Assalamualaikum,

9-10 hari kami di Madinah berakhir. Kini tiba masanya untuk kami bergerak menuju ke Mekah. Saya berasa teruja dan tidak sabar untuk sampai ke bumi Mekah.

Dari segi pengurusan beg beg besar, pihak Zahafiz sudah menghantar beg-beg ini 1 hari lebih awal sebelum kami pergi. Ini bagi memudahkan kami kerana kami tidak perlu membawa beg yang besar untuk perjalanan yang jauh ini. Beg beg kami dihantar ke Mekah menggunakan lori yang disewa khas.

Jadi, kami hanya perlu membawa 'hand luggage' semasa perjalanan dari Madinah ke Mekah. Alhamdulillah. Terima kasih Zahafiz untuk kemudahan ini. Beg beg besar semuanya dihantar terus ke bilik kami di dalam hotel.

Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa sekitar 8 jam menaiki bas. Jaraknya hanya sekitar 450km. Kami para jemaah Zahafiz bergerak dengan hampir 12 buah bas.

Hari Sabtu, selepas Solat Zuhur sekitar jam 2.00 petang kami mula menaiki bas. Subhanallah. Bas yang kami naiki agak buruk dan sedikit berdebu. Bayangkanlah, bas bas ini hanya digunakan sekali dalam setahun iaitu musim haji. Jadi keadaannya memang kurang menyenangkan.

Tapi, saya tetap bersabar. Kerana bukan keselesaan yang dicari disana. Kesabaran dalam diri pasti mendekatkan diri dengan Allah.

Usah bicara bab 'air cond' dalam bas itu. Cuaca di luar agak panas. Dan air cond yang dibuka tidak cukup menyejukkan kami. Saya ada meminta petugas Zahafiz untuk memberitahu driver bas bagi menyejukkan sedikit 'aircond'. Tapi, keadaan masih tidak berubah.

Di Tanah Suci, satu perkara yang anda semua perlu faham. Apabila kita menaiki bas kita mesti memberi sedikit tips kepada pemandu. Selepas menerima tip, barulah segalanya akan berjalan lancar.

Pihak Zahafiz membuat sedikit kutipan didalam bas dari para jemaah untuk diberi kepada pemandu. Dalm kes ini, saya berpendapat tidak perlulah kita para jemaah terlalu berkira. Berilah sumbangan kepada pemandu seikhlas mungkin. Beri ikut kemampuan. Bersedekah di Tanah Suci pahalanya digandakan. Jadi, tiada siapa yang rugi dalam hal ini.

Mungkin selepas menerima tip, air cond dalam bas kembali normal. Bas mula bergerak menuju ke Bir Ali. Tempat untuk kami bermiqat.

Kalau diperhatikan keadaan persekitaran, memang sudah banyak bas yang bergerak menuju ke Mekah. Dari pelbagai negara. Semua jemaah mula bergerak ke Mekah. Pendek kata, memang banyak bas kami temui sepanjang perjalanan kami.

Kalau tadi, saya kata bas saya agak buruk dan berhabuk. Tapi kini saya bersyukur. Dalam perjalanan, saya nampak ada jemaah dari negara lain yang menaiki bas yang lebih buruk daripada bas kami. Dan tidak berhawa dingin pula. Masya Allah. Setiap jemaah dihidangkan dengan cabaran yang pelbagai.

Pengajaran yang penting. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan jangan banyak komplen. Kalau ada sedikit kekurangan, terimalah seadanya.

Memandangkan kami jemaah Zahafiz sama ada akan melakukan Umrah atau Haji Ifrad, kami para jemaah perlu mula memakai kain ihram dari hotel di Madinah. Dan perlu berihram sepanjang perjalanan kami ke Mekah.

