Assalamualaikum,

MULTAZAM

Berdoa di dalam Masjidil Haram itu sendiri merupakan tempat yang amat mustajab untuk kita berdoa. Namun, di dalam Masjid itu sendiri ada lagi beberapa tempat yang amat mustajab untuk kita berdoa.

Antaranya Multazam. Multazam adalah tempat yg paling mustajab utk kita semua berdoa. Kalau nak diikutkan 'ranking' di sinilah tempat paling afdal untuk kita berdoa dan tempat yg mana kalau kita berdoa pasti hajat kita akan dimakbulkan.

Alhamdulillah, berdasarkan pengalaman saya berdoa di sini dalam ziarah-ziarah saya yang terdahulu, hampir kesemua doa-doa saya dimakbulkan Allah. Syukur pada Nya.

Semasa saya berusia 12 tahun, selepas tamat UPSR. Ibu bapa saya membawa saya mengerjakan umrah. Saya berdoa di Multazam ini memohon kepada Allah agar dimasukkan saya ke sekolah berasrama. Alhamdulillah. Allah kabulkan hajat saya dengan memasukkan saya ke SMKA Al Mashoor Lelaki Pulau Pinang. Sebuah tempat yang mendidik saya asas asas agama sehingga membentuk diri saya seperti hari ini.

Semasa saya berusia 17 tahun, semasa di tingkatan empat sekali lagi ibu bapa saya membawa saya mengerjakan umrah. Saya berdoa di Multazam ini memohon kepada Allah agar saya mendapat 9A dalam SPM dan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Alhamdulillah. Allah kabulkan hajat saya dengan menghantar saya untuk belajar di United Kingdom. Sebuah tempat yang mengajar saya hidup berdikari dan bermasyarakat.

Semasa saya berusia 20 tahun, semasa pulang dari United Kingdam. Saya dan rakan rakan singgah menunaikan Umrah di Mekah. Saya berdoa di Multazam ini memohon kepada Allah agar saya mendapat First Class dalam 'Degree' saya. Alhamdulillah. Allah kabulkan hajat saya dengan memberikan saya kejayaan yang amat cemerlang dalam peringkat ijazah. Saya satu satunya pelajar yang mendapat First Class dalam 'Department Electrical Engineering' seterusnya menjadi pelajar terbaik di University of Sheffield dalam 'department' ini.

Semasa saya berusia 29 tahun, saya berdoa di Multazam ini memohon kepada Allah agar memberi kejayaan kepada saya dalam perniagaan yang saya jalankan. Alhamdulillah. Setakat hari ini, perniagaan saya sentiasa berada dibawah peliharaan Allah. Alhamdulillah.

Berdasarkan bukti bukti yang nyata yang telah saya peroleh ini, saya amat yakin berdoa di Multazam ini amat mustajab. Namun, kita kena yakin bahawa hakikat yang memakbulkan doa doa kita ini adalah Allah jua. Tugas kita sebagai hamba Nya adalah berusaha dan berdoa.

Sebab itulah, sebelum saya datang ke Mekah bagi menunaikan haji. Saya ada menulis di blog ini bertanya kepada kawan kawan yang berhajat untuk mengirim doa untuk saya bacakan di tempat tempat mustajab di Tanah Suci. Dan Alhamdulillah. Tak kurang 50 orang yang mengirim doa kepada saya yang kalau dikumpulkan berjumlah 26 muka surat keseluruhannya. Dan mengambil masa sekitar 1 jam untuk di baca keseluruhannya.

Niat saya hanya satu. Allah memberi peluang kepada saya dengan menjemput saya menunaikan haji pada tahun lepas. Dan saya mahu peluang ini 'dirasai' sama oleh para sahabat saya di Malaysia. Tidak salah saya membantu untuk 'mendoakan' kebaikan buat para sahabat di Malaysia. Hakikatnya, saya mendoakan untuk diri saya jua.

Sekembalinya saya ke Malaysia, saya menerima emel, sms dan telefon dari para sahabat yang menceritakan hajat hajat mereka dimakbulkan Allah.

Ada sahabat yang sudah lama berkahwin tidak mampu untuk mengandung, Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan mereka.

Ada sahabat yang ayahnya sakit kritikal. Memohon agar Allah berikan yang terbaik kepada ayahnya. Alhamdulillah. Allah 'menjemput' ayahnya dalam keadaan yang baik.

Ada sahabat yang mohon bantuan dipermudahkan urusan perniagaannya, Alhamdulillah. Mereka menelefon saya mereka mendapat keuntungan yang baik.

Satu perkara yang ingin saya tekankan. Apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah jua. Yang pasti, mereka ini juga turut mendoakan untuk diri mereka disamping usaha berterusan untuk mencapai hajat masing masing. Sebab itulah Allah mengkabulkan doa doa mereka.

