Assalamualaikum,

Kali ke tiga saya mendengar tazkirah dari Prof secara langsung adalah ketika di Hotel Royal Dyar, di Madinah. Beliau sebenarnya memberi tazkirah kepada jemaah UTAS TRAVEL. (Kalau tak silap saya). Saya menumpang saja.

Saya ucapkan tahniah kepada pengurusan UTAS TRAVEL kerana berjaya menjemput Prof memberi tazkirah kepada jemaah jemaah mereka. Satu usaha kecil yang memberi kesan yang besar kepada para jemaah. Prof memberi tazkirah di situ selama satu jam lima belas minit.

Saya kira, ramai yang menitiskan air mata semasa mendengar tazkirah Prof. Saya tak terkecuali. Terasa kerdilnya diri ini. Terasa kurangnya amalan diri ini. Masih banyak ruang untuk diperbaiki. Syukurnya, saya tersedar diusia muda. Dan syukurnya saya tersedar di bumi Madinah. Lebih mudah untuk diperbaiki segala kekurangan yang lalu.

Selepas dua kali mendengar tazkirah dari Prof Kamil di Masjid, saya rasakan alangkah beruntungnya kalau Prof Kamil dapat memberi tazkirah yang serupa di hotel kami. Saya sudah mula terasa semangat melakukan amal ibadah di tanah suci. Prof sudah berjaya 'membakar semangat' saya.

Lalu, saya berjumpa dengan seorang "Orang Besar" Zahafiz ( Travel Agen Saya ) di hotel kami. Meminta jasa baiknya kalau boleh, saya minta tolonglah jemput Prof untuk bagi tazkirah di Hotel Zahafiz. Kalau beliau mahu, saya boleh aturkan dengan Prof. Dan ianya percuma. Kerana Prof memang tidak mahu sebarang bayaran. Beliau melakukannya semata mata kerana Allah.

Untuk makluman, ini kali kedua saya berjumpa dengan "Orang Besar" Zahafiz ini untuk memohon perkara yang sama. Kali pertama, ketika di Malaysia lagi. Saya sudah memaklumkan kepada beliau mengenai kehadiran Prof di Madinah. Dan ceramah Prof penuh dengan tips dan motivasi kepada para jemaah. Namun, ketika di Malaysia permintaan saya ditolak.

Saya tidak berputus asa. Di Madinah, saya memberi kepada "Orang Besar" Zahafiz ini salinan ceramah Prof. Kalau boleh, saya nak beliau lihat dan dengar kehebatan Prof berceramah. Bagi saya, ramai yang akan mendapat manfaat kalau mendengar ceramah dari Prof ini.

Sekali lagi, saya kecewa.

Beliau tidak mengenali Prof dan tidak tahu langsung mengenai buku Prof. Dan akhirnya, beliau mengatakan yang pihak Zahafiz juga ada barisan Ustaz yang hebat hebat. Dan jadual ceramah Zahafiz pun sudah penuh.

Saya terpaksa akur. Walaupun sebenarnya saya lihat banyak masa jemaah terluang ketika berada di Madinah. Saya rasa satu kerugian buat jemaah Zahafiz.

Tetapi saya tidak kisah. Yang penting saya sekeluarga sudah pun mendengar ceramah Prof dan kami sudah bersedia untuk menunaikan haji dan beribadah.

Lagipun, saya sedar. Kita merancang, Allah juga merancang. Perancangan Allah lebih baik. Mungkin ada hikmahnya perkara ini tidak berlaku. Saya terima seadanya.

Sambungan Nasihat Nasihat Prof Kamil:

3) Puasa Sunat Isnin & Khamis

Biasanya kalau kita berjumpa dengan Prof, pasti dan pasti Prof akan bertanya, "Ada buat tak puasa sunat hari Isnin dan Khamis?".

Bila ditanya kepada saya. Jawapannya, "Tak. Di Malaysia langsung tak terfikir nak buat."

Pantas Prof menjawab, "Kalau dah di Malaysia tak buat, kenapa tak buat di sini?".

Ikhlas saya katakan, apabila ditanya dalam hati saya menjawab. "Gila apa nak puasa di Madinah dan Mekah. Dah la cuaca di sini panas. Mesti letih. Nak makan apa pagi pagi untuk sahur?. Macam mana nak tahan!"

Tapi, di depan Prof saya tak jawab begitu. Sebelum ke sana, saya dah pun baca saranan Prof ini dalam buku Travelog Haji. Tapi, saya tak fikir saya boleh buat. Kalau di Malaysia pun saya tak boleh tahan. Macam mana saya nak tahan di sini.

Saya bertanya kembali kepada Prof. "Prof, apa kaitan puasa dengan haji? Kenapa perlu berpuasa di sini?". Saya bertanya sekadar ingin tahu, kenapa la Prof tekankan sangat berpuasa di Madinah dan Mekah.

Bukankah kalau kita tak berpuasa, kita lebih bertenaga dan memudahkan kita untuk beribadah. Itu yang saya fikirkan. Di Tanah Suci, kita tekankan ibadah ibadah lain. Kalau nak puasa sangat pun, kita buat di Malaysia nanti sajalah.

Nampak macam logik juga apa yang saya fikirkan.

Prof kemudian menjelaskan, "Puasa sunat memang tidak ada kaitan secara langsung dengan ibadah haji. Bahkan, puasa sunat memang tiada dalam rukun dan wajib haji. Tapi, puasa sunat ada kaitan untuk memperoleh haji yang mabrur."

"Macam mana pula?", saya bertanya.

