Umat Islam dilihat sebagai umat mundur dan miskin, Tanpa usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi menyebabkan umat Islam akan ketinggalan daripada pelbagai aspek peluang yang ada, maka setiap umat Islam harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing.

Ini merupakan konsep yang perlu dipegang dalam melihat kesan ekonomi yang berterusan di perkukuhkan oleh Islam. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam.

Wartawan, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto HALIM KHALID berkesempatan ke pejabat ustaz Hasan Mahmud al-hafiz di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini untuk berkongsi rahsia pengurusan perniagaannya.

MEGA: Bolehkah ustaz nyatakan maksud perniagaan di dalam Islam?

Hasan: Perniagaan merupakan satu ibadah dan dituntut oleh al-Quran. Perniagaan boleh dinyatakan di dalam dua jenis bentuk iaitu yang melibatkan harta benda dan satu lagi ialah perniagaan yang dilakukannya atas niat kerana Allah s.w.t.

Perniagaan adalah satu bentuk usaha bagi meningkatkan taraf ekonomi diri, keluarga dan masyarakat. Perniagaan bukan perkara baru sebab Nabi Muhammad juga pernah menjadi peniaga sebelum diangkat menjadi rasul. Ini membuktikan bahawa Islam mengalakan pengikutnya untuk menjana ekonomi serta pendapatan melalui perniagaan.

MEGA : Apakah faktor penyebab ustaz beralih angin ke dalam bidang perniagaan ini?

Hasan: Faktor utama, saya melibatkan diri dalam perniagaan kerana ia adalah satu ibadah di samping minat untuk membuka sebuah perniagaan yang bercirikan keIslaman dalam menjana perkhidmatan dan produk yang dapat memanfaatkan semua pihak.

Manfaat yang dilaksanakan sudah pasti mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah s.w.t bahawa setiap umatnya yang berniaga sudah pasti dijamin masuk syurga. Bahkan dengan perniagaan yang dilaksanakan mudah-mudahan mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, setelah mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan awam saya terus memberi tumpuan kepada mengusahakan perniagaan Ibtisam Travel & Tour Sdn. Bhd.

Sejarah tertubuhnya syarikat ini bermula pada tahun 1981. Ketika itu penglibatan saya hanya meliputi soal penerbitan dan penulisan buku untuk digunakan di sekolah-sekolah. Dari situ mulanya minat saya timbul dan mula terus aktif di dalam bidang ini.

MEGA: Bolehkah ustaz berkongsi pengalaman dalam mengusahakan perniagaan ini?

Hasan: Apabila kita ingin menceburi bidang ini perkara pertama yang perlu ada ialah sumber kewangan yang kukuh bagi menstabilkan perjalanan operasi syarikat. Kepercayaan orang ramai merupakan perkara yang perlu ditekankan.

Mereka iaitu orang yang bekerjasama dengan kita merupakan aset kepada syarikat dan penyumbang kepada kejayaan hari ini. Sebagai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan Islam, perkara pertama yang perlu ada ialah mesti jujur dan amanah dalam mengendalikan perniagaan.

Kenalan yang ramai juga turut membantu dalam merangka promosi yang syarikat saya lakukan. Di dalam perniagaan kita mesti mendapatkan pandangan daripada semua pihak, kita perlu belajar apakah teknik-teknik yang terbaik didalam menguruskan syarikat. Walaupun kita sudah mahir menguruskannya tetapi proses pembelajaran haruslah berterusan.

MEGA :Apakah perkhidmatan atau perniagaan utama perniagaan yang dijalankan oleh Ibtisam Travel & Tour Sdn. Bhd.?

Hasan: Perniagaan dan perkhidmatan utama yang dilakukan oleh syarikat Ibtisam Travel & Tours Sdn. Bhd. ialah penganjuran pakej umrah, ziarah dan haji. Pakej-pakej ini kebiasaannya diterima dan dijalankan mengikut musim-musim tertentu.

Kebiasaannya para pelanggan akan berhubung dengan syarikat kami bagi tujuan tempahan dan pendaftaran mengikut tarikh, masa serta harga pakej berpatutan yang ditawarkan.

Setiap harga pakej berbeza mengikut dewasa dan kanak-kanak. Syarikat kami turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan syarikat penerbangan Bangladesh, BIMAN. Di samping itu juga saya terlibat di dalam setiap rombongan yang dijalankan sebagai pembimbing kepada para jemaah haji dan umrah.

MEGA: Apakah prinsip yang digunakan dalam memastikan perniagaan ini mendapat tempat dalam masyarakat?

Hasan: Di antara prinsip yang saya tekankan dalam menguruskan perniagaan ialah bagaimana memperoleh kepercayaan masyarakat terutama apabila ia melibatkan perkara-perkara yang berkaitan urusan yang melibatkan wang ringgit.

