Assalamualaikum,

Di dalam buku Travelog Haji: Merubah Sempadan Iman dan 50 Tips Motivasi Haji tulisan Prof Kamil. Beliau ada menceritakan pengalaman 'Rasa Selamat' oleh para jemaah haji apabila berada di Tanah Suci.

Sebelum pergi menunaikan haji, ramai dikalangan kita yang belum pergi menunaikan haji atau umrah akan berasa takut, gentar, cuak. Para jemaah tidak dapat gambaran sebenar mengenai Mekah. Maka, perasaan gentar itu tidak dapat lari dalam diri kita.

Tambahan pula, kita sering mendengar pelbagai perkara pelik yang berlaku di Masjidil Haram. Ada orang yang tidak dapat melihat Kaabah. Ada orang yang sesat. Ada orang yang jadi gila di sana. Ada orang yang tiba tiba sakit sedangkan di Malaysia dia sihat. Ada orang yang nyanyuk.

Pelbagai cerita yang menakutkan yang kita dengar menyebabkan kita takut apakah 'nasib' kita apabila tiba di sana kelak.

Saya ingin menceritakan satu pengalaman sebenar. Ustaz Rahim, salah seorang guru pembimbing kami di Zahafiz. Ketika memberi ceramah, beliau menceritakan pada satu musim Umrah, beliau pergi menunaikan umrah dan para jemaah menceritakan yang mereka tidak dapat melihat Kaabah apabila masuk ke dalam Masjidil Haram. Perkara perkara sebeginilah yang ditakutkan.

Maka beliau pun pergi ke Masjidil Haram. Apabila masuk menuju ke dataran Kaabah, beliau terkejut. Benar bagai yang diperkatakan oleh para jemaah lain. Mereka semua tidak nampak bangunan Kaabah.

Subhanallah. Ia benar benar berlaku.

Para pembaca pasti tertanya tanya, kenapa terjadi begini? Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh para jemaah ini? Sehingga mereka tidak dapat melihat Kaabah.

Sebenarnya, pada waktu itu pihak Masjidil Haram sedang memperbaiki Kaabah. Maka mereka menutup keseluruhan kawasan Kaabah semasa proses baik pulih itu. Sebab itulah semua para jemaah tidak dapat melihat Kaabah itu.

Fuh... Ustaz Rahim ni. Menimbulkan rasa 'suspen' para jemaah sahaja.

Semasa awal tiba di Masjidil Haram, seperti yang Prof Kamil ceritakan semua para jemaah berasa takut. Takut berlaku sesuatu yang tidak diingini di Mekah. Pada peringkat awal, semua para jemaah tak banyak bercakap. Lebih banyak berdiam diri berbanding bercakap sesama sendiri.

Maka, semua para jemaah 'memaksa' diri untuk rajin menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram. Semuanya teruja berada di bumi Mekah. Semua rajin untuk beribadah di Masjidil Haram.

Namun, selepas 2-3 hari di Mekah. Tiada apa yang berlaku. Semuanya 'ok' sahaja. Tiada yang pelik pelik berlaku. Selepas seminggu, semuanya normal.

Perasaan 'takut' tadi kini sudah bertukar kepada perasaan 'Aku Selamat'. Tiada apa yang pelik pelik.

Disinilah cabaran bermula.

Seperti yang Prof Kamil ceritakan dan telah saya ceritakan dalam entri terdahulu, kita para jemaah 'terlalu' takut dengan Umrah wajib yang hendak kita lakukan. Jangan takut dengan ibadah Umrah ini. Ia amat mudah dilakukan jika kita mengetahuinya.

Tetapi, takutlah apa yang hendak kita lakukan di Masjidil Haram sepanjang masa kita berada di bumi Mekah sementara menunggu kerja kerja haji.

Sebagai contoh, saya tiba di Mekah 21 hari sebelum menunaikan haji. Persoalannya, apa yang hendak dilakukan dalam 21 hari itu bagi memastikan Haji yang di peroleh mencapai tahap Haji Mabrur.

Namun, jika 'perasaan takut' pada peringkata awal sudah bertukar kepada 'rasa selamat', saya takut apa yang ditakuti akan berlaku.

Setelah seminggu di bumi Mekah, sudah mula ada jemaah Zahafiz yang tidak menunaikan solat di Masjidil Haram. Mereka hanya menunaikan Solat di dalam bilik sahaja. Perasaan selamat tadi menyebabkan mereka merasa 'malas'.

Sakit sedikit bagaikan sakit seluruh badan. Semua alasan 'dicari' bagi 'menghalalkan' tindakan mereka untuk bersolat di hotel sahaja.

Sekarang baru saya faham apa yang Prof Kamil ceritakan dalam buku beliau. Sikap kita di Malaysia dapat dilihat apabila berada di sana.

