Assalamualaikum,

Hari hari terawal setibanya saya di Masjidil Haram, saya rasa teruja. Rasa gembira kerana berada di tempat yang terbaik di dunia ini. Tempat yang penuh keberkatan dan tempat yang dijanjikan ganjaran yang amat besar.

Prof Kamil selalu menekankan, "Jangan takut dengan ibadah Umrah, ia amat mudah. Yang perlu kita risaukan adalah bagaimana mengisi masa kita di Masjidil Haram selepas menunaikan umrah sementara menunggu musim haji"

Bagi saya, secara peribadi. Ia amat tepat. Apa hendak di takutkan dengan kerja kerja umrah. Ia tidak mengambil masa yang lama. Kalau dari Madinah, ibadah umrah boleh disiapkan dalam tempoh masa 10 jam selepas kita berniat di Bir Ali. Dan kalau di Mekah sendiri, kita boleh selesaikan umrah dalam masa 3 jam.

Jadi, umrah mudah. Yang perlu dirisaukan. Nak buat apa selepas itu.

Hari hari pertama saya di Mekah, saya cuba menyesuaikan diri dengan perancangan ibadah yang hendak saya lakukan. Ia perlu selari dengan jadual aktiviti yang diatur oleh pihak Zahafiz. Ia juga perlu selari dengan waktu solat di Masjdiil Haram.

Ia bukan mudah. Kerana, untuk melakukan yang terbaik. Terlalu banyak yang perlu dikorbankan. Masa rehat perlu diminimumkan. Masa 'shopping' perlu di kosongkan. Tenaga perlu pada tahap maksimum.

Di Mekah segala cabaran bermula.

Jika di Madinah bagi saya ia lebih mudah. Hotel lebih dekat dengan Masjid. Di Madinah pula jalan dari hotel ke Masjid landai. Tidak perlu mendaki atau menurun bukit.

Di Mekah, Subhanallah. Walaupun saya katakan sebelum ini hotel saya dekat dengan Masjid. Sekitar 300m-350m. Tetapi setiap kali ke Masjid ia menurun bukit. Ia tiada masalah. Yang menjadi masalah adalah semasa pulang kerana saya terpaksa mendaki untuk pulang ke masjid.

Mengapa? Kerana Kaabah terletak di lembah yang paling lembah di bumi Mekah. Ia terletak di tanah yang rendah sekali. Dan dikelilingi oleh bukit disekitarnya.

Saya tetap bersyukur. Walaupun sedikit mencabar, ia tidak menjadi penghalang buat saya untuk beramal ibadah di sana.

Saya perlu fokus. Kerana memang dari Malaysia lagi saya sudah 'set' di kepala yang saya perlu berkerja keras di Mekah. Bagi saya, ia penting. Apabila anda sudah ada keazaman apa yang hendak di lakukan di Masjdil Haram. Mudah buat anda.

Jika tidak. Anda tak tahu nak buat apa di Masjidil Haram nanti.

Hari hari pertama saya di bumi Mekah, saya perlu menyesuaikan diri dengan segalanya. Jika di Madinah. Jadual harian saya agak mudah. Dan ia tetap setiap hari. Aktivitinya pun sama. Tetapi di Mekah saya perlu menjadikan jadual saya lebih fleksible.

Mengapa? Kerana di Masjidil Haram kita boleh melakukan Umrah Sunat dan Tawaf Sunat apabila kita berkelapangan. Dua ibadah ini jika hendak dilakukan memerlukan perancangan bila masa yang sesuai untuk kita lakukan.

SEKIRANYA HARI ITU SAYA TIDAK MELAKUKAN UMRAH WAKTU PAGI

Kebiasaannya, pada hari hari pertama saya di Mekah saya akan bangun sekitar jam 1.30 pagi. Kemudian saya akan mandi bagi menyegarkan badan saya dan sekitar jam 2.00 pagi saya sudah mula bergerak ke Masjid.

Apa yang mudah di Mekah adalah saya boleh pergi ke Masjidil Haram dengan Maria setiap pagi. Berbanding di Madinah, jemaah wanita dan jemaah lelaki agak sedikit 'bebas' bercampur di dalam masjid. Kami boleh masuk mengikut pintu yang sama, boleh melakukan ibadah tawaf bersama, boleh baca quran bersama dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan bersama. 'Kebebasan' ini hanya terdapat di Masjidil Haram.

Di Madinah tempoh hari, semua jemaah wanita dan lelaki diasingkan sejak dari luar masjid lagi.

Kebiasaannya, setelah tiba di Masjidil Haram kami akan melakukan tawaf sunat. Pada waktu ini, dataran Kaabah masih belum padat. Dan kami mampu untuk melakukan tawaf sunat sekitar 30-45 minit. Kemudiannya, kami melakukan solat Sunat Tawaf dan terus berqiamullail.

Sejam sebelum masuk waktu Subuh, jemaah wanita tidak lagi dibenarkan bersolat di sekitar dataran Kaabah. Mereka dikehendaki pergi ke tempat yang dikhaskan untuk jemaah wanita bersolat. Ini bagi mengelak jemaah wanita bersolat dalam saf yang sama dengan jemaah lelaki.

Alhamdulillah, di Masjdil Haram saya masih dapat mengekalkan 'rentak' Qiamullaik seperti yang dilakukan di Masjidil Nabawi tempoh hari. Saya menunaikan solat Tahjud sebanyak 6 rakaat. Diikuti dengan solat Sunat Taubat dan Hajat.

