Assalamualaikum,

Perjalanan dari Mekah ke Arafah mengambil masa sekitar 1 jam. Kalau nak diikutkan jarak, tidaklah terlalu jauh. Sekitar 24km sahaja antara Mekah ke Arafah. Namun memandangkan terlalu banyak bas yang keluar pada waktu yang sama.

Perjalanan yang jarak tidak terlalu jauh pun mengambil masa satu jam.

Syukur Alhamdulillah bas yang saya naiki tiba ke Arafah dalam tempoh satu jam.

Ada bas yang keluar terlebih dahulu daripada kami tiba lebih lewat ke Arafah. Ada jemaah Zahafiz yang menaiki bas lain mengambil masa sekitar 2 jam setengah untuk sampai ke Arafah dari Mekah.

Hal ini berlaku kerana pemandu bas telah tersesat jalan dan tidak tahu untuk sampai ke khemah kami. Namun, semua jemaah redha dengan 'hidangan' Allah ini. Syukur Alhamdulillah. Bukan mudah untuk mendapat Haji Mabrur. Kesabaran kita akan diuji ke tahap yang paling 'maksimum'.

KELEBIHAN HARI ARAFAH

Sabda Rasulullah s.a.w. : 'Hari ini (Arafah) siapa yang menguasai pendengaran, penglihatan dan lidah, maka dosanya diampuni Allah.'

Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Tidak ada suatu hari dimana Allah Taala paling banyak membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah (9 Zulhijjah)." (Sahih Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka : “ Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.“.(Riwayat Ahmad)

PENGALAMAN SAYA

Seminggu sebelum kami semua memulakan perjalanan haji, pihak Zahafiz memberi penekanan kepada kami mengenai perjalanan haji. Mereka memberi gambaran kepada kami apa yang akan kami tempuh dalam tempoh haji selama 4-5 hari mendatang.

Bermula dari keluar hotel di Mekah ke Arafah, suasana di Arafah, berpindah ke Muzdalifah dan Mabit di situ, kemudian ke Mina dan bermabit di situ, kemudian melontar di Jamrah, Tawaf, Saie dan Tahlul.

Sepanjang perjalanan menuju ke Arafah, saya dapat menyaksikan jutaan manusia bergerak ke Arafah. Ada yang menaiki kereta yang disewa khas, ada yang menaiki van, ada yang menaiki bas, ada yang menaiki lori dan yang paling hebat ada yang berjalan kaki.

Pada hari Arafah ini, jutaan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia berada di satu tempat yang sama. Satu pengajaran penting yang saya peroleh di sini ialah Allah hendak mengajar kita manusia bahawa kita semua sama sahaja. Yang membezakan kita hanyalah iman dan takwa dalam diri kita.

Di Arafah, Allah memerintahkan kita semua memakai pakaian yang sama. Semua perlu berihram. Hanya dua helai kain yang membalut tubuh sepanjang berada di Arafah. Semua orang mendapat layanan yang sama. Semua orang tidur di dalam khemah. Berkongsi tandas yang sama. Makan makanan yang sama.

Tak kira apa saja jawatan kita di Malaysia. Di Arafah kita adalah sama.

Pihak Zahafiz selalu memberi peringatan bahawa sekali sekala kita perlu melihat ke bawah. Sekali sekala kita perlu bermuhasabah. Taktala kita sering diulit dengan kemewahan dan kesenangan ketika berada di Malaysia, sedikit kesusahan yang kita tempuhi di bumi Arafah sepatutnya memberi keinsafan kepada kita.

Kita harus sedar, tak ramai orang bernasib baik seperti kita. Tak ramai orang yang mampu makan seperti kita. Jadi, apa salahnya kalau mula memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk membantu orang orang yang lebih susah daripada kita di Malaysia nanti.

Arafah sewajarnya memberi pengajaran kepada kita. Arafah adalah gambaran awal kita semua di Padang Masyar nanti. Semua umat manusia dikumpulkan di satu tempat yang sama. Semuanya kelihatan sama. Yang membezakan hanyalah iman dan takwa.

MALAM 9 ZULHIJJAH

Saya dan keluarga tiba di Arafah sekitar jam 5 petang. Pada masa itu, sudah hampir masuk waktu Maghrib.

Ada jemaah yang tiba awal. Ada jemaah yang tiba lewat. Saya tiba di Arafah sekitar jam 5 petang. Alhamdulillah. Bas yang membawa kami ke Arafah bergerak lancar.