Sebagai pengusaha, konsep amanah merupakan perkara yang perlu diamalkan bagi mendapat keberkatan dan rahmat. Jangan sesekali kita mengamalkan perniagaan dengan cara menekan atau menipu pelanggan semata-mata untuk memperoleh keuntungan dengan cepat.

Tindakan tersebut salah malah perniagaan yang kita lakukan juga tidak baik di sisi agama. Kita mesti ikhlas dalam menguruskannya supaya para pelanggan mendapat kepuasan yang optimum. Malahan prestasi yang baik diyakini penentu kepada kejayaan.

Sambil berniaga kita harus ingat kepada Allah s.w.t supaya apa yang kita lakukan menjadi mudah dan dimurahkan rezeki. Doa yang dimakbulkan di samping berdakwah dan berniaga ke jalan Allah sudah pasti membawa kejayaan suatu hari nanti.

Konsep sabar juga perlu ditekankan dalam diri kita kerana berniaga ini seperti air pasang surut yang sentiasa berubah-ubah akan perolehan keuntungannya.

MEGA: Apakah nasihat ustaz kepada masyarakat Islam khususnya yang berminat mencebur diri di dalam bidang perniagaan?

Hasan: Salah satu jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi umat Islam adalah melalui perniagaan iaitu berusaha menjadi usahawan yang berjaya. Seruan ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud sembilan persepuluh punca rezeki itu adalah melalui bidang perniagaan.

Bidang ini perlu diusahakan untuk berjaya. Kita sama sekali tidak boleh lupa kepada Allah s.w.t. bahkan wajib mensyukuri nikmat kurniaan-Nya. Mudah-mudahan perniagaan yang kita usahakan sentiasa mendapat keberkatan dan menghasilkan keuntungan yang berterusan.

Akhirnya dapat disalurkan kepada umat Islam lain melalui pengeluaran zakat, sedekah dan seumpamanya. Ini kerana kita tahu bahawa dalam Islam zakat cukup berperanan membangun ekonomi umat Islam di samping memperlihatkan betapa indahnya agama Islam.

Sebagai contoh, generasi pertama Islam seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair Ibnu Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi bukan sahaja menjadi usahawan yang berjaya tetapi mereka turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dan pengembangan dakwah Islam. Oleh itu semangat, etika dan keperibadian para sahabat ini perlu dicontohi oleh peniaga atau pengusaha pada hari ini.

MEGA: Apakah mentaliti orang Melayu perlu diubah dalam menghadapi cabaran dunia persaingan kini?

Hasan: Ya, mentaliti mereka perlu diubah kerana di dalam dunia yang semakin bersaing. Hanya orang yang benar-benar berkebolehan dan mempunyai semangat juang yang tinggi mampu meningkat dan mengukuhkan penguasaan ekonomi di dalam perniagaan dengan lebih sempurna.
Jangan hanya menumpukan perniagaan yang melibatkan makanan semata-mata. Sebaliknya, perlu melihat kepada perniagaan yang lebih luas serta dapat mengukuhkan penguasaan ekonomi untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara yang merupakan suatu tuntutan dan keutamaan dalam Islam.

Mereka perlu berusaha meningkatkan ekonomi melalui perniagaan dengan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak supaya mereka lebih berinovatif dan yakin untuk memulakan sesuatu perniagaan.

MEGA: Bagaimana orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai syarikat ustaz?

Hasan: Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai Ibtisam Travel & Tour Sdn. Bhd. bolehlah menghubungi kami di alamat No. 9A, Jalan 2/8, Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor atau menghubungi talian 012-3358920, 03-61388042 atau mengunjungi laman web di http://www.ibtisam2u.com/.

Lima perkara penentu kejayaan perniagaan

*Kakitangan pekerja yang bertanggungjawab dalam menguruskan urusniaga syarikat.
*Amanah dalam melaksanakan urusan perniagaan sesama muslimin.
*Mengamalkan sifat tolong-menolong di antara satu dengan yang lain.
*Keterbukaan minda dan fikiran.
*Berani mengambil risiko.

Lima faktor yang menggagalkan perniagaan

*Melibatkan diri daripada berurusan dengan barangan atau perkhidmatan yang haram.
*Tidak ada sifat jujur dalam jual beli, mendekati amalan riba dan unsur-unsur perjudian.
*Mengamalkan penipuan, seperti menipu di dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai sesuatu produk barangan.
*Tamak dan mempunyai hasad dengki terhadap kejayaan orang lain. Sebaliknya jadikan kejayaan orang sebagai dorongan untuk berjaya.
*Tidak pentingkan masa.

Sama sama kita ambil iktibar dari mereka yg dah berjaya...

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

 
MariaFirdaus © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top