Saya dan Maria menaiki bas menuju ke Mekah

Perjalanan menuju ke Bir Ali mengambil masa sekitar 30 minit. Kerana Bir Ali terletak sekitar 10km dari Madinah. Dan Bir Ali merupakan Miqat bagi penduduk Madinah yang akan menunaikan Umrah atau Haji. ANDA PERLU BERNIAT DI SINI, JIKA TIDAK. ANDA PERLU MEMBAYAR DAM SEEKOR KAMBING KERANA TIDAK BERNIAT DI TEMPAT MIQAT.

Masjid di Bir Ali. Tempat untuk kita berniat. Bagi mereka yang melakukan Haji Tamattuk, perlu berniat mengerjakan Umrah di sini. Bagi mereka yang melakukan Haji Ifrad, perlu berniat mengerjakan haji di sini. Anda perlu berniat di sini, kerana salah satu Wajib Haji dan Umrah adalah berniat di Miqat yang telah ditentukan. Jika tidak... Kambing berharga SR350 perlu dikorbankan.

Kami sekeluarga mengerjakah Haji Tamatuk. Maka kami hanya berniat mengerjakan Umrah dahulu.

"Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram aku dengannya kerana Allah Taala"

Selepas mula berniat di Bir Ali, kita sudah mula menjaga semua 13 pantang larang semasa berihram. Sekiranya ada yang 'terlanggar', pasti kena membayar dam.

Selepas selesai Solat Asar di sini secara Qasar, kami kembali ke bas bagi meneruskan perjalanan ke Mekah. Segala pantang larang perlu dijaga.

Dalam perjalanan, bas kami berhenti disebuah tempat pemeriksaan dan diberikan sedikit hadiah dari kerajaan Saudi. Berbentuk makanan ringan bagi mengalas perut kami sepanjang perjalanan ke Mekah. Antara yang diberikan biskut, kek, snek dan air zam zam. Alhamdulillah.

Ustaz Shamsudin merupakan Ketua Pembimbing Haji kami. Beliau menceritakan mengenai pengalaman beliau pada tahun lepas. Mengenai seorang jemaah yang teruja menaiki satu bas dengan beliau.

Disebabkan keterujaan menaiki bas bersamaa Ustaz. Salah seorang jemaah wanita didalam bas itu berkata, "Wahh... Ustaz Shamsudin naik bas dengan kita. Bestnya kalau kita boleh berkelah kat mana mana dalam 2-3 jam dengan Ustaz"

Mustajab betul doa mak cik ni, bas yang mereka naiki rosak ditepi jalan dalam perjalanan ke Mekah. Dan mereka memang betul betul 'berkelah' disitu sekitar 2-3 jam sementara menanti bas dibaiki.

Jadi, berhati hatilah anda. Jangan bercakap sebarangan di Tanah Suci.

Sekitar jam 8 malam, bas berhenti bagi kami menunaikan Solat Maghrib dan Isyak secara jamak. Disini saya sudah nampak, ramai jemaah Zahafiz tidak dapat menghayati konsep solat berjemaah. 9-10 hari pengajaran Solat Berjemaah di Masjid tidak dapat diaplikasi di sini. Ramai yang menunaikan solat bersendirian.

Yang lebih menyedihkan, walaupun sudah ada jemaah yang bersolat secara berjemaah, masih ada orang yang memilih untuk menunaikan solat secara bersendirian. Saya langsung tidak faham dengan mereka ini. Kenapa la memililih untuk bersolat bersendirian di kala sudah ada jemaah yang bersolat.

Saya teringat pesanan Prof Kamil. Jadikan kedatangan kita menunaikan haji ini sebagai titik perubahan dalam hidup kita untuk mula menunaikan solat secara berjemaah. Pokok pangkalnya, bersolatlah secara berjemaah dalam apa jua keadaan. Berusahalah ke arah itu.