Kami semua berada dalam Maktab 98. Dalam maktab ini terdapat sekitar 2700 orang. Kebiasaannya, maktab ini hanya boleh menampung 2500 orang, namun pihak Kerajaan Arab Saudi mengatur lebihan orang dalam sesuatu maktab.

2700 orang ini akan berada di dalam kawasan berpagar khas untuk Maktab 98 sahaja. Ini bagi mengelak jemaah haji keluar dari satu satu kawasan dan kemudian tersesat untuk mencari khemah tempat tinggal. Ini juga bagi mengelak kawasan kami daripada 'diceroboh' oleh jemaah dari negara negara lain.

Bersama kumpulan saya dalam Maktab 98 adalah jemaah haji dari Malaysia dari agen Lintas Travel, Gemilang Travel, Felda Travel, Rayhar dan beberapa syarikat lain lagi.

Kami diminta 'tinggal' sebagai sebuah keluarga yang besar dan sentiasa bertolak ansur di antara satu sama lain. Terutama dalam hal makanan dan tandas. Kami diberi makanan dalam bekas khas yang disediakan oleh pihak Tabung Haji.

Dan yang kritikal adalah masalah tandas. 2700 jemaah ini berkongsi 40 buah tandas. 20 tandas untuk jemaah lelaki dan 20 tandas untuk jemaah wanita. Saya perlu 'bijak' dalam memilih waktu terbaik untuk mengelak dari beratur panjang di tandas.

AKTIVITI DI MALAM HARI

Pada malam itu, kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara Jamak Tamam. Kami menjamakkan solat tanpa menqasarkan solat itu. Dalam erti kata lain, bersolat jamak Maghrib 3 rakaat dan Isyak 4 rakaat dalam waktu Magrib.

Selesai solat Maghrib dan Isyak, Ustaz menyampaikan tazkirah untuk kami semua.

Selesai tazkirah, kami berehat mengumpul tenaga untuk esok hari.

Selepas solat, kami diberikan tazkirah oleh Ustaz yang menceritakan pentingnya hari Arafah yang akan kami tempuhi pada esok hari.

Ustaz meminta kami semua berehat secukupnya pada malam itu kerana pada hari esok ( 9 Zulhijjah ) kami akan melalui satu tempoh masa yang 'terbaik' dalam hidup kami. Iaitu di antara waktu Zuhur dan Maghrib.

Pada waktu itu, Allah membuka pintu langit seluas luasnya untuk mendengar rintihan dari hamba hamba Nya. Pada waktu itu, Allah akan mengampunkan dosa hamba hamba yang merayu memohon ampun kepada Nya. Dan Allah akan mengkabulkan segala doa daripada hamba hamba Nya pada waktu itu.

Jadi, saya tidak boleh 'lalai' pada waktu itu. Saya perlu rehat yang cukup pada malam itu.

Selepas selesai sessi tazkirah, kami diberi makan nasi dalam bungkus. Saya makan dalam keadaan segera, kemudian ke tandas dan bersiap untuk tidur.

Makanan yang sudah siap di pack dalam Aluminium Foil.

Pada pandangan saya, anda tidak perlu risau tentang makanan dan minuman di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Terlalu banyak makanan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji di sana

Ustaz berpesan supaya kami tidak membuang masa pada malam ini dengan berbual kosong sesama jemaah. Sebaliknya, isilah masa itu sebaiknya. Jika tidak, tidurlah bagi mendapat rehat yang cukup agar kita bersedia untuk beribadah pada esok hari.

Jam 9 malam saya tidur.

Alhamdulillah. Pihak Zahafiz telah menyediakan 'servis' tambahan kepada kami secara percuma di sini. Tempat tidur kami ada bantal dan tilam. Siap diberi kain selimut lagi. Alhamdulillah. Teramat selesa. Tak semua jemaah yang dapat tilam dan bantal di sini. Ini kerana ramai yang terpaksa tidur di atas karpet sahaja dan berbantalkan lengan. Terima kasih kepada pihak Zahafiz. Tak rugi anda pergi menunaikan haji dengan pihak Zahafiz. Wah!!! Promote Zahafiz pulak.

Beginilah kami tidur di dalam khemah ketika berada di Arafah. Kaki bertemu kaki, kepala bertemu kepala. Dalam kes sebegini, hendaklah kita bertolak ansur dan sentiasa menghormati jemaah haji yang lain.

