Assalamualaikum,

Jumaat - 8 Zulhijjah 1432 bersamaan 4 November 2011. Inilah tarikhnya. Perjalanan haji saya bermula. Hari yang ditunggu tunggu selama ini telah tiba. Ikhlas saya katakan. Saya benar benar teruja. Setahun lamanya saya menunggu hari ini.

Kami para jemaah telah diberikan penerangan mengenai gambaran apa yang akan berlaku pada hari itu. Kami juga dinasihatkan untuk membawa barangan seadanya sebagai persiapan 3-4 hari berada di Arafah dan Mina.

Antara yang perlu dibawa adalah kain ihram, (sepasang di pakai, sepasang lagi dibawa sebagai simpanan), baju melayu, kain pelikat, kepiah, berus gigi, ubat gigi, kain tuala kecil, seluar, ubat-ubatan dan apa yang anda fikirkan perlu.

Pendek kata, kami para jemaah dinasihatkan untuk membawa satu beg kecil sahaja. Ini bagi memudahkan pergerakan kami dari Arafah, ke Muzdalifah, ke Mina dan seterusnya kembali ke Mekah.

Hari ini dinamakan "Hari Tarwiyah". Iaitu hari perjalanan para jemaah dari Mekah menuju ke Arafah untuk Wukuf. Iaitu satu hari sebelum hari Wukuf.

Memandangkan hari wukuf adalah pada hari Sabtu. Maka kami akan bertolak ke Arafah pada hari Jumaat. Cabaran bertambah kerana pada hari ini kami para jemaah perlu menunaikan Solat Jumaat terlebih dahulu.

Kebiasaannya, bagi mengelak kesesakan di jalan raya, Kerajaan Saudi akan mengatur perjalanan jemaah haji ke Arafah dari pagi sehingga ke petang. Namun, perjalanan kali ini harus bermula selepas solat Jumaat kerana jemaah lelaki perlu menunaikan Solat Jumaat terlebih dahulu.

Kesesakan jalan pasti teruk kerana semua jemaah di seluruh dunia hanya akan keluar dari Mekah secara serentak ke Arafah. Bayangkan, puluhan ribu bas akan membawa para jemaah sebanyak 4 juta orang keluar dari Mekah ke Arafah.

Selepas Solat Jumaat, pihak Zahafiz meminta kami menunggu di bilik masing masing sebelum dipanggil turun ke lobi hotel mengikut tingkat bilik.

Saya bersiap sedia untuk memulakan perjalanan haji. Kami menunggu di bilik hotel sementara di panggil. Setiap jemaah dibenarkan membawa satu beg tangan dan satu beg sandang sahaja.

Sementara menunggu dipanggil, saya membaca Al Quran dengan mengulangkaji hafalan Juzuk 30 saya.

Sekitar jam 4 petang, kami mula turun ke lobi dan terus ke perkarangan hotel bagi menunggu bas.
Kami sekeluarga bersiap sedia untuk memulakan perjalanan haji kami. Kami mula memakai Ihram dan berniat mengerjakan Haji.

"Sahaja Aku mengerjakan haji, dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala"

Kalau anda perhatikan, pada waktu inilah saya melakukan Rukun Haji yang pertama. Iaitu BERNIAT MENGERJAKAN HAJI.

Memandangkan saya melakukan Haji Tamattuk iaitu saya melakukan Umrah dahulu sebelum menunaikan haji. Maka saya perlu membayar dam berupa seekor kambing.

Mulai saat ini, saya perlu menjaga segala pantang larang ihram yang merupakan Wajib Haji Yang Kedua, sehinggalah saya melakukan Tahalul Awal.

Nampak tak, 'Bonzer' kami di tengah. Berjaket kuning dan berkopiah tu. Datuk Zainal Abidin pengerusi Syarikat Zahafiz. Kira Bos besar dalam kumpulan kami.

800 jemaah Zahafiz diangkut dengan bas secara berperingkat menuju ke Arafah

Kami jemaah Zahafiz diberi kain Ihram berlabel ZAHAFIZ. Jemaah wanita pula diberi telekung bertanda ZAHAFIZ. Ini bagi memudahkan proses mengecam sekiranya ada jemaah yang tersesat.

Saya sedang bersiap sedia untuk menuju ke Arafah.


Pada peringkat awal, saya dapat tempat duduk di dalam bas. Namun, apabila bas penuh saya dapati ada seorang jemaah warga emas terpaksa berdiri. Saya memberikan tempat duduk saya kepada beliau.

