Assalamualaikum,

Tempoh masa saya menunaikan haji adalah sekitar 45 hari. 9-10 hari di Madinah. Ini bermaksud saya akan berada di bumi Mekah selama 35 hari.

Tempoh masa 35 hari saya di bumi Mekah perlu digunakan sebaiknya. Hasil pembacaan buku Prof Kamil, Travelog Haji Merubah Sempadan Iman banyak membantu saya untuk merancang aktiviti ibadah saya di Masjidil Haram.

Dalam salah satu daripada ceramah yang Prof Kamil berikan, dia menceritakan, "Ramai jemaah yang takut dengan Umrah Wajib yang pertama kali hendak dilakukan apabila mula tiba di Mekah. Namun hakikat yang perlu kita takutkan adalah, apa yang hendak kita lakukan sepanjang masa berada di Masjidil Haram"

Prof menambah, "Umrah wajib mengambil masa kurang dari 10 jam untuk disempurnakan. Namun kita ada lebih kurang 35 hari di bumi Mekah secara keseluruhannya. Kita perlu takut apa yang hendak diisi dalam tempoh 35 hari itu agar apa yang dilakukan di sana boleh memberi kesan kepada kita apabila kita pulang ke Malaysia"

Bila difikirkan ada logiknya. Teramat rugi kalau kita 'membuang masa' apabila berada di sana.

Kalaulah bersolat di Masjidil Nabawi diberi pahala 1000 kali ganda berbanding bersolat di masjid masjid lain. Bersolat di Masjidil Haram pula diberi pahala 100,000 kali ganda berbanding bersolat di masjid masjid lain.

Secara teorinya, kalau saya sudah melakukan yang terbaik di Madinah, saya perlu melakukan 'lebih baik' dari yang 'terbaik' apabila berada di bumi Mekah.

Untuk melakukan 'lebih baik' dari yang 'terbaik', saya perlu mempunyai perancangan apa yang perlu saya lakukan sepanjang masa berada di Mekah. Sekurang kurangnya, saya mempunyai agenda yang tersusun agar setiap masa di bumi Mekah digunakan sebaiknya.

Kalau ditanya di lubuk hati saya, saya takut untuk menceritakan apa yang sudah dilakukan di sana. Saya takut terdetik perasaan riya' di hati saya semasa bercerita. Saya harap ia tidak begitu. Semoga Allah mengampunkan dosa saya dan memberi keikhlasan dalam hati saya untuk bercerita kepada para pembaca.

"Ya Allah, aku takut untuk menulis ya Allah. Aku takut sekiranya aku berlaku riya' dengan apa yang telah aku lakukan. Sekiranya ia berlaku, ia bukan di atas kemahuan ku. Tetapi, ia berlaku di atas kejahilan aku. Ampunkan aku ya Allah. Terimalah amal ibadah ku"

Berikut merupakan perancangan amal ibadah yang ingin saya lakukan sepanjang berada di bumi Mekah. Kalau nak diikutkan, ini adalah apa yang saya rancang dan hajatkan. Tetapi, perancangan saya terpaksa berubah mengikut kesesuian keadaan dan masa di sana.

Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana meskipun saya tak dapat melakukan semua yang dirancang, sekurang kurangnya saya dapat melakukan sebahagian besar daripadanya.

Antara perancangan saya adalah:

1) Bersolat di dataran Kaabah sekurang kurangnya 80% daripada keseluruhan solat saya. Prof Kamil melakukan 90% di dataran Kaabah.

2) Menghabiskan hafalan Quran Juzuk 30 sebelum pulang ke Malaysia

3) Menunaikan Umrah sebanyak mungkin apabila berkelapangan

4) Merebut 120 Rahmat yang dijanjikan Allah untuk mereka yang berada di Masjidil Haram dengan Bertawaf, Bersolat dan Memandang Kaabah apabila berkelapangan. Dari segi ibadah, Tawaf Sunat perlu diutamakan di Masjidil Haram. Perancangannya, sekurang kurangnya 3 kali Tawaf Sunat setiap hari.

5) Jika hari itu saya TIDAK melakukan Umrah Sunat, saya akan bangun melakukan Qiamullail pada pukul 1.30 pagi dan berada di Masjid pada jam 2.00 pagi. Kemudian melakukan Tawaf Sunat dan Berqiamullail

6) Jika hari itu saya melakukan Umrah Sunat, saya akan bangun melakukan Qiamullail pada pukul 4.00 pagi. Dan terus menunaikan Solat Solat Sunat di dataran.

7) Saya mesti berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis seperti yang dilakukan di Madinah. Walaupun puasa sunat tak termasuk dalam perancangan awal ibadah saya di Mekah.

8) Berusaha untuk berdoa di Multazam sekerap mungkin.

9) Mencium Hajarul Aswad sekali, walaupun dalam keadaan orang yang terlalu ramai.

Bila dilihatkan apa yang nak dibuat, jadual kehidupan saya di Mekah akan padat.

Masa yang diperlukan untuk melakukan semua ibadah di atas lebih banyak daripada masa yang saya ada.

Hakikatnya, saya tidak dapat melakukan kesemuanya. Kerana, untuk melakukan sesuatu yang dirancang, saya terpaksa mengorbankan sesuatu yang lain. Saya bersyukur, kerana saya ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Dan yang penting, saya sesuaikan perancangan saya dengan realiti semasa pada waktu itu. Sekurang-kurangnya, saya sentiasa ada 'back up plan' dan masa saya sentiasa terisi apabila berada di Masjid. Alhamdulillah.

Di sini saya bukan hendak mendabik dada kata saya sudah buat segalanya di bumi Mekah. Apa yang ditulis hanyalah sekadar cadangan. Saya hanya manusia biasa. Dan saya sendiri merasakan masih banyak ruang untuk saya perbaiki jika saya diberi peluang sekali lagi berada di sana.

Masih ada ramai lagi jemaah yang bagi saya lebih kuat beribadah berbanding saya. Dalam hal ini, saya tidak berhajat pun untuk membanding bandingkan ibadah saya dengan orang lain. Saya buat yang terbaik untuk diri saya. Dan mereka buat yang terbaik untuk diri mereka. Masing masing mempunyai perancangan.

Apa yang penting, buatlah yang terbaik di kalangan yang terbaik. Semoga yang terbaik dari kita itu memudahkan kita untuk memperoleh Haji yang Mabrur. Memang itu pun sasaran kita. Semoga apa yang kita lakukan di Tanah Suci dapat dikekalkan apabila pulang ke tanah air.

Insya Allah.

Wassalam

2 comments:

  1. Assalam,

    Dengan berbuat yang terbaik bersama niat semata mata kerana NYA, semuga tuan haji dan keluarga mendapat haji yang mabrur.

    Entry tuan haji banyak memberi panduan.

    Jazakaullah

    AJ

    ReplyDelete
  2. salam firdaus(sama nama dgn.adik akak)sefamili,tidak sabar nak tunggu entri seterusnya..hari sabtu dan ahad sibuk ke? semoga sefamili hidup tenang.

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top