Lagi gambar jemaah haji sedang tidur.

Perlu diingat. Pada waktu ini kami semua berada dalam keadaan ihram. Maka kami perlu sentiasa menjaga pantang larang ihram. Antaranya jemaah lelaki tidak boleh menutup kepala. Jemaah wanita pula tidak boleh menutup muka. Dan kami tidur dalam keadaan memakai kain ihram.

9 ZULHIJJAH 1432H

Di sebelah pagi, para Ustaz tidak menggalakkan kami bangun terlalu awal untuk melakukan Qiamullail. Ustaz berpesan agar kami semua menyimpan tenaga untuk lebih kuat beribadah di antara waktu Zuhur dan Maghrib pada esok hari.

Saya bangun sekitar jam 4 pagi. Pada waktu ini, tandas sudah penuh. Saya terpaksa beratur agak panjang sementara menunggu giliran. Ada 4-5 orang dihadapan saya.

Tandas di Arafah. 40 buah tandas untuk 2700 orang.

Beginilah keadaan tandas. Agak sempit.

Selepas selesai berwudhuk, saya menggunakan kesempatan yang ada untuk bersolat tahjud dan hajat. Meminta pertolongan dari Allah agar dipermudahkan segala urusan saya sepanjang perjalanan haji ini. Dan semoga Allah mengampunkan dosa saya yang telah dilakukan.

Jam 5.30 pagi, kami bersolat Subuh dan kemudian Ustaz Halim Nasir memberi sedikit tazkirah kepada kami semua.

Ustaz meminta kami untuk berehat pada waktu pagi sebelum waktu Zuhur. Kalau boleh tidur, tidurlah waktu itu supaya kami 'segar' dari waktu Zuhur sehingga Maghrib.

Mak saya yang sedang menyiapkan maggi.

Makan maggi bersama Maria

Keadaan di Arafah pada waktu pagi hari Wukuf

Ada jemaah yang mengambil kesempatan untuk berehat bagi mengumpul tenaga untuk beribadah pada waktu petang itu. Ada juga yang menunaikan solat Sunat Dhuha

Selepas sarapan, saya tidur seketika. Namun bukan mudah untuk tidur lagi kerana pada malam tadi saya sudah 'terlebih' tidur.

Jam 9 pagi, saya bangun dan bersolat Sunat Dhuha. Kemudian membaca Al Quran. Sementara menunggu waktu Zuhur.

Kami semua berehat di dalam khemah

Bersiap sedia untuk bersolat Zuhur dan Asar secara jamak tamam.

"Haji itu Arafah." Tidak sah haji seseorang jika dia tidak berwukuf di Arafah.

Kalau anda perhatikan, saya dan para jemaah haji kini sudah berada di bumi Arafah. Dan waktu berwukuf di Arafah itu bermula selepas waktu Zuhur 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Jadi mereka yang menunaikan haji perlu berada di Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan pada waktu tersebut.

Maka, kini saya sudahpun melakukan RUKUN HAJI YANG KEDUA. IAITU WUKUF DI ARAFAH.

WAKTU ZUHUR TIBA


Menjelang waktu Zuhur, azan berkemundang. Kami menunaikan Solat Zuhur dan Asar secara jamak tamam. Iaitu Zuhur 4 rakaat dan Asar 4 rakaat. Kemudian, Ustaz Shamsudin menyampaikan Khutbah Hari Arafah.

Para jemaah haji yang baru selesai menunaikan Solat Zuhur dan Asar secara jamak. Maka kami sudahpun melakukan Wukuf Di Arafah.

Kami mendengar Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Ustaz Shamsudin

Terlalu banyak pengajaran yang disampaikan oleh khatib kepada para jemaah dalam khutbah yang disampaikan. Antaranya diulang kembali khutbah terakhir Nabi Muhammad S.A.W yang disampaikan di Lembah Uranah, Arafah semasa mengerjakan haji pada tahun 10 Hijrah.

Di akhir khutbah, khatib telah membaca doa hari Arafah. Bagi saya doa yang betul betul menyayat hati. Air mata saya mengalir bila menghayati setiap bait bait kalimah yang dibacakan oleh khatib. Doa yang dibaca dengan ikhlas itu betul betul masuk ke dalam hati saya. Saya dapat memerhatikan ramai diantara kami yang mengalirkan air mata keinsafan pada waktu itu.