Dalam kes kes sebegini, para jemaah perlu bertolak ansur. Terutama jemaah haji muda, perlu sentiasa mencari ruang untuk menabur bakti kepada jemaah yang lebih berusia. Semoga kita semakin hampir mencapai haji mabrur.

Jika anda lihat, ada jemaah yang terpaksa berdiri di dalam bas. Ini terpaksa dilakukan bagi mempercepatkan pergerakan jemaah ke Arafah. Jika setiap bas mampu membawa lebihan 10-15 jemaah yang berdiri. Maka kita dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya nanti.

Di dalam perjalanan selepas berniat mengerjakan haji, kami para jemaah disunatkan untuk memperbanyakkan Talbiah, berzikir menyebut nama Allah sebanyak banyaknya. Jangan lupa untuk bertalbiah di dalam perjalanan kita nanti.

Maria dan Mak bergambar semasa dalam perjalanan menuju ke Arafah. Pada peringkat awal, Maria juga mendapat tempat duduk. Namun, dia juga turut menawarkan tempat duduk beliau kepada seorang mak cik yang lebih memerlukan tempat duduk ini. Biarlah kami yang muda sahaja yang berdiri.

Anak panah ini menunjukkan jalan lebuh raya khas untuk jemaah haji dari Asia. Kerajaan Saudi menyediakan jalan mengikut zon negara. Ini bagi memastikan kelancaran pergerakan bas bas yang berulang alik mengambil jemaah dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pemandangan jalan raya yang agak lengang semasa bas saya bergerak ke Arafah. Alhamdulillah. Perjalanan bas saya dipermudahkan.

Kami mula memasuki kawasan Arafah. Tempat untuk kami berwukuf pada esok hari.

Deretan khemah bagi menampung 4 juta jemaah haji dari seluruh dunia yang sedang berkampung di Arafah.

Jutaan khemah yang dididirikan bagi menampung jemaah haji di Arafah.

Kami tiba dikawasan khemah di Arafah.

Papan tanda arah kiblat bagi memudahkan kami menunaikan solat.

Kami kesemua jemaah haji Zahafiz ditempatkan di Maktab 98. Bersama sama kami adalah jemaah dari Gemilang, Lintas, Felda Travel, Alif Travel dan beberapa agen lain lagi.

Kami tiba di Arafah tempat untuk kami berwukuf menjelang waktu Maghrib. Namun, ibadah wukuf hanya akan bermula selepas waktu Zuhur keesokan harinya.

Insya Allah. Kisah ini akan bersambung dalam entri seterusnya selepas ini.

Wassalam.

* Kredit kepada Haji Azmi Nazran, kerana ada sedikit gambar diatas diambil dari Facebook beliau.

* Saya mohon kepada anda untuk kongsikan dengan sahabat atau saudara mara anda mengenai perjalanan haji yang telah saya lalui ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dan semoga ia menjadi 'pencen kubur' saya suatu hari nanti. 

* Anda juga bebas untuk copy & paste segala artikel berkaitan haji dalam blog ini di blog anda asalkan anda letakkan linknya di situ selagi ia tidak bertujuan komersial. Anda juga boleh print segala doa doa yang telah saya tulis di dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin.

4 comments:

  1. Tuan Haji Firdaus,
    Apa yang saya faham,miqat bagi yang mengerjakan haji tamattuk ialah di Makkah, sebab kita telah bermukim. Haji tamattuk memamg diwajibkan bayar dam.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Kami jemaah Gemilang pergi ke Mina dahulu. Ikut sebagaimana Rasulullah untuk solat 5 waktu di sana then keesokan paginya bergerak ke Arafah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Terima Kasih kepada Mohd Ali, saya sudah membuat semakan dengan Ustaz. Apa yang dikatakan oleh Mohd Ali adalah benar.

    Haji Tamattuk memang perlu membayar dam.

    Saya sudahpun membuat pembetulan di dalam entri ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan.

    Kepada Hajjah Yati,

    Kalau boleh saya pun nak buat macam yang Nabi buat dulu. Tapi, apakan daya saya terpaksa ikut program yang diatur oleh pihak agen.

    Untuk mengetahui dengan lebih jelas perjalanan haji Rasulullah, boleh baca entri ke 67 - Perjalanan Haji Rasulullah.

    Wassalam

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum hj Firdaus, gambar diatas tu kemah di Mina kan .. di Arafah kemah nya lain .. kalau ikut 1433H lah ..

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top