Assalamualaikum,

Sebelum pergi menunaikan haji, hati kecil saya terdetik untuk menghafal Juzuk 30 semasa berada di Tanah Suci. Azam ini tidak saya ceritakan kepada sesiapa kecuali ibu saya. Takut nak diceritakan kepada orang. Takut nanti hajat tidak kesampaian.

Di Madinah, Alhamdulillah. Saya berjaya menghafal 5 Surah terawal dalam Juzuk Amma. Iaitu Surah Al Naba, Surah An Naziat, Surah Abasa, Surah At Takwir dan Surah Al Infitar. Semuanya dalam tempoh masa 9-10 hari.

Syukur Allah temukan saya di Madinah dengan mereka yang banyak membantu dari segi hafalan ini. Mereka memberi dorongan, motivasi dan sedikit panduan untuk menghafal Al Quran. Sheikh Abdul Rahman merupakan yang terkuat memberi motivasi untuk saya menghafal di Madinah.

Sheikh Abdul Rahman, turut mendengar bacaan yang sudah saya hafal untuk dibetulkan.

Surah Al Infitar di hafal di Madinah. Surah Al Mutaffifin mula di hafal di Mekah. Namun, kadar hafalan saya untuk Surah Al Mutaffifin ini agak perlahan. 4 hari diperlukan untuk menghafal satu muka surat suku ini.

Masya Allah. Kenapa ia terjadi begini? Kenapa terlalu sukar untuk saya menghafal surah ini di Mekah. Saya rasa lebih mudah untuk menghafal ketika di Madinah berbanding di Mekah.

Bila saya fikir fikirkan kembali, baru saya tahu mengapa.

Di Madinah, tidak banyak aktiviti yang ada di dalam masjid melainkan bersolat dan membaca Al Quran. Di Masjidil Nabawi, keadaannya agak tenang. Orang tidak terlalu berpusu pusu di dalam Masjid kecuali di Raudhah dan di Saf Hadapan.

Namun di Mekah lain ceritanya.

Di Masjidil Haram. Terdapat pelbagai ibadah lain yang boleh dilakukan. Yang utama adalah Tawaf Sunat. Sekiranya satu tawaf mengambil masa 45 minit - 1 jam. 3 kali tawaf sunat yang saya lakukan dalam tempoh sehari mengambil masa sekitar 2-3 jam. Ini mengurangkan masa untuk saya menghafal Al Quran.

Ini belum dikira sekiranya saya melakukan Umrah Sunat. Setiap kali umrah sunat akan mengambil masa sekitar 3-4 jam untuk Berniat di Tanaim, Pulang ke Masjidil Haram, Tawaf, Saie dan Bertahlul.

Saya boleh mengulang surah surah yang dihafal semasa melakukan tawaf dan saie. Tetapi, sukar untuk saya menghafal surah surah baru. Menghafal surah surah baru memerlukan saya berada di dalam keadaan yang tenang.

Saya suka bersolat di Dataran Kaabah. Keadaan di sini pula agak sesak dan tidak tenang. Sukar untuk menghafal di sini. Ini menyebabkan usaha saya untuk menghafal surah surah seterusnya semakin perlahan.

Surah Al Infitar yang sudah dihafal di Madinah dan hanya perlu diulang ketika berada di Mekah.

Hafalan Surah Al Buruj. Dilakukan di Mekah. Lebih mudah dihafal dengan bantuan I Phone di mana saya mengambil gambar Surah Surah yang sedang saya hafal. Jadi, saya boleh membacanya dimana mana sahaja. Tidak semestinya didalam masjid sahaja.

Menghafal di Masjidil Haram agak sukar berbanding di Madinah. Saya perlu tempat yang agak tenang bagi memudahkan saya membuat hafalan baru. Alhamdulillah. Allah ilhamkan saya untuk pergi ke bahagian ruang solat di bawah tanah masjid.

