Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Nov. – Seorang usahawan mesti mempunyai naluri hati yang kuat serta berkebolehan untuk menangani sebarang tekanan, kata hartawan dan selebriti televisyen Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau berkata, individu yang tidak memiliki ciri-ciri berkenaan adalah lebih baik makan gaji daripada memulakan perniagaan sendiri.

‘‘Saya mempunyai seorang rakan yang bijak tetapi dia tidak boleh tangani tekanan ketika beliau mahu membeli rumah.

‘‘Kalau anda tidak boleh menangani tekanan, maka adalah lebih baik untuk anda bekerja dengan orang lain dan ia tidak salah jika anda menerima gaji tetap setiap bulan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dari Menara Trump di New York melalui televisyen satelit kepada peserta Persidangan Kemuncak Pemuda (YES) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Trump yang merupakan hartawan, personaliti televisyen dan pengarang buku dari Amerika Syarikat, terkenal sebagai pengacara dan penerbit eksekutif dalam rancangan realiti The Apprentice.

Trump berkata, setiap usahawan perlu berdisiplin dan memfokuskan kepada apa jua perkara yang dilakukan untuk mengekalkan kejayaan yang dicapai.

‘‘Ramai kawan saya muflis ketika berlaku kemelesetan ekonomi, tetapi saya masih fokus kepada usaha saya.

‘‘Dengan budaya kerja yang berdisiplin, kita mampu mengubah pasaran yang tidak baik kepada pasaran yang baik,’’ katanya.

Menurut beliau, usahawan tidak harus terlalu mudah percaya dengan orang lain dan tidak harus memberi peluang kepada mereka yang tidak jujur.

‘‘Saya rasa kita patut beri peluang kedua kepada mereka yang melakukan kesilapan tetapi bukan kepada mereka yang menipu.

‘‘Pemberian peluang kedua kepada penipu bermakna anda memberi ruang kepadanya untuk menipu anda buat kali kedua,’’ katanya.

Tambah Trump, usahawan perlu sentiasa percaya kepada diri sendiri dan tidak mudah putus asa dalam apa jua yang dilakukan.

‘‘Anda perlu percaya kepada diri sendiri bahawa anda boleh melakukan benda yang tidak dapat dilakukan orang lain,’’ katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Maria Firdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top