mendengar doa hamba Nya yang kerdil ini.

REZEKI DARI PINTU YANG TIDAK DISANGKA SANGKA

Allah menghantar sepasang suami isteri yang merupakan pembaca blog saya ini datang ke reban saya.

"Firdaus, kami datang ni nak belajar pasal ternakan ayam. Kami memang berhajat nak memulakan ternakan ayam dalam masa yang terdekat ni. Abang cari info diinternet pasal ayam, dan terjumpa blog Firdaus," Abang Agus menjelaskan hajat mereka.

"Insya Allah. Saya boleh tolong setakat yang termampu," saya menjawab.

Saya menceritakan sedikit sebanyak mengenai ternakan ayam kepada mereka berdua. Menceritakan pengalaman saya selama 6 tahun dalam industri ternakan ayam ini.

Mereka berpuas hati dengan penjelasan yang saya berikan.

Hinggalah timbul satu soalan kepada saya.

"Firdaus, kenapa kos nak buat reban terlalu mahal? Kami dapat 'Quotation' kos reban untuk ternak ayam 20,000 sekitar RM380,000", mereka bertanya kepada saya.

"Masya Allah. Mahalnya. Siapa yang bagi Quotation tu. Kalau saya buat sendiri dalam RM3XX,XXX saja", saya menjawab.

"Eh murahnya, kalau macam tu Firdaus buat ajalah reban ayam kami," mereka meminta bantuan saya.

"Jap kak, harga yang saya cakapkan tadi. Kalau saya buat reban untuk saya sendiri. Maksudnya, itu harga kos. Kalau saya nak buat reban untuk kak, tak bolehlah harga tu," saya menjelaskan.

"Tapikan kak, saya tak pernah buat reban. Tapi saya tahu buat reban ayam. Saya tahu nak beli barang dari mana dan saya ada tukang untuk buat reban. Segalanya terpulang kepada kak dan abang. Kalau nak minta tolong saya, insya Allah. Saya tolong. Kalau kak nak buat reban ayam dengan orang lain dan nak belajar dari segi teknik ternakan ayam daripada saya pun, saya boleh bantu. Terpulang kepada kak dan abang," saya menambah.

Dalam tempoh masa ini. Setiap hari, saya menunaikan Solat Istikharah. Meminta panduan daripada Allah. Wajarkah saya 'menceburi' bidang 'construction'.

Bila saya duduk berseorangan, saya berfikir.

"Ya Allah, aku meminta kepada Mu agar dimurahkan rezeki ku. Aku mohon setiap hari dan setiap malam. Adakah ini 'tanda' Engkau memakbulkan doaku. Adakah ini ruang baru untuk aku mencari rezeki Mu."

Kadang kadang, bila terfikir akan hal ini. Saya rasa nak menangis.

Saya baru amalkan sedikit daripada yang Allah perintahkan. Tapi, Allah mahu memberi 'cash' kepada saya. Doa saya segera Allah makbulkan.

Teringat kata kata Datuk Zainal di Mekah, "Firdaus, cubalah buat apa yang saya katakan ni. Kalau nak rezeki murah. Pertama Sentiasa Memuliakan Ibu Bapa. Yang Kedua, Sentiasa Bersedekah Secara Istiqamah Setiap Hari. Yang Ketiga, Amalkan Solat Sunat Dhuha, Setiap Hari. Percayalah, nanti Firdaus akan dapat merasai apa yang saya katakan ini"

Kepada Allah jualah saya memohon.

Saya meminta pandangan ibu bapa saya. Kerana saya mahu restu dan doa daripada mereka.

Kontraktor Reban Ayam. Ia sesuatu yang tak pernah saya terfikir saya akan lakukan. Tetapi, hati kecil saya mengatakan saya mampu lakukannya berdasarkan pengalaman saya 6 tahun dalam industri ini. Hati kecil saya mengatakan, Allah merestui saya untuk menceburi bidang ini.

Selepas seminggu dua, saya berjumpa kembali dengan mereka dan mereka bersetuju untuk memilih saya sebagai kontraktor reban ayam mereka.

"Kak, abang. Saya nak berterus terang. Reban abang dan kak akan jadi reban ayam saya yang pertama. Saya mohon abang dan kak berdoa setiap hari. Minta Allah mudahkan urusan saya membina reban ayam abang nanti," ini permintaan saya kepada mereka.

Kepada Allah, saya berjanji.

"Ya Allah, apa yang aku lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Aku mahu mencari redha Mu. Aku tahu Engkau mahu memberikan aku sesuatu. Aku berjanji, aku akan membina reban ayam ini seperti mana aku membina reban ayam aku sendiri. Aku tak mahu menipu mereka. Permudahkan lah urusanku".

Jika sebelum ini, saya bersolat Istikharah. Kini saya beralih kepada Solat Hajat pula.

"Ya Allah, aku mohon pada Mu permudahkanlah segala urusanku untuk membina reban ayam ini. Reban ayam ini yang pertama yang akan aku bina. Aku serahkan kepada Mu. Permudahkanlah segala urusanku. Jauhilah aku daripada melakukan kesilapan kesilapan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada ku di kemudian hari"

Saya bersolat hajat setiap hari. Memohon Allah permudahkan.

20 Februari 2012. Kerja kerja pembinaan reban ayam ini bermula. Dan hari ini, genaplah tempoh masa 2 bulan saya membina reban ayam ini.

Pelbagai pengalaman manis, suka duka saya sepanjang membina reban ayam ini ingin saya kongsikan dengan anda semua.

Teruskan membaca blog ini. Insya Allah. Saya akan menceritakan pengalaman saya dalam proses membina reban ini dalam entri seterusnya.

Insya Allah. Saya akan menceritakan kepada anda bagaimana saya berdoa dan meminta kepada Allah. Dan anda perhatikan nanti, bagaimana Allah memberi masalah kepada saya untuk mematangkan saya.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada apa yang saya sampaikan ini.

Wassalam

3 ulasan:

  1. salam.
    saya selalu doakan utk saudara.
    semoga saudara akan menjadi seperti
    Abdul Rahman bin Auf. amin.
    teruskan dan istiqomah.

    BalasPadam
  2. Assalam,

    Semuga dalam kasih sayang Allah.

    Alhamdulillah! Semuga Allah permudahkan semua urusan. Bak kata prof Kamil, " carilah kekayaan seumpama Firaun, jangan jadi Firaun.".

    Semuga tuan haji dan keluarga dalam peliharaan Allah hendaknya.

    AJ

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum
    Ape khabar Firdaus..semoga berada dalam rahmat Allah SWT..semoga semangat Dan cita2 Firdaus di Bantu Allah SWT..insyaAllah balik Malaya Nanti teringin nak jumpa Saudara Firdaus..
    Semoga persadaraan hanya kerana Allah SWT sebagai mana kata2 seorang lelaki buat Muaz bin Jabal r.a..
    Semoga berjaya dunia akhirat..
    Maassalamah..

    Ahmad Nazrimi..

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top