Lebih cepat anda kumpul wang, lebih cepat pulangan digandakan

Ramai orang yang melengahkan pelan untuk menabung (atau melabur) dengan alasan bahawa keadaan kewangan mereka belum mengizinkan. Tetapi hakikatnya ialah lebih lewat anda berlengah, lebih banyak yang anda rugi, walaupun anda mungkin tidak nampak kerugian ini.

Saya berikan satu contoh mudah:

Katakan Encik Ahmad mula menabung sejurus selepas mendapat kerja pada usia 24 tahun. Beliau hidup di bawah kemampuan sebenarnya dan berusaha sedaya-upaya dan menabung segala pendapatan tambahan yang diperolehi daripada sumber lain.

Hidup Encik Ahmad tidak mewah, tetapi amat selesa. Walaupun dia telah berkahwin dan mendapat anak, amalannya untuk menabung secara automatik sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji diteruskan juga. Dalam tempoh 21 tahun, dia berjaya mengumpul RM500,000.

Encik Zahir, rakan sekuliah Encik Ahmad pula tidak begitu. Walaupun pendapatannya lebih kurang sama seperti Encik Ahmad, dia mendapati sukar untuk menabung. Ramai orang ingat Encik Zahir lebih kaya sebab keretanya lebih besar, rumahnya lebih mewah, termasuk perabot dan perhiasan di dalamnya, semua alat yang dimilikinya lebih canggih.

Malah majlis perkahwinannya juga memang 'ada kelas', diadakan di hotel mewah. Selepas berkahwin, isterinya pun diberikan sebuah kereta. Namun begitu, masalah Encik Zahir ialah dalam tempoh 21 tahun, beliau hanya berjaya menabung RM200,000.

Tiba-tiba Encik Ahmad membuat keputusan bahawa dia nak 'enjoy' wangnya sikit selepas penat bekerja. Untuk tempoh 5 tahun seterusnya, dia hentikan tabungan buat sementara, sebaliknya semasa cuti dia bawa isteri pergi haji, kemudian apabila berkesempatan, dia pergi membawa keluarga melawat negara-negara lain. Semua ini menggunakan pendapatan sedia ada tanpa mengusik satu sen pun wang tabungan.

Encik Zahir pula sedar bahawa usia semakin lanjut sedangkan tabungan hanya ada RM200,000. Jadi dia menambah tabungan dengan membuat keputusan menyimpan RM1,000 sebulan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Andaikan kedua-duanya menabung dalam Tabung Haji yang memberi dividen kira-kira 5% setahun.

Dalam tempoh 5 tahun antara usia 45 - 50 tahun:

En. Zahir telah mengumpulkan RM123,222, iaitu RM60,000 simpanan + RM63,222 dividen
Encik Ahmad telah mengumpulkan RM138,141, menerusi dividen tanpa membuat sebarang simpanan!

Contoh ini jelas menunjukkan mengapa anda perlu menyegerakan membuat tabungan atau pelaburan, kerana untuk mencapai kebebasan kewangan, lebih pantas anda membina momentum daripada pulangan, lebih cepat wang anda boleh digandakan.

1 comments:

  1. Great post!!! I like it... thanks for the advice... :)

    ReplyDelete

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top