Assalamualaikum,

Sebelum ini, saya sudah pun menceritakan pengalaman saya melakukan ibadah wukuf di Arafah dan Mabit di Muzdalifah. Saya juga sudah menceritakan mengenai Tahallul Awal dan Thani serta Nafar Awal dan Thani.

Insya Allah, entri kali ini akan menceritakan perjalanan haji saya yang seterusnya. Saya akan menyambung entri yang terdahulu selepas bermabit di Muzdalifah dan terus ke Mina.

Inilah Carta Perjalanan Haji Saya Selepas Sudah Melakukan Niat Haji, Wukuf di Arafah, Bermalam Di Muzdalifah.

BERMALAM DI MINA

Mabit di Mina pada 11,12 & 13 Zulhijjah merupakan Wajib Haji yang perlu dilakukan oleh para jemaah Haji. Mabit di Mina adalah berada di bumi Mina sekurang kurangnya separuh daripada malam.

Selepas Mabit di Muzdalifah, sekitar jam 12 malam, kami dibawa dari Muzdalifah menggunakan bas secara berperingkat. Perjalanan dari Muzdalifah ke Mina adalah sekitar 7 km. Alhamdulillah. Perjalanan bas kami berjalan lancar. Masa yang di ambil hanya sekitar 15-20 minit.

Dalam perjalanan, saya dan beberapa jemaah muda cuba 'menghangatkan' kembali perjalanan haji kami dengan bertalbiah secara berjemaah. Alhamdulillah. Para jemaah di dalam bas mula bertalbiah.
Perjalanan Bas Kami Yang Sudah Hampir Sampai Ke Kawasan Khemah di Mina

Beginilah keadaan dalam khemah di Mina. Terima kasih kepada Zahafiz yang menyewa tilam dan bantal untuk kami para jemaah. Teramat selesa berada di sini. Siap diberikan selimut lagi.

Pemandangan dalam khemah jemaah wanita

Setiba di Khemah di Mina, kami mengambil tempat di dalam khemah. Alhamdulillah, pihak Zahafiz menyediakan tilam, bantal dan selimut untuk kami gunakan di sini. Perlu diingat, kami masih lagi dalam keadaan berihram pada masa ini. Segala pantang larang ihram perlu dijaga pada masa ini.

Beginilah keadaan kami di dalam Khemah. Dalam khemah ini lah tempat kami tidur dan bersolat secara berjemaah.

Maria dan Mak di dalam khemah di Mina

Pemandangan di dalam khemah wanita

Di Mina, kami diberi sebungkus beg berisi Maggi Mee Sedap, Biskut, Teh, dan pelbagai jenis makanan dan minuman lagi. Jangan risau. Anda tidak akan lapar di sana.

Pemandangan di luar khemah pada 10 Zulhijjah. Masa untuk Melontar di Jamrah Kubra sudah bermula pada waktu ini.

Lorong lorong di antara khemah. Jangan risau, makanan dan minuman terlalu banyak diberikan kepada kami para jemaah di sini.

Awal pagi 10 Zulhijjah. Ada jemaah ( Yg tak berbaju, berseluar dan botak ) yang sudahpun pergi melontar Jamrah Kubra pada awal pagi ini. Dan terus bercukur. Ini bermakna mereka sudah melakukan Tahalull Awal. Maka mereka sudahpun bebas dari pantang larang ihram melainkan 3 perkara berkaitan wanita.

Subhanallah. Beginilah keadaan tandas di Mina pada kebanyakan waktu. 2700 orang berkongsi 40 buah tandas. Bukan mudah. Kadang kala para jemaah terpaksa beratur sehingga 10 orang untuk masuk ke dalam tandas.

Para jemaah perlu bertimbang rasa pada waktu ini. Kalau boleh, janganlah mandi di dalam tandas pada waktu puncak. Gunakan tandas untuk buang air besar dan kecil sahaja pada waktu ini. Kalau nak mandi sekalipun, carilah masa di mana kurang sesak. Ini baru tandas lelaki, bolehkah anda bayangkan bagaimana tandas wanita? Tanyalah mereka, hanya mereka yang boleh menceritakan pengalaman beratur di tandas ini.

Kami sekeluarga memilih untuk melontar di Jamrah Kubra pada sebelah malam. Iaitu selepas kami Mabit di Mina pada 11 Zulhijjah.

Pada sebelah malam 11 Zulhijjah. Saya masih lagi berihram kerana saya belum melakukan Tahallul Awal. Sepanjang hari itu, saya memperbanyakkan ibadah di khemah seperti membaca Al Quran, bersolat sunat dan berzikir.

Saya juga turut bersembang dengan jemaah yang sudahpun pergi melontar di Jamrah Kubra dan sudahpun kembali ke khemah. Selepas bercukur, mereka ini sudah pun memakai pakaian biasa pada waktu ini.Saya bertanya pengalaman mereka melakukan ibadah melontar.

Kalau anda lihat dalam carta aliran perjalanan haji saya, setiba di Mina saya memilih untuk bermalam di Mina pada 11 Zulhijjah dahulu. Kemudian baru akan melakukan ibadah melontar di Jamrah Kubra.

Selepas jam 12 malam, kami para jemaah yang memilih untuk melakukan perjalanan haji seperti ini mula bergerak ke Jamrah. Iaitu tempat untuk melontar.

Insya Allah. Akan bersambung selepas ini.

Wassalam

2 comments:

  1. Slm bt Tuan Hj sekeluarga,terima ksh di atas perkongsian yg sgt2 bermanfaat ini.Saya akan terus mengikuti catatan selanjutnya.Semoga Tuan Hj akan terus menulis,sesungguhnyaramai yg mendapat manfaat dr tulisan 'perjalanan haji'ini.Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Insyaallah. Akan terus menulis. Cuma sy terlalu sibuk skrg ini sebab sedang buat reban AYAM org Di kuala kangsar. Keluar Rumah jam 7 pagi. Pukul 8 mlm baru balik. Dan penat. Tak sempat nak menulis.

    Semoga Allah beri ruang masa kpd sy. Amin.

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top