Assalamualaikum,

Membaca buku Prof Kamil, Travelog Haji memberi semangat kepada saya untuk menunaikan solat fardhu di saf hadapan. Sebelum bertolak ke sana, cita cita saya tinggi. Saya nak bersolat di 3 saf pertama sahaja. Untuk setiap kali waktu solat fardhu.

Prof menekankan dalam buku beliau supaya jemaah haji melakukan yang terbaik dalam setiap ibadah yang kita lakukan. Semua YANG TERBAIK. Sebaik mungkin yang kita mampu. Ini adalah salah satu langkah memperoleh haji yang mabrur.

Prof juga menekankan, kita datang haji sekali sahaja yang wajib. Jadi, lakukan yang terbaik sepanjang 45 hari berada di Tanah Suci. Dalam segala aspek. Melakukan yang terbaik memerlukan perancangan yang rapi sejak dari Malaysia dan keazaman yang kuat semasa berada di sana.

Untuk melakukan yang terbaik semasa menunaikan solat fardhu. Saya mesti berada di saf hadapan. Itu pasti.

Pemandangan dinding hadapan masjid. Dihiasi dengan tulisan khat ayat Al Quran

Kubah masjid di bahagian hadapan

Hari pertama tiba di Madinah, saya sudah boleh bersolat Asar dalam kawasan Raudhah. Alhamdulillah. Tapi, itu bukan sasaran saya. Sasaran saya adalah bersolat di saf hadapan.

Hari pertama, saya masih gagal mendapat tempat terbaik untuk bersolat di saf hadapan. Saya hanya dapat bersolat sekitar saf ke 30-50. Jauh dari sasaran saya.

Saya teringat pesanan Prof, bersolat di saf pertama lebih baik dari bersolat di saf kelima, bersolat di saf kelima lebih baik dari bersolat di saf kesepuluh, bersolat di saf kesepuluh lebih baik dari bersolat di saf ke tiga puluh, begitulah seterusnya.

Pokok pangkalnya. Bersolat di saf hadapan jauh lebih banyak pahala berbanding bersolat di saf belakang.

Pada zaman Nabi, para sahabat terpaksa berebut rebut untuk bersolat di saf yang pertama. Ini kerana mereka mengetahui kelebihan bersolat di saf pertama. Alhamdulillah, saya sudah mengetahui kelebihan ini sejak di bangku sekolah lagi. Jadi saya memang selalu berebut untuk berada di saf pertama.

Tapi di Malaysia, suasananya mudah. Kita masyarakat Melayu selalu 'beradab' tak bertempat. Kita sentiasa memberi peluang kepada orang lain untuk bersolat di saf pertama. Sedangkan, kalau kita tahu pahala bersolat di saf pertama. Pasti kita yang pertama menuju ke saf hadapan.

Bagi membangkitkan kesedaran kepada kita semua, saya sertakan Hadis Hadis sahih berkaitan kelebihan bersolat di saf pertama.

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah S.A.W bersabda, "Seandainya orang ramai mengetahui betapa besarnta pahala azan dan merapati saf yang pertama (di masa solat berjemaah), kemudian mereka tidak menemui jalan untuk memperolehinya melainkan dengan membuat undi (giliran), nescaya mereka akan berbuat demikian."

"Juga seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala segera (pergi ke masjid) untuk melakukan solat berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya."

"Demikian pula sekiranya mereka mengetahui betapa besar pahala solat Isya dan Subuh dengan berjemaah. Mereka akan datang untuk menghadirinya sekalipun merangkak-rangkak"Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

"Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhannya?" Kami bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?" jawab Nabi,"Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan." Riwayat Muslim.

"Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Rasulullah menjawab, "Ya, juga saf kedua." Riwayat Ahmad.

3 hadis ini sepatutnya sudah cukup membuatkan kita teruja untuk bersolat di saf pertama apabila bersolat berjemaah.

Secara teorinya. Begitu. Tapi ketika berada di Masjid Nabawi, sudah hampir 24 jam tapi saya masih tidak boleh merapati saf hadapan. Terlalu ramai jemaah. Kawasan di saf hadapan terlalu padat.

Alhamdulillah. Allah temukan saya dengan Prof Kamil.

Saya bertanya, "Prof, macam mana Prof dapat bersolat di saf pertama semasa menunaikan haji dahulu."

"Apa masalahnya sekarang ni?" Prof bertanya kembali kepada saya.

"Saya tengok saf hadapan selalu penuh. Nak masuk pun tak boleh". Saya menerangkan.

"Apa susah. Datang awal ke masjid. Pasti ada ruang untuk kita bersolat di saf pertama," mudah Prof menerangkan kepada saya.

Saya mula terfikir, betul juga apa yang Prof katakan. Saya perlu mendahului orang lain. Datang lebih awal daripada orang yang datang awal. Hmmm...