Ruang ini agak selesa. Kawasan bertutup. Orang kurang sesak dan agak tenang. Mudah untuk saya membuat hafalan baru di sini.

Namun, sesuatu yang baik pasti ada 'keburukan'nya. Di tempat ini , saya tidak boleh melihat Kaabah. Melihat Kaabah adalah semudah mudah ibadah di dalam Masjidil Haram. Tidak perlu buat apa. Hanya melihat sahaja Kaabah. 20 rahmat Allah menanti anda.

Selepas menyesuaikan diri untuk menghafal surah surah baru di sini. Saya membuat keputusan untuk menyeimbangkan antara duduk di ruang solat bawah tanah tanpa melihat Kaabah dan duduk di dataran Kaabah untuk melihatnya.

Jika saya mahu menghafal surah baru, saya akan duduk di ruang solat bawah tanah. Jika saya mahu mengulang ayat ayat yang sudah dihafal. Saya akan duduk di dataran Kaabah.

Alhamdulillah. Ia membantu.

Ini adalah laluan untuk pergi ke ruang solat bawah tanah. Ia lebih tenang dan kurang sesak. Lebih mudah untuk menghafal surah surah baru di sini.

Di Mekah, saya selalu berdoa, "Ya Allah, Kau temukan aku dengan mereka yang boleh membantu aku untuk mendekatkan diriku kepada Mu"

Alhamdulillah. Allah dengar doa saya.

Suatu hari, ketika membuat sedikit hafalan surah baru di dataran Kaabah. Allah temukan saya dengan Hani. Seorang jemaah haji dari Australia yang berasal dari Palestin.

"Excuse me brother, are you trying to memorise Al Quran?" Hani menegur saya.

"Insya Allah. I'm planning to memorise Juzu' 30 in Mecca. Just one juzu'. Not the whole Al Quran" Saya menjawab kepada dia.

"You know, the way that you are trying to memorise Al Quran is totally wrong."

"Are you memorised the whole Al Quran?" saya bertanya kepada dia.

"Alhamdulillah"

Saya semakin teruja. Allah menghantar dia kepada saya. Untuk membetulkan kesilapan yang saya lakukan dalam menghafal Al Quran.

Dia menceritakan kepada saya pengalaman dia yang menghafal Al Quran sejak berumur 20 tahun. Ketika berumur 28 tahun, dia baru menghafal 8 juzuk. Dan usahanya itu terhenti di situ.

Suatu hari, pada usia 30 tahun Allah memberi ilham kepada dia untuk menghabiskan hafalan Al Qurannya.

Dia mengambil cuti selama 2 bulan dan mengasingkan diri dari keluarga di sebuah Maahad Tahfiz. Setiap hari dia meluangkan sekurang kurangnya 10 jam untuk menhafal ayat ayat baru dan beberapa jam lagi untuk mengulang ayat ayat yang sudah dihafal terdahulu.

Hasilnya. Anda pasti teruja. Dia berjaya habiskan 22 juzuk dalam tempoh 2 bulan sahaja.

Hani, 'guru' yang banyak memberi motivasi dan tips kepada saya untuk menghafal Al Quran. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana banyak membantu saya. Semoga Allah membalas segala jasa baiknya.

Beliau menceritakan pengalaman bagaimana beliau melakukannya.

1) Dia melakukannya semata mata kerana Allah. Semata mata kerana Allah. Dia menghafal hanya kerana Allah. Bukan sebab sebab lain.

2) Apabila dia tergerak hati untuk menghafal baki 22 juzuk Al Quran yang belum dihafal, beliau akan berdoa setiap kali sujud dalam solat. Mohon Allah mudahkan dia untuk menghafal Al Quran. YA. SETIAP KALI DALAM SUJUD DALAM SOLAT. DIA AKAN BERDOA MOHON ALLAH MUDAHKAN DIA MENGHAFAL AL QURAN. Dia menceritakan, inilah kekuatan kita sebagai umat Islam. Kita ada DOA KEPADA ALLAH. Waktu paling hampir antara kita dengan Allah adalah semasa kita bersujud. Maka berdoalah ketika itu.