Amalan ini diselang seli dengan sesi bermunajat, berdoa kepada Allah dan membaca Al Quran sehingga waktu Subuh.

Selepas Solat Subuh, saya akan balik ke hotel, bersarapan dan terus tidur untuk berehat. Sama seperti yang saya amalkan di Madinah hari tu.

Saya akan tidur sehingga jam 9.00 pagi dan bangun serta bersiap untuk kembali ke Masjid bagi ibadah yang seterusnya.

Sekitar jam 10 pagi, saya akan ke Masjid untuk terus menunaikan Tawaf Sunat dan kemudiannya menunaikan Solat Sunat Dhuha dan meneruskan dengan sessi menghafal Al Quran.

Saya akan berada di Masjid sehingga waktu Zuhur dan pulang ke hotel selepas itu. Saya akan bersegera untuk makan dan kemudian tidur sementara menunggu waktu Asar. Kebiasaannya, selepas Solat Asar, saya akan terus beriktikaf di Masjid sehingga waktu Isyak. Selepas Solat Magrib, saya akan menunaikan Tawaf Sunat. Ini bagi melengkapkan 'sasaran' saya iaitu 3 kali melakukan Tawaf Sunat setiap hari jika saya tidak melakukan umrah sunat pada hari itu.

Inilah rutin harian saya apabila saya tidak melakukan Umrah pada hari itu.

Jika disimpulkan, beginilah rutinnya.

Bangun jam 1.30 pagi. 2.00 pagi ke Masjid. Tawaf Sunat dan Qiamullail sehingga Subuh. Balik hotel, bersarapan dan tidur. Bangun jam 9 pagi dan berada di Masjid jam 10 pagi. Tawaf sunat dan Solat Sunat Dhuha. Ibadah sehingga Zuhur. Balik Hotel. Makan tengah hari dan tidur. Bangun jam 2.30 petang untuk ke Masjid. Terus berada di masjid sehingga Isyak. Makan dan terus tidur seawal mungkin.

SEKIRANYA HARI ITU SAYA MELAKUKAN UMRAH SUNAT PADA WAKTU PAGI

Sekiranya saya bercadang untuk mengerjakan Umrah sunat di sebelah pagi, pada hari itu saya akan bangun lewat sedikit untuk ke Masjid.

Dan rutin harian pastinya berubah sekiranya pada hari itu saya ada melakukan Umrah Sunat disebelah pagi. Mana mungkin saya boleh bangun 1.30 pagi dan terus melakukan Umrah Sunat selepas waktu Subuh. Saya tak yakin saya mempunyai tenaga yang cukup untuk itu.

Kebiasaannya, saya akan bangun sekitar jam 3.30 pagi dan berada di Masjid sekitar jam 4 pagi. Oleh kerana agak lewat ke Masjid, saya tidak melakukan tawaf sunat. Sebaliknya terus menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid dan Solat Tahjud. Sehingga masuk waktu Subuh.

Selepas Solat Subuh, saya akan balik ke hotel untuk bersarapan dan terus pergi ke Tanaim untuk berniat ihram.

Ibadah Umrah ini biasanya akan habis dalam tempoh 3 jam dari mula saya pergi berniat di Miqat.

Dan ibadah ibadah lain selepas waktu Zuhur masih boleh diteruskan seperti biasa.

Inilah rutin harian saya pada hari hari terawal saya di Masjidil Haram sementara menunggu Hari Wukuf di Arafah untuk menunaikan haji.

Walaupun jadualnya agak padat. Saya cuba untuk buat yang terbaik kerana saya perlu 'mengoptimumkan' masa saya di sana. Letih memang letih. Penang memang penat. Tapi, lakukanlah semata mata kerana Allah. Insya Allah. Akan hilang segala rasa letih dan penat itu.

Semoga para pembaca mendapat sedikit gambaran mengenai aktiviti harian yang boleh dilakukan di Masjidil Haram.

Jutaan terima kasih kepada Prof Kamil saya ucapkan atas segala nasihat yang telah beliau berikan melalui buku buku dan tazkirah yang banyak membantu saya dalam merancang ibadah di Tanah Suci. Semoga Allah membalas segala jasa yang Prof berikan.

Wassalam.

4 ulasan:

  1. Assalam,

    Sesungguhnya Allah permudahkan urusan haji tuan dan keluarga. Alhamdulillah.

    Semuga Allah berkati hidup tuan haji dan keluarga.

    Syukran

    AJ

    BalasPadam
  2. salam firdaus sefamili.alhamdulillah akak tertunggu entri seterusnya.semoga hidup dalam keredhaanNya. roha

    BalasPadam
  3. Waalaikumsalam,

    Terima kasih buat AJ yang sentiasa mendoakan saya. Semoga anda juga begitu hendaknya.

    Kak Roha, terima kasih la. Asyik dok tunggu saya punya entri yang seterusnya. Kadang kadang, dikala saya keletihan nak menulis, teringat kat Kak Roha tertunggu tunggu. Saya gagahkan juga untuk bangun menulis.

    Semoga apa yang ditulis ini memberi manfaat untuk kita semua.

    Wassalam.

    * Sedang mengarang entri ke 50. Tak siap dari pagi tadi. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Semgoa Allah permudahkan.

    BalasPadam
  4. salam sefamili, itulah kena bagi semangat, baru boleh buat...

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top