Dan yang paling menyedihkan, ada jemaah yang tidak bersolat di sini. Kalau mereka tidak bersolat disini, dimana lagi mereka hendak bersolat Maghrib dan Isyak. Kita tidak boleh melakukan Jamak Maghrib dan Isyak di Mekah kerana di sana kita sudah sampai ke tempat destinasi yang hendak dituju. Tak tahulah, inilah jemaah yang bakal menjadi haji tahun ini.

Bas kemudiannya meneruskan perjalanan selepas sekitar 1 jam berhenti bersolat. Dan kemudian berhenti sekali lagi untuk kami makan malam. Kami perlu membeli sendiri di sini. Pada pandangan saya, pihak Zahafiz perlu membekalkan kami makanan untuk makan malam. Ini lagi mudah dan cepat. Walau bagaimana pun, saya redha dan tidak kisah. Kami membeli makan nasi mandi ayam dan kemudian kembali menaiki bas.

Bergambar di hadapan restoran tempat kami makan.

Kalau tadi waktu siang kami kepanasan di dalam bas. Tetapi pada waktu malam, kami didalam bas semuanya kesejukan yang teramat sangat. Cuaca di luar sejuk. Ditambah dengan aircond dalam bas. Bertambah sejuk kami dibuatnya. Kalau itu tidak mencukupi, kami hanya memakai ihram. Tidak boleh menutup kepala. Subhanallah. Sejuknya Allah sahaja yang tahu. Bersabarlah.

Sekitar jam 12 tengah malam. Kami tiba di Hotel Madinah. Perjalanan yang betul betul meletihkan. Kami naik ke bilik dan bersiap sedia untuk pergi ke Masjid bagi menyelesaikan urusan umrah kami agar boleh membuka ihram.

Saya dan Maria bergambar di bilik. Maria kata nak bergambar dengan suami dalam keadaan suami ada rambut. Lepas ni suami dia nak botak dah.

Sebelum keluar dari bilik, saya mengetuai bacaan doa kepada Allah:

"Ya Allah, kami bersyukur kepada Mu Engkau mempermudahkan perjalanan kami ke Mekah ini. Ya Allah, sebentar lagi kami akan melakukan umrah wajib untuk kami. Kami melakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Kami mohon kepada Mu, Engkau permudahkan urusan Tawaf kami, permudahkan urusan Saie kami dan permudahkan urusan Tahlul kami. Ya Allah, peliharalah keselamatan kami di dunia dan di akhirat"

Dengan lafaz Bismillah. Kami berempat melangkah keluar menuju ke Masjid. Kami tidak menyertai rombongan besar Zahafiz melakukan umrah. Ini kerana apabila kami pergi sendiri, lebih mudah untuk kami beribadah di sana mengikut masa yang ingin kami mahukan.

Lagi pun, saya, Maria dan Mak sudah menunaikan Umrah sebelum ini. Jadi, sedikit sebanyak ia membantu kami menyelesaikan ibadah Umrah ini.

Sekitar jam 1.40 pagi kami menuju ke Masjidil Haram. Bagi mengerjakan Umrah Wajib untuk kami. Lihat jam yang terbesar di dunia. Atas Menara Zam Zam. Jarum jam pun lebih besar daripada orang biasa.

Kami menjejakkan kami ke Masjidil Haram. Alhamdulillah. Saya semakin teruja. Impian untuk sekali lagi melihat Kaabah akan tercapai. Kami masuk dan niat beriktikaf di dalam Masjid. Dan terus pergi ke Kaabah.

Apabila melihat Kaabah, kami terus membaca doa melihat kaabah.

"Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi Engkau, Tuhan yang memerintah segala sesuatu, bagiNya segala kepujian dan Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu,

Aku berlindung dengan Tuhan yang mempunyai Baitullah ini daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan sempit fikiran,

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan para sahabatnya,

Ya Allah tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan, tambahkanlah kurniaMu kepada sesiapa juga yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian dan kebaikan."