Tapi, Prof ada juga menerangkan kepada saya untuk berdoa sebelum keluar dari hotel.
"Ya Allah, Kau kurniakanlah tempat yang terbaik untuk aku beramal ibadah di Masjid nanti."

Bila kita tiba di masjid, kita sentiasa mencari tempat yang terbaik. Tetapi kalau sudah penuh, duduklah dimana mana pun. Kerana itulah tempat yang terbaik yang Allah tetapkan untuk kita pada waktu itu. Mengapa? Kerana kita sentiasa minta daripada Allah berikan yang terbaik. Dan, itulah yang terbaik.

Tips yang amat baik dari Prof. Kita cuba melakukan yang terbaik. Tapi kalau tak dapat juga, sabar dan redha. Kerana itulah sebenarnya yang terbaik.

Dan aturan masa tidur waktu Malaysia yang Prof cadangkan dahulu banyak membantu untuk saya merebut bersolat di saf hadapan. Kalau ikut jadual yang Prof cadangkan, kita memang akan berada awal di masjid.

Untuk solat Asar, saya memang tiba awal di masjid. Saya akan memilih sama ada mahu bersolat di Raudhah ataupun di saf hadapan. Kalau saya mahu ke Raudhah, saya boleh pergi ke masjid sekitar 2.45 petang.

Tetapi, kalau saya mahu bersolat di saf hadapan. Saya perlu pergi lebih awal. Sekitar jam 2.00 petang. Saya tidak boleh lewat. Dan saya biasa mencari saf hadapan di sebelah kanan masjid. Kerana saf hadapan disebelah kiri biasanya di khaskan untuk mereka yang mahu menziarahi Makam Rasulullah.

Bersolat di saf pertama Masjid Nabawi ketika musim haji bukan perkara mudah. Bayangkan, dalaam ratusan ribu orang. Hanya sekitar 200-300 orang sahaja yang akan memperoleh saf pertama. Jadi, ia bukan mudah.

Alhamdulillah, ada suatu hari saya berpeluang bersolat di saf pertama. Keadaan di saf pertama memang padat. Saya memang sudah terbiasa dengan keadaan begini. Asalkan ada ruang untuk saya beribadah. Saya tak kisah orang lain disekitar saya.

Tiba tiba, ada seorang jemaah haji Bangladesh merayu rayu untuk masuk bersolat di saf pertama. Jemaah jemaah lain tidak memberi ruang kepada dia. Saya berasa kasihan. Walaupun, ruang yang saya duduk itu pun tak besar. Saya panggil dia bersolat di sebelah saya. Alhamdulillah, walaupun akal saya kata tak muat. Tapi, Allah muatkan untuk kami bersolat di situ.

Saya sebenarnya teringat pesan Prof Kamil untuk sentiasa memberi ruang kepada orang yang memerlukan. Mudah mudahan nanti Allah akan bagi kita ruang apabila kita memerlukan.

Jemaah Bangladesh itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada saya. Ini keadaan biasa di sana.

Pada hari yang lainnya, saya berpuasa sunat. Jadi, selepas solat Zuhur saya tidak pulang ke hotel. Sebaliknya, saya hanya tidur di masjid. Sekitar jam 1.30 tengah hari saya sudah bangun dan bersiap sedia untuk ke saf pertama bagi menunaikan solat Asar.

Alhamdulilah. Allah memberi tempat kepada saya di saf pertama. Tetapi seperti biasa, keadaan disitu amat sempit. Saya sudah tidak nampak ruang kalau ada orang lain yang boleh masuk lagi.

Tapi, hari itu Allah hendak menunjukkan saya sesuatu di bumi Madinah. Seorang berbadan besar berbangsa Arab, rasa saya dia penduduk Madinah datang lewat dan ingin masuk ke saf pertama.

Sedangkan kawasan itu sudah pun sempit. Hanya selang 3-4 orang disebelah kanan saya.

Pak Arab ni dengan selamba aja duduk di antara jemaah-jemaah Afghanistan. Jemaah Afghanistan menghalang kerana tempat itu sendiri sudah sempit. Mereka semua berbadan besar. Mana mungkin untuk memuatkan seorang lagi.

Lalu berlakulah pergaduhan mulut antara mereka. Masing masing menegakkan hak masing masing. Saya nampak Pak Arab seorang yang agak kasar. Mereka bertikam lidah. Saya tidak faham apa yang mereka cakapkan. Tapi dari riak muka mereka, ia serius.

Saya berdoa, janganlah Pak Arab ni datang duduk sebelah saya. Takutnya, dah la tempat tu sempit. Tak dapat dibayangkan kalau dia masuk di tepi saya.

