Assalamualaikum,

Syukur Alhamdulillah, cita cita saya untuk tinggal di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram dimakbulkan Allah. Di Mekah, pihak Zahafiz telah menempah Hotel Azeeb Mawaddah untuk kami semua para jemaah Zahafiz sekitar 700 orang. Kami semua tinggal di hotel yang sama.

Namun, masih ada sedikit jemaah Zahafiz yang tinggal di Hotel Meera. Berhampiran dengan Hotel Azeeb Mawaddah.

Hotel Dyar Inn merupakan hotel yang paling hampir dengan Masjidil Haram disebelah pintu Marwah. Dan hotel kami terletak betul betul dibelakang hotel ini.

Hotel Azeeb Mawaddah bukanlah hotel baru. Ia hotel lama dan sedikit uzur. Tapi, bagi saya not soo bad. Hotel ini terletak sekitar 300 meter dari Masjidil Haram. Ini yang penting. Hotel saya dekat dengan masjid. Ini memudahkan urusan saya untuk berulang alik ke masjid.

Inilah hotel tempat kami tinggal selama 35 hari di Mekah. Namun, ia hanya menjadi kenangan sekarang kerana ia sudah pun dirobohkan selepas musim haji baru baru ini bagi memberi ruang kepada pembesaran kawasan masjid.

Berikut merupakan gambaran keadaan di Hotel Azeeb Mawaddah yang kami keluarga Zahafiz tinggal:

1) Lif Yang Terhad

Kalau di Madinah saya tinggal di bilik di tingkat 2, di Mekah Allah menguji saya dengan menempatkan kami sekeluarga di tingkat 7 daripada 13 tingkat keseluruhannya. Subhanallah. Tingkat 7 bagi saya agak tinggi. Dan saya boleh rasakan yang saya pasti akan menghadapi masalah lift nanti.

Kalau di Madinah, saya boleh terus menaiki tangga tanpa perlu menunggu lif, tapi di Mekah rasanya saya terpaksa mengubah sedikit strategi bagi mengelak trafik di lif.

Jika hotel di Madinah ada 5-6 lif, di Mekah hanya ada 3 buah lif. Lif ini hanya boleh memuatkan sekitar 10-12 orang satu satu masa. Saiz lif ini pula tidaklah terlalu besar.

Di hotel kami, hanya ada 3 lif sahaja. Dan orang yang menunggu pula amat ramai terutama di waktu puncak.

Saya bersyukur. Lebih baik ada lif daripada tak ada lif.

Bila ditanya tanya, rupa rupanya pihak Zahafiz mengutamakan jemaah berumur untuk tinggal di tingkat bawah. Manakala bagi mereka yang sihat, tinggal di tingkat atas sedikit. Dan bagi mereka yang bujang, lagi tinggi lah bilik mereka. Adil bagi semua orang saya rasa.

Saya tidak mengeluh ditempatkan di tingkat 7. Masih bersyukur bila mengenang kawan kawan yang terpaksa tinggal di tingkat 11 dan 12. Aduh. Mereka lebih mencabar.

Jadi, di Mekah saya terpaksa mengaplikasikan tips tips yang saya berikan kepada anda semua mengenai penggunaan lif di Madinah tempoh hari.

Antara tips yang hendak saya ulangkan:

a) Pergilah awal ke masjid dan pulang lah lewat sedikit dari Masjid. Anda pasti tidak terperangkap dengan kesesakan lif di lobi hotel.

b) Sekiranya semasa saya balik ke hotel dan lif masih sesak, saya akan menaiki tangga sehingga ke tingkat 2. Dan berharap ada jemaah berumur yang akan turun di tingkat itu. Maka saya boleh menaiki lif sehingga ke tingkat 7. Tidaklah saya perlu menaiki tangga sehingga ke tingkat 7.

Namun di hotel yang saya tinggal, tangganya pula agak sempit. Kalaulah ada mak cik mak cik yang berumur berjalan di hadapan, saya tidak mempunyai ruang untuk memotong. Terpaksalah saya mengikut perlahan lahan apabila menaiki tangga. Nak minta potong sebab nak cepat, rasa kurang wajar pula. Jadi, bersabar sajalah.

2) Dewan Makan Yang Kecil

Jika saya menceritakan mengenai keadaan di dewan makan di hotel di Madinah agak kecil, di Mekah. Ia lebih kecil.

Di sini, bilik makan akan ditukar menjadi tempat ceramah apabila diperlukan.

Lagi ruang dewan makan digunakan untuk majlis bacaan Yasin.

Juga untuk program Muslimat.

Ada 2 dewan makan di tingkat S dan M, tetapi ruangnya teramatlah kecil. Tidak mampu menampung kami jemaah Zahafiz sekitar 700 orang yang menetap di hotel ini.

Namun, satu perkara yang saya ucapkan terima kasih kepada pihak Zahafiz. Mereka menyediakan dewan makan mini di tingkat 3, 5 dan 7 di hotel ini. Dan Alhamdulillah.

Memandangakan di tingkat 7 ada dewan makan mini, maka saya sekeluarga boleh naik terus ke tingkat 7, ambil makanan dan makan di bilik kami sahaja.

