Assalamualaikum,

Masjid Nabawi yang penuh dengan ketenangan dan barakah

Tak kenal maka tak cinta. Inilah ungkapan yang paling sesuai saya ucapkan. Agak malang bagi jemaah yang menunaikan haji atau umrah, kemudiannya menziarahi Madinah, tetapi mereka tidak mengetahui sejarah dan keistimewaan bumi Madinah itu sendiri.

Sekiranya kita mengetahui sejarah dan keistimewaan tempat ini, saya yakin kita akan lebih berasa teruja untuk pergi ke Madinah. Dan apabila kita sampai ke sini, kita lebih bersemangat untuk membuat ibadah. Pokoknya, kita perlu tahu. Tempat ini 'ISTIMEWA'.

Jika tidak, Madinah tidak ada bezanya dengan tempat tempat lain. Ruginya kita pergi ke Madinah jika kita tidak tahu kehebatan Madinah itu sendiri.

SEJARAH MADINAH

Yathrib. Inilah nama asal bagi Madinah sebelum kedatangan Rasulullah dalam peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi.

Madinah telah menjadi ibu kota negara Islam yang pertama. Ia menjadi tempat pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam. Jika sebelum berhijrah, Rasulullah terpaksa berdakwah secara bersembunyi, tetapi di Madinah, Rasulullah mula menyampaikan dakwah secara terbuka dan lebih sistematik. Alhamdulillah, penduduk Madinah telah dapat menerima kedatangan Rasulullah dengan baik.

Penduduk asal Madinah terdiri daripada kaum Arab dan Yahudi. Bangsa Yahudi terdiri dari 3 puak utama iaitu Bani Qainuqa', Bani Nadhir dan Bani Qurayzah manakala Bangsa Arab terdiri daripada Qabilah Aus dan Qabilah Khazraj. Mereka semua selalu bertelagah dan selalu bergaduh di antara satu sama lain.

Apabila kedatangan Rasulullah, mereka semua bersatu melalui perjanjian antara semua kaum seperti yang terkandung di dalam Piagam Madinah. Pada masa inilah, nama Yathrib ditukar oleh Rasulullah kepada Madinah.

KELEBIHAN BUMI MADINAH

Madinah bumi barakah. Ini adalah janji Rasulullah. Al Madinah Al Munawwarah merupakan kota suci kedua bagi Umat Islam selepas Kota Suci Mekah.

Berikut merupakan keistimewaan yang dijanjikan oleh Rasulullah terhadap bumi Madinah.

1) Rasulullah SAW menjadikan Madinah sebagai Tanah Haram dan berdoa untuk keberkatan ahlinya

2) Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Nabi Ibrahim telah mengharamkan Mekah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim telah mengharamkan Mekah. Dan aku berdoa untuk (keberkatan) cupak dan gantangnya sebagaimana Nabi Ibrahim telah berdoa untuk Mekah.

3) Rasulullah SAW bersabda : Madinah adalah tanah haram, letaknya diantara Bukit E'ir dan Bukit Thur; Barang siapa melakukan kezaliman (maksiat) didalamnya, maka keatasnya laknat Allah, Malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan baiknya yang wajib ataupun sunat tidak diterima oleh Allah kelak di Hari Kiamat.

4) Kelebihan Bersabar Menanggung Kesusahan Yang Dihadapi Di Madinah : Rasulullah SAW bersabda : Mana-mana individu dari ummatku yang bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi syafa’at kepadanya pada Hari Kiamat, atau aku menjadi saksi kepadanya.

5) Kelebihan Mati Di Madinah : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah dilakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafa’at kepada mereka yang mati di Madinah.

6) Kelebihan Belajar Di Masjid Nabawi : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang memasuki masjid kami ini untuk mempelajari satu kebaikan atau mengajarnya adalah umpama mujahid di jalan Allah dan sesiapa yang masuk dengan tujuan lain adalah umpama orang yang melihat kecantikan barang orang lain.

7) Madinah Terpelihara Daripada Ancaman Dajjal Dan Wabak Taun : Rasulullah SAW bersabda : Disetiap pintu masuk Madinah terdapat malaikat

8) Madinah Sebagai Tapak Iman : Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular kembali ke lubangnya.

9) Kelebihan Bersolat Di Masjid Nabawi : Rasulullah SAW bersabda : Pahala sembahyang di Masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang dilain-lain masjid kecuali di Masjidilharam.

Gambar sekitar Masjidil Nabawi

10) Kelebihan Bersholat 40 Sholat Di Masjid Nabawi : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa bersolat 40 waktu solat di masjidku (secara terus-menerus) tanpa meninggalkan satu solat pun, maka ditulis untuknya keselamatan daripada api neraka, keselamatan daripada adzabnya dan terlepas daripada (bahaya) nifaq (munafiq).