Jika di Malaysia kita bukan seorang yang 'kaki masjid'. Begitulah juga di sana. Jika di Malaysia kita bukan jenis yang baca Al Quran, jangan harap kita nak baca Al Quran di sana. Kalau di Malaysia kita bukan jenis yang solat sunat, begitulah juga kita di sana.

Sebab itulah pentingnya untuk kita membuat persiapan rohani sebelum pergi menunaikan haji. Segala yang salah perlu diperbetulkan sejak dari Malaysia lagi agar ia tidak menjadi sukar apabial berada di sana.

2-3 hari pertama di Mekah, para jemaah sedikit takut takut untuk keluar 'shopping'. Namun, selang beberapa hari para jemaah semakin berani untuk 'bershopping'. Ingin saya tekankan, tidak salah 'bershopping' selagi mana shopping itu tidak menggangu waktu ibadah kita. Tidak salah 'bershopping' selagi kita faham niat kita ke sana adalah untuk beribadah. Bukan untuk 'bershopping'.

Jangan terkejut jika anda ada melihat ada jemaah yang lebih rajin bershopping berbanding ke Masjid. Setiap hari boleh dilihat ada sahaja barang yang dibelinya. Namun, ke Masjid 'malas' pula. Apa lagi alasan yang hendak diberikan oleh orang orang sebegini.

Tahukah anda, alasan yang paling popular, nampak macam betul untuk 'menghalalkan' tindakan tidak pergi menunaikan solat di Masjid?

"Saya ni dah tua. Firdaus yang muda pergilah dulu. Orang tua nak kena cukup rehat. Tak pa, Firdaus pergilah dulu"

Ini yang pertama. Alasan keuzuran.

"Firdaus, kita datang ke Mekah ni untuk menunaikan haji. Ini matlamat kita yang utama. Jadi, kita kena simpan tenaga kita. Kita kena rehat yang cukup untuk kerja haji. Kita kena jaga kesihatan. Jadi, tak perlulah kita pergi ke Masjid setiap waktu. Kita pergi bila kita rasa sihat sudah la. Ingat tak, masa kursus haji bersiri. Ustaz cerita suruh kita jaga kesihatan. Jadi, tak perlulah kita nak 'terlalu' mengejar bersolat di Masjid"

Ini yang kedua. Alasan nak jaga kesihatan.

Mereka tak sedar, kesihatan itu anugerah Allah. Saya ada lihat jemaah yang kerap pergi ke Masjid dan kerap menunaikan umrah sunat tetapi sihat. Dan ada jemaah yang kerap 'berehat' di hotel tetapi tidak sihat. Insya Allah, saya akan berkongsi pengalaman mengenai tips kesihatan dalam entri selepas kerja haji.

"Nak buat apa kita pi solat di masjid. Kita bersolat di hotel pun pahala sama juga. Dengar tak ustaz bagi ceramah, seluruh kawasan kita tinggal ni tanah haram. Dan bersolat di tanah haram ni pahalanya 100,000 kali ganda. Tak semestinya di Masjidil Haram."

Ini yang ketiga. Alasan 'pahala' sama. Tiada apa yang membezakan bersolat di masjid dan di hotel.

MANA MUNGKIN SAMA.

Orang yang menunaikan solat di Masjid akan lebih ganjarannya. Pahala berjalan kaki ke masjid. Pahala mencintai solat berjemaah di masjid. Pahala solat berjemaah di masjid. Pahala beriktikaf di masjid. Pahala melihat Kaabah di Masjid. Pahala bertawaf di Masjid. Dan pelbagai bentuk dan jenis pahala lain lagi yang tersedia di masjid.

Saya agak terkejut kerana apabila berada di Tanah Suci, ada orang dengan 'selambernya' bertanya kepada saya.

"Firdaus, sejak ada di sini. Dah berapa kali terlepas solat di Masjid? Solat di hotel?"

Subhanallah. Saya benar benar terkejut dengar soalan ini. Ditambah pula yang bertanya kepada saya adalah orang muda. Tak pernah terlintas dihati saya untuk bersolat di hotel ketika berada di Tanah Suci. Jika ia berlaku sekalipun, ia bukan di atas kemahuan saya. Kerana keutamaan saya adalah bersolat di Masjid dalam apa jua keadaan.

Inilah bahayanya jika 'perasaan selamat' ada dalam diri kita. Sewajarnya kita para jemaah berusaha sedaya upaya untuk melipatgandakan usaha kita agar terus beribadah di Masjidil Haram sebanyak mungkin.

Kita seharusnya 'rasa tidak selamat'. Moga 'rasa tidak selamat' itu akan menjadi motivasi untuk kita lebih kuat beribadah di sana.

Semoga, apa yang saya ceritakan kali ini menjadi iktibar kepada kita semua.

Wassalam.

1 comments:

  1. Assalam,

    Terima kasih.

    Semuga di rahmati Allah

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top