DOA HARI ARAFAH

Cuba anda baca doa doa ini dan hayati setiap perkataan yang diucapkan. Insya Allah, akan mengalirlah air mata anda. Semoga air mata ini menjadi pemadam api neraka buat kita diakhirat kelak.

Memandangkan doa yang dibaca betul betul menyentuh hati dan perasaan saya, selepas itu saya terus mencari Ustaz Shamsudin dan mengambil gambar menggunakan telefon saya doa doa yang dibaca tadi. Saya yakin, doa ini pasti berguna untuk jemaah haji pada tahun tahun hadapan.

Hanya mereka yang betul betul 'berhati keras' tidak dapat mengalirkan air mata pada waktu ini. Kalau pada waktu ini kita tidak boleh 'mengalirkan air mata' memohon ampun kepada Allah, bila lagi kita hendak menangis kerana Allah.

Setiap air mata yang gugur itu bakal menjadi pemadam api neraka di akhirat kelak.

Betullah apa yang ustaz katakan. Waktu itu teramat istimewa. Saya sendiri dapat merasai keistimewaan waktu itu. Namun ia sukar digambarkan dengan kata kata. Saya merasai seolah olah seluruh pintu langit terbuka luas dan saya berdoa secara terus dengan Allah. Itulah yang saya rasakan pada waktu itu.

Selepas selesai Khutbah Hari Arafah, aktiviti seterusnya adalah berzikir secara berjemaah Zikir Hari Arafah.

Kami berzikir hari Arafah.

Berzikir dalam keadaan duduk, berdiri, berbaring. Ikut kesesuaian. Namun apa yang penting, lakukan semata mata kerana Allah.

Zikirnya amat panjang dan memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi untuk bertahan. Baru saya faham kenapa pihak Zahafiz menyuruh kami mendapat rehat yang cukup pada sebelah malam dan pagi itu. Supaya tenaga kami dapat digunakan sepenuhnya pada waktu ini.

Jemaah wanita yang turut berzikir secara berjemaah

Subhanallah. Panjang sungguh Zikir Hari Arafah. Kami berzikir dalam keadan duduk, berdiri, berbaring dan sebagainya. Bersesuaian dengan perintah Allah yang menyuruh kita semua sentiasa berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan.

Zikir Hari Arafah mengambil masa sekitar 2 jam. Kami berzikir, berwirid menyebut kekuasaan Allah dan memohon ampun kepada Nya. Kami habis berzikir pada jam 3 petang. Pada waktu itu, saya betul betul terasa lapar. Kami makan dan bersedia untuk bermunajat kepada Allah memohon doa secara individu.

Sekitar jam 3.30 petang, pihak pengurusan Zahafiz mengatur program berdoa bersama keluarga di luar khemah. Pihak Zahafiz tidak mahu ada jemaah yang duduk di dalam khemah.

JANGAN TIDUR DALAM KHEMAH WAKTU INI.

Sebaliknya, gunakanlah ruang yang ada untuk bermunajat bermohon ampun kepada Allah. Ingatlah janji Allah, hari ini Allah mengeluarkan hamba Nya dari api neraka. Semoga kita termasuk ke dalam golongan itu. Golongan yang diampunkan Allah dan dijauhkan kita dari api neraka. AMin.

Dan berdoalah agar Allah mengkabulkan segala doa doa kita. Ini waktu terbaik untuk kita berdoa. Berdoalah untuk anak anak kita, ibu bapa kita, saudara mara kita dan untuk seluruh ummat Islam yang lain.

Kami para jemaah Zahafiz mula mengambil tempat di luar khemah. Jemaah lelaki beratur di satu bahagian. Kemudian para jemaah wanita mencari pasangan mereka masing masing di luar khemah itu. Setiap pasangan disuruh berdoa dimana mana tempat di luar khemah secara berkeluarga.

Jemaah lelaki beratur diluar khemah. Menanti pasangan masing masing menjemput mereka.

Masih menunggu pasangan masing masing.

Jemaah wanita beratur untuk mencari pasangan mereka. Untuk dibawa pergi berdoa dimana mana tempat di luar khemah.

Kami berempat mengambil tempat di bahagian belakang pagar Maktab 98. Saya membaca doa dan diaminkan oleh Maria, ibu dan bapa saya. Air mata kami berlinang memohon bantuan dan rahmat daripada Allah.

Saya dan Maria serta ibu bapa kami mula mengambil tempat. Kami mencari tempat di bahagian hujung pagar. Dan berdoa di situ.