11) Di bumi inilah terletaknya Makam Rasulullah dan para sahabat yang memperjuangkan Islam.

Makam Rasululah S.A.W yang kita kasihi dan cintai

12) Di Masjidil Nabawi, terdapat kawasan yang dipanggil Raudhah. Rasulullah S.A.W bersabda : "Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman taman Syurga."

Cuba bayangkan. Ada jemaah yang datang ke Tanah Suci tidak tahu kelebihan Madinah ini. Mereka datang tetapi mereka tidak akan merebut untuk berusaha melakukan yang terbaik ketika berada di sini.

Sebagai contoh, ada jemaah yang tidak mengetahui kelebihan bersolat 40 waktu secara berterusan di Masjid ini, ada di antara jemaah kami yang bersolat hanya di dalam hotel. Walaupun, jarak hotel dengan masjid hanya sekangkang kera cuma.

Ada jemaah, yang mengeluh sukar untuk mendapat tempat di Raudhah kerana orang terlalu ramai. Kesannya, dia pergi ke Madinah tanpa berpeluang memasuki Raudhah. Terlepas dia peluang untuk masuk ke salah satu daripada taman taman syurga yang terdapat di dunia ini. Sekiranya dia tahu fadhilat ini, saya yakin dia pasti akan berusaha untuk masuk ke Raudhah walaupun terpaksa berebut rebut dengan orang lain.

Dan selepas kita mengetahui segala kelebihan ini, pasti dan pasti. Kita tidak akan melepaskan peluang ketika berada di sana. Hati kita akan selalu terikat untuk berada di dalam Masjid Nabawi dan tahap kecintaan kita kepadanya akan memuncak. Kesannya, apabila di sana. Kita akan selalu beriktikaf, membaca Al Quran, berzikir dan berusaha untuk bersolat sunat sebanyak mungkin bagi mengejar fadhilat yang dijanjikan Allah.

Saya amat amat bersyukur kepada Allah, ilmu ilmu yang saya peroleh daripada ceramah, kursus, bacaan buku banyak membantu saya untuk 'kuat' beribadah di sini. Setiap masa yang Allah berikan saya gunakan sebaik mungkin. Alhamdulillah.

Dan lebih penting, setibanya saya di Madinah, saya berpeluang untuk bertemu dengan Prof Kamil, pengarang buku Travelog Haji, 50 Tips Motivasi Haji dan Travelog Dakwah. Beliau memberi tazkirah secara langsung kepada saya. Alhamdulillah. Allah memperkenankan doa saya untuk bertemu beliau. Dan, saya rasa inilah titik perubahan dalam hidup saya. Merubah Sempadan Iman saya sekeluarga.

Selepas mengetahui semua kelebihan bumi Madinah ini, baru saya faham mengapa Prof Kamil sanggup berhenti kerja di Malaysia, dan berkhidmat di Universiti Taibah, Madinah. Tinggal di Madinah, cuaca panas, cabaran yang pelbagai dengan telatah penduduk Arab, tetapi semuanya dilakukan. Semata mata kerana Allah. Peluang untuk ke syurga lebih mudah di sana. Dengan jaminan syafaat dari Nabi Muhammad. Kalau diberi peluang, saya pun mahu. Siapa tak mahu syafaat Nabi, siapa tak mahu masuk syurga.

Semoga, bagi anda yang belum berpeluang untuk pergi menunaikan haji atau umrah. Ilmu yang saya kongsi ini sedikit sebanyak dapat memberi perangsang buat anda mula menabung untuk ke sana. Semoga Allah mempermudahkan. Insya Allah.

Wassalam

5 comments:

  1. Assalam,

    Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!!

    Rindu sangat nak ke sana lagi.

    Semuga haji dapat doakan kita warga MFUAG, dapat menunaikan haji dan umrah di waktu yang terdekat.

    Semuga haji dan keluarga dalam kasih sayang Allah.

    Barakaullahufikum

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam,

    Banyak kali saya terfikir. Apa itu MFUAD. Mula mula saya ingat tuan tersalah eja.

    Tetapi bila dah dua tiga kali nama MFUAD di taip, saya terfikir.

    Ya... Inilah MARIA FIRDAUS - USAHAWAN AYAM DAGING.

    MFUAD - Sesuatu yang baru. Terima kasih kerana memerah otak saya berfikir.

    ReplyDelete
  3. Gambar maqam ini adalah maqam Maulana Jalaluddin Rumi. Harap periksa.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum,saya nak tanya apa nama asal bagi kota yathrib?

    ReplyDelete
  5. salam,saya nak tanya apa nama asal bagi kota yathrib?

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top