Air mata terus mengalir apabila melihat Kaabah. Menangis kerana bersyukur kerana Allah menemukan saya sekali lagi dengan Kaabah. Peluang yang tidak diberikan kepada ramai orang. Hanya insan insan terpilih sahaja yang bertuah. Syukur kepada Allah.

Kami terus melakukan ibadah tawaf 7 pusingan. Kemudian, bersolat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan terus menuju ke tempat Saie. Masa yang diambil untuk bertawaf dan solat sunat sekitar 1 jam. Kami melakukan dengan perlahan kerana tiada apa yang perlu dikejarkan. Buat dengan perlahan dan lebih tenang.

Seterusnya menuju ke tempat Saie. Jarak antara Safa dan Marwah sekitar 450 meter. 7 pusingan mengambil masa sekitar 1 jam. Selesai bersaie, saya menuju ke kedai gunting yang terletak di luar masjid untuk bercukup.

Bercukur rambut bukan sesuatu yang wajib. Ia hanyalah sunat. Tetapi ia sangat dituntut oleh Rasulullah. Rasulullah mendoakan keampunan dan rahmat 3 kali lebih banyak berbanding dengan orang yang bergunting.

Memandangkan tawaran Rasulullah ini sangat tinggi nilainya, saya memilih untuk bercukur berbanding bergunting. Saya berdoa, "Ya Allah kau ampunkan lah dosa ku sebanyak mana gugurnya rambut ku ini. Gantikanlah ia dengan pahala dan gugurkan lah ia dengan dosa"

Alhamdulillah. Selesai urusan Umrah selepas bercukur. Saya bebas dari pantang larang ihram selepas hampir 12 jam berada di dalam ihram.

Selepas bercukur, saya menuju kembali ke Masjidil Haram untuk melakukan solat Subuh. Sementara menanti waktu Subuh, saya menunaikan Solat Sunat Tahjud, Solat Sunat Taubat, dan Solat Sunat Hajat.

Selepas Solat Subuh, saya sekeluarga pulang ke hotel. Kami perlu tidur kerana semalaman kami tidak tidur. Jadi kami perlu berehat bagi mengumpul kembali tenaga untuk ibadah yang seterusnya.

Ternyata. Ia perjalanan yang amat meletihkan.

Insya Allah, akan saya kongsi pelbagai pengalaman menarik sepanjang berada di Tanah Suci selepas ini. Doakan Allah beri kelapangan kepada saya. Semoga ia bermanfaat untuk kita semua.

Wassalam

4 ulasan:

  1. Salam Tn.Hj,

    Teruja sangat nak sampai kesana...

    Doakanlah utk saya,semuga diberi keizinan oleh Allah untuk sampai kesana bersama suami juga dimurahkan rezeki,diberi kesihatan yg baik
    Amin....

    BalasPadam
  2. Salam,

    Ya Allah, aku mohon kepada Mu, tetapkan masa yang terbaik untuk Pn Rozila dan suaminya pergi menunaikan haji.Kau murahkanlah rezeki mereka dan berikan kesihatan yang baik untuk mereka.

    Ya Allah, permudahkan urusannya didunia dan akhirat.

    Wassalam

    BalasPadam
  3. Assalam,

    Setiap persingahan dan perjalanan yang tertulis kali ini seakan membawa kita sama sama melalui nya.

    Sesungguhnya rindu sangat nak ka rumah Allah.

    Semuga tuan haji dan keluarga dalam kasih sayang Allah

    AJ

    BalasPadam
  4. Ali Al-Besuti (K.Trg)3 Jan 2012, 10:11:00 PG

    Assalammualaikum...

    Bertambahlah warga MFUAD & didoakan juga kpd Pn.Rozila....moga2 kita dpt ketanah suci dgn izinNya..

    Teruja sae' dari Safar ke Marwah @450m x 7 = 3.15km...teringat pengorbanan Siti Hajar..

    MFUAD adalah Prof ke2 saya selain Prof.MKI kerna en3 harian sangatlah ditunggu2!

    Wassalam.

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top