Pergaduhan mereka berakhir dengan Pak Arab itu berjaya juga diusir oleh jemaah haji Afghanistan. Saya rasa sewajarnya begitu. Kalau mahu bersolat di saf pertama. Datang awal. Itu sahaja kata kuncinya. Datang awal. Dan insya Allah. Allah sediakan tempat untuk kita.

Yang mengerikan dia berjalan ke arah saya. Dan tiba tiba. Dia duduk di hadapan saya. Sambil marah kepada jemaah Afghanistan tadi. Masya Allah. Yang saya takutkan tadi dah berlaku.

Saya dan orang sebelah tak berani berkata apa. Kami hanya mendiamkan diri.

Masuk waktu solat, Pak Arab ni menyelitkan juga dirinya di antara kami. Dan ruangnya teramat sempit. Pak cik tua disebelah kiri saya sudah tersesar. Ruang untuk dia bersolat hampir tiada. 'Dicuri' oleh Pak Arab tadi yang duduk disebelah kanan saya.

Ia tidak berakhir di situ. Masuk waktu, kami bersolat. Masya Allah, semasa sujud Pak Arab tadi mengembangkan tangannya. Seolah olah dia bersolat seorang sahaja di situ. Apabila kami semua sujud, saya hampir hampir tidak boleh sujud kerana tiada ruang untuk bersujud. Terlalu rapat.

Dan saya cuba pertahankan sedikit tempat saya. Kerana saya tidak lagi boleh menolak ke arah kiri. Kerana pak cik tua disebelah kiri saya sudah pun 'surrender'. Dia terpaksa bersolat duduk. Tidak boleh berdiri lagi.

Selepas solat, saya keluar dari tempat itu.

Saf hadapan. Jemaah sentiasa penuh setiap waktu.

Disinilah saya selalu duduk apabila bersolat di saf hadapan

Subhanallah. Semput saya dibuatnya. Bukan mudah hendak memperoleh saf pertama. Saya terpaksa membayarnya dengan 'harga' yang mahal. Terpaksa datang awal, bersesak sesak, dihimpit dan sebagainya. Tetapi, saya tidak kisah kerana itu yang saya mahu. Saya mahu yang terbaik untuk ibadah saya. Itu harga yang terpaksa dibayar.

Di sini, baru saya sedar mengapa kami semua berebut untuk bersolat di saf pertama. Ganjaran pahala dari Allah terlalu besar. Semua orang mahukan yang terbaik. Tetapi bukan semua orang boleh dapat apa yang mereka mahukan.

Tetapi, ingin saya ceritakan di sini. Saya tidak selalu bersolat di saf hadapan. Rasa saya kurang dari 10 kali saya dapat bersolat di saf hadapan. Ini kerana di Madinah saya cuba fokuskan dengan menghafaz Al Quran. Juzuk 30.

Saf hadapan. Ruangnya sentiasa padat dan sedikit bising. Lihat orang dibelakang yang sedang berdiri untuk menziarahi Makam Rasulullah. Menyukarkan saya untuk menghafaz Al Quran.

Apabila menghafaz Al Quran, saya perlu tempat yang sedikit tenang. Tidak bising dan kurang gangguan. Dan tempatnya di saf hadapan 'wing' kanan masjid.

Walaubagai mana pun, saya berasa puas. Kerana saya sentiasa mampu mendapat tempat bersolat di saf hadapan apabila saya mahu. Segalanya ditentukan Allah jua. Apa yang pasti, tiada tempat untuk anda di saf hadapan sekiranya anda lewat. Anda bukan sahaja kena datang awal. Anda kena datang lebih awal dari mereka yang datang awal.

Semoga penceritaan kali ini memberi kita gambaran bagaimana mendapat tempat untuk bersolat di saf pertama ketika menunaikan haji. Semoga ia memberi semangat kepada kita semua untuk sentiasa 'berebut' bersolat di saf yang pertama.

Wassalam

2 ulasan:

  1. Assalam,

    Begitu rupanya ruang saf hadapan masjid Nabawi. Pak arab tu tau akan fadilatnya, tu dia tak kisah walau bersempit dengan orang.

    Setuju dengan prof dan tuan haji iaitu jika nak solat di saf hadapan, kena datang awal, kena doa, kena rancang. Allah yang permudahkan dan DIA memberi yang terbaik buat kita.

    Semuga Allah beri taufiq dan hidayah buat tuan haji dan keluarga.

    Syukran

    AJ

    BalasPadam
  2. Salam sejahtera,

    Mereka berebut saf terbaik, tetapi mereka tak sedar bergaduh merebut saf itu akhlak kurang baik! Saya juga pernah melihat Jemaah wanita marah2 kerana tidak diberi ruang sambil menuding jari telunjuk mengatakan tempat sujud itu kepunyaan Allah. Sungguh kasar mereka, dan selalu mengambil kesempatan terhadap jemaah asia yang kecil.

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top