Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan nasyid nombor satu negara, Rabbani, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi. Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung.

Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ.
Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim amat dirasa kerana beliau dan nasyidnya di dalam kumpulan Nadamurni dan kemudiannya Rabbani, telah saya dampingi semenjak di usia kecil. Nasyidnya, zikirnya, doanya, malah tazkirah dan nasihatnya, adalah peneman diri dalam kehidupan dan perjuangan. Moga segalanya menjadi amal kebaikan peneman diri beliau dalam kembara pergi tak kembali itu.

Memetik ucapan Ustaz Asri Ibrahim di blog beliau:

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…“

Semoga Allah melimpahkan seluas-luas rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya ke atas roh Almarhum, dan mengurniakan sabar dan tabah sebanyak-banyakkan buat seluruh ahli keluarga beliau.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [al-Baqarah 2: 156]

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top