3) Dia tidak percaya kebolehan yang ada pada dirinya untuk menghafal 22 Juzuk dalam tempoh 2 bulan. TETAPI, DIA PERCAYA ALLAH AKAN BANTU DIA HABISKAN 22 JUZUK DALAM TEMPOH 2 BULAN. Kebergantungan dirinya hanya kepada Allah.

4) Setelah berdoa, dia berusaha sedaya upaya untuk menghabiskan hafalan itu. Dia telah bercuti selama 2 bulan dan fokus untuk dua bulan itu hanyalah pada Al Quran setiap hari. Tiada televisyen. Tiada internet. Tiada Handphone. Dan tidak bergaul dengan orang luar. Melainkan dengan guru yang mengajar dia menghafal Al Quran itu sahaja.

5) Setiap hari dia mengambil masa sekurang kurangnya 10 jam untuk menghafal ayat ayat baru dan beberapa jam lagi untuk mengulang hafalan dia yang terdahulu.

6) Kesannya, dia berjaya menghabiskan hafalan 22 Juzuk Al Quran dalam tempoh 2 bulan. Sesuatu yang dia rasa berlaku hanya atas kekuasaan Allah. Bukan atas kebolehan dia. Allah yang hendak memberi dia untuk menghafal. Kalau Allah tak beri, dia tak yakin dia boleh menghafalnya.

7) Dia menasihatkan saya untuk berniat semata mata kerana Allah dalam usaha untuk menghafal Al Quran. Dan yakin dengan kuasa Allah.

Dari segi teknik hafalan, dia menceritakan dia akan mengulang sesuatu ayat yang hendak dihafal itu sehingga 30 kali. Apabila dia lancar menghafal sebanyak 30 kali, dia akan bergerak untuk menghafal ayat/bahagian seterusnya. Dan dia akan mengulang bacaan ayat yang seterusnya itu juga sebanyak 30 kali.

Sebelum dia bergerak untuk menghafal ayat yang seterusnya, dia akan mengulang ayat pertama dan kedua sebanyak 10 kali. Selepas ayat pertama dan kedua lancar sebanyak 10 kali. Dia akan menghafal ayat seterusnya dengan lancar sebanyak 30 kali. Selepas lancar ayat yang ketiga itu sebanyak 30 kali, dia akan mengulang ayat pertama sehingga yang ketiga sebanyak 10 kali.

Begitulah yang dia lakukan sehingga habis satu muka surat.

Dia berkata, selepas habis hafalan satu muka surat. Ini bermakna dia sudah membaca ayat ayat itu beratus ratus kali. Dan Insya Allah. Apa yang sudah melekat di kepalanya itu tidak akan hilang lagi.

Inilah teknik yang dia gunakan untuk menghafal ayat ayat baru.

Dalam masa yang sama, dia turut menegaskan jangan lupa untuk mengulang ayat ayat yang telah kita hafal sebelum ini bagi memastikan kita tidak lupa apa yang telah dihafal.

Dia turut menceritakan menghafal Al Quran adalah 'repeation' iaitu membaca berulang ulang dengan melihat Al Quran sehingga ia melahirkan 'photographic memory' dalam otak kita.

Dia menceritakan kepada saya, dia boleh membaca Al Quran tanpa melihat Al Quran, tetapi seolah olah dia sedang meliht Al Quran. Dia boleh ingat kedudukan ayat itu di dalam Al Quran. Sama ada di atas atau dibawah. Di sebelah kanan atau di sebelah kiri.

Semua ini kerana dia menggunakan teknik 'repeatation' untuk melihat dan menghafal Al Quran.

Melihat saya menggunakan Iphone, Hani menyuruh saya untuk 'download' software "AL-MUSHAF". Ia adalah Al Quran digital yang sama seperti Al Quran sebenar.