Dalam bab ini, kami sekeluarga dapat makan bersama setiap kali waktu makan. Saya lebih suka makan bersama keluarga kerana semasa makan, kami dapat berbincang mengenai perancangan ibadah kami pada hari berikutnya. Dan kami dapat saling ingat memperingati tentang amal ibadah di sana.

3) Bilik Yang Sederhana Luas

Jika dibandingkan bilik kami di Madinah dan di Mekah, bilik kami di Mekah adalah lebih luas. Alhamdulillah. Kami lebih selesa berbanding ketika kami di Madinah.

Kami 4 orang sekeluarga tinggal di bilik yang sama. Dan ini memang sudah diuruskan sejak kami di Malaysia lagi. Kami mahu tinggal di bilik yang sama.

Bilik yang memuatkan 4 buah katil.

Saya sedang bersiap sedia sebelum keluar menunaikan fardhu haji. Semua cadar dibuka untuk ditukarkan dengan yang baru.

Satu masalah utama kami sekeluarga di dalam bilik ialah 'aircond'. Semua bilik di hotel ini tidak dibekalkan 'remote control' aircond. Kesannya, kalau tidak dibuka aircond, kami kepanasan di dalam bilik. Dan kalau dibuka pula untuk jangka masa yang lama, kami kesejukan. Aduh, hal ini betul betul mencabar kami.

Kami ada membuat sedikit 'laporan' keadaan bilik kepada pihak Zahafiz. Mereka memohon maaf kerana ini sahajalah yang ada dan mereka berharap kami dapat menerima seadanya.

4) Bilik Air Yang Uzur

Memandangkan hotel kami hotel yang lama, dan selepas musim haji ini ia akan dirobohkan. Maka kalau ada apa apa yang rosak di dalam bilik air atau bilik, pihak hotel tidak akan memperbaikinya.

Bagi saya, bilik air betul betul mencabar saya. Sudahlah 'shower' bilik air kami rosak, kami terpaksa mandi dalam keadaan bertinggung menggunakan pili tandas sahaja. Dan beberapa hari sebelum kami pulang, pili itu pula rosak. Maka kami terpaksa menggunakan baldi untuk menadah air untuk mandi.

Itu belum cukup mencabar. Pintu bilik air kami pula rosak dan tidak boleh ditutup secara penuh. Walaupun sudah ditutup penuh, masih ada ruang yang kelihatan antara orang didalam tandas dengan orang diluar tandas. Masya Allah. Ini satu cabaran.

Setiap kali masuk ke bilik air, kami terpaksa meletakkan tuala di tempat yang terdedah itu. Dan itu pun masih belum tertutup sepenuhnya. Tak apa lah. Ini sahaja yang ada. Kami terima seadanya.

Sinki bilik air kami pula tidak berpenutup. Kesannya lubang tempat air keluar di sinki amat besar. Yang menjadi masalah kalau ada barang barang kecil yang terjatuh di dalam lubang sinki itu. Subhanallah. Sukarnya nak keluarkan balik barang tu. Terpaksa dicuba berkali kali baru boleh keluarkan.

Ini belum cukup mencabar rasanya. Yang lebih mencabar, lantai dalam bilik air kami tidak dibuat secara betul. Kesannya air sedikit bertakung di dalam tandas. Dan di saluran air keluar itu pula sudah sedia tersumbat. Masya Allah. Usah dikenang bau busuk yang terpaksa kami hidu disebabkan ada sampah yang tersumbat di saluran ini.

Bagi saya, inilah cabaran di bumi Mekah. Memang keadaan hotel yang kami tinggal agak uzur. Ditambah hotel ini akan dirobohkan selepas musim haji. Maka kami terpaksalah menanggung 'azabnya'.

Bagi saya, saya redha dan tak berapa kisah. Sebab bagi saya yang penting. Hotel saya dekat dengan Masjid. Saya mudah ulang alik ke masjid. Bila saya letakkan ini sebagai priority saya, maka masalah masalah lain sudah tidak signifikan buat saya. Alhamdulillah.

5) Wi Fi di Hotel

Syukur Alhamdulillah. Pihak Zahafiz memberikan kemudahan Wi Fi kepada kami semua jemaah Zahafiz di hotel. Walaupun ia hanya boleh diakses di lobi hotel. Ini cukup buat saya. Kerana Wi Fi agak penting untuk saya menghubungi keluarga saya di Malaysia secara percuma menggunakan Skype. Ia percuma berbanding panggilan telefon biasa yang agak mahal apabila telefon ke Malaysia.
Gambaran di lobi hotel yang tidak terlalu besar. Tidak pula terlalu kecil. Ada Wi Fi di sini. Alhamdulillah.

Astro datang ke hotel kami bagi menemuramah jemaah kami sepasang suami isteri yang OKU. (Bisu)

Saya rasa, ini sahajalah gambaran hotel saya di Mekah yang hendak saya kongsikan dengan para pembaca. Insya Allah, saya akan menceritakan mengenai aktiviti aktiviti saya ketika di Mekah dan Masjidil Haram dalam entri entri berikutnya.

Wassalam

2 ulasan:

  1. Assalam,

    Syukran

    Jazakaullah

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum, ingin bertanya saudara firdaus tinggal berempat dlm bilik yg sama... lelaki sahaja ke ? atau ada lelaki dan perempuan yg sama mahram...

    tq

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top