Cuma, saya rasa berdoa di Multazam ini ada 'kekuatannya' yang tersendiri.

Sebab itulah kalau anda lihat, ada orang yang buat 'business' akan pergi menunaikan umrah setiap tahun untuk berdoa di sana. Dan perniagaan mereka terus maju dan berjaya.

Di sinilah yang dikatakan Multazam. Terletak diantara Hajarul Aswad dan Pintu Kaabah. Namun, ramai orang yang berdoa di Pintu Kaabah. Pastikan anda tidak tersilap. Multazam terletak disebelah kiri pintu kaabah sehingga ke penjuru Kaabah ini.

Sekadar berkongsi pengetahuan dengan para pembaca, Multazam terletak di antara penjuru Hajarul Aswad dengan pintu Kaabah. Perkataan Multazam bermakna, "Melekat", sebab dipanggil demikian, kerana disinilah seseorang itu patut melekatkan dadanya semasa berdoa.

Abu Daud meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas r.a. berkata:- Dia pernah berdiri tegak di Multazam dengan dada dan mukanya mengadap ke Kaabah. Tangannya dianjurkan ke atas kepala menekap ke Kaabah. Kemudian beliau berkata," Daku melihat Rasullullah s.a.w. melakukannya".

Multazam menurut bahasa, ertinya pasti. Tempat inilah yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai tempat yang palin Mustazab untuk berdo’a dengan sabdanya:

Rasulullah SAW bersabda, “Multazam adalah tempat berdoa yang mustajab (terkabul) , tidak seorang pun hamba Allah yang berdoa di tempt ini tanpa terkabul permintaannya”.

Seorang Musafir Mujahid Berkata, “Apa yang ada di antara pintu Ka’bah dan Rukun Hajar Aswad itu disebut dengan Multazam. Jarang sekali seseorang yang memohon sesuatu kepada Allah dan berlindung kepada-Nya dari sesuatu, kecuali Allah akan mengabulkannya”.

Berdoa di Multazam menjadi hobi saya ketika berada di Masjidil Haram. Setiap hari saya akan berusaha untuk melakukan tawaf sunat. Dan jika berkelapangan, selepas habis tawaf sunat. Saya akan terus pergi menuju ke Multazam dan berdoa di sana.

Jika hendak dibandingkan, berdoa di Multazam pada musim Umrah jauh lebih mudah berbanding berdoa di Multazam pada musim Haji.

Nak masuk ke kawasan ini sendiri sudah sesak. Cuba bayangkan bagaimana kita hendak masuk ke hadapan terus ke dinding kaabah. Bukan mudah. Tetapi boleh dilakukan jika kita berdoa dan berusaha.

Pada musim haji, Subhanallah. Orang yang berdoa di sini amat padat. Terlalu sesak. Namun ada beberapa kali saya mendapat tempat 'first class' iaitu terus rapat ke dinding kaabah dan berdoa dengan melekapkan muka dan dada ke dinding Kabaah dan berdoa. Seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dahulu.

Ketika berdoa di sini, perasaan sebak akan bermain di hati. Berdoa di sini ada kelainannnya. Hampir kesemua orang yang berdoa di sini mengalirkan air mata dan memohon hajat hajat mereka dengan bersungguh sungguh.

Namun, pada musim haji bukan mudah untuk masuk rapat sehingga ke Kaabah. Saya juga sering membawa Maria dan Mak mertua saya ke Multazam untuk berdoa. Pada pandangan saya, sekiranya jemaah wanita hendak pergi ke Multazam, eloklah pergi secara berkumpulan ataupun dengan pasangan masing masing. Ini kerana kawasan di situ teramat sesak. Tolak menolak pasti akan berlaku.

Dalam kesesakan sebegini, kita harus bijak. Berdoalah seringkas dan sepadat yang mungkin. Untuk berdoa yang lebih panjang, bolehlah kita berdoa dibelakang sedikit yang kurang sesak.

Di sinilah yang dikatakan Multazam. Terletak antara pintu kaabah dan batu hajarul aswad. Nak masuk ke sini bukannya mudah, kita terpaksa bertolak-tolak untuk sampai ke hadapan.

Alhamdulillah, untuk ziarah saya kali ini, saya dapat berdoa ditempat 'first class' ini 2-3 kali. Di sini, kalau minta doa, entah macam mana air mata akan jatuh secara automatik. Tak tahu air mata datang dari mana, tapi apabila kita berdoa di sini, kita terasa macam betul-betul kita sedang berdoa kepada Allah dan kita betul-betul berharap agar Allah perkenankan doa kita. Mudah-mudahan, Allah memperkenankan semua doa-dia saya di hadapan Multazam kali ini.

Ada sesetengah org di luar Mekah, kalau mereka ada masalah-masalah besar yang tak dapat diselesaikan, mereka akan datang ke Mekah dan berdoa di Multazam. Dan apabila pulang, Alhamdulillah masalah mereka yang sukar-sukar semuanya diselesaikan Allah.