Kini Al-Quran sentiasa bersama saya walau kemana saya berada. Mudah untuk saya menghafal dan mengulang ayat ayat yang sudah dihafal. Software ini banyak membantu memudahkan saya.

Dia turut berkongsi dengan saya pengalaman anak anaknya yang sudah dan dalam proses menghafal Al Quran.

Anaknya yang sulung berumur 11 tahun sudah menghafal Al Quran. Kelebihannya, anaknya mudah fokus dalam pelajaran dan mendapat tempat pertama dalam sekolahnya. Anaknya itu mempunyai daya memori yang amat kuat.

Dia menceritakan kepada saya, otak manusia ini akan berfungsi dengan lebih baik jika kita selalu menggunakannya. Kalau kita selalu berfikir, otak kita akan cepat mencari penyelesaian kerana ia akan semakin aktif.

Sekiranya kita menghafal pula, kita sebenarnya lebih mudah untuk menghafal apabila sudah lama menghafal berbanding masa kita mula mula belajar menghafal. Ini kerana sel sel di otak kita akan sentiasa berhubung antara satu sama lain dan kesannya proses hafalan akan menjadi semakin mudah kerana otak kita sering digunakan untuk menghafal.

Dia memberi dorongan kepada saya untuk memastikan anak anak saya menghafal Al Quran. Insya Allah. Akan saya usahakan.

Dan dia turut mengatakan, "You have to memorise the whole Al Quran first before you ask you child to do it".

Masya Allah. Ini yang mencabar. Dia mengatakan kalau saya menghafal Al Quran, pasti dan pasti anak anak saya akan ikut jejak langkah saya. Dia mengatakan sekarang ini kita berada di bumi Mekah, di Masjidil Haram. Tempat yang sangat mustajab doanya. Berdoalah bersungguh sungguh di sini. Semoga Allah memudahkan segalanya.

Perjumpaan dengan Hani sekitar 30 minit banyak memberi motivasi dan teknik kepada saya untuk menghabiskan hafalan Juzuk 30 di Mekah. Saya cuba untuk menggunakan teknik yang diberikan dan ternyata. Ia berkesan. Syukur saya kepada Allah kerana Allah menghantar orang kepada saya untuk 'membimbing' saya menghafal Juzuk 30.

Pada peringkat awal, saya tak yakin saya mampu untuk menghafal Juzuk 30 di Tanah Suci. Di peringkat yang seterusnya, saya mula ada sedikit keyakinan yang saya akan habis menghafal Juzuk 30 ini sebelum pulang ke Malaysia nanti.

Namun, Allah memudahkan segalanya. Saya berjaya menghabiskan Hafalan Juzuk 30 ini dalam tempoh masa sekitar 26 hari keseluruhannya. Dari Madinah sehingga ke Mekah. Alhamdulillah. Ia dilakukan di bumi barakah. Di bumi Madinah dan Mekah. Saya melakukan sujud syukur sebagai tanda berterima kasih kepada Allah yang membantu saya untuk menghafal Juzuk 30 ini. Terasa urusan saya ini dipermudahkan Allah.

Saya habis menghafal 2 hari sebelum saya berangkat ke Arafah untuk menunaikan Haji.

Tiada kalimah yang dapat saya ungkapkan. Melainkan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Yang Maha Esa. Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.

Saya berazam untuk melatih anak saya untuk 'mencintai' Al Quran dan kalau boleh. Menghafal Al Quran. Insya Allah.

Saya mohon kepada para pembaca untuk mendoakan agar usaha saya ini dipermudahkan Allah.

Wassalam

1 comments:

  1. Assalam,

    Alhamdulillah Allah temukan tuan haji dengan mereka yang dapat membantu.

    Semuga tuan haji dan keluarga dalam perlindungipan Allah.

    Syukran

    AJ

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top