Benar bagai di kata. Begitu sukar saya gambarkan perasaan saya semasa berdoa di situ. Sebak, khusyuk dan terasa berharapnya agar Allah mengkabulkan doa doa saya.

Hanya mereka yang melalui pengalaman ini sahaja yang mengetahui apa yang saya ceritakan ini. Hanya mereka yang melaluinya sahaja akan faham perasaan itu.

Para jemaah haji berkumpul dan berdoa dengan pasangan masing masing

Maria khusyuk membaca doa yang ditulis di handphone nya

Tuan Haji Zafar. Rakan baik saya di sana khusyuk membaca doa yang siap ditulis di dalam buku. Apa yang saya perhatikan, banyak sungguh doa yang ditulis dalam buku Tuan Haji Zafar. Beliau betul betul menggunakan ruang yang ada pada waktu itu untuk berdoa tanpa henti.

Sebelum masuk waktu Maghrib, pihak Tabung Haji membaca doa menggunakan pembesar suara sambil di aminkan oleh para jemaah.

Kami mengaminkan doa yang dibaca.

Saya berdoa tanpa berhenti sehinggalah menjelang waktu Maghrib. Apabila masuk waktu Maghrib, kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak tamam.

Ada kumpulan yang bergerak awal ke Muzdalifah.

Selesai solat Maghrib dan Isyak, kami mula bergerak ke Muzdalifah secara berkumpulan. Seperti yang diaturkan oleh pihak Zahafiz. Pada waktu ini, teramat penting untuk kita mengikut arahan yang ditetapkan.

Maria dan mak menunggu giliran untuk bergerak ke Muzdalifah

Sedarlah, bukan kita seorang sahaja yang hendak diuruskan. Ribuan manusia, bahkan jutaan manusia akan bergerak dari Arafah ke Muzdalifah. Pada masa yang sama. Jadi penting untuk kita mendengar arahan yang diberikan.

Apa yang penting, yakinlah. Tidak ada seorang pun dikalangan kita yang akan ditinggalkan. Semuanya akan di bawa ke Muzdalifah.

Kami bergerak ke bas. Bersiap sedia untuk menuju ke Muzdalifah.

Para jemaah menaiki bas yang disediakan. Alhamdulillah. Semua jemaah mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak Zahafiz. Tidak berebut rebut menaiki bas.

Tuan Haji Amir. Rakan baik saya di Mekah dan Madinah. Yang turut sama sama membantu Pak Cik Tajudin dalam perjalanan haji beliau.

Saya menaiki bas. Bersiap sedia menuju ke Muzdalifah.

Alhamdulillah. Saya bersyukur Allah permudahkan segala urusan kami sekeluarga di Arafah. Selesai sudah urusan Wukuf kami. Kami sudah menyempurnakan Rukun Haji yang kedua.

Seterusnya, menuju ke Muzdalifah. Insya Allah, akan saya sambung ceritanya selepas ini.

Semoga para pembaca mendapat gambaran mengenai hari Arafah nanti. Semoga ia dapat membantu kita semua.

Wassalam

5 comments:

  1. Assalamualaikum Tn Hj,

    Waktu ini kemuncak haji. Cuaca yang panas terik amat mencabar dan menguji keimanan para jemaah. Allahu Akbar, teringin untuk menjadi tetamu Allah sekali lagi. Di sini hati kita menjadi sangat sayu dan sebak dengan doa2 yang dibacakan oleh ustaz. Mereka yang pernah hadir sahaja yg dapat merasai kenikmatan seperti itu.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah ....dapat menghayati setiap n3 yg dipaparkan...

    ReplyDelete
  3. Assalam,

    Semuga Allah ampunkan dosa dosa kita.

    Kena ada tahap kesabaran yang tinggi.

    Terima kasih atas n3 ini.

    Semuga tuan haji dan keluarga dalam kasih sayang Allah.

    Jazakaullah

    AJ

    ReplyDelete
  4. Tuan Haji, jutaan terima kasih diucapkan kerana mengizinkan saya mengambil doa ini untuk dibaca ketika wukuf nanti insyaALLAH..

    ReplyDelete
  5. Syukur Alhamdulillah...

    Cukup mendalam doa2 itu. sebak menusuk kalbu..

    Terima kasih, MF.

    Semoga MF sekeluarga, sentiasa dilimpahi rahmat dan berkat olehNya.

    Aaminn.

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top