Kita mungkin tak yakin dengan perkara ni, selagi kita tak merasai sendiri setiap doa doa kita dimakbulkan Allah.

Bagi saya, saya amat yakin dan amat percaya. Sebabnya, saya dah banyak kali rasa kebenarannya. Bagi yang belum, berniatlah utk ke Mekah sama ada utk mengerjakan haji atau umrah, insya Allah. Bila sampai di sana.. Berdoalah dengan sepenuh hati di Multazam... Dan pulanglah... anda akan lihat satu demi satu doa anda dimakbulkan Allah.. Percayalah...

Inilah sedikit pengalaman saya mengenai Multazam.

HIJIR ISMAIL

Kalau saya tanya kepada para pembaca, "Adakah anda teringin untuk masuk ke dalam Kaabah?". Pasti anda teringin memasukinya. Masuk ke dalam bangunan yang paling hebat didunia. Yang menjadi kiblat untuk umat Islam dari dulu hingga sekarang.

Kalau anda teringin memasuki Kaabah. Maka masuklah ke dalam Hijir Ismail kerana ia juga merupakan sebahagian daripada binaan Kaabah.

Hijir Ismail adalah pagar batu berlingkar. Tingginya 1.5 meter. Letaknya berdampingan dengan Kaabah di sebelah utara. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah.

Hijir Ismail itu pada mulanya cuma merupakan pagar batu yang sederhana sahaja. Kemudian para Khalifah, Sultan dan Raja-raja yang berkuasa telah memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar.

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalam Kaabah.

Ini diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisyah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisyah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah s.a.w. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata " Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah".

Adalah disunatkan bagi tiap-tiap orang yang telah mengerjakan tawaf, sembahyang sunat dan berdoa di Makam Ibrahim, sembahyang sunat pula dua rakaat di Hijir Ismail.

Pada musim Umrah, mungkin agak mudah untuk anda memasuki kawasan Hijir Ismail untuk berdoa dan bersolat di sini. Namun pada musim haji, agak sukar untuk anda menunaikan Solat Sunat di dalam kawasan Hijir Ismail.

Pada musim Haji kali ini, saya hanya berpeluang masuk ke kawasan Hijir Ismail 2-3 kali sahaja. Itu pun saya masuk dan hanya boleh berdoa didalamnya. Saya langsung tidak berpeluang untuk bersolat sunat di dalamnya.

Keadaan di dalam Hijir Ismail ini terlalu sesak. Kalau berdiri pun dalam keadaan sesak. Macam mana kita hendak bersolat di dalamnya.

Saya mengambil kesempatan memasuki Hijir Ismail ini dan berdoa betul betul di bawah Pancur Emas. Ini juga tempat yang amat mustajab untuk kita berdoa untuk memurahkan rezeki.

Apa yang saya perhatikan, jemaah wanita langsung tidak berpeluang untuk masuk ke kawasan Hijir Ismail ini kerana terlalu padat dengan jemaah lelaki. Tidak mengapalah, jika ada jemaah wanita yang berhajat memasuki Hijir Ismail ini, datanglah pada waktu umrah. Insya Allah. Akan ada ruang untuk anda. Janganlah sampai anda berebut rebut bertolak dengan jemaah lelaki semata mata hendak masuk ke dalam Hijir Ismail.

Sedikit gambar Hijir Ismail yang ingin saya kongsi dengan para pembaca.

Keadaan di dalam Hijir Ismail yang sentiasa sesak. Setiap waktu. Jika anda tidak boleh bersolat didalamnya, cukuplah sekadar anda berdoa di dalamnya. Inilah keadaan sekitar Hijir Ismail dan Kaabah selepas solat Maghrib.

Hijir Ismail yang dikosongkan akibat orang terlalu ramai. Ia dikosongkan bagi mengelak kemudharatan orang ramai bertolak tolak.

Kawasan dalam Hijir Ismail.

Pandangan dari dalam Hijir Ismail. Inilah Pancur Emas. Tempat mustajab untuk kita berdoa bagi murah rezeki.

Saya rasa inilah sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Semoga entri yang ringkas ini mampu memberi sedikit ilmu dan panduan untuk kita semua.

Wassalam.

3 comments:

  1. SALAM FIRDAUS SEFAMILI, ALHAMDULILLAH TERUSKAN USAHA PART SETERUSNYA.

    ReplyDelete
  2. Assalam,

    Maha Suci Allah!

    Hanya kepadaNYA lah kita berserah demi.

    Semuga Allah memberkati hidup tuan haji dan kelaurga.

    AJ

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas doa yang dibacakan. Semoga apa yang didoakan dimakbulkan Allah.

    Ridzwan Che Rus

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top