"Salah satu syarat memperoleh haji yang mabrur ialah seseorang itu mesti melakukan yang terbaik semasa berada di Tanah Suci, dan yang penting apabila dia pulang ke Malaysia nanti, dia mesti lebih baik daripada sebelum menunaikan haji. Jadi, puasa sunat salah satu daripada amalannya". Prof menjelaskan.

Saya mula faham.

"Yang menjadikan seseorang itu berbeza untuk menjadi insan terpilih ialah apabila dia melakukan amalan amalan sunat. Yang orang lain tak buat. Ingat tak saya cakap, 'insan terpilih' hanya 1 daripada 1000", Prof menambah.

Prof turut menceritakan apa yang pernah disampaikan oleh Imam Ghazali. Bahawa orang yang berpuasa ini terbahagi kepada 3 golongan:

1) Golongan yang pertama ialah mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Ini kerana mereka berpuasa, tetapi tidak menjaga hati mereka, tidak menjaga mata mereka, tidak menjaga lidah mereka dan sebagainya.

2) Golongan yang kedua ialah orang yang berpuasa khusus. Iaitu dia menjaga semua pancainderanya. Dan hatinya sentiasa diam.

3) Golongan yang ketiga ialah orang yang berpuasa secara "Khusus Al Khusus", iaitu puasa semata mata kerana Allah. Semata mata kerana Allah. Puasa seperti para rasul dan para nabi.

Prof bertanya, "Pernah tak dalam seumur hidup kita berpuasa seperti para rasul dan nabi?".

Saya menjawab. "Tak pernah." " Prof pernah?" Saya bertanya kembali.

"Pernah. Bila? Semasa saya menunaikan haji dahulu."

"Firdaus, masa inilah kita berpeluang untuk berpuasa seperti para rasul dan para nabi. Kenapa? Kerana sekarang kita berada di bumi Madinah. Di Tanah Suci. Di tempat tumpah darahnya para nabi."

"Di sini kita tidak mengumpat, kita tidak menonton astro, tidak menonton tv. Kehidupan seharian kita dipenuhi dengan ibadah sahaja. Hati sentiasa mengingati Allah, mulut sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Tubuh badan kita sentiasa bersolat menyembah Allah." Panjang lebar Prof menerangkan.

Saya semakin faham.

Di sini tiada ruang untuk kita berbuat dosa. Dan ruang untuk membuat pahala terbuka luas. Beginilah para nabi dahulu berpuasa. Mereka bersahur hanya dengan kurma dan air zam zam. Berbuka pun begitu juga.

Bila berpuasa di Tanah Suci, kita tidak akan terfikir apa yang hendak di makan untuk berbuka. Inilah yang dikatakan puasa semata mata kerana Allah.

Mengakhiri tazkirah bab berpuasa, Prof menyarankan kepada saya, "Firdaus, saya nak cakap tak tahu. Benda ni kena rasa sendiri. Di sini, berpuasalah hari Isnin dan Khamis. Dan masa berbuka nanti, you minum saja air zam zam. You akan rasa nikmat yang tak boleh digambarkan. You akan rasa dari hujung rambut ke hujung kaki. Saya tak boleh cerita lebih lebih. Bila dah puasa nanti. Saya yakin you akan cakap dekat saya. "Prof, sekarang baru saya tahu nikmat puasa yang Prof maksudkan".

"Sahur nak makan apa Prof?", saya bertanya. "La, kan saya dah kata makan kurma dan air zam zam sahaja. Itu yang para nabi buat". Prof menjawab.

"Boleh tahan ka?" saya musykil bertanya.

"Yang memberi kita kenyang, bukan makanan yang kita makan. Tapi Allah yang beri rasa kenyang kepada kita. Ini yang dikatakan barakah. Doa di dalam hati. "Ya Allah, aku hendak berpuasa semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Aku hendak bersahur seperti para nabi ya Allah iaitu dengan kurma dan air zam zam sahaja. Ya Allah, jadikanlah apa yang aku makan ini mengenyang dan menyihatkan tubuh badan aku pada esok hari". Niat sahaja begitu, insya Allah. Pasti Allah akan tolong. Yakinlah". Prof cuba meyakinkan saya yang tidak yakin.

Mentaliti saya sekali lagi berubah. Saya berazam untuk berpuasa di Tanah Suci. Insya Allah. Jika tadi saya kata 'gila' berpuasa di sini, sekarang saya nampak jalannya. Insya Allah. Akan saya usahakan.

Kalau disini saya tak boleh buat, macam mana saya nak buat di Malaysia nanti. Segalanya harus bermula disini. Now or never.

Insya Allah. Nasihat nasihat Prof yang lain akan bersambung dalam entry seterusnya.

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Terima kasih atas perkongsian ilmu. Bermanfaat bagi mereka yang hendak menunaikan haji nanti.

    BalasPadam
  2. alhamdulillah

    BalasPadam
  3. Asslam,

    Alhamdulillah. Membaca tazkirah dan nasihat prof yang di kongsikan dengan kami membuat hati teringin sangat untuk kesana.

    Saya tersenyum pada part bila tuan haji tanya, "Boleh tahan ke."

    Saya memang teringin sangat untuk merasa umrah di bulan Ramadhan. Doakan ya tuan haji agar saya dan keluarga Allah jemput diwaktu yang terdekat.

    Hanya Allah saja dapat membalas keikhlasan tuan haji berkongsi dengan kami warga MFUAD di blog ini pengalaman haji dan terutamanya nasihat yang berharga dari prof.

    Jazakaullahukhairan kathira'

    AJ

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum, setiap kali baca your entry, hati begitu meronta utk pergi. Ya Allah jemputlah kami sebagai tetamuMu di musim Haji tahun ini, berilah jalan buat kami dan permudahkan lah segala urusan kami.

    KH